Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan program akademik dan pembangunan komuniti bersama Universitas Nasional (UNAS), Jakarta baru-baru ini. .

Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Rahimie Abd Karim berkata, lawatan rasmi itu antara lain bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan komuniti.

“Selain itu, pertemuan ini membuka peluang kepada kedua-dua universiti untuk melaksanakan mobiliti pensyarah dan pelajar, penyelidikan bersama, serta program pembangunan profesionalisme.

“Di samping itu, ini juga selaras dengan usaha UMS untuk memperkasa agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui pendidikan inklusif, lestari dan berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan rasmi dengan Dekan Fakulti Ekonomi dan Bisnis UNAS, Prof. Dr. Edi Sugiono, serta Wakil Rektor Bidang Akademik, Kemahasiswaan dan Alumni, Dr. Dra. Erna Ermawati Chotim.

Dalam pada itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) FPEP,  Prof. Madya Dr. Jakaria Dasan yang turut bersama rombongan lawatan FPEP memaklumkan, beliau telah dijemput untuk menyampaikan perkongsian bertajuk “From Intervention to Transformation: Lessons from 18 Community-Based SDG Projects” kepada 39 mahasiswa UNAS.

“Dalam perkongsian ini, antara yang diketengahkan adalah pendekatan penilaian impak menggunakan model Return on Value (ROV) berasaskan enam dimensi termasuk impak ekonomi dan penjajaran dengan SDG.

“Respons mahasiswa sangat memberangsangkan dengan penglibatan aktif dalam sesi soal jawab yang penuh refleksi kritikal,” katanya.

Selain sesi akademik, delegasi UMS juga katanya turut menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Antarabangsa di Komunitas Bir Pletok Cempedak Lestari, Jakarta Selatan.

“Delegasi FPEP diberi peluang berkongsi kepakaran dalam aspek pemasaran, pengurusan produk dan pembangunan kapasiti usahawan mikro, di samping berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat.

“Program CSR ini menjadi wadah penting dalam membina hubungan antara universiti dan masyarakat, sekali gus menyokong keusahawanan sosial tempatan,” ujar Jakaria.

Turut serta dalam delegasi FPEP UMS ialah Prof. Madya Rosle Mohidin dan Dr. Mohamad Isa Abd Jalil.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh komitmen terhadap inovasi, daya saing dan pembangunan bakat melalui pelancaran Kluster SDG-ESG bersama Anugerah Impak Kelestarian UMS serta Sistem MyKompetensi 2.0 bersama UMS Leadership Talent.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan berkata kedua-dua inisiatif itu akan menjadi pemangkin kepada pembudayaan kecemerlangan universiti, selaras dengan aspirasi Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035.

Beliau berkata pelancaran Kluster SDG-ESG bersama Anugerah Impak Kelestarian adalah langkah strategik dalam menerajui agenda kelestarian sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Anugerah itu akan mengiktiraf pencapaian yang memberi impak nyata kepada pemeliharaan alam sekitar, pemerkasaan masyarakat, serta pelaksanaan tadbir urus terbaik.

“Sementara itu, Sistem MyKompetensi 2.0 dan UMS Leadership Talent pula akan memperkukuh pembangunan modal insan dengan memberi tumpuan kepada pengiktirafan telus, pemetaan bakat serta pelan penggantian kepimpinan yang terancang.

“Langkah ini memastikan kesinambungan universiti sentiasa diterajui oleh pemimpin berwawasan, berintegriti dan berprestasi tinggi,” katanya.

Abdul Rahman menambah bahawa kedua-dua inisiatif tersebut selaras dengan Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan meritokrasi, peningkatan kemahiran berterusan dan budaya kerja berprestasi tinggi.

“UMS mesti bergerak seiring dengan dasar tersebut melalui pelaksanaan MyKompetensi, MyPerformance dan MyPotensi.

“Kejayaan kita bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi melalui keupayaan memperkenalkan pendekatan baharu, memanfaatkan teknologi terkini, dan menghasilkan penyelidikan yang memberi impak nyata kepada masyarakat dan negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Universiti (AKU) UMS 2025, pada Selasa.

