Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan program Pelayaran Ilmu di Pulau Selakan, Semporna, baru-baru ini sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama komuniti di kawasan tersebut.

Program anjuran Kelab Kebajikan dan Rekreasi FPEP itu antara lain bertujuan memperkasakan komuniti luar bandar melalui pendekatan berasaskan ilmu pengetahuan, selain menyemai semangat kesukarelawan warga universiti serta meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar

Menurut presiden kelab, Dr Mohamad Isa Abd Jalil, seramai 31 peserta terdiri daripada pensyarah, staf dan pelajar menyertai program berteraskan kebajikan, akademik dan pemuliharaan alam sekitar itu.

“Antara pengisian utama program ini ialah sesi perkongsian ilmu dan motivasi, aktiviti riadah serta sukan bersama belia tempatan, penyampaian sumbangan keperluan asas, aktiviti mengutip sampah di dasar laut, serta kajian impak sosioekonomi pewartaan Taman Marin Tun Sakaran terhadap komuniti Pulau Selakan.

“Justeru itu, inisiatif ini bukan sahaja menyantuni komuniti pesisir, malah memberi peluang kepada penyelidik UMS menjalankan kajian impak penting bagi menilai kesan pewartaan taman marin berkenaan terhadap masyarakat setempat,” katanya.

Ujar beliau, FPEP UMS komited untuk meneruskan program khidmat masyarakat seumpama itu pada masa hadapan, sejajar dengan misi universiti untuk menyumbang kepakaran dalam pembangunan mampan komuniti khususnya di kawasan pesisir dan luar bandar.

Turut bersama menjayakan program tersebut Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abdul Karim

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan, pembangunan inovasi dan latihan industri berkaitan sektor perkayuan negara.

Majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif, Bangunan Canselori UMS itu menyaksikan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, dan Ketua Pengarah MTIB, Saiful Bahri Salleh, menandatangani dokumen MoU sebagai wakil kedua-dua pihak.

Menurut Kasim, pemeteraian MoU itu merupakan titik permulaan yang signifikan ke arah memperkukuh hubungan strategik antara dunia akademik dan industri, khususnya dalam sektor perkayuan yang mempunyai peranan penting terhadap pembangunan negara.

“Kerjasama ini bukan sahaja membuka ruang lebih luas kepada penyelidikan bersama, pemindahan teknologi dan inovasi, malah turut menyediakan peluang kepada pelajar UMS untuk mendapatkan latihan industri serta pendedahan praktikal yang selari dengan kehendak pasaran semasa.

“Ia selaras dengan usaha universiti untuk melahirkan graduan berkualiti tinggi, berdaya saing dan mampu memenuhi tuntutan pasaran kerja yang semakin mencabar,” katanya.

Tambah Kasim kerjasama itu juga memberi ruang kepada UMS menyelaras hasil kajian dengan keperluan sebenar industri, sekali gus memastikan penyelidikan dapat diterjemahkan kepada produk, dasar dan amalan terbaik yang memberi impak nyata kepada masyarakat.

“UMS juga melihat potensi besar untuk memperluaskan kolaborasi dalam pembangunan produk hiliran berasaskan kayu serta penerokaan dalam bidang reka bentuk dan seni bina kayu yang diyakini mampu meningkatkan nilai tambah kepada industri.

“Kerjasama ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan yang berdaya saing, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran global, sejajar dengan aspirasi UMS dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi,” ujar Kasim.

Hadir sama adalah Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan Fakulti Perhutanan Tropika, Profesor Madya Dr. Normah Awang Besar @ Raffie dan Pengarah WISDEC, Ts. Muhammad Faizul Razilah.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh agenda antarabangsa melalui penganjuran Intercultural Networking Expedition to Danang, Vietnam 2025 yang berlangsung dari 1 hingga 6 September lalu.

Program anjuran Kelab Perniagaan Antarabangsa, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS itu antara lain adalah sebagai pendedahan kepada siswa UMS untuk melihat sendiri keadaan sebenar bidang perniagaan di peringkat global seperti di Vietnam.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPEP, Prof. Madya Dr. Jakaria Dasan dalam satu kenyataan berkata, pengalaman mobiliti luar negara walaupun singkat mampu memberi anjakan minda kepada mahasiswa.

“Pendedahan sebegini dapat memperkasa pelajar menjadi sumber manusia berkapasiti tinggi apabila bergraduat kelak, selain memberi idea berguna sekiranya mereka memilih bidang keusahawanan,” katanya.

Kemuncak program adalah aktiviti bersama Fakulti Perniagaan Antarabangsa Universiti Danang (DUE), yang menyaksikan kerjasama akademik dan persatuan mahasiswa antara kedua-dua universiti diperkukuh.

Menerusi program tersebut mahasiswa dari kedua-dua universiti mengadakan interaksi sebagai usaha pertukaran pengetahuan berkaitan budaya, pemikiran dan amalan mahasiswa antarabangsa, selain peluang untuk merancang kolaborasi jangka panjang dalam penganjuran program antarabangsa.

Dalam pada itu, Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abdul Karim menyokong penglibatan kelab pelajar dalam program bertaraf antarabangsa yang dilihat bukan sahaja menguji kebolehan mereka mengurus, malah menjadi platform membentuk kematangan diri dan meningkatkan keterlihatan UMS di peringkat global.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor turut senada sambil menegaskan program seumpama itu mampu meningkatkan kompetensi pelajar.

