Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Bengkel Pembuatan Linangkit, Pakaian Tradisi & Aksesori di Kolej Geomatika, Keningau, baru-baru ini.

Penganjuran bengkel tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Pendayaan Komuniti@UniMadani Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) UMS yang bertujuan memperkasa komuniti tempatan melalui pemeliharaan dan pengembangan seni tradisional linangkit, pakaian tradisi dan aksesori etnik Murut, selain meningkatkan kebolehupayaan ekonomi komuniti melalui aktiviti ekonomi kreatif.

Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Aini Janteng dari FSSA, UMS berkata, program itu juga antara lain bertujuan mendayaupayakan komuniti tempatan melalui pemindahan kemahiran seni kraf tangan yang bernilai tinggi serta mengekalkan warisan kebudayaan masyarakat etnik Murut.

“Selain itu, bengkel ini memberi peluang kepada para peserta untuk mempelajari teknik pembuatan linangkit dan aksesori tradisional yang berpotensi menjana pendapatan tambahan.

“Di samping itu, program ini turut mendukung usaha kerajaan dalam memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti melalui pembangunan sosial dan ekonomi seiring dengan falsafah pembangunan Madani,” tambahnya.

Bengkel ini turut mendapat sokongan ahli projek bersama Dr. Jaludin Janteng (Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan), Dr. Sarimah Surianshah (FSSA), Dr. Siti Rahayu Mohd Hashim (FSSA), dan Janvin Janteng (Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, UiTM Cawangan Sabah).

Seramai 30 peserta telah menghadiri bengkel sehari tersebut yang turut mendapat ilmu daripada pemilik Elisa Collection - Tailor Handcraft, Elisa Nuar.

“Kami berterima kasih atas kerjasama dan sokongan daripada Presiden Pertubuhan Etnik Murut Nabai Sabah, Egbert Manjin, serta Pengerusi Persatuan Kebudayaan Murut Nabai Kg. Patikang Laut, Keningau, Nuar Jaimi dalam menjayakan penganjuran bengkel ini.

Harapan kami agar bengkel sebegini dapat berterusan demi memperkukuhkan ekonomi komuniti setempat,” jelas Aini.

Projek tersebut juga turut menerima lawatan pemantauan daripada Kementerian Kewangan Malaysia dan UMS di Queen Hotel, Keningau.

Lawatan tersebut telah disertai oleh Setiausaha Bahagian Pengurusan Strategik Badan Berkanun Kementerian Kewangan Malaysia, Datin Rosni Yussof; Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Komuniti), UMS, Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut@Mohd Nasri; Pengarah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) UMS, Ts. Dr. Ag. Sufiyan Abd Hamid dan Timbalan Pegawai Kewangan Persekutuan Kota Kinabalu, Sarah Said.

 

Kejayaan penganjuran Pesta Buku Borneo (PBB) 2024 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu baru-baru ini menjadi usaha awal dalam menyuntik minat terhadap buku dan bahan bacaan lain dalam kalangan masyarakat khususnya di Borneo.

Dengan membawa tema ‘Borneo Membaca’, pesta buku yang dianjurkan buat kali keenam itu melibatkan 90 reruai yang disertai oleh penerbit universiti awam ahli Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Perpustakaan Negeri Sabah, Dewan Bahasa dan Pustaka, penerbit swasta, pengedar buku dan penerbit antarabangsa.

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, adalah menjadi hasrat agar pesta buku sebegini akan menjadi antara aktiviti utama dalam kalangan masyarakat suatu masa nanti.

“Bagaimanapun, usaha memupuk minat membaca harus dilaksanakan terlebih dahulu, dan caranya adalah dengan menawarkan bahan bacaan bermutu, menarik, tawaran harga yang berpatutan dan pelbagai insentif tertentu.

 “Langkah membudayakan amalan membaca tidak lain adalah untuk meningkatkan tahap pemikiran masyarakat kita agar setaraf dengan pemikiran masyarakat di negara maju yang sentiasa ke depan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program tersebut.

Beliau turut berharap agar pihak kerajaan dapat memberikan insentif sama ada dari segi prasarana, modal, dan seumpamanya kepada para penerbit tempatan bagi membolehkan penerbit dapat berkembang maju dan meluaskan pasaran dalam usaha menyokong budaya membaca.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim ketika mewakili Menteri KSTI, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif merasmikan pesta buku tersebut berkata, penganjuran PBB adalah bertepatan dengan hasrat untuk memartabatkan amalan membaca dan berharap agar penganjuran PBB akan sentiasa dinantikan.

