Penganjuran 1st International Borneo One Health Summer Camp (IB OHSem) oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu meningkatkan tahap kompetensi bakal graduannya.

Program yang disertai seramai 17 peserta termasuk seorang pelajar antarabangsa dari Indonesia itu menekankan konsep One Health dan menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman sepanjang seminggu pelaksanaannya.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, konsep One Health sangat releven kerana kesihatan manusia juga bergantung dengan haiwan dan persekitarannya.

“Kesihatan kita, haiwan dan alam sekitar adalah saling berkait rapat dan komponen ekosistem yang luas dan saling bergantung.

“Melalui pendekatan ini, dapat dilihat kerjasama antara profesional perubatan, doktor haiwan, saintis alam sekitar serta penggubal dasar dapat membawa kepada kejayaan transformatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penutupan rasmi program tersebut di Galeri Sains, FPSK.

Beliau turut berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang melihat kepada manfaat besar yang diperoleh melalui penganjurannya.

Dalam pada itu, Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree yang menjalankan fungsi Dekan FPSK berkata, delegasi yang menyertai program tersebut berjaya memperoleh ilmu melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Beliau menambah, kekayaan negeri Sabah dengan biodiversiti flora dan fauna yang sangat unik telah membuatkan program IB OHSem bertambah menarik.

Sepanjang seminggu program tersebut berlangsung, para peserta telah mengikuti aktiviti seperti team building, penilaian risiko di Tuaran dan Tamparuli, lawatan ke Makmal Diagnosa Veterinar di Kepayan, menyusuri pulau Gaya dan penglibatan masyarakat di Kalang, Papar.

Hadir sama pada majlis tersebut, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPSK, Prof. Madya Dr. Fairul Masnah@ Kadir, dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Masyarakat FPSK, Prof. Madya Dr. Saihpudin @ Sahipudin Saupin.

 

Serunding Kobis Universiti Malaysia Sabah (UMS) merangkul Anugerah Reruai Agensi NGO kategori Reruai Inovatif pada Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan (PKPK) 2023 yang diadakan di Serdang, baru-baru ini.

Ketua Kumpulan Penyelidik, Dr. Jurry Foo berkata, idea penghasilan Serunding Kobis itu tercetus selepas pihaknya melihat kesusahan petani dan peniaga tempatan yang berdepan lambakan tanaman tersebut susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS menambah, Serunding Kobis adalah inisiatif UMS bagi membantu petani dan peniaga dalam kalangan penduduk Ranau yang berdepan kekangan pergerakan akibat pelaksanaan PKP, sekali gus menyukarkan mereka untuk memasarkan hasil pertanian masing-masing.

“Kejayaan ini membuktikan keupayaan UMS membudayakan inovasi sesuai dengan peranannya sebagai peneraju masyarakat berinovatif,” katanya.

Sementara itu, Pengurus D’Dompuron Enterprise, Rojaliah Hanti berkata dirinya sangat bersyukur kerana inovasi ini telah membuka peluang perniagaan dan menjana pendapatan sampingan kepada peniaga hasil pertanian seperti kami.

“Sepanjang PKPK 2023, produk ini berjaya menarik perhatian para pengunjung yang hadir kerana rasanya yang menarik, unik dan sedap.

‘‘Justeru, saya juga berhasrat untuk memperluaskan lagi kapasiti pengilangan dan pengeluaran kami agar dapat melibatkan lebih ramai ahli komuniti dari kampung kami di Libang, Ranau sebagai penerima manfaat,” ujarnya lagi.

Pemerkasaan Serunding Kobis D’Dompuron turut mendapat bimbingan dan bantuan daripada Jabatan Pertanian Negeri Sabah, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Inovasi Serunding Kobis juga pernah memenangi pingat emas pada Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi Kebangsaan (iCompEx) 2021 anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS).

 

Persatuan Mahasiswa Fakulti Komputeran Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melaksanakan program Borneo Hackathon 2023 di U-Science, Bangunan Perpustakaan UMS baru-baru ini.

Program itu antara lain bertujuan memberikan impak yang positif serta memberi peluang kepada generasi masa kini untuk melibatkan diri dalam program yang mampu meningkatkan pembangunan belia.