“Pendekatan ini juga adalah satu strategi berkesan untuk mempromosi kemasukan pelajar antarabangsa ke UMS.

“Penglibatan aktif mahasiswa dalam program global berimpak tinggi memberi nilai tambah kepada pembangunan pelajar serta reputasi UMS di peringkat antarabangsa,” ujar beliau.

Hadir sama pada program tersebut Timbalan Ketua Jabatan Penyelidikan dan Hubungan Antarabangsa DUE, Dr. Bui Huynh Nguyen; Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan Antarabangsa DUE, Dr. Pung Nam Phuong; dan pengarah program merangkap presiden Kelab Perniagaan Antarabangsa FPEP, Carl Chan Teck Hong.

 

Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sesi 2024/2025 menganjurkan Program Kembara Inspirasi Siswa 2025 (KISWA 25) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek, Kota Marudu, baru-baru ini.

Pengarah program, Muhammad Raffiezy Abdul Rashad berkata penganjuran KISWA 25 bertujuan memperkenalkan UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) kepada pelajar sekolah luar bandar.

Beliau berkata sasaran utama program itu adalah pelajar prauniversiti yang bakal melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu, program berkenaan juga berfungsi sebagai pendedahan awal mengenai kepimpinan universiti di samping mewujudkan platform kesukarelawanan kepada jawatankuasa penganjur.

“KISWA 25 turut memberi tumpuan memperkenalkan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI-KAL) yang ditawarkan di UMSKAL,” katanya.

Beliau berkata, program itu melibatkan penyertaan kira-kira 141 orang termasuk ahli jawatankuasa pelaksana.

Muhammad Raffiezy turut merakamkan penghargaan kepada pentadbiran UMSKAL, pengetua dan guru SMK Tandek serta rakan mahasiswa yang bersama menjayakan program tersebut.

“Harapan saya agar program ini dapat dijadikan platform tahunan bagi mengeratkan hubungan universiti dengan sekolah di seluruh Sabah, selain memberi peluang mahasiswa menyumbang ilmu dan pengalaman,” katanya.

Program itu dirasmikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan UMS, Dr. Jumardi Roslan yang mewakili Timbalan Naib Canselor HEPA UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin.

Turut hadir Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Tandek, Jefferson Jamilin; Penyelaras Program KISWA 25 UMSKAL, Nurulizam Tinggal serta Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS, Yusuf Naim Muhammad Idris Lutfi.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyemarakkan sambutan Hari Malaysia 2025 melalui Majlis Penyerahan Bendera Jalur Gemilang dan Negeri Sabah yang berlangsung di Dewan Canselor, baru-baru ini.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran majalah rasmi universiti, UMS Pulse, yang menandakan langkah penting UMS dalam memperkukuh penyebaran maklumat, membina citra institusi serta merakam perjalanan universiti ke arah kecemerlangan pendidikan tinggi.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bukan sahaja platform untuk memupuk semangat cintakan tanah air, malah simbol penyatuan rakyat di bawah satu bendera, satu lagu dan identiti sebagai bangsa Malaysia yang meraikan kepelbagaian budaya.

Beliau berkata tema sambutan tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, mencerminkan hasrat kerajaan untuk mengimbangi pembangunan material dan rohani serta memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.

“Darah dan air mata pejuang kemerdekaan adalah untuk generasi kini dan akan datang. Kemerdekaan adalah anugerah berharga yang mesti kita syukuri dan pertahankan,” katanya.

Menurut beliau, sambutan nasional seumpama ini dapat menjadi titik pertemuan bagi mengurangkan sentimen perkauman serta menonjolkan kesatuan rakyat dalam kepelbagaian.

“Ia memberi inspirasi untuk membina Malaysia yang lebih inklusif, adil dan progresif, selain memberi motivasi kepada semua kaum untuk bersama-sama memajukan negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kasim berkata penerbitan UMS Pulse berperanan besar dalam mengangkat pencapaian dan imej universiti di persada pendidikan tinggi serta menjadi arkib perjalanan institusi.

“UMS Pulse berfungsi menyampaikan berita terkini kepada warga kampus dan masyarakat, menonjolkan program akademik serta memberi pengiktirafan kepada pencapaian pelajar, pensyarah dan penyelidik yang mengharumkan nama universiti,” katanya.

Majalah tersebut diterbitkan hasil kerjasama Pusat Pengurusan Strategik (PPS), Pusat Pendidikan Fleksibel (UMSFLEC), Penerbit UMS dan Pusat Komunikasi Korporat (PKK)

UMS, dengan kandungan merangkumi pencapaian akademik, penyelidikan, inovasi, aktiviti kemasyarakatan serta pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Selain berfungsi sebagai saluran rasmi universiti, UMS Pulse turut menyokong objektif strategik UMS dalam memperkukuh reputasi, memantapkan pengantarabangsaan dan menjadi bahan promosi ilmiah yang diterima di semua peringkat masyarakat.

“Ia juga disasarkan sebagai platform pengiktirafan serta motivasi kepada warga kampus khususnya pelajar dan penyelidik.

“Penerbitan itu bukan sahaja bersifat informasi semasa, tetapi berpotensi menjadi rujukan akademik dan arkib sejarah universiti untuk generasi akan datang,” ujar Kasim.