ISNIN, 3 APRIL –  Finishing School Programme anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapat sambutan hangat 60 pelajar UMS baru-baru ini.

Menurut Pengarah Program, Nur Syafiqah Sa’adatul Hana, program tersebut yang diadakan di Auditorium, Perpustakaan UMS itu memberi peluang kepada para pelajar membuat persiapan awal sebelum menempuh alam pekerjaan.

“Selain itu, program ini membuka peluang kepada mahasiswa tahun akhir untuk mencari tempat bagi tujuan latihan industri serta membantu graduan yang masih belum mendapat pekerjaan,“ katanya.

Ujar beliau, antara pengisian program itu termasuklah slot ceramah bertajuk Choosing Your Career telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Pegawai Psikologi dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Nurul Fatiha Firdaus Roslan.

Pada slotnya itu, Nurul Fatiha memberi pencerahan mengenai tajuk yang diberikan serta memberi panduan arah tuju para pelajar selepas menamatkan pengajian kelak.

 

 

 

 

JUMAAT, 31 MAC – Program Dakwah Bil Hal Saudara Baru Bersama Masyarakat Kampung Kaingaran, Ranau memberi sinar baharu kepada penduduk berbilang kaum di kampung tersebut.

Dianjurkan Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah (PIUMS), rombongan yang diketuai Pegawai Hal Ehwal Islam UMS, Mohammad Fazri Abdul Hamid  disambut mesra Ketua Kampung Kaingaran, Badin Hj. Muhamad.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang tiga hari program itu berlangsung, antaranya ceramah motivasi keagamaan serta pertandingan Azan untuk kanak-kanak lelaki dan bacaan Al-Fatihah untuk kanak-kanak perempuan.

Turut diadakan pertandingan sukaneka selain gotong-royong menyediakan makanan untuk jamuan para peserta rombongan dan penduduk kampung. 

Dalam pada itu, Badin ketika ditemui media berkata, beliau merasa terharu atas kesudian rombongan PIUMS menjalankan aktiviti dakwah dan kerja amal bersama penduduk kampung itu.

“Perjalanan masuk ke kampung ini amat mencabar, dan kekurangan kemudahan asas seperti tenaga elektrik menjadikan kawasan ini jarang mendapat perhatian, justeru kehadiran rombongan PIUMS yang menjalankan aktiviti dakwah di samping menyampaikan sumbangan bantuan amat menyentuh hati penduduk kampung ini,” jelas beliau.

Menurutnya, penduduk Muslim di kampung ini adalah terdiri daripada kaum Sungai dan 20 keluarga saudara baru dari suku Dusun yang majoritinya bekerja sebagai petani.

Program berakhir dengan majlis penyampaian bantuan berupa wang tunai dan makanan asas kepada 22 keluarga miskin, saudara baru, warga emas, balu dan yang golongan kurang upaya.

Hadir sama Pengerusi Masjid Al Hidayah, Hisham Nasiri.

Perjalanan ke Kampung Kaingaran mengambil masa lebih tiga jam dengan melalui jalan raya tidak berturap sejauh 89 kilometer dari Pekan Ranau.

 

RABU, 29 MAC - Kelab Seni Orator Kolej Kediaman E, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjayakan Pertandingan Pidato Piala Pengetua Kolej Kediaman E di Auditorium Pascasiswazah baru-baru ini.

Pengarah Program, Ida Afifah Mohd Hazani berkata, program yang julung kalinya diadakan itu bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa terhadap cabang dalam seni orator iaitu seni berpidato di samping memberi kesedaran untuk sentiasa peka terhadap isu-isu semasa yang berlaku di dalam dan luar negara.

“Pertandingan pidato ini juga telah memberi peluang untuk mahasiswa menyampaikan pendapat dan kritikan yang bernas melalui saluran yang betul dengan menyampaikan pidato melalui tajuk yang dipilih oleh peserta sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Ida Afifah berkata, para pemidato juga turut menampilkan kehebatan bakat masing-masing melalui tema spontan yang telah disediakan oleh pihak penganjur.

