RABU, 20 APRIL - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Sains Pertanian oleh Kindai University, Jepun kelmarin.

Penganugerahan ijazah tersebut disampaikan oleh presiden Kindai University, Profesor Hitoshi Shiozaki dalam satu majlis di universiti tersebut.

“Pengiktirafan ini saya tujukan khas kepada semua warga UMS yang sentiasa menyokong saya dalam usaha memajukan universiti ini ke peringkat global.

“Saya percaya UMS mampu pergi lebih jauh, yakni dengan kerja keras dan komitmen tinggi warganya termasuk para pelajar UMS yang sentiasa bersungguh sungguh untuk membina imej universiti ini ke arah yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan selepas majlis penganugerahan tersebut.  

Dalam pada itu, Datuk Harun ketika menyampaikan ucapan balas sempena majlis penganugerahan itu berkata, perjanjian kerjasama bersama Kindai University amat bermakna buat UMS, yang terbukti banyak menghasilkan output yang bermanfaat kepada kedua-dua universiti khususnya dalam bidang akuakultur.

Terbaru, penubuhan pusat R&D dalam bidang akuakultur oleh UMS dan Kindai University dilihat agak unik dan membuktikan keberhasilan kerjasama lebih satu dekad antara kedua-dua universiti.

“Bidang akuakultur yang menjadi tumpuan dan kepentingan dalam kerjasama ini mempunyai masa depan yang cerah kerana kajian dalam bidang ini sentiasa memberi sumbangan terhadap aspek keselamatan makanan global.

“Kelestarian dalam akuakultur sememangnya menghadapi pelbagai cabaran yang memerlukan daya pemikiran inovatif dan pengetahuan global dalam memacu pertumbuhan generasi akuakultur baru.

“Dalam konteks ini, saya percaya kerjasama antara dua universiti ini adalah satu pelaburan yang sangat berharga dan memberikan pulangan yang maksimum,” ujarnya.

SELASA, 19 APRIlL – Seramai 15 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkongsi ilmu di Sekolah Menengah Kebangsaan Matang Jaya (SMKMJ), Kuching baru-baru ini.

Jelajah mereka ke Bumi Kenyalang itu turut disertai lima mahasiswa dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang berkampung selama hampir seminggu bersama 40 pelajar sekolah berkenaan.

Antara yang disediakan ialah aktiviti berkumpulan, memperkenalkan UMS dan UNIMAS sekaligus membantu pelajar dalam menyerlahkan potensi setiap individu dengan meraih kepelbagaian dan kelainan masing-masing.

Majlis penutupan telah disempurnakan Penolong Kanan HEP SMKMJ, Ustaz Ahmad Hazmullah Mohd Azmi.

Jelajah tersebut juga telah berkunjung ke Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sarawak, diketuai Penyelaras Sekretariat Rakan Muda UMS, Norhana Nordin.

Kunjungan tersebut disambut mesra Pengarah KBS Negeri Sarawak, Haji Abdul Haris Ishak sebelum diberi penerangan berkenaan program Pembangunan Rakan Muda dan aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan pihak kementerian.

Turut hadir, Penolong Pengarah Pembangunan Rakan Muda KBS Negeri Sarawak, Hafizah Dahlan.

Sekretariat Rakan Muda mengucapkan penghargaan kepada Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof Madya Dr Ismail Ali dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS  atas sokongan padu dan kerjasama dalam menjayakan program itu.

Jelajah tersebut turut membawa peserta program melawat UNIMAS, Kampung Budaya Sarawak dan beberapa tempat menarik di sekitar Kuching.

Sumber : Sekretariat Rakan Muda, UMS

SELASA, 19 APRIL – Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah, Prof. Madya Dr. Ismail Ali mengingatkan para atlet yang bertanding pada Kejohanan Sukan Persahabatan Staf IPT Borneo agar menggunakan kejohanan tersebut sebagai platform dalam memupuk semangat perpaduan dan kesukanan serantau.

