Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Bengkel Kerja Simulasi Modul Pendidikan Gempa Bumi bertempat di Sekolah kebangsaan (SK) Tongou dan SK Mesilou Ranau, Sabah baru-baru ini.

Menurut Pengarah NDRC, UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus bengkel tersebut merupakan inisiatif bersama dengan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya ia juga turut mendapat sokongan penuh daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), UNICEF Malaysia, SEADPRI-UKM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.

“Bengkel ini diadakan bertujuan memperkukuh sistem pendidikan dalam pengurangan risiko bencana (DRR) di peringkat sekolah, sejajar dengan aspirasi Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.

“Modul Pendidikan Gempa Bumi ini telah dibangunkan oleh NDRC UMS semenjak tahun 2018 lagi, iaitu dengan pembiayaan UNICEF Malaysia menerusi geran penyelidikan dan kerjasama erat bersama JPN Sabah,” katanya.

Tambah Carolyn, Modul Pendidikan Gempa Bumi itu juga telah dilaksanakan dan diuji keberkesanannya menerusi Bengkel Pendidikan Gempa Bumi yang melibatkan murid-murid sekolah rendah dan menengah di 82 buah sekolah di daerah Ranau (sepanjang tahun 2018-2019) dan 53 buah sekolah di daerah Lahad Datu (sepanjang 2019–2020).

“Modul ini memberi fokus kepada latihan kesiapsiagaan dan pendidikan sains gempa bumi di peringkat sekolah rendah dan menengah.

“SK Tungou dan SK Mesilou merupakan antara sekolah perintis yang telah menerima latihan awal daripada NDRC UMS. Kedua-dua sekolah ini telah melaksanakan aktiviti pendidikan sains gempa bumi dan latihan simulasi secara berterusan dalam usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan murid dan guru terhadap risiko gempa bumi, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti daerah Ranau,” katanya.

 

Jelas Carolyn, melalui bengkel tersebut, keberkesanan modul yang dibangunkan dapat diuji dalam konteks sebenar bagi memastikan ia sesuai, berimpak dan dapat dilaksanakan secara meluas di sekolah-sekolah seluruh negara.

 

“Bengkel ini merupakan langkah penting ke arah penerapan pendidikan terhadap risiko bencana secara lebih sistematik di sekolah, demi melahirkan warga sekolah yang lebih peka dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana gempa bumi khususnya.

 

“Aktiviti simulasi secara langsung yang dijalankan di SK Tongou dan SK Mesilou telah menekankan kepentingan pendidikan yang lebih proaktif dan inklusif dalam usaha mengurangkan risiko bencana.

 

Inisiatif seperti ini dapat menyerlahkan peranan penting universiti, serta kerjasama erat dengan agensi kerajaan dan rakan-rakan strategik yang lain dalam memajukan pendidikan risiko bencana demi menjamin keselamatan dan kesiapsiagaan generasi akan datang,” katanya,” ujarnya.

 

Program ini turut disertai oleh Penolong Pengarah 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) daripada pelbagai Jabatan Pendidikan Negeri di seluruh Malaysia, sekali gus dapat memperkukuh perkongsian ilmu dan pembangunan kapasiti dalam menghadapi bencana di peringkat sekolah.

 

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Kebajikan dan Kesihatan Murid KPM, Mohd Fakarudin Hussain; Penolong Pengarah Unit Pengurusan Kebajikan dan Kesihatan Murid KPM, Wan Izani Wan Idris; Pakar Pendidikan UNICEF Malaysia, Azlina Kamal serta Pegawai Penyelidik NDRC UMS, Eldawaty Madran.

 

Penganjuran Festival Pantun Antara Asasi (FANTASI) 2025 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu menjadi wadah dalam mengangkat warisan budaya negara yang mencerminkan semangat perpaduan, kreativiti, dan keindahan berbahasa dalam masyarakat Malaysia dalam kalangan pelajar universiti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, pantun bukan sekadar alat berkomunikasi, tetapi satu medium yang amat kaya dengan falsafah hidup, nilai-nilai murni, dan hikmah.

“Dalam setiap bait pantun yang disusun, terkandung makna yang mendalam yang dapat mengajar kita berkenaan adab, kasih sayang, nasihat, dan pengajaran hidup.

