JUMAAT, 03 OGOS - Seramai 150 pelajar calon peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan (SK) Malawa, Kota Kinabalu menyertai program Selangkah Ke Menara Gading yang dianjurkan bersama oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan sekolah tersebut kelmarin.

Guru Besar Cemerlang SK Malawa, Judin Diana berkata, program sehari yang diadakan di kampus UMS itu bertujuan meningkatkan semangat para pelajar untuk memasuki universiti di samping mendorong untuk meraih pencapaian cemerlang dalam peperiksaan sehingga menjejakkan kaki ke menara gading kelak.

“Antara pengisian program termasuk lawatan sambil belajar ke beberapa kawasan dalam universiti seperti Perpustakaan,  Akuarium dan Muzium Marin, Pantai Pusat Pembangunan Luar (ODEC) dan Institut Biologi Tropika dan Perhutanan,” katanya ketika ditemui media semasa program.

Beliau berkata para pelajar turut mendengar sesi ceramah motivasi bertajuk “Malu Bertanya, Sesat Jalan” yang disampaikan Timbalan Dekan (Kebajikan Pelajar) Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS, Dr. Jakaria Dasan.

“Kesemua pelajar nyata begitu bersemangat mendengar motivasi ini yang menggalakkan para pelajar untuk berani bertanya kepada guru-guru sekiranya sesuatu topik dalam pelajaran kurang difahami,” tambah Judin.

Pada ceramah tersebut Dr. Jakaria memaklumkan bahawa kajian mendapati bahawa antara punca kegagalan pelajar memahami dengan jelas topik-topik pelajaran yang diikuti adalah kerana kurang bertanya dengan kata lain pelajar bersikap pasif.

Untuk itu katanya, usaha perlu dilakukan bagi mewujudkan suatu suasana interaktif antara guru dan murid dan antara murid dengan murid.

“Pelajar perlu digalakkan untuk membina soalan dari topik yang diberikan guru. Daripada soalan itu, pelajar perlu menyediakan jawapan-jawapan yang bersesuaian dan berinteraksi sesama mereka dalam satu sesi soal jawab.

“Kaedah ini mampu menjadikan pelajar berasa lebih yakin dan bermotivasi untuk mengutarakan soalan-soalan yang lebih berkualiti kelak,” katanya.

Hadir sama pada program tersebut Penolong Kanan Pentadbiran SK Malawa, Ainah Hj. Damit, kakitangan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS dan 16 Guru Pengiring SK Malawa. 

 

KHAMIS, 02 OGOS - Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Taman-Taman Sabahmenganjurkan Program Pendidikan Alam Sekitar Berasaskan Cendawan Taman Kinabalu 2018 di Taman Kinabalu baru-baru ini.

Program tersebut merupakan kesinambungan daripada dua siri program sebelum ini yang diadakan di taman yang sama pada 2016 dan Taman Bukit Tawau pada tahun lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan IBTP UMS, program selama dua hari itu antara lain bertujuan untuk merangsang sifat ingin tahu pelajar, meningkatkan daya kreativiti, menyemai sikap saintifik dan nilai murni dalam kalangan pelajar.

Dalam masa yang sama, ia sebagai pengenalan dan pengurusan cendawan ke arah pembangunan “mycotourism” serta memberi pendedahan mengenai kes keracunan cendawan di Sabah.

Kenyataan itu memaklumkan, program itu juga bertujuan memupuk minat yang mendalam kepada pelajar dan masyarakat untuk kelangsungan pengetahuan tradisi berkaitan cendawan.

Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang dua hari program itu berlangsung, antaranya ialah bengkel pengecaman cendawan, bengkel pigmen cendawan untuk menghasilkan bahan pewarna, bengkel kraftangan cendawan berasaskan bahan kitar semula dan bengkel pembuatan kertas berasaskan cendawan.

Turut diadakan aktiviti mencari cendawan serta demonstrasi masakan tradisi berasaskan cendawan.

Bertemakan “Cendawan Awesome”, seramai 82 pelajar dan 13 guru pengiring dari 18 sekolah sekitar Kota Kinabalu, Kundasang, Ranau dan Kota Belud telah menyertai program tersebut.

Majlis Perasmian disempurnakan Ketua Penolong Pengarah Taman-Taman Sabah, Rimi Repin mewakili Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah.

Hadir sama, Pemangku Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Monica Suleiman, selaku wakil kepada Naib Canselor UMS.

 

 

KHAMIS, 2 OGOS - Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan Retreat Akademik yang melibatkan pengurusan fakulti, ketua program dan wakil dari pusat kecemerlangan universiti yang terlibat.

