Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Kejuruteraan (FKJ) menandatangani perjanjian penyelidikan dengan Winabumi Sdn. Bhd. bagi membangunkan teknologi tiang konkrit ringan yang mampu mengurangkan ketumpatan campuran, sekali gus menawarkan penyelesaian baharu dalam industri pembinaan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly berkata projek berkenaan membuktikan peranan universiti bukan sahaja dalam melahirkan graduan, tetapi juga sebagai pemacu inovasi melalui penyelidikan berimpak tinggi.

“Kerjasama strategik seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada universiti dalam aspek pembangunan ilmu, tetapi turut membawa impak yang lebih luas kepada industri dan masyarakat melalui aplikasi penyelidikan yang praktikal,” katanya.

Beliau berkata perjanjian tersebut merangkumi Fasa 1 Projek Pembangunan Tiang Konkrit Ringan, bertajuk “Optimizing the Mix Design and Durability of Lightweight Concrete Research” dengan tempoh penyelidikan selama 18 bulan.

“Projek bernilai RM29,321.50 itu dibiayai Winabumi, melibatkan sumbangan tunai sebanyak RM28,230 dan selebihnya dalam bentuk sumbangan barangan termasuk bahan mentah.

“Konsep konkrit ringan mampu memberikan pelbagai kelebihan berbanding konkrit biasa, antaranya mengurangkan beban struktur, memudahkan pengendalian dan pengangkutan, menjimatkan kos, serta menawarkan penebatan haba dan bunyi yang lebih baik apabila digunakan dalam pembinaan bangunan,” jelas beliau.

Projek tersbeut diketuai oleh Dr. Hidayati Asrah dari FKJ bersama pasukan penyelidik yang terdiri daripada Dr. Sheikh Mohd Iqbal Sheikh Zainal Abidin, Ts. Dr. Mohd Fauzy Sulaiman, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Habib Musa Mohamad, Ir. Dr. Nelly Majain dan Ts. Dr. Andrew Lim Chung Han.

“Majlis menandatangani perjanjian ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya komitmen UMS untuk memperkukuh kerjasama universiti–industri, membuka peluang penyelidikan baharu serta memastikan hasil inovasi memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” tambah Rosalam.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar serta wakil Fakulti Kejuruteraan UMS dan pengurusan Winabumi Sdn. Bhd.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakar sejarah baharu dalam perjalanan inovasi apabila melancarkan tiga syarikat pemula perniagaan (start-up) perintis di bawah Dasar Start-Up dan Spin-Off (SUSO) baru-baru ini.

Langkah ini dilihat sebagai manifestasi komitmen universiti dalam menterjemahkan kepakaran akademik kepada penyelesaian berimpak tinggi untuk masyarakat dan ekonomi.

Tiga syarikat yang dilancarkan ialah U Agro Resources Sdn. Bhd., yang memberi tumpuan kepada teknologi akuakultur mampan; Geo-Rintis Consultant & Services Sdn. Bhd., yang menawarkan khidmat perundingan geo-mapping; dan EcoInnovate Solutions Sdn. Bhd., yang membangunkan teknologi hijau untuk komuniti dan industri.

Penubuhan tersebut menandakan langkah berani UMS ke arah menjadi peneraju serantau dalam ekosistem inovasi yang digerakan universiti.

Timbalan Naib Canselor UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly berkata, pelancaran tersebut mencerminkan usaha universiti memupuk budaya inovasi, keusahawanan dan kelestarian dalam kalangan warga akademik.

“Warga akademik kita bukan sahaja menghasilkan ilmu, malah turut mencipta penyelesaian yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat dan ekonomi,” katanya.

Dasar tersebut menyediakan rangka kerja tersusun bagi membolehkan penyelidik menubuhkan entiti perniagaan sah dengan sokongan institusi, selaras dengan misi UMS dalam pembangunan mampan, pemindahan ilmu dan pemerkasaan komuniti.

Dengan penubuhan syarikat-syarikat itu, UMS dijangka membuka peluang baharu dalam kerjasama penyelidikan, penciptaan pekerjaan serta pengkomersialan, seterusnya memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab teknologi lestari dan perusahaan berasaskan ilmu.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) menerima kunjungan Profesor Dr. Omer Kurtbag dari Universiti Erciyes, Kayseri, Turkiye pada 25 hingga 29 Ogos 2025.

Dekan FSSK, Profesor Dr. Asmady Idris berkata, lawatan itu bertujuan menilai Program Hubungan Antarabangsa termasuk struktur kursus, tenaga pengajar, program prasiswazah dan pascasiswazah, selain kemudahan yang disediakan bagi meningkatkan kualiti program setanding piawaian antarabangsa.

“Lawatan Profesor Omer turut membuka peluang kerjasama akademik serta pertukaran pelajar dan pensyarah, sekali gus memperkukuh agenda pengantarabangsaan UMS.

“Pandangan serta saranan beliau amat berharga dalam usaha fakulti meningkatkan kualiti pengajaran dan penyelidikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semasa kunjungan hormat kepada Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, kedua-dua pihak membincangkan usaha menaik taraf Surat Hasrat (LoI) sedia ada kepada Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan Universiti Erciyes.

Sesi itu turut menyaksikan pelancaran rasmi Malaysia–Turkiye Relations: Sabah Chapter yang menjadi pencapaian penting dalam hubungan akademik dan budaya kedua-dua negara.

