Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah dijemput untuk berkongsi kepakaran pensyarah dan pelajar Teaching English as a Second Language (TESL) dalam Kem Sanggar Bahasa Generasi MADANI Peringkat Daerah Tuaran 2025.

Kem yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Gayang Tuaran ini telah berlangsung di Dewan Pusat Latihan RELA Negeri Sabah, baru-baru ini.

Pasukan fasilitator UMS yang diketuai oleh Dr. Wirawati Ngui bersama tujuh pensyarah dan sepuluh pelajar TESL UMS memainkan peranan penting dalam menjayakan pelbagai aktiviti berimpak tinggi.

Menurut Wirawati, matlamat utama program adalah untuk meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekolah rendah menerusi pendekatan pembelajaran yang bersifat interaktif dan lebih menyeronokkan

“Program ini turut menampilkan sesi-sesi yang memfokuskan kepada kemahiran komunikasi, lakonan drama, dan persembahan lisan secara kolaboratif, bertujuan untuk menggalakkan penyertaan aktif serta membina keyakinan diri dalam kalangan peserta,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid PPD Tuaran, Mohd Hanim Mohammad Goss menyatakan Kem Sanggar Bahasa Generasi Madani ini berjaya menyediakan platform pembelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang menyeronokkan.

Tambahnya, program ini juga berjaya melahirkan murid dengan tahap keyakinan yang tinggi, berani dan lebih berketerampilan.

“Kerjasama erat antara penganjur, fasilitator dan peserta telah memastikan kelancaran program serta pencapaian objektif yang ditetapkan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut

Seramai 50 murid sekolah rendah dari pelbagai sekolah kebangsaan di bawah PPD Tuaran telah terlibat dalam kem kali ini.

Turut hadir adalah Guru Besar SK Gayang, Mateli Ekeh dan Ketua Pogram TESL, FPPS, Dr. Megawati Soekarno.

 

Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar (UPPLB), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Kembara Mobiliti Ilmu dan Budaya Sabah Onsoi Tahun 2025 di Kampung Kobuni, baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Jesselton University College (JUC) bertujuan memperkasa jambatan ilmu, memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan komuniti sekaligus memelihara budaya setempat.

Ketua Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar, FPPS UMS, Dr. Connie Cassy Ompok berkata, projek keluarga angkat itu membuka peluang kepada peserta untuk memahami kehidupan penduduk kampung, sekali gus mempelajari nilai kekeluargaan dan persaudaraan menerusi keihklasan dan keterbukaan hati.

“Program ini bukan sahaja sebuah platform berkongsi ilmu dan pengalaman, tetapi juga membina sebuah kisah persahabatan, kasih sayang, dan penghargaan terhadap warisan budaya yang tidak ternilai.

“Ia mempunyai penerapan nilai pengajaran seperti amalan bekerjasama, hormat-menghormati dan menghargai antara satu sama lain. Program ini juga menerapkan bahawasanya ilmu bukan sahaja diperoleh di bilik kuliah, tetapi juga dalam kehidupan seharian masyarakat,” katanya.

Dalam ucapan perasmian, Connie turut meluahkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sekaligus mengharapkan program ini mampu memberi inspirasi kepada kanak-kanak kampung untuk mengejar cita-cita, memupuk semangat dan mewujudkan rasa cinta terhadap warisan.

Sementara itu, wakil USM, Dr. Jacqueline Karimon berkata, program tersebut bukan sekadar membuka ruang kepada pertukaran pengetahuan, tetapi juga menjadi jambatan merapatkan kefahaman budaya antara peserta dari pelbagai latar.

“Melalui perkongsian pengalaman, kita bukan sahaja mempelajari ilmu baharu, tetapi turut menyemai rasa hormat dan cinta terhadap warisan yang membentuk identiti kita,” Ujarnya.

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor Jesselton University College (JUC), Dr. Vincent Oh Kim Seng dan Wakil Kurator Bahagian Muzium Tamadun Islam Sabah, Jabatan Muzium Sabah, Mohd Khairul Anuar Jamil.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui pensyarah undang-undang Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Marja Azlima Omar, menggariskan kepentingan dua prinsip undang-undang tort, in loco parentis dan liabiliti ketat (strict liability) yang boleh digunakan dalam menangani kes buli di sekolah.