Bertempat di Grand Borneo Hotel, 1 Borneo, Dekan FSSA Prof. Dr. Baba Musta ketika merasmikan program tersebut berkata, retreat itu diadakan antaranya bertujuan mencari keputusan di dalam pelaksanaan iCGPA di fakulti tersebut.

“Selain itu, turut dibincangkan cadangan penawaran kursus Pra Diploma dan Diploma Sains, perubahan struktur program Taman Alam Semula jadi dan Rekreasi, Flagship fakulti, aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan juga perancangan kolaborasi strategik FSSA dengan pihak dalam dan luar universiti.

“Diharapkan retreat ini mampu mencapai objektif dalam memastikan aktiviti akademik fakulti dapat dicapai seperti yang dirancang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FSSA, Dr. Mohd Sani Sarjadi berkata retreat itu secara tidak langsung menjadi platform kepada para ahli akademik untuk mencapai persetujuan bersama berkaitan persekitaran akademik di FSSA.

“Ini sekali gus memantapkan kurikulum program pengajian selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa, serta meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran untuk menghasilkan pelajar yang berkualiti selari dengan aspirasi universiti,” ujarnya.

Pada kemuncak retreat, Prof. Baba turut membentangkan resolusi akademik yang telah dipersetujui sepanjang program sehari itu dijalankan.

Sumber : Kenny Uwai (FSSA)

Foto: Mohd Redzuan B Abdullah (FSSA)

KHAMIS, 2 OGOS –  Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) buat julung kalinya telah menyertai pameran berkaitan pendidikan awal kanak-kanak bersempena dengan Persidangan Antarabangsa Pacific Early Childhood Education Research Association (PECERA) 2018 di Hotel Hilton, Kuching, Sarawak baru-baru ini.

PML yang diwakili empat kakitangannya mempamerkan alat bantu mengajar yang digunakan oleh Pembantu Pengurusan Murid di taska dan tadika, selain turut mempromosikan Taman Mini Kreatif PML kepada para pengunjung.

Selain wakil PML, Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Dr. Connie Chin @ Cassy Ompok turut menyertai persidangan tersebut sebagai peserta bagi sesi Oral Presentation yang bertajuk “Children’s Mathematical Abilities on Number Sense Through the Use of How Many Hidden Game”.

Bertemakan “Start Right: Begin the journey right for every child”, persidangan PECERA 2018 menjadi satu medan pendedahan berkaitan penyelidikan pendidikan awal kanak-kanak yang memberi manfaat buat wakil PML yang kemudiannya turut berpeluang menyertai program lawatan ke Tadika dan Taska Cemerlang di Sarawak yang dikendalikan oleh Early Childhood Education Council Sarawak (ECEC).

 

Sumber: Azrena Mukir, PML

RABU, 01 OGOS - Program Sembang Santai Teh Tarik Bersama Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menjadi medan ramah mesra dan perkongsian idea secara santai dalam kalangan Pegawai-pegawai Kanan UMS hari ini.

Dianjurkan oleh Pejabat Canselori UMS, program tersebut dihadiri 40 kakitangan universiti yang terdiri daripada dekan-dekan, ketua jabatan dan pengarah Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Bahagian (JFPIB) UMS.

Pada majlis tersebut, Datuk Dr. D Kamarudin menyeru agar semua ketua jabatan untuk terus memperkasakan JFPIB masing-masing dalam memastikan UMS terus melangkah maju mencapai hala tuju sesuai dengan misi universiti yang telah digariskan.

“Marilah kita terus bekerja dalam satu pasukan dan sentiasa mengamalkan budaya kerja yang baik seiring dengan agenda pendidikan negara.

“Saya sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan atau pendapat yang boleh menyumbang kepada kemajuan universiti ini,” katanya di Galeri Majlis, Bangunan Canselori.

Datuk Dr. D Kamarudin turut berpesan agar setiap JFPIB bersedia dengan perancangan masing-masing bagi menyemarakkan lagi sambutan Jubli Perak UMS pada tahun 2019.

“Marilah kita tampil bersama-sama meraikan sambutan ulang tahun yang ke-25 universiti ini dengan pengisian yang yang menarik dan bermanfaat,” jelasnya.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan Jalur Gemilang dan bendera Sabah kepada semua wakil JFPIB yang hadir.

Penyerahan bendera itu yang diinisiatifkan Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) merupakan simbolik terhadap pembukaan sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat UMS.

Hadir sama, Penolong Naib Canselor merangkap Pengarah PPSKK, Prof. Dr. Marcus Jopony dan Ketua Pejabat Canselori, Stella @ Nurul Martini Gontol.