RABU, 11 MEI - Jabatan Sains Biomedikal dan Terapeutik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program Khidmat Kesihatan Masyarakat di Kiulu, Tuaran baru-baru ini.

Urusetia program, Dr. Nur Zuliani Ramli berkata, program selama sehari itu diadakan dengan kerjasama Klinik Kesihatan Kiulu, Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Kiulu serta Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) di Dewan Masyarakat, kampung Malangang Baru, Kiulu.

“Bertemakan ‘Jom Sihat Bah’ program ini telah menerima kehadiran kira-kira 100 penduduk setempat iaitu dari kampung Tombung, Namadan, Malangang Baru, Malangang Lama, Ponohuon dan kampung Topinahaton,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, program tersebut bertujuan memberi pendidikan dan pemeriksaan kesihatan secara interaktif, selain menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.

“Dalam masa yang sama, program ini juga bagi mewujudkan hubungan yang rapat antara ahli akademik, pegawai perubatan, kakitangan sokongan dan institusi kesihatan dengan masyarakat Kiulu,” tambah Nur Zuliani.

Antara aktiviti yang diadakan termasuklah khidmat pemeriksaan kesihatan bagi penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi, serta mengenal pasti individu yang mempunyai obesiti berat badan.

Turut diadakan kempen derma darah daripada Hospital Daerah Tuaran, sesi khas teknik pemeriksaan payudara bagi peserta perempuan dan pameran poster pendidikan kesihatan mengenai penyakit berjangkit seperti batuk kering dan denggi.

Sementara itu Nur Zuliani memaklumkan, satu ceramah kesihatan yang memberi tumpuan kepada diet sihat untuk pesakit diabetes juga diadakan di samping penerangan berkenaan penggunaan ubat-ubatan yang selamat daripada Unit Farmasi Klinik Kesihatan Kiulu dan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, UMS.

Program sehari itu turut dijayakan Pemangku Dekan, FPSK UMS, Prof. Dr. Zainal Arifin Mustapha;  Ketua Jabatan Biomedikal dan Terapeutik, Prof. Dr. Urban John Arnold D 'Souza; Pengerusi Penganjur, Dr. Kistina Binti Mohamed;  Pengarah Klinik Kesihatan Kiulu, Dr. Hairunnisa Hashami dan Pengerusi PPKK Kiulu, Janih Bangud. -SS

RABU, 11 MEI - Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (CICN) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi menganjurkan program CEO@Faculty yang memfokuskan perkongsian pengalaman dan perjalanan hidup individu berjaya.  

Ketika perasmian, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah menggalakkan siswa siswi mengambil peluang dan mempelajari ilmu baharu yang dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TH Plantation Berhad, Dato’ Zainal Azwar Zainal Aminuddin pada program itu.

“Kepada para penyelidik UMS, ini juga merupakan satu peluang untuk kita memahami keperluan serta memperkaya kurikulum semasa agar ia sentiasa relevan dan dapat menarik minat pihak industri,” ujarnya.

Sementara itu, Dato’ Zainal Azwar yang mempunyai pengetahuan luas dalam bidang industri berkongsi beberapa perkara yang harus diterapkan oleh siswa siswi sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan.

“Orang yang berjaya hari ini mempunyai 80 peratus kecerdasan emosi (EQ) berbanding 20 peratus kecerdasan intelektual (IQ). Dengan adanya kemahiran EQ ini, kita dapat mengawal konflik, emosi dan memahami persekitaran dengan lebih bijak,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menekankan penguasaan bahasa Inggeris sebagai salah satu elemen penting untuk menempuh cabaran dunia pekerjaan pada hari ini.

“Penguasaan bahasa asing terutama bahasa Inggeris kini sangat mustahak dan ia menjadi salah satu peluru kepada para graduan untuk mendapat tempat di bidang industri,” jelasnya.

Program The CEO@Faculty yang diadakan di Dewan Resital itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Kementerian Pendidikan Tinggi, Profesor Madya Dr. Arham Abdullah. -ZMD

Foto: Suzeanywati Gasinin

SELASA, 10 MEI – Program Minggu Bertemu Pelanggan (MBP) merupakan acara tahunan anjuran bersama Jabatan Bendahari (BEN), Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP), Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang sedang berlangsung di lobi perpustakaan.

Menurut kenyataan daripada pihak penganjur, tujuan program ini adalah untuk menyediakan platform bagi jabatan terlibat untuk berhubung secara langsung dengan pelanggan utama iaitu pelajar, kakitangan dan pembekal bagi memastikan keperluan pelanggan dikenalpasti dan difahami.