Prinsip in loco parentis, yang berasal daripada istilah Latin bermaksud “mengambil tempat ibu bapa”, meletakkan tanggungjawab undang-undang kepada guru dan pihak sekolah untuk bertindak demi kepentingan terbaik pelajar, terutamanya dalam aspek keselamatan dan pengawasan.

“Sejak dahulu lagi, pelbagai kes mahkamah telah mengukuhkan prinsip ini. Dalam konteks buli di sekolah, tanggungjawab ini meliputi penyediaan persekitaran yang selamat serta mengambil langkah proaktif bagi mencegah bahaya, kecederaan atau tragedi,” jelas Marja.

Menurut beliau, di bawah undang-undang tort, pelanggaran tanggungjawab menjaga kebajikan (duty of care) boleh dianggap sebagai kecuaian. Namun, bagi kes buli yang berulang atau diketahui sering berlaku di sesebuah sekolah, konsep liabiliti ketat juga boleh dipertimbangkan.

Liabiliti ketat membolehkan sesuatu pihak dipertanggungjawabkan atas kemudaratan yang berlaku tanpa memerlukan bukti kecuaian atau kesalahan. Dalam konteks pendidikan, ini bermakna jika kejadian buli terbukti berlaku secara berleluasa, pihak sekolah boleh dipertanggungjawabkan walaupun telah mengambil langkah penjagaan sewajarnya.

“Secara mudahnya, apabila terbukti buli berlaku di persekitaran sekolah, undang-undang boleh meletakkan tanggungjawab kepada institusi tersebut. Ini mengubah fokus daripada hanya menyalahkan pelaku kepada turut menilai sistem perlindungan dan prosedur keselamatan yang diamalkan,” tambahnya.

Marja turut menegaskan bahawa pendekatan ini selaras dengan Artikel 19 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang telah diratifikasi oleh Malaysia.

”Artikel ini mewajibkan kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perundangan, pentadbiran, sosial dan pendidikan bagi melindungi kanak-kanak daripada semua bentuk keganasan fizikal atau mental, kecederaan, penderaan, pengabaian atau eksploitasi.

“Komitmen antarabangsa ini memperkukuhkan lagi kewajipan sekolah untuk bertindak secara proaktif dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di bawah jagaan mereka,” ujar beliau.

Beliau menegaskan bahawa tujuan penjelasan ini bukan untuk menuduh atau menyalahkan mana-mana sekolah secara khusus, sebaliknya untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kerangka undang-undang dan berasaskan hak yang sedia ada bagi melindungi pelajar.

“Buli tidak boleh diterima atau dianggap sebagai tradisi. Apabila undang-undang mengiktiraf tanggungjawab menjaga kebajikan, konsep seperti liabiliti ketat dan kewajipan di bawah Artikel 19, ia memberi masyarakat alat untuk memastikan sekolah kekal sebagai ruang selamat untuk semua pelajar,” katanya.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Pakuan (UNPAK), Bogor, Indonesia terus memperkukuh kolaborasi akademik serantau melalui penganjuran Kuliah Pensyarah Tamu yang diadakan di Fakulti Ekonomi dan Bisnis UNPAK, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS, Prof. Madya Dr. Jakaria Dasan, program itu antara lain bertujuan untuk membentuk jaringan akademik serantau antara Malaysia dan Indonesia melalui perkongsian ilmu.

“Selain itu kuliah ini memberi pendedahan antarabangsa kepada pelajar dalam bidang pengurusan dan pembangunan komuniti, khususnya berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Di samping itu, ia juga bagi membina kerjasama strategik melibatkan penyelidikan, pertukaran pelajar dan khidmat masyarakat antara kedua-dua institusi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas hadir sebagai penceramah jemputan pada program tersebut.

Jakaria menambah, kuliah tersebut menekankan penggunaan model Return on Value (ROV) sebagai pendekatan inovatif untuk menilai keberkesanan dan kelestarian projek komuniti berdasarkan enam dimensi utama, iaitu kedalaman impak, kejelasan objektif, pendekatan sistematik, keluasan objektif, keterangkuman gender, dan penjajaran dengan SDG.

