Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Cars, Urban Life Style & Trends (C.U.L.T) akan menganjurkan CULT X Alumni UMS Festival, sebuah acara berimpak tinggi yang menggabungkan budaya automotif dan jaringan alumni.

Penganjuran festival ini adalah sebagai satu usaha strategik untuk mengukuhkan kolaborasi antara alumni UMS dan komuniti tempatan.

Objektif utama program ini adalah:

1. Mewujudkan kerjasama silang antara Alumni UMS dan C.U.L.T untuk menjadikan festival ini sebagai acara tahunan.

2. Meningkatkan kesedaran terhadap peranan Alumni UMS dan budaya automotif di Sabah.

3. Strategi pendanaan kepada Pusat Alumni UMS dan nilai tambah kepada Pengurusan Acara C.U.L.T.

4. Membina persekitaran mampan bagi memahami secara mendalam industri budaya automotif yang semakin mendapat perhatian generasi muda.

5. Mencetuskan suasana perayaan yang bertepatan dengan cuti umum hujung tahun yang akan datang.

C.U.L.T X Alumni UMS Festival bertujuan bukan sahaja untuk mempamerkan kreativiti dan inovasi dalam budaya automotif tetapi juga untuk memperkukuh hubungan antara alumni UMS dan masyarakat umum.

Acara ini turut memberi peluang kepada pelbagai pihak untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang memfokuskan kepada budaya automatif, pengumpulan dana dan pertukaran idea dalam ekosistem budaya moden.

Sehubungan itu, pihak penganjur menjemput semua alumni UMS, pelajar dan masyarakat umum untuk bersama-sama memeriahkan festival ini. Nantikan pelbagai aktiviti menarik yang akan diumumkan kelak termasuk pameran kenderaan, demonstrasi pemanduan selamat, pameran peralatan perkhemahan dan pelbagai persembahan istimewa.

Majlis sidang media yang berlangsung di UMS pada Khamis (12 Disember 2024) turut dihadiri oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin; Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr. Arif @ Kamisan Pusaran; Pengarah Promosi C.U.L.T John Kong serta Pengarah Program C.U.L.T, Azlin Awang Chee.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Pusat Alumni UMS di www.ums.edu.my/alumni atau hubungi talian Pusat Alumni UMS (088 – 329 360) atau Cik Ain (018 972 2593).

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakar sejarah gemilang sempena Sambutan Jubli Mutiara, menandakan tiga dekad pencapaian luar biasa sebagai institusi pengajian tinggi.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam syarahan perdananya berkata, UMS telah berjaya melahirkan graduan yang berkualiti dan memenuhi pasaran kerja.

“Kebolehpasaran graduan (GE) menjadi salah satu indikator utama keberkesanan pendidikan tinggi. Di UMS, kadar GE telah meningkat daripada 54.7% pada tahun 2014 kepada 98.5% pada tahun 2023.

“Alumni adalah wajah sebenar sesebuah institusi. Sinergi antara alumni dan universiti terus mengukuhkan UMS sebagai pusat pembinaan bakat.

“UMS kini mempunyai hampir 18 ribu pelajar termasuk 648 pelajar luar negara. Setelah tiga dekad UMS boleh berbangga dengan jumlah alumninya sebanyak 91,530 orang dari seluruh pelusuk dunia,” katanya.

Tambah beliau, pengantarabangsaan merupakan ikhtiar kolektif universiti dalam meluaskan jangkauan serta pengaruhnya di pentas global.

“Di UMS strategi pengantarabangsaan disusun secara holistik melalui pelbagai inisiatif. Dengan 169 perjanjian aktif merangkumi 18 negara, UMS mengukuhkan visibiliti antarabangsa melalui Memorandum Persefahaman (MoU), Memorandum Perjanjian (MoA) dan Surat Niat (LoI),” tambahnya.

Dalam majlis sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan berkata kejayaan UMS pada hari ini merupakan hasil usaha gigih, dedikasi dan kerjasama semua pihak, baik daripada barisan pengurusan tertinggi sehinggalah kepada staf sokongan dan pelajar.

“Sokongan daripada kerajaan, masyarakat dan pelbagai pihak berkepentingan juga menjadi faktor penting yang mendorong kejayaan universiti ini.