“Budaya membaca perlu disuburkan agar masyarakat tidak ketinggalan dalam arus maklumat dan pengetahuan semasa.

“Bagi meluaskan pasaran dan memudahkan akses pembelian buku, dicadangkan agar UMS dijadikan sebagai pusat edaran buku bagi penerbit dan pengedar di luar kawasan Sabah sebagai langkah membantu membudayakan minat membaca,” ujar beliau.

Selain jualan buku, PBB 2024 yang dianjurkan UMS dengan Perpustakaan Negeri Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sebagai penganjur bersama turut menyediakan pelbagai aktiviti sepanjang lima hari penganjurannya, seperti bicara buku, bengkel, forum, kuiz penerbitan, pendigitalan buku, aktiviti mewarna, dan sesi bercerita.

 

Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Majlis Aspirasi Fakulti Kejuruteraan 2024 (MAF 2024) bertempat di Sipadan II di Sabah International Convention Centre (SICC), baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dihadiri lebih kurang 150 orang melibatkan 56 orang kakitangan sebagai penerima anugerah dan 93 penerima penghargaan termasuk keluarga kakitangan, pelajar dan alumni FKJ.

“Pencapaian kakitangan di fakulti merupakan kebanggaan universiti dan sentiasa dititikberatkan oleh pihak pengurusan universiti kerana pencapaian anda menjadi ukuran kepada pencapaian universiti,” katanya.

Tambah beliau, kecemerlangan merupakan hasil kerjasama setiap individu dalam organisasi.

“Setiap sumbangan dan usaha individu tidak mengira kecil atau besar sudah pasti membawa kepada kecemerlangan yang lebih hebat iaitu kecemerlangan organisasi yang kelak memberi manfaat kepada negeri dan negara yang kita sayangi ini,” katanya.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada kakitangan akademik FKJ atas usaha keras dan inisiatif yang telah dilaksanakan bagi mencapai sasaran-sasaran yang telah ditetapkan sama ada di peringkat FKJ, UMS atau Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Dalam majlis yang sama, FKJ turut melancarkan Portal Latihan Industri dan menyambut ulang tahun UMS ke-30.

Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Ismail Saad, Dekan FKJ yang turut berucap dalam majlis tersebut mengucapkan syabas dan tahniah kepada penerima anugerah dan penghargaan dan pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan MAF2024.

 

Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) terus melaksanakan usaha berterusan dalam menyokong kebajikan pesakit dialisis menerusi penganjuran Program Kidney Run for Charity 2024 buat kali ketiga di Padang Kawad, UMS baru-baru ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, di samping mengumpul dana bagi membantu pesakit buah pinggang, program tersebut juga adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan buah pinggang.

“Berdasarkan statistik kajian tempatan, didapati satu daripada tujuh orang rakyat dewasa Malaysia mengalami penyakit buah pinggang kronik dan perlu diambil perhatian serius, dan statistik terkini dari Malaysian Dialysis and Transplant Registry pula menunjukkan seramai lebih 9,500 pesakit baru dikenal pasti perlu menjalani rawatan dialisis setiap setahun.

“Perkara ini sangat membimbangkan dan kerajaan komited untuk mengukuhkan lagi komitmen terhadap program pencegahan buah pinggang kronik.

“Justeru, saya percaya penganjuran dan pengelolaan program seperti ini secara asasnya bukan sahaja untuk mengutip sumbangan semata-mata, tetapi dapat menunjukkan keprihatinan masyarakat untuk saling membantu antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

Beliau turut memaklumkan, program tersebut turut dihadiri oleh tiga orang pesakit dialisis UMS-Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang sama-sama memberi sokongan dengan program yang dianjurkan.

“Untuk itu, saya menyeru masyarakat supaya sentiasa memberi sokongan terhadap usaha seperti ini agar program kesedaran yang dianjurkan dapat memberi kesan yang positif kepada semua masyarakat terutamanya dalam penjagaan kesihatan.

“Sesungguhnya kesihatan adalah harta yang tidak ternilai bagi setiap individu,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Raman menyempurnakan penyerahan sumbangan berjumlah RM10 ribu yang berjaya dikutip menerusi program larian tersebut kepada Persatuan Kebajikan Haemodialisis UMS yang akan digunakan untuk membantu pesakit buah pinggang dalam kalangan golongan B40 dan kategori yang tidak mampu untuk membayar kos rawatan mereka, selain turut menyampaikan sumbangan bantuan kepada tiga pesakit UMS-YKN yang hadir.