“Penyertaan pertandingan kali ini adalah terbuka melibatkan lima peserta dari Kolej Kediaman E, serta dua peserta dari Kolej Kediaman Tun Mustapha.

“Ia juga mendapat sambutan memberangsangkan dari institusi luar seperti Politeknik Kota Kinabalu dan UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL),” tambah beliau.

Pertandingan yang membawa tema ‘Membudayakan Seni Orator’ menyaksikan pemidato Kolej Kediaman E, Mohd. Afiq Kandi menjuarai pertandingan tersebut mengetepikan Mohd Najmie Rani dari kolej kediaman sama yang terpaksa berpuas hati untuk berada pada kedudukan naib juara.

Tempat ketiga pula dimenangi pemidato dari Kolej Kediaman Tun Mustapha, Mohd. Iqbal Nuri.

Majlis penutupan program disempurnakan oleh Pengetua Kolej Kediaman E, Dr. Syahruddin Hj. Awang Ahmad. Ia turut diserikan dengan persembahan daripada wakil Kelab E-Semtra, Kolej Kediaman E.

 

SELASA, 27 MAC – Sambutan Hari Perhutanan Sedunia 2017 anjuran bersama Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) dan Pusat Pengurusan EcoCampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu menggalakkan pelajar sekolah dan universiti untuk bergiat dalam aktiviti penanaman pokok dan mewujudkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan hutan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, program sedemikian dapat dijadikan sebagai pemangkin untuk semua pihak terus bekerjasama ke arah memastikan pemuliharaan yang berterusan terhadap hutan-hutan yang masih wujud di Malaysia.

“Sehubungan itu, kita perlu terus hijaukan alam sekeliling kita dengan memperbanyakkan penanaman pokok dan lebih penting menjaga pokok-pokok untuk kita semua dan juga untuk generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan sambutan tersebut di Foyer Kompleks Perhutanan, FSSA pagi tadi.

Menurut beliau, program ini juga mendorong semua pihak untuk mengenal pasti kepentingan hutan dan peranan yang dimainkan dalam industri komersial, memberikan sumber alam yang dapat digunakan secara lestari dan pada masa yang sama menyelamatkan biologi kepelbagaian serta mengurangkan kesan perubahan iklim yang hangat diperkatakan pada hari ini.

Sejumlah 150 pokok sungkai ditanam di sekitar kawasan bangunan Kompleks Perhutanan FSSA bersempena dengan sambutan tersebut.

Turut hadir pada acara itu Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta, Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, Prof. Madya Dr. How Siew Eng dan pengarah program, Dr. Seiko Ioki.

 

 

SELASA, 28 MAC -  Satu Memorandum Perjanjian (MoA) ditandatangani Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini bersama Biosain Technologies Sdn. Bhd. untuk melaksanakan projek penyelidikan bagi memajukan sistem pemurnian minyak.

MoA itu ditandatangani Timbalan Naib Canselor UMS (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dr. D. Kamarudin D. Mudin, dan pengarah Biosain Technologies Sdn. Bhd., Chung Chin Hing.

Melalui MoA itu, Biosain Technologies Sdn. Bhd. akan menyediakan dana penyelidikan sebanyak RM100,000, manakala UMS menyumbang RM70,000 bagi melaksanakan penyelidikan bersama selama tiga tahun itu.

Terdahulu, Prof. Dr. D Kamarudin ketika membacakan ucapan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, projek penyelidikan yang diterajui pensyarah Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Dr. Jidon Adrian Janaun sememangnya amat bermanfaat kepada industri minyak kelapa sawit di negara ini.

“Kita sangat berterima kasih kerana Biosain Technologies Sdn. Bhd. melihat potensi daripada penyelidikan yang dijalankan oleh Dr. Jidon dan kumpulan penyelidiknya.

“Sesungguhnya, kerjasama penyelidikan antara universiti dengan pihak industri seumpama ini amat diperlukan untuk menghasilkan penyelidikan yang berkualiti dan memenuhi keperluan pihak industri,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad dan Ketua Pustakawan UMS, Dg. Rukiah Ag. Amit.