“Pantun menggambarkan kehalusan bahasa dan kesenian yang melambangkan kedalaman pemikiran orang Melayu, yang mampu menyampaikan mesej yang begitu kuat, walaupun dengan kata-kata yang ringkas dan mudah.

“Setiap barisan pantun yang dilontarkan peserta festival ini membawa bukti nyata bahawa kita mempunyai generasi muda yang bukan sahaja bijak dalam bidang akademik, malah memiliki daya kreativiti dan kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan mempertahankan tradisi seni bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penutupan festival anjuran Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS itu di Dewan Resital, UMS.

Tambah Kasim, Festival Pantun juga menjadi ruang dalam menghargai keindahan bahasa Melayu, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan antara institusi pengajian tinggi dalam negara.

“Melalui acara seperti ini, kita dapat mengenali bakat-bakat terpendam dalam kalangan pelajar, yang mungkin tidak dapat ditemukan melalui pendekatan konvensional di dalam kelas.

“ Ini adalah salah satu daripada banyak cara di mana kita boleh meraikan kepelbagaian bakat dan membina jalinan persahabatan antara generasi muda dari pelbagai latar belakang,” katanya.

Ujar beliau, penganjuran festival tersebut diharap terus menjadi satu platform bagi menggalakkan lebih banyak acara kebudayaan yang memberi peluang kepada para pelajar untuk mengembangkan potensi diri dalam bidang seni dan budaya.

Dalam pada itu, peserta dari Universiti Malaya (UM) mengungguli festival tersebut apabila kedua-dua kumpulan peserta dari universiti itu masing-masing berentap pada pertandingan akhir.

UM Kumpulan B dinobat sebagai johan pertandingan, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM2,500, sementara UM Kumpulan A sebagai naib johan membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM2,000.

Peserta dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) masing-masing menduduki tempat ketiga, sekali gus menerima hadiah kemenangan berjumlah RM1,250.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Pengarah Majlis Dekan / Pengarah Asasi Universiti Awam, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abang Haliman Haji Abang Julai; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin; dan Pengarah PPST UMS, ChM. Dr. Newati Wid.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengorak langkah dalam memperkukuh jalinan antarabangsa apabila telah menandatangani satu Surat Hasrat (LoI) bersama Kolej International Graduates Studies (KIGS), Brunei Darussalam.

Majlis menandatangani LoI itu yang berlangsung di Pejabat Naib Canselor UMS telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, serta Ketua Pegawai Eksekutif KIGS, Hj. Mahrub Awang Murni.

Menurut Kasim, jalinan kerjasama tersebut bakal membuka peluang luas untuk UMS memperkukuh jaringan global dan membina sinergi akademik rentas sempadan.

Perkara tersebut turut diyakini oleh pihak KIGS, dengan Hj. Mahrub menyatakan harapan tinggi terhadap potensi kerjasama tersebut dalam membantu ekosistem pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat melalui semua inisiatif yang bakal dilaksanakan.

Menerusi kerjasama strategik ini, kedua-dua institusi bersetuju untuk menawarkan program-program akademik yang menepati keperluan pasaran semasa di Negara Brunei Darussalam.

Selain daripada program-program akademik, UMS melalui Pusat Pendidikan Fleksibel UMS (UMSFLEC) dan KIGS juga merancang menawarkan program-program bersifat pembelajaran sepanjang hayat merangkumi kursus-kursus jangka pendek dan profesional. 

Kerjasama ini dijangka mampu menjadi pemangkin dan “game changer” kepada UMS untuk terus menerokai peluang kerjasama antarabangsa yang mampu memberikan pulangan lestari kepada universiti, selari dengan objektif UMSFLEC sebagai sebuah Unit Perniagaan Strategik di UMS.

Turut hadir menyaksikan majlis tersebut Penolong Naib Canselor UMS, Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree dan Pengarah UMSFLEC, Profesor Madya Ts. Dr. Sazmal Effendi Arshad.

 

Penganjuran program Journey of Hope: A Walk for Homeless (WALK4HOPE) oleh sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menjadi medium bukan sahaja untuk memperkasa semangat kesukarelawan, tetapi turut menyemai sikap prihatin khususnya terhadap golongan gelandangan.