Menurut beliau, aspirasi PPTM 2025–2035 memberi hala tuju jelas kepada universiti awam untuk memperkukuh budaya inovasi, meningkatkan daya saing serta melahirkan graduan yang relevan dengan keperluan global, seiring agenda Malaysia MADANI.

“Sebagai universiti awam, kita berdepan persaingan yang semakin sengit bukan sahaja dengan institusi dalam negara, tetapi juga universiti terkemuka dunia. UMS perlu menembusi pasaran pengetahuan global, membina rangkaian strategik, dan muncul sebagai peneraju idea serta penyelesaian,” katanya.

Dalam masa yang sama, Abdul Rahman merakamkan penghargaan kepada seluruh warga universiti yang sentiasa komited dalam menjayakan agenda kecemerlangan UMS.

Katanya, pengiktirafan dan pembangunan bakat adalah pemangkin kepada warga untuk terus berkhidmat dengan dedikasi, integriti dan iltizam tinggi.

Turut hadir, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Raman Noordin serta Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

 

Universiti Malaysia Sabah meraikan 533 kakitangan dan pesara dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Universiti (AKU) 2025, sebagai bentuk penghargaan atas dedikasi dan sumbangan mereka dalam menjayakan agenda kecemerlangan universiti.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, penganugerahan ini adalah simbol penghargaan universiti terhadap dedikasi dan jasa kakitangan yang menjadi tulang belakang kejayaan institusi.

“Setiap penerima anugerah adalah contoh teladan kepada warga UMS. Pengiktirafan ini bukan sekadar penghargaan, tetapi inspirasi untuk terus berkhidmat dengan integriti dan inovasi,” katanya.

Majlis berprestij tersebut meraikan penerima anugerah dalam lapan kategori utama, antaranya Anugerah Jasamu Dikenang, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Sanjungan Budi, Anugerah Jasa Setia, Anugerah Jasa Bakti, Anugerah Inovasi, Anugerah Khas Naib Canselor dan kategori baharu, Anugerah Mutiara.

Majlis AKU 2025 dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan di The Klagan Regency 1Borneo, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, seramai 1,695 kakitangan turut menerima Anugerah Perkhidmatan Terpuji (APT) berbentuk e-sijil kerana mencapai markah prestasi tahunan 90 peratus dan ke atas.

Pusat Pengajian Pascasiswazah dinobatkan sebagai Johan bagi Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik manakala Pusat Alumni UMS menerima pengiktirafan Johan Anugerah Transformasi Digital.

Hadir sama adalah Ahli Lembaga Pengarah UMS, Profesor Dr. Baba Musta; Timbalan Naib Canselor (Penyelidkan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar serta Bendahari UMS, Datuk Badrul Hisham Ismail.

Majlis tersebut juga menampilkan konsep pengurusan moden yang ditekankan Naib Canselor melalui penerapan “Efficient Frontier”, iaitu strategi penggunaan sumber universiti secara optimum merangkumi sumber manusia, teknologi dan sistem penyampaian.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan Simposium Integriti dan Hikmah sebagai satu wadah perbincangan terhadap nilai integriti dan hikmah dalam menghadapi cabaran dunia moden yang semakin kompleks.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, simposium hasil jalinan kerjasama antara Fakulti Pengajian Islam (FIS), Pusat Islam, Bahagian Integriti serta Pusat Pelaburan Endowmen dan Wakaf UMS itu amat signifikan dalam konteks pendidikan tinggi, pembangunan modal insan dan cabaran semasa yang dihadapi oleh masyarakat.

“Integriti adalah tiang utama yang memastikan ketelusan, keadilan dan keberkatan dalam segala urusan, sama ada dalam pengurusan, pentadbiran, penyelidikan, mahupun kehidupan seharian.

“Manakala hikmah pula adalah kebijaksanaan dalam bertindak, menilai dan membuat keputusan yang berpaksikan ilmu dan akhlak

“Gabungan dua nilai utama ini menjadi asas kepada kecemerlangan individu, organisasi bahkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian simposium tersebut di Pusat Islam UMS.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FIS, Prof. Dr. Muhamad Suhaimi Taat.