Katanya, kejohanan tersebut agak unik kerana menghimpunkan kontinjen-kontinjen daripada rumpun kepulauan Borneo, dan kesempatan ini harus digunakan untuk menjalinkan hubungan silaturrahim melalui pertandingan sukan yang dipertandingkan.

“Kita ada kontinjen dari Sarawak, Brunei, Wilayah Persekutuan Labuan, dan wilayah Kalimantan, Indonesia yang akan berkampung di sini untuk menyertai kejohanan ini.

“Harapan saya agar setiap atlet tidak bertanding semata-mata untuk memungut pingat, tetapi gunalah peluang ini untuk berinteraksi atau berkongsi pengalaman bersama atlet-atlet dari negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bendera kepada kontinjen UMS sempena kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Ismail turut menyeru agar aktiviti sukan dan riadah tidak hanya berlangsung hanya pada kejohanan sukan, tetapi turut dilakukan pada hari-hari lain bermula daripada jabatan masing-masing sebagai satu amalan budaya hidup yang sihat.

Pada kejohanan kali ke-4 ini, kontinjen UMS menghantar seramai 180 atlet bagi menyertai 13 acara sukan yang dipertandingkan. -MA-

Foto: Suzeanywati Gasinin

ISNIN, 18 APRIL - Seramai tiga pelajar mewakili Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Misi Sukarelawan Siswa, Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) ASEAN ke Campasak, Laos baru-baru ini.

Amin Daud pelajar program Sains Agrikultur, Lim Way Yang (Sains Kesihatan) dan Nor Azirah Abdullah (Hubungan Antarabangsa) berkampung di Laos selama dua minggu bagi menjayakan misi tersebut yang merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi.

Selain wakil UMS, program tersebut turut disertai 45 sukarelawan dari pelbagai Institusi Pendidikan Pengajian Tinggi merangkumi Universiti Awam, swasta, Kolej Komuniti, Institus Pendidikan Guru (IPG) dan Politeknik.

Dalam misi selama dua minggu itu, mereka menjalankan kerja-kerja sukarelawan menerusi program ‘Community Engagement’ melibatkan tiga kampung iaitu Phonethong, Ban Donetalath dan Ban Soukhouma.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program tersebut, antaranya ‘Walk with Love’ iaitu sumbangan sandal kepada 100 pelajar di sekolah terlibat, membina pondok tempat meletak motosikal, membuat baja kompos, membina laluan pejalan kaki dan mengecat dinding sekolah.

Sumber: Nurlina Arappe

ISNIN, 18 APRIL - Seramai 14 pelajar Kolej Kediaman E, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program Delegasi Ilmiah ke Brunei Darussalam baru-baru ini.   

Timbalan Pengetua kolej kediaman itu yang juga penyelaras program, Mohd Hilmey Saili berkata, program itu sebagai usaha untuk menjalinkan hubungan baik antara UMS dengan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

“Program bertemakan ‘Jelajah Ilmu ke Brunei’ juga sebagai pendedahan kepada peserta delegasi mengenai pengurusan dan penambahbaikan pengurusan kolej kediaman di dua universiti yang dilawati sekali gus mengenali budaya masyarakat Brunei,” katanya ketika dihubungi media.

Menurut beliau, rombongan UMS telah mendapat layanan mesra daripada pihak UBD dan UNISSA, dan turut mengadakan perkongsian idea tatacara pengurusan kolej kediaman masing-masing dalam sesi diskusi.

Hilmey berkata, ahli delegasi turut mengadakan beberapa lawatan ke tempat-tempat menarik di sekitar Brunei.

“Selain dua buah universiti itu, kami juga melawat Muzium Teknologi Melayu, Muzium Maritim, Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien serta Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer,” katanya.

Program selama lima hari itu dianjurkan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS)  Kolej Kediaman E UMS sesi 2015/2016. -SS

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.