SELASA, 16 FEBRUARI - Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) jalinkan kerjasama dengan syarikat Borneo Food Chain melalui pembukaan kiosk perniagaan di fakulti tersebut.

Perniagaan makanan segera berteraskan ikan segar yang telah siap diproses tu dijalankan sepenuhnya oleh para pelajar program Pengurusan Kewangan dan Perbankan (HE06) melalui Exco Keusahawanannya, FMBC Bizhub.

Melalui kerjasama tersebut, Borneo Food Chain berperanan dalam menyediakan kemudahan seperti latihan operasi perniagaan, serta fasiliti perniagaan dan kewangan kepada para pelajar.

Bagi memastikan kualiti makanan dan penyampaian sentiasa terjamin, para pelajar yang terlibat diberi latihan yang mencukupi daripada pelbagai aspek seperti penyimpanan rekod kewangan, pakaian,  penyediaan dan penyampaian makanan.

Ketua Program HE06, Amer Azlan Abdul Jamal berkata jalinan usahasama itu merupakan capstone activity bagi program HE06 yang memberi peluang kepada para pelajar untuk mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari di dalam kuliah kepada satu bentuk pengalaman menjalankan perniagaan yang sebenar.

“Penglibatan pelajar kita dalam perniagaan bukanlah semata-mata kerana keuntungan, malah lebih daripada itu. Melaluinya, pelajar kita berpeluang mengaplikasikan ilmu kognitif, afektif dan psikomotor yang telah mereka perolehi ketika di dalam kuliah, yang mana melibatkan penggunaan arahan, analisis, sintesis pengetahuan serta kemahiran.

Selain itu, projek ini menyediakan platform baharu kepada para pelajar HE06 untuk menjana pendapatan bagi tujuan penganjuran aktiviti kelab di masa hadapan selain memberi peluang kepada para pelajar untuk menambah duit poket mereka,” ujarnya.

Bagi Dekan FPEP, Profesor Dr. Rasid Mail, jalinan kerjasama di antara FPEP dan Borneo Food Chain itu bermanfaat kepada para pelajar kerana ianya mampu mencambah minat mereka untuk terlibat dalam aktiviti berunsurkan keusahawanan sekaligus memadamkan mentaliti ‘makan gaji’.

“Ini secara tidak langsung juga menyokong dasar universiti yang sentiasa mahu melihat warganya bergiat aktif di dalam aktiviti yang boleh menjana pendapatan,” tambahnya.

Antara produk yang dijual adalah bebola ikan goreng, nuget ikan, wantan ikan, seafood tofu, fish cake, serta keropok ikan.

Masa operasi adalah pada hari Isnin hingga Sabtu, bermula jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang bertempat di foyer Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan.

Sumber: FPEP

ISNIN, 15 FEBRUARI – Graduan lepasan kolej atau universiti diingatkan agar tidak terlalu memilih pekerjaan, sebaliknya menerima mana-mana pekerjaan yang diperoleh, dan barulah kemudiannya berusaha untuk menambah baik kehidupan sendiri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman berkata, kerajaan negeri khususnya amat prihatin terhadap nasib graduan universiti yang bergraduat setiap tahun untuk mencari pekerjaan yang sesuai.

Katanya, kerajaan telah membelanjakan peruntukan yang besar untuk menyediakan infrastruktur yang baik di bandar mahupun di luar bandar bagi menarik pelabur untuk membuat pelaburan di negeri ini, sekali gus mewujudkan lagi lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan-graduan yang menganggur.

“Kerajaan negeri juga telah menyediakan tanah dan pelbagai skim bantuan kepada para graduan khususnya untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian, iaitu sebagai usahawan tani.

“Pertanian pada hari ini bukanlah satu pekerjaan yang kotor atau hanya untuk golongan miskin, tetapi pertanian mampu menjana pendapatan yang menguntungkan. Justeru graduan harus positif dan menyahut cabaran ini, dan bukannya memilih untuk mencari kerja yang sesuai dengan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Temu Duga Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Negeri Sabah di Dewan Kuliah Pusat 2, Universiti Malaysia Sabah pagi tadi.

Mengenai program SL1M, beliau memuji usaha dari Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) ini yang menyediakan platform kepada para graduan untuk berusaha mencari peluang kerjaya dengan melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan dan agensi swasta yang memberi latihan pekerjaan sebagai persediaan kerjaya kepada para graduan yang menyertainya.