Beliau menambah, dalam konteks universiti, integriti perlu menjadi budaya kerja kita, bermula daripada pengurusan, penyelidikan, sehinggalah kepada penyampaian ilmu.

“Sementara hikmah pula menjadi panduan dalam menangani perbezaan pandangan, kepelbagaian budaya dan cabaran dunia digital yang semakin kompleks.

“Justeru itu, saya menaruh keyakinan bahawa simposium ini akan memberi kesan yang mendalam, bukan sahaja kepada para peserta, bahkan kepada seluruh warga fakulti dan universiti.

“Semoga segala ilmu yang diperoleh akan diterjemahkan ke dalam amalan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” ujar beliau.

Simposium tersebut menyaksikan dua tokoh ulama tersohor, iaitu Al-Fadhil Habib Ali Zaenal Abidin, tokoh ulama dan pendakwah yang juga merupakan Profesor Adjung di FIS, dan Dato’ Dr. Afifi al-Akiti, seorang sarjana yang dihormati di pentas akademik dunia, khususnya di Universiti Oxford, membincangkan isu berkaitan peranan integriti dan hikmah dalam kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara.

Hadir sama pada majlis tersebut Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Hj Sapawi Hj Ahmad.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menganjurkan Bengkel Penyelidikan: Integrating Generative AI & Canva in Problem-Based Learning Strategy for Academics baru-baru ini sebagai usaha memperkasa strategi pembelajaran berasaskan masalah di institusi pengajian tinggi.

Pengarah Bahagian Kepimpinan dan Pembangunan Bakat (BKEPT) UMS, Kamisah Binti Husin berkata, bengkel tersebut merupakan salah satu inisiatif kerjasama antarabangsa bagi memperkukuh kapasiti akademik warga universiti melalui penerapan kecerdasan buatan (AI) dan Canva dalam strategi Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL).

“Selain meningkatkan keupayaan pedagogi pensyarah, bengkel ini juga memupuk inovasi dan kreativiti dalam pengajaran.

“Bengkel ini turut membuka ruang kepada kerjasama serantau dalam kalangan institusi pendidikan tinggi, sambil memperkukuh usaha UMS untuk menyumbang sebagai rujukan bersama dalam inovasi pedagogi,” katanya dalam satu kenyataan sempena dengan perasmian bengkel tersebut. 

Kamisah turut memaklumkan, sepanjang bengkel tersebut, dua tenaga pengajar yang terlibat iaitu Prof Madya Dr Mohd Tazli Azizan dari UBD dan Ketua Pengarah Eksekutif Skolar Malaysia, Brandon Liau berkongsi kepakaran berkaitan penggunaan kecerdasan generatif (Generative AI) dan aplikasi Canva dalam strategi Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) bagi memperkukuh kreativiti, inovasi serta keberkesanan pengajaran.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan UBD, Skolar Malaysia serta semua peserta yang telah menjayakan bengkel tersebut.

“Harapan kami agar ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat diaplikasikan dan dikembangkan sebagai agen transformasi pendidikan tinggi di rantau ini,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor ketika berucap merasmikan bengkel itu menekankan kepentingan pendidikan tinggi beradaptasi dalam era Revolusi Industri Keempat.

“Pada era kecerdasan buatan ini, peranan pendidik bukan lagi sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membimbing pelajar membentuk cara fikir, mengasah keupayaan menilai dan memperkukuh nilai kemanusiaan.

“Persoalan yang penting bukanlah sama ada AI atau Canva akan menggantikan kita, tetapi sama ada kita cukup bijak, berani dan bersedia menggantikan cara lama dengan pendekatan baharu,” ujar beliau.

Program tersebut menghimpunkan hampir 50 orang peserta, terdiri daripada 30 peserta UMS dan 20 peserta daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi luar, antaranya Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Kinabalu, Politeknik Kota Kinabalu, UNITAR Sabah, Kolej Eastern, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent, Jabatan Tenaga Manusia Cawangan Kota Kinabalu, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu, dan Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu.

Program itu juga merupakan aktiviti pertama bagi inisiatif Sabah Higher Education Nexus (SHEN) yang diharapkan menjadi pemangkin kepada jaringan kerjasama akademik negeri Sabah dengan rakan serantau.