Selain itu, program tersebut diadakan untuk mengaplikasikan konsep sains, kejuruteraan dan matematik dalam kehidupan seharian.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, program tersebut dijangka dapat membantu mengasah kreativiti, di samping dapat mencungkil bakat dalam kalangan belia yang berpotensi membuat pencapaian dalam bidang inovasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Program ini turut memberikan peluang penglibatan kepada semua peserta Institusi Pengajian Tinggi dari pelbagai latar belakang.

“Ia juga bagi menjalinkan hubungan kerjasama baru yang erat (networking), terutamanya menggalakkan semangat kerjasama bagi mencapai objektif,” ujarnya.

Beliau juga berharap agar program ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan melibatkan lebih banyak agensi.

“Keterlibatan agensi lain mampu meningkatkan kebolehpasaran para peserta untuk menjadi lebih bersedia dalam menempuh alam pekerjaan,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan program. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FKI, Profesor Madya Dr. Mohd. Hanafi Ahmad Hijazi.

Borneo Hackathon 2023 yang diadakan selama tiga hari itu disertai seramai 33 orang pelajar daripada UMS, Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TARUMT), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Turut hadir ke malis tersebut, Ketua Pustakawan, Md Sazali Md Salleh; Ketua U-Science, Zawawi Tiyunin serta Timbalan Pengarah Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri, Ts. Dr. Chin Pei Yee.

 

Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) menyediakan perkhidmatan klinik bergerak menerusi Program KRIS (KPT Prihatin Madani) di SMK Pekan II, Kota Belud baru-baru ini.

Menurut Ketua Pasukan Perubatan, Dr. Rishaini Elengovan, program tersebut memfokuskan jangkauan (outreach) kesihatan komuniti kepada masyarakat di luar bandar.

“Seramai 35 kakitangan daripada HUMS telah menjadi sukarelawan, terdiri daripada Pegawai Perubatan Pakar, Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi dan Jururawat bekerjasama sebagai sebuah kumpulan untuk menjayakan program ini.

“Antara skop perkhidmatan kesihatan dan perubatan percuma yang disediakan oleh HUMS ialah saringan, pemeriksaan asas kesihatan, perawatan kesihatan dan kebersihatan diri.

“Kami juga menyediakan konsultasi daripada pakar kesihatan pegawai perubatan dan pemberian ubat-ubatan secara percuma turut diberikan kepada pelajar,” katanya.

Menurutnya lagi, pelajar juga boleh mendapatkan perkhidmatan runding cara pemakanan yang baik bersama sukarelawan yang terlibat.

Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal.

Untuk rekod, program ini telah disertai oleh seramai 250 pelajar dan penduduk sekitarnya.

 

Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) melalui Program KRIS (Kementerian Pengajian Tinggi Prihatin Madani) menganjurkan program kesihatan di Kampung Rundum, Tenom, baru-baru ini.

Ketua Pasukan Perubatan, Dr. Yung Chee Tien berkata program itu bertujuan memberi perkhidmatan klinik bergerak dan program jangkauan (outreach) kesihatan komuniti kepada masyarakat di Tenom buat kali pertama.

“Kampung Rundum merupakan destinasi yang terpilih untuk dilawati dan disantuni oleh pihak HUMS dengan kerjasama Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS (UMS 4WDVC).

“Terdapat 10 perkhidmatan kesihatan dan perubatan percuma yang disediakan oleh pasukan HUMS seperti saringan dan pemeriksaan asas kesihatan, konsultasi pakar kesihatan pegawai perubatan dan pemberian ubat-ubatan secara percuma,” katanya.

Tambah beliau, sambutan program itu disertai lebih 100 orang pelajar dan penduduk sekitar Kampung Rundum.

“Cabaran utama destinasi pada kali ini ialah kampung ini terletak di Banjaran Crocker dan perlu melalui laluan yang lasak.

“Kami mengambil masa selama 18 jam perjalanan secara on-road dan off-road untuk sampai ke destinasi,” ujarnya.

Pada program tersebut Yung turut mengucapkan tahniah kepada pasukan HUMS dan UMS 4WDVC yang telah bekerjasama untuk menjayakan program ini.

Seramai 40 kakitangan daripada HUMS menjadi sukarelawan yang terdiri daripada Pegawai Perubatan Pakar, Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi, Pegawai Dietetik, Pegawai Pemulihan Fisioterapi dan Jururawat.

Turut serta mengikuti program ini, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof yang juga presiden UMS 4WDVC.