Beliau kemudiannya menyempurnakan pelepasan larian sejumlah 228 peserta yang menyertai larian bagi kategori 10km dan 3km.

Turut hadir pada program tersebut Penasihat Undang-Undang UMS, Ag. Suhaizam Bungso; Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md. Salleh; Pengarah HUMS, Prof. Madya Dr. Malehah Mohd. Noh; dan Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Sirahim Abdullah.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pandemic Sciences Institute (PSI) Universiti Oxford telah mencatat sejarah dengan mengadakan kerjasama melalui sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada bulan ini ke arah melonjakkan penyelidikan, perkongsian ilmu dan inisiatif bersama dalam sains pandemik.

Kolaborasi dengan universiti terkemuka dunia itu merupakan sebuah komitmen berterusan bertujuan memberi impak jangka panjang terhadap kesihatan awam global.

Kerjasama ini akan memacu penyelidikan yang tertumpu kepada penyakit berjangkit melalui pendekatan "makmal hidup", dengan penubuhan Makmal Hidup Penyakit Zoonotik dan Bawaan Vektor di UMS.

Projek perintis ini memfokuskan kepada penyakit berjangkit yang memberi kesan kepada pulau Borneo yang sememangnya kaya biodiversiti di Malaysia.

Melalui kolaborasi ini, UMS dan PSI bersedia untuk mengukuhkan asas saintifik bagi kesiapsiagaan pandemik, memupuk penyelidikan inovatif dan membangunkan strategi dalam menangani risiko penyakit berjangkit yang kian berkembang di seluruh dunia seiring dengan moto UMS sebagai peneraju masyarakat berinovatif.

Pada 8 November lalu, PSI menyambut delegasi UMS dalam satu perbincangan meja bulat sebagai simbolik rasmi pelancaran kerjasama ini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menekankan potensi transformatif kerjasama tersebut.

“Melalui MoU ini, kita membina asas untuk keselamatan kesihatan dengan membawa sumber dan kepakaran global terus ke Universiti Malaysia Sabah.

Kerjasama ini menandakan komitmen universiti terhadap kesihatan awam sebagai tanggungjawab bersama global dan menempatkan Sabah sebagai penyumbang aktif dalam usaha memerangi penyakit berjangkit,” katanya.

Kasim juga menegaskan bahawa menangani penyakit berjangkit adalah kritikal dalam memenuhi agenda kesihatan Sabah serta memajukan misi rantau ini dalam meningkatkan kehidupan dan kesejahteraan sejagat.

Delegasi UMS dijemput melawat makmal di bawah seliaan Profesor Miles Carroll, yang merupakan seorang penyelidik PSI dan pakar dalam virus baharu.

Menurut beliau, bekerjasama dengan pakar dari UMS melalui pemantauan serologi dalam komuniti di kawasan yang kaya biodiversiti adalah penting.

“Kini, kita berpeluang untuk mengkaji jejak imunologi yang ditinggalkan oleh virus baru yang boleh menjangkiti manusia dari reservoir haiwan semulajadi.

“Kerjasama baru ini akan memastikan kedua-dua pihak dapat menjalankan lebih banyak kajian di kawasan luar bandar dan hutan di Borneo Malaysia dalam memperoleh gambaran alam sekitar yang lebih besar,” katanya.

Kerjasama ini juga akan menyatukan kepakaran PSI dalam sains pandemik dengan komitmen UMS ke arah usaha untuk menubuhkan sebuah institut penyelidikan klinikal bertaraf dunia di Sabah.

Inisiatif bersama ini akan menjadi peluang untuk menerajui pembangunan alat diagnostik yang boleh dipercayai, pantas, dan mudah alih untuk penyakit berjangkit sebagai satu kemajuan kritikal dalam mengurus virus baharu yang muncul.

Di samping itu, kolaborasi antarabangsa ini menekankan kajian ke atas kekayaan biodiversiti Sabah dalam melahirkan generasi baharu saintis bioperubatan yang berkeupayaan menangani cabaran penyakit berjangkit yang kian berkembang.

Impak utama hasil kerjasama ini bakal dilihat melalui kemajuan transformatif dalam memerangi penyakit berjangkit, menandakan peningkatan ketahanan kesihatan serantau dan global.

Dari UMS, majlis menandatangani MoU ini turut dihadiri oleh Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly selaku Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi); Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Datuk Dr. Mohd Yusof Hj. Ibrahim; serta ahli akademik FPSK, Profesor Dr. Kamruddin Ahmed dan Prof. Madya Dr. Fatimah Ahmedy.