Pengarah program tersebut, Josua Jastin berkata, program yang dikendalikan oleh Kelab Member Prihatin di bawah Exco Hal Ehwal Wanita dan Kemasyarakatan (HELWA), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) antara lain bertujuan untuk mengembangkan sikap prihatin terhadap komuniti dan golongan gelandangan dalam kalangan siswa, sekali gus menjadikan mereka lebih bersedia untuk memainkan peranan sebagai warga yang bertanggungjawab.

“Selain itu, usaha ini juga adalah bagi menerapkan dalam diri pelajar universiti mengenai konsep kesukarelawan melalui aktiviti kemasyarakatan.

“Di samping itu, program ini juga menyokong kesejahteraan siswa-siswi dengan mempromosikan aktiviti fizikal seperti berjalan kaki, yang dapat meningkatkan kesihatan fizikal dan mental.” katanya.

Josua memaklumkan, program tersebut yang berlangsung di Padang Kawan UMS melibatkan penyertaan 10 orang wakil daripada Desa Bina Diri berserta 6 orang penghuni, serta 88 orang warga UMS sebagai peserta walkathon.

“Harapan saya agar program yang dianjurkan ini dapat memupuk semangat kebersamaan dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengetua KKTF, Dr. Abdul Hair Beddu Asis ketika berucap merasmikan program tersebut berkata, usaha tersebut bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada golongan sasaran, tetapi juga berupaya mengeratkan lagi hubungan antara warga universiti dan komuniti setempat dalam aktiviti berbentuk kesihatan.

“Saya dimaklumkan untuk program ini peserta walkathon perlu berjalan kaki dari padang kawad dan melalui beberapa checkpoint sehingga kembali semula ke padang kawad kira-kira sejauh 5 km”.

“Dengan adanya program ini dapatlah menjamin jalinan hubungan sosial di antara warga luar UMS, warga UMS dan residen Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) secara tidak langsung, yang pada akhirnya dapat membina sebuah institusi yang berkesan dan menyeluruh kepada semua tahap,” ujar beliau.

Hadir sama pada acara tersebut Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Desa Bina Diri, Kamsilawati Kamlun; Penguasa Institusi Desa Bina Diri, Arabiah Hj. Harun; dan Timbalan Penguasa Institusi Desa Bina Diri, Khanafiah Sablee.

 

Suasana sambutan Pesona Raya Mutiara UMS 2025 meriah dengan kehadiran lebih 5 ribu pengunjung yang terdiri daripada warga kakitangan dan pelajar UMS, rakan-rakan strategik UMS, serta tetamu jemputan luar.

Sebanyak 29 gerai daripada pelbagai JAFPIB UMS terlibat dalam menyediakan pelbagai juadah seperti pelbagai jenis nasi dan lauk-pauk, biskut kuih raya, mi dan sup, ketupat, kelupis, kuih tradisional, pencuci mulut, desert, buah-buahan, sate, barbeque dan kambing panggang serta minuman panas dan sejuk.

Lebih meriah, majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman bersama isteri, selain turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama isteri, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud dan isteri, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Terdahulu, Kasim dalam ucapan aluannya berkata, penganjuran majlis tersebut berupaya memekar dan memugar semangat kerja berpasukan dan meningkatkan darjah kegembiraan dalam kalangan warga universiti.

“Kerja berpasukan mempunyai banyak kelebihan kerana ia berkait dengan kepelbagaian keupayaan, kepakaran, kemahiran, pengetahuan, komitmen serta peningkatan prestasi demi menghasilkan kejayaan dan memartabatkan reputasi universiti.

“Nilai kerja seperti ini seharusnya dikekalkan oleh seluruh warga universiti dari pihak pengurusan, pentadbir, pelaksana serta pelajar keseluruhannya yang akan memberikan manfaat berganda,” ujar beliau.

Selain penyediaan juadah, turut diadakan pertandingan nyanyian lagu raya, pertandingan gerai terbaik, dan cabutan bertuah untuk pengunjung yang hadir.

Pada majlis tersebut, gerai dari Jabatan Bendahari bersama Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf dinobat sebagai pemenang bagi pertandingan gerai terbaik, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM500.