 Program SL1M Peringkat Negeri Sabah pada kali ini melibatkan lebih 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh lebih 40 buah syarikat. Sehingga pagi tadi, lebih 1,000 peserta telah hadir bagi mencari peluang yang ditawarkan.

Hadir sama pada majlis itu Ketua EPU, Datuk Seri Dr. Rahmat Bivi Yusoff; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Ismail Ali; Pengarah Seksyen Pembangunan Modal Insan  EPU, Amir Omar dan Ketua Sekretariat Skim Latihan 1Malaysia, Hajah Norashikin Datuk Haji Ismail. -MA-

Foto: Suzeanywati Gasinin

ISNIN, 15 FEBRUARI – Karnival Media Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2016 anjuran Bahagian Perhubungan Korporat (BPK) meriah dengan kehadiran lebih 200 pengunjung ke acara yang berlangsung di Pantai ODEC, UMS.

Lebih manis, kehadiran seramai 40 orang kanak-kanak dari Rumah Anak Kesayangan, Sembulan menerusi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) BPK bersama rumah kebajikan itu, selain keluarga para pengamal media yang turut serta dalam acara sukan menambahkan kemeriahan pada hari tersebut.

Program yang julung kali diadakan ini antara lain bertujuan untuk menghargai sumbangan dan kerjasama erat yang sedia terjalin antara para penggiat media bersama UMS, di samping bersama-sama meraikan penghuni rumah-rumah kebajikan.

Pelbagai acara sukaneka disediakan buat pengunjung antaranya pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, pertandingan kupas kulit telur, pertandingan lari dalam guni, pertandingan tarik tali dan sebagainya, selain acara cabutan tiket bertuah untuk para pengunjung yang hadir.

Acara karnival dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Shahril Yusof, yang turut mengumumkan cadangan untuk membuka keahlian perpustakaan UMS kepada para Sahabat Media UMS. -MA-

Foto: Suzeanywati Gasinin

JUMAAT, 12 FEBRUARI – Graduan-graduan lepasan ijazah atau diploma dipelawa untuk hadir ke program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Negeri Sabah pada 15-16 Februari ini.

Bertempat di Dewan Kuliah Pusat ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS), program tahunan anjuran Sekretariat Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan UMS ini memberi peluang kepada para peserta untuk merasai pengalaman serta merebut peluang kerjaya melalui sesi temu duga terbuka bersama beberapa agensi kerajaan dan swasta serta syarikat nasional terkemuka. 

Antara agensi yang menyertai adalah  Tenaga Nasional Berhad, Maybank, Lembaga Tbaung Haji, Celcom Axiata, Telekom Malaysia, Malaysia Airlines, Sime Darby, dan banyak lagi.

Dimulakan pada tahun 2011, program SL1M yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak adalah salah satu usaha dalam menangani isu pengangguran di kalangan graduan terutamanya yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan kawasan pedalaman.

Program tersebut antara lain bertujuan untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan dalam pasaran kerja seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dijangka akan merasmikan program SL1M Peringkat Negeri Sabah pada 15 Februari ini, yang dijangka akan turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato’ Sri Abdul Wahid Omar. 

JUMAAT, 12 FEBRUARI - Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program BRI Young Ambassador2016 baru-baru ini.

Bertempat di Bangunan IPB, program itu disertai oleh 40 orang pelajar tingaktan 6 atas dan orang guru pengiring dari empat buah sekolah, iaitu Sekolah Menengah La Salle, Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, Sekolah Menengah Kebangsaan Tambunan dan Kinabalu International School.

Program yang berlangsung selama sehari itu dirasmikan oleh pengarah IPB, Prof. Dr. Clemente Michael Wong Vui Ling, disusuli dengan taklimat ringkas berkenaan penyelidikan Kejuruteraan Genetik dan Immunology serta Vaccinology oleh kakitangan akademik IPB.

Pelajar-pelajar juga dibawa untuk melawat makmal-makmal di IPB, di samping beberapa aktiviti berkaitan pemahaman teknik pengendalian alat-alat yang berteknologi tinggi turut diadakan.

Program tersebut yang diadakan secara dwi-tahunan antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan serta memupuk minat pelajar-pelajar sekolah dalam aliran sains khususnya bidang bioteknologi, sekali gus memperkenalkan Institut Penyelidikan Bioteknologi kepada pihak luar.

Sumber: Institut Penyelidikan Bioteknologi