“Sambutan 30 tahun ini bukan sahaja untuk mengenang pencapaian masa lalu tetapi juga untuk merancang masa depan yang lebih gemilang,” katanya lagi.

Sempena sambutan Jubli Mutiara UMS, beberapa inisiatif turut diumumkan kepada seluruh warga universiti antaranya penawaran kadar yuran istimewa bagi anak kakitangan UMS yang berjaya melanjutkan pengajian ke UMS, peruntukan khas secara berperingkat untuk menggantikan perabot usang yang akan menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyediaan insurans kesihatan bagi pesara universiti untuk membantu meringankan beban kos perubatan serta cadangan penubuhan Persatuan Pesara UMS sebagai platform meneruskan kebajikan para pesara UMS.

 

Pulau Layang-Layang memainkan peranan penting dalam era geopolitik yang semakin kompleks pada hari ini terutama dalam konteks Laut China Selatan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Ir. Dr Zaini Ujang berkata, penyelidikan ini bukan sahaja melambangkan keberanian intelektual tetapi juga dedikasi luar biasa para penyelidik dan pembantu penyelidik dalam menjalankan amanah besar kepada negara.

“Sebagai penyelidik, anda memegang amanah besar untuk menjadi pemangkin perubahan.

“Jadikanlah penyelidikan anda bukan sahaja sebagai usaha akademik, tetapi juga sebagai sumbangan kepada pembentukan masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Pembinaan Replika Monumen Kedaulatan dan Buku Pulau Layang-Layang, Malaysia.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, usaha ini melambangkan pencapaian penting dalam bidang penyelidikan sekali gus memperkukuhkan kedudukan UMS di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Majlis pada hari ini menonjolkan keupayaan UMS dalam memanfaatkan hasil penyelidikan dan menterjemahkannya ke dalam bentuk yang nyata.

“Ini membuktikan kesungguhan UMS dalam menyumbang tenaga dan kepakarannya kepada Malaysia, selain turut mencerminkan tekad dan semangat warga universiti dalam menyokong agenda penyelidikan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, penyelidikan yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Pulau-Pulau Kecil (SIRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam, UMS itu turut melibatkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi lain seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) , dan Universiti Sains Malaysia (USM).

“Penyelidikan ini melibatkan pelbagai disiplin yang merangkumi geopolitik, sosioekonomi, biodiversiti, dan geomorfologi untuk menyokong tuntutan kedaulatan Malaysia serta mengenal pasti peluang pembangunan lestari.

“Pelancaran Replika Monumen Kedaulatan dan buku Pulau Layang-Layang: Malaysia’s Gem in the South China Sea adalah komitmen UMS terhadap kecemerlangan penyelidikan, memajukan pengetahuan dengan impak yang meluas terhadap isu nasional, dan memupuk generasi akan datang untuk menghargai kedaulatan negara,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Lembaga Pengarah UMS, Prof. Dr. Baba Musta; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Pengarah SIRC, Dr. Farrah Anis Adnan; dan Ketua Projek, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah

 

Sepasang anak-beranak mencipta legasi keluarga cemerlang apabila ayahnya berjaya menamatkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) manakala anaknya berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen Univerisiti Malaysia Sabah (UMS) ke-26 yang berlangsung baru-baru ini.

Dr. Azmi Abd Majid, 52, merupakan graduan PhD dalam bidang perbankan dan kewangan di bawah Fakulti Perniagaan Ekonomi Dan Perakaunan (FPEP), manakala anaknya Aleeya Balqis, 24, merupakan graduan Fakulti Psikologi dan Pendidikan dengan PNGK 3.83.

Azmi ketika berkongsi kejayaan mendapatkan PhD berkata, beliau mula menjadikan gelaran PhD sebagai cita-cita peribadi setelah mula beralih ke bidang akademik sebagai pensyarah pada tahun 2016 setelah berkhidmat selama 19 tahun dalam industri kewangan dan perbankan sebelum itu.

“Saya percaya dengan memiliki PhD dapat meningkatkan keyakinan yang lebih sebenarnya dan juga memberi ruang untuk menerapkan pengalaman dalam konteks keilmuan yang lebih luas.