“ROV bukan sekadar alat ukur prestasi, tetapi kerangka reflektif untuk sejauh mana projek membawa transformasi kepada masyarakat, terutamanya kumpulan rentan dan komuniti luar bandar.

“Diharapkan inisiatif ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak kolaborasi strategik di rantau Asia Tenggara,”  ujar beliau.

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan Dekan Fakulti Ekonomi dan Bisnis UNPAK, Dr. Towaf Totok Irawan, serta dihadiri 55 mahasiswa UNPAK.

Hadir sama, Dr. Tutus Rully dan Dr. Abel Gandhy dari pihak UNPAK, serta Prof. Madya Rosle Mohidin dari pihak UMS.

 

Sudah tiba masanya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi perhatian dengan menempatkan pekerja sosial di sekolah bagi menangani masalah sosial dalam kalangan pelajar seperti kes buli, ponteng sekolah, ketidakupayaan belajar, kurang menghormati guru, dan masalah salah laku disiplin.

Demikian menurut Pakar Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Peter Voo ketika mengulas insiden kematian seorang pelajar di sekolah di Sabah baru-baru ini.

Katanya, usaha mewujudkan pekerja sosial di sekolah adalah amat penting ketika ini kerana tugas mendidik menjadi semakin mencabar dan rumit disebabkan perlu melalui proses yang berperingkat yang melibatkan pihak ibu bapa, sekolah, masyarakat dan kerajaan.

“Peranan Pekerja Sosial Sekolah meliputi tugas advokasi, pencegahan, pemulihan dan penghubung.

“Advokasi dengan membela hak pelajar, khususnya yang berisiko seperti pelajar miskin, anak yatim, pelajar kategori orang kurang upaya (OKU) mampu mencegah masalah sosial sebelum menjadi krisis.

“Ini turut mampu membantu pelajar pulih daripada masalah tingkah laku atau trauma dan menjadi jambatan penghubung antara sekolah, keluarga, dan agensi kerajaan,” katanya.

Menurutnya lagi, di kebanyakan negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia, United Kingdom, dan Singapura, pekerja sosial sekolah adalah sebahagian daripada pasukan sokongan pelajar bersama guru dan kaunselor di sekolah.

“Di Amerika Syarikat contohnya setiap daerah sekolah biasanya ada pekerja sosial sekolah sepenuh masa, manakala di Singapura, Skim “School Counsellor and Social Work Programme” menyediakan pekerja sosial yang ditempatkan di sekolah rendah dan menengah.

“Sekolah di Malaysia hanya mempunyai Guru Bimbingan dan Kaunseling, tetapi mereka sering terikat dengan tugas akademik tambahan.

“Ini berbeza dengan Pekerja sosial Sekolah kerana fokus mereka 100% kepada isu sosial, emosi, dan keluarga pelajar, dan mereka terlatih dalam pendidikan kerja sosial, termasuk pengurusan kes (case management) dan intervensi komuniti,” katanya.

Peter Voo turut menegaskan pendekatan tersebut dilihat mampu menangani isu kompleks yang memerlukan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, polis, atau hospital.

“Ini memberi kelebihan terhadap mengurangkan beban guru kaunseling sekiranya diwujudkan Pekerja Sosial Sekolah di sekolah-sekolah di Malaysia, khususnya dalam menangani isu buli, kemurungan remaja, dan masalah keluarga secara profesional.

“Pekerja Sosial Sekolah boleh menyokong pelajar berisiko supaya tidak tercicir daripada sekolah serta menyediakan rantaian bantuan antara sekolah dan agensi kerajaan yang lain,” katanya.

Tambahnya lagi, di UMS, program Kerja Sosial yang ditawarkan di FPKS telah melahirkan lebih 900 orang graduan terlatih dalam bidang kerja sosial sejak 2004 dan ramai dari graduan bidang kerja sosial UMS kini telah berkhidmat di hospital kerajaan dan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) sebagai pekerja sosial.

“Justeru itu, UMS bersedia untuk membantu kerajaan dalam mengisi keperluan sumber manusia dalam bidang kerja sosial kerana saban tahun UMS melahirkan graduan mahir dan terlatih dalam bidang ini,” ujar Peter Voo.