JUMAAT, 18 MAC - Cerpen bertajuk “Bajuku Renda Merah” hasil karya Tolok Sulok diangkat sebagai pemenang tempat pertama Pertandingan Cerpen Universiti Malaysia Sabah – New Sabah Times 2015 yang dianjurkan bersama UMS dan NST bermula Mei hingga Disember tahun lalu.

Tolok, 53, atau nama penanya Delly Surag , yang juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Karyawan Seni Tuaran, telah bergiat aktif dalam bidang penghasilan karya seni sejak sekian lama, dengan beberapa cerpen dan sajak beliau mendapat siaran di akhbar tempatan selain beberapa penulisan skrip turut difilemkan oleh syarikat-syarikat filem tempatan.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan anak kelahiran Kota Belud, Sabah ini membolot hadiah berjumlah RM3,000 dan sijil penghargaan.

Penyampaian hadiah kepada beliau disempurnakan Ketua Bahagian Perhubungan Korporat UMS, Vina Zahriani Yusof, sambil disaksikan Ketua Pengarang Bahasa Melayu New Sabah Times, Mohd Amin Muin dan Pegawai Penerbitan UMS, Che Hasruddin Che Hasan di pejabat New Sabah Times.

Tempat kedua dimenangi Samiron Rahmat dengan cerpen bertajuk “Sesuci Syafiqah Setabah Aqilah”, sekaligus membolehkan beliau menerima hadiah berjumlah RM2,000 dan sijil penghargaan.

Bagi tempat ketiga, panel penilai telah memilih cerpen “Dia Bukan Bapa Aku” hasil karya Farah Wahidah Roslan bagi menerima hadiah berjumlah RM1,000 dan sijil penghargaan.

Tujuh hadiah saguhati berjumlah RM500 dan sijil penghargaan masing-masing dimenangi Abdul Rauf Mohd Salleh (Diari Wanita Jadian), Amina Ali (Kar Lis Kis), Syed Mahadzir Syed Ibrahim (Hujan Terus Jatuh), Kamal Ishak (Pensiangan), Norsuhaidah Koppeli (Perhitungan Terakhir), Badrul Hisham Mohamad (As-Syafie) dan Nurhidayah Johari (Aku Ingin Terbang Tinggi, Mak!).

Pertandingan Cerpen UMS-NST 2015 mendapat penyertaan sebanyak 140 karya yang dihantar penulis-penulis tempatan dari seluruh negara, dan 33 buah cerpen dari jumlah tersebut telah terpilih untuk disiarkan secara mingguan dan dinilai untuk pertandingan tersebut. -MA-

Foto: Johaidi Ismail

JUMAAT, 18 MAC - Kesedaran terhadap kepentingan profesion kerja sosial amat penting agar masyarakat dapat memahami tanggungjawab dan fungsi pekerjaan itu, kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof.Madya Dr.Ismail Ali.

Beliau berkata, kerja sosial merupakan satu profesion meliputi perkhidmatan yang berfokus untuk menangani masalah, meningkatkan fungsi sosial, dan menggalakkan pencapaian taraf kehidupan berkualiti untuk individu, keluarga, kumpulan, serta komuniti.

“Kerja Sosial amat penting dalam membekalkan perkhidmatan profesional yang berteraskan pengetahuan kerja sosial, nilai dan prinsip kerja sosial, etika profesion dan intervensi.

“Oleh itu, sambutan ataupun hari penghargaan seperti ini adalah perlu bagi menghargai kerja-kerja dan amalan-amalan yang dilakukan oleh para pekerja sosial di seluruh dunia amnya dan khususnya kepada para pekerja sosial serta mahasiswa kerja sosial di UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia 2016 Peringkat Negeri Sabah bilik seminar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) baru-baru ini.

Teks ucapannya disampaikan Timbalan Dekan, Akademik dan Hal Ehwal Pelajar FPP Prof. Madya Dr. Mohd Dahlan Ab. Malek.

Ismail Ali berkata, sepanjang dua hari program itu berlangsung, pelbagai aktiviti dirancang termasuk perkongsian ilmu, program derma darah, car boot sale, pameran daripada agensi dan pertubuhan bukan kerajaan serta program bersama anak yatim.

“Program ini merupakan satu mekanisme yang baik untuk mengeratkan silaturrahim di antara pekerja sosial, pensyarah, dan mahasiswa kerja sosial di UMS,” katanya.

Program tersebut turut mendapat sokongan daripada bberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Jabatan Kebajikan Am Negeri Sabah, Hospital Queen Elizabeth, Persatuan Talasemia Sabah, Sabah Society for The Deaf, Sabah Cheshire Home, Good Shephard Services, Sabah Society for the Blind, dan Sabah Mental Health Association.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Dekan, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPP, Prof. Madya Dr. Suyansah Swanto;  Ketua Program Kerja Sosial,  Habibie Hj. Ibrahim; Penyelaras Majlis Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia 2016 peringkat Universiti Malaysia Sabah, Durin Edward dan Pengarah Majlis Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia 2016, Ismah Hanani Zambri. -MA

KHAMIS, 17 MAC - Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menawarkan ceramah percuma berkaitan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di sekolah-sekolah sekitar Kota Kinabalu.

Menurut kenyataan PKKP, ceramah tersebut penting bagi memastikan para guru dan pelajar yang menghabiskan sekurang-kurangnya enam jam di sekolah mengetahui perkara-perkara berkaitan OSH dalam persekitaran mereka.

PKKP menambah, program itu bukanlah perkara baharu memandangkan kerajaan telah memperkenalkan beberapa program keselamatan dan kesihatan dalam Program Kesihatan Sekolah (RKS) sejak tahun 1967 dan Projek Sekolah Selamat pada 2002.

Sehubungan itu, sekolah-sekolah yang berminat menganjurkan ceramah tersebut boleh berhubung dengan Pengarah PKKP, Profesor Madya Dr. Shamsul Bahari Shamsudin di 088-320000 sambungan 1661 atau 013-8888004 atau e-mel di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.. – FL (SS)

KHAMIS, 17 MAC - Bahagian Pembangunan Pelajar Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Kursus Pengurusan Organisasi Pelajar (KPOP) 2016 di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) baru-baru ini.

Melalui kursus itu siswa-siswi didedahkan lima modul utama iaitu pengurusan mesyuarat, pengurusan laporan, tatacara penubuhan kelab, proses kertas kerja dan laporan kewangan selain satu slot berkaitan sistem ‘My Student Development Point’ (MySDP).

Para peserta turut didedahkan dengan hal ehwal penubuhan organisasi masing-masing selain diberi penerangan berkaitan prosedur yang betul dan bahagian yang sepatutnya dirujuk sekiranya ingin mendapatkan sebarang nasihat.

Di samping UMSKAL, kursus itu juga dilaksanakan di Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan dan UMS Kota Kinabalu.

Kursus tahunan itu merupakan kursus wajib kepada semua bakal pemimpin dan kelab yang baharu ditubuhkan. 

Sumber: Bahagian Pembangunan Pelajar, JHEP

RABU, 16 MAC - Galeri Borneensis yang dilancarkan baru-baru ini menjadi satu tarikan baharu buat masyarakat untuk berkunjung sambil belajar ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bertempat di aras dua bangunan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), galeri itu menempatkan pelbagai koleksi spesimen flora dan fauna hasil penyelidikan penyelidik UMS.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi dengan disaksikan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dan Pengarah IBTP, Prof. Dr. Charles Vairappan.

Galeri tersebut dibuka kepada umum dengan bayaran masuk yang minima iaitu antara RM5 – RM10. - SS

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.