Kenyataan itu turut berkata, antara objektif penganjuran MBP ialah ia merupakan satu pendekatan yang holistik dalam menawarkan perkhidmatan melalui interaksi dan perhubungan yang mesra, telus dan cekap.

Upacara pembukaan rasmi program ini dijadualkan pada 12 Mei 2016 (Khamis) di 1 Megalab, Perpustakaan UMS yang akan disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Mohd Harun Abdullah.

Banyak aktiviti menarik telah dirancangkan antaranya, pendedahan rahsia kejayaan, keselamatan ICT, pengurusan wang,  komunikasi sosial, maklumat teknologi dan banyak lagi.

Terdapat juga banyak aktiviti permainan yang menarik dan hadiah untuk dimenangi.

Semua dijemput hadir. FL

Photo: Terence Timothy Sibini (BEN)

SELASA, 10 MEI - Program “Fun Run & Ride” anjuran Exco Sukan, Rekreasi dan Keceriaan Kolej Kediaman Tun Mustapha, Universiti Malaysia Sabah (UMS) julung-julung kalinya diadakan sempena sambutan karnival KKTM.

Menurut Pengetua Kolej kediaman Tun Mustapha, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin, program sebegini dapat membuka peluang kepada pelajar dan juga masyarakat umum untuk kekal aktif dan dapat mengamalkan gaya hidup sihat disamping dapat beridah bersama masyarakat yang lain.

“Peserta yang menyertai program ini adalah dalam kalangan pelajar IPTA/IPTS, Sekolah Menengah, Staff UMS sendiri dan masyarakat luar,” jelasnya.

Peserta berbasikal, Lim Fong Han menjadi peserta pertama tiba dengan catatan masa 42:02:05, manakala peserta larian iaitu Romario Tanjong mencatat masa 47:14:08 sekaligus menjadikan beliau peserta pertama tiba di garisan penamat.

Sepuluh peserta terawal sampai ke garis penamat telah menerima hadiah berupakan hamper, medal dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Timbalan Pengetua Kolej Kediaman Tun Mustapha Herman yang ditemui berkata program tersebut adalah salah satu medium terbaik untuk membentuk masyarakat sihat, cergas dan mengamalkan gaya hidup sihat dengan sentiasa peka terhadap alam sekitar melalui berjalan kaki, penggunaan basikal dan tanpa kenderaan berenjin.

Pelepasan larian sejauh 10 kilometer dan diikuti acara berbasikal sejauh 20 kilometer itu disempurnakan oleh Herman di tapak padang kawad UMS pada jam 7:00 pagi sambil disaksikan bersama Pengarah Program, Mohd Jakrul Nizam Ismail.

Sumber : Wellsah Sudin

ISNIN, 9 MEI - Persatuan Mahasiswa Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (PMPEP) mengadakan lawatan sambil belajar di Hong Kong baru-baru ini.

Bertemakan ‘Discover Fragrant Harbour Educational Tour Programme’  lawatan itu melibatkan 13 mahasiswa Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) bersama Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah FPEP, Dr. Arif @ Kamisan Pusiran dan dua kakitangan pentadbiran FPEP.

Antara program yang dijalankan sepanjang lawatan lima hari itu ialah perjumpaan dan perbincangan bersama Persatuan Mahasiswa The University of Hong Kong (HKU), serta mengadakan kunjungan ke Hong Kong Polytechnic University.

Kesempatan berada di bumi Mutiara Timur itu turut digunakan sepenuhnya para mahasiswa menimba pelbagai pengalaman baharu dengan melawat Muzium Sains dan Golden Bauhinia Square, iaitu sebuah tempat bersejarah yang menjadi lokasi penyerahan semula Hong Kong dari pihak British ke pentadbiran China pada tahun 1997.

Selain itu, rombongan PMPEP juga mengunjungi Ocean Park yang merupakan salah satu tarikan utama pelancongan di Hong Kong selain melawat pasar-pasar yang menjual pelbagai cenderamata menarik.

Menyentuh mengenai lawatan itu, Dekan FPEP, Prof Dr. Rasid Mail berpendapat bahawa pengalaman berada di luar negara ini dapat mematangkan lagi minda para pelajar mengenai kemajuan global yang begitu pesat berlaku di serata dunia.

“Di samping itu, lawatan ini juga boleh membina landasan mewujudkan suatu jaringan antara universiti tempatan khususnya UMS dengan universiti antarabangsa untuk program mobiliti pelajar di peringkat antarabangsa pada masa akan datang,” katanya. -SS

Sumber: FPEP