Dalam program tersebut, Profesor Omer turut bertemu dua pelajar Tahun Dua Program Hubungan Antarabangsa UMS yang menerima biasiswa Türkiye Scholarships (TIES) untuk mengikuti program pertukaran akademik jangka pendek di Turkiye.

Beliau juga menyampaikan syarahan bertajuk “The Evolution of Turkish Foreign Policy in the Middle East and Asia: Recalibrating Strategic Depth” yang mendapat sambutan daripada pelajar dan pensyarah, serta memberi perspektif baharu mengenai pendekatan strategik Turkiye dalam politik global.

“Graduan Hubungan Antarabangsa UMS menunjukkan kebolehpasaran tinggi dengan sebahagian besar memperoleh pekerjaan dalam sektor awam dan swasta sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” tambah Profesor Omer dalam ucapan penutupnya.

Turut hadir pelajar pascasiswazah dan ahli Kelab Hubungan Antarabangsa (HA15) FSSK.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh peranan sebagai pusat ilmu dan inovasi dengan penubuhan Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN), sekali gus menjadikan UMS sebagai hab rujukan utama Borneo dalam bidang sains sukan.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata kerjasama penubuhan pusat itu adalah mercu tanda penting dalam pembangunan sukan di Sabah dan simbol kerjasama strategik universiti malaysia sabah dengan agensi nasional.

Katanya ia juga menjadikan UMS sebagai hab rujukan utama bidang kejurulatihan, fisiologi sukan, nutrisi, biomekanik, teknologi sukan dan pengesanan bakat.

“Selain itu, kerjasama penubuhan pusat ini akan menjadi platform penyelidikan dan pembangunan sains sukan serta memberi khidmat kepakaran kepada atlet, jurulatih dan pihak berkepentingan,”katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Satelit ISN di Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) UMS, baru-baru ini.

Kasim turut menekankan bahawa langkah penubuhan ISN itu selaras dengan peranan UMS sebagai The Brain of Borneo yang sentiasa mendukung agenda pembangunan sukan berasaskan ilmu, inovasi dan teknologi.

Tambah beliau, kerjasama ini akan melahirkan lebih ramai pakar sains sukan tempatan sekali gus memperkukuh ekosistem sukan berprestasi tinggi di Sabah.

Sementara itu, Dekan FPPS, Profesor Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh berkata kewujudan pusat itu membuka ruang lebih luas kepada FPPS untuk memperkukuh pengajaran, pembelajaran, memperluas jaringan penyelidikan, serta memberi peluang pelajar melibatkan diri dalam projek berimpak tinggi dan penyelidikan pascasiswazah.

Majlis turut diserikan dengan sesi menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoA) antara UMS dan ISN yang mengukuhkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkasa pembangunan sukan berasaskan ilmu, teknologi dan inovasi.

MoA tersebut memberi tumpuan kepada penyediaan khidmat kepada atlet, sesi ilmu dan amalan bagi meningkatkan prestasi sukan negara, menggalakkan kekuatan serta ketahanan tubuh serta menghasilkan inovasi berasaskan penyelidikan.

Hadir sama Pengerusi Lembaga ISN, Datuk Amrina Chin, Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Vellapandian Ponnusamy serta Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengukuhkan keterlihatan antarabangsa melalui pemeteraian Surat Niat (Letter of Intent, LOI) bersama Fakultas Ekonomi dan Bisnis, Universitas Pancasila (UP) dalam satu majlis yang berlangsung di Jakarta baru-baru ini.

Perjanjian persefahaman ini melibatkan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), UMS yang diwakili oleh Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Mohd Rahimie Abdul Karim, manakala pihak UP diwakili oleh Wakil Dekan II, Fakultas Ekonomi dan Bisnis, Dr. Erwin Permana.

Seminar ilmiah khas bertajuk “Bridging SDGs and Islamic Ethics: Community Empowerment and Green Halal Consumerism in Southeast Asia” turut diadakan dengan menampilkan dua pembentang utama, iaitu Dr. Nurul Hilmiyah dari UP dan Profesor Madya Dr. Jakaria Dasan dari UMS.

Seminar itu menekankan kepentingan menggabungkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan nilai etika Islam dalam usaha pembangunan komuniti. Kedua-dua pembentang turut membincangkan strategi intervensi berstruktur yang mampu memperkasakan masyarakat melalui pendekatan pembangunan holistik.

Menurut Jakaria, pendekatan bersepadu yang mengintegrasikan pengetahuan pembangunan komuniti, nilai Islam, dan kerangka SDG bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar, malah memperkukuh amalan kepenggunaan halal yang lestari di Asia Tenggara.

“Seminar ini membuka perspektif baharu kepada para akademik tentang realiti pembangunan akar umbi dan kepentingan pendekatan holistik yang merangkumi dimensi ekonomi, sosial, budaya, alam sekitar serta etika Islam,” katanya.

Kejayaan penganjuran seminar ini turut memperkukuh hubungan akademik antara UMS dan institusi pengajian tinggi di Indonesia.

Ia juga menjadi platform strategik untuk memperluas kerjasama dalam aktiviti kemasyarakatan, penyelidikan serta pembangunan komuniti berteraskan prinsip SDG.

Hadir sama ialah Profesor Madya Rosle Mohidin dan Dr. Mohamad Isa Abd Jalil dari UMS.