“Saya menekankan kepentingan keseimbangan terhadap tanggungjawab akademik dan keluarga.

“Apabila anak-anak sudah dewasa, saya dapat menfokuskan kepada penyelesaian tesis sepenuhnya walaupun umur meningkat naik.

“Ramai orang kata bila tua, kita perlu berehat, tetapi bagi saya, ia bergantung kepada motivasi, yang penting, mahu atau tidak mahu habiskan,” katanya.

Sebagai seorang ayah, Azmi sering berkongsi kata-kata motivasi di Facebook agar anak-anaknya dapat melihat dan mengambil inspirasi daripadanya, selain turut menasihati mereka supaya tidak menghadkan impian dan sentiasa bercita-cita tinggi, serta abaikan pandangan negatif orang lain dan terus fokus kepada matlamat yang ingin dicapai.

Nasihat tersebut turut mempengaruhi Aleeya Balqis, yang menyifatkan kejayaannya sebagai hadiah untuk ibu bapanya.

“Saya gembira dapat habiskan pengajian bersama ayah dan bangga dapat hadiahkan ijazah kelas pertama pada mereka.

“Nasihat ayah saya “belajar sebanyak mungkin” menjadi motivasi cemerlang dalam akademik sekali gus dapat memberikan keseriusan dalam akademik,” katanya.

Aleeya turut merancang mengikuti jejak ayahnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tingg.

“Saya merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang yang sama tetapi lebih spesifik iaitu terapi berbual.

“Minat saya lebih kepada bidang terapi dan saya ingin mendalaminya dengan lebih mendalam,” ujarnya lagi.

Kisah inspirasi Dr. Azmi dan Aleeya Balqis menjadi bukti bahawa sokongan keluarga memainkan peranan masing-masing dan dedikasi tersebut mampu menjadikan impian satu kenyataan dan membina generasi keluarga ke arah kecemerlangan.

 

(artikel disediakan Muhammad Fakhrul Hakim Nasrudin, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)

 

Dalam usaha memperkukuh komitmen terhadap bidang perhutanan dan kelestarian alam sekitar, Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberi pengiktirafan kepada lima graduan cemerlang Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) menerusi Anugerah Kelestarian Perhutanan.

FPT dalam satu kenyataan menyebut, lima pelajar dari lima program berbeza yang ditawarkan di FPT itu dipilih setelah memenuhi kriteria Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.50 ke atas, serta telah menyiapkan tesis berkaitan dengan bidang kajian pengurusan hutan.

Setiap penerima anugerah tersebut juga mendapat wang tunai sebanyak RM1,000 hasil tajaan KTS Plantation Sdn. Bhd yang bertujuan mengiktiraf sumbangan mereka dalam bidang pengurusan hutan lestari dan biodiversiti.

Salah seorang penerima, Cyril Ann Daniel, ketika ditemui media berkongsi, kajian berkaitan spesies orkid menerusi tajuk Morphological Study of Jewel Orchid Species at Mount Alab, Crocker Range Park, Sabah telah membolehkannya terpilih sebagai penerima anugerah tersebut.

"Kajian ini merekodkan ciri-ciri morfologi tiga spesies orkid kecil yang terdapat di kawasan tersebut, serta memberikan pemahaman mendalam tentang flora tempatan," jelas Cyril Ann.

Mengulas lanjut, Cyril Ann yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi Pemuliharaan) turut menekankan sokongan keluarga sebagai pendorong utama dalam kejayaannya.

"Ibu bapa saya adalah inspirasi terbesar, dan saya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk," katanya dengan penuh rasa syukur.

Cyril Ann yang bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang biodiversiti dan biosistematik di UMS, turut berkongsi minatnya terhadap kajian serangga mentadak di Sabah, yang kurang diberi perhatian berbanding rama-rama.

"Mentadak adalah spesies unik dan saya berharap kajian saya nanti dapat menyumbang kepada pemahaman lebih mendalam mengenai spesies ini di Borneo," ujar Cyril Ann.

Cyril Ann menerima penganugerahan Anugerah Kelestarian Perhutanan dalam satu acara ringkas di Dewan Bankuasi, UMS yang turut disaksikan oleh Pro Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

 

(artikel disediakan Norfaizah Abdullah, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)