Oleh Salbinous Saribun

SELASA, 05 JANUARI – Akuarium dan Muzium Marin Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencatatkan 39, 029 kehadiran pengunjung  sepanjang tahun 2015.

Menurut kurator muzium, Flora Anne Asalin, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan seramai 4,625 pelawat berbanding 34,404 orang pada tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut,  33,171 adalah pelawat warganegara,  5,232 pelawat antarabangsa  dan selebihnya adalah tetamu rasmi universiti, golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) serta warga UMS sendiri,” katanya ketika dihubungi media universiti.

Katanya, peningkatan kehadiran pelawat itu juga menunjukkan Akuarium dan Muzium Marin UMS terus menjadi pilihan sebagai salah satu destinasi pelancongan apabila berada di Kota Kinabalu.

“Pihak muzium juga berjaya menjana kewangan sebanyak RM177,772.49  berbanding RM149,416.00  pada tahun lalu melalui bayaran masuk yang dikenakan kepada setiap pelawat,” tambah Flora lagi.

Muzium yang dikendalikan di bawah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) itu dibuka kepada orang ramai pada setiap hari kecuali Ahad dan cuti umum bermula pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

SELASA, 05 JANUARI - Usaha mendedahkan pemimpin-pemimpin pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan budaya luar negara perlu dipergiatkan bagi menjana daya pemikiran kreatif, kritis dan berpandangan jauh sekali gus menyahut program pengantarabangsaan dalam kalangan mahasiswa.

Menyedari hakikat ini, UMS telah menghantar seramai 18 ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2014/2015 untuk mengadakan Lawatan Kepimpinan Berprestasi Tinggi di Beijing, China baru-baru ini.

Ketua rombongan, Mohd. Al-Farid Abraham memberitahu, lawatan tersebut juga sebagai  medan pengkongsian ilmu antara Malaysia dan China merangkumi pelbagai bidang termasuk aspek kepimpinan pelajar.

“Pada lawatan ini, kami turut didedahkan dengan sistem akademik dan corak kepimpinan pelajar di Beijing selain sistem Eko Pelancongan di negara tersebut yang dilihat boleh diaplikasi oleh UMS bagi melancarkan konsep EcoCampus,”  katanya.

Beliau yang juga Presiden MPP bagi sesi 2014/2015 turut merakamkan penghargaan kepada UMS dan menyifatkan lawatan tersebut sebagai amat bertepatan dan bermanfaat.

Lawatan selama tujuh hari itu turut menyaksikan para ahli rombongan berkunjung ke Universiti Beihang serta Universiti Bahasa dan Kebudayaan Beijing, China. -SS

Sumber: Masnahneh Masdin, HEP

RABU, 23 DISEMBER- Penyertaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Festival Teater Majlis Kebudayaan Universiti – universiti Malaysia (MAKUM) pada tahun ini berjaya merangkul tiga anugerah.

Pada festival yang berlangsung selama enam hari itu akhirnya mengangkat pelajar UMS, Shahril Latief sebagai pemenang Pelakon Harapan Lelaki Terbaik menerusi naskah bertajuk ‘Dewan Persidangan’.

Selain itu, UMS turut menerima Anugerah Khas Juri dan Tatabusana menerusi produksi teater S.T.A.G.E Production.

Mengulas mengenai penyertaan dalam festival tersebut, Pensyarah Teater UMS, Sharifuddin Zainal berkata melalui naskah-naskah teater yang dipertandingkan, secara tidak langsung dapat memberikan input kepada penonton terutamanya mahasiswa-mahasiswi yang merupakan perintis kepada pembangunan seni teater dalam kalangan universiti khususnya.

“Melalui naskah-naskah teater yang dipertandingkan, ianya juga bertindak sebagai cabang kritikan dan peralihan minda penonton ke arah lebih positif,” ujarnya.

Pada festival tersebut, juara keseluruhan diungguli oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), naib johan disandang oleh Universiti Sains Malaysia (USM), manakala tempat ketiga di menangi oleh Universiti Malaya (UM).

Selain UMS, UPM, USM dan UM, peringkat akhir festival teater tersebut turut diwakili oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Sumber: Norhana Nordin, HEPA

Foto : FKSW

SELASA, 22 DISEMBER - Amat Jutrah Haji Musnih dan Abdul Jalil Sapli kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaysia Sabah (Kekaumas) bagi penggal 2016-2017.

Dalam pemilihan Pegawai Kekaumas yang diadakan di Bilik Bangkuasi Dewan Canselor UMS baru-baru ini menyaksikan jawatan Setiausaha telah dimenangi oleh Puan Arnah @ Zubaidah Haji Sainudin manakala Penolong Setiausaha disandang oleh Puan Salmiah Haji Tertib.

Dua muka baharu iaitu Rahmat Kasmin dan Puan Zaiton Haji Marjan masing-masing dilantik jawatan Bendahari dan Penolong Bendahari.

Enam pemimpin lama adalah antara 13 yang dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kekaumas untuk tempoh dua tahun iaitu Saidin Haji Marjan, Harun Tambiri, Danan Haji Masalleh, Mohd Faizal Marjus, Binik Haji Majuril dan Julius Sokodor.

Manakala jawatan tersebut turut disandang oleh enam muka baharu iaitu Abdul Nawi Ngeh, Othman Haji Rawi, Mohd. Ajirin Jail, Mokrin Haji Basrin, Machdi Wismajaya dan Alimin Awang Ali.

Pada pemilihan tersebut, lebih 200 ahli termasuk semua exco telah menghadiri Mesyuarat Agung Kekaumas kali ke-5 yang dirasmikan oleh Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad.

Dalam ucapan aluannya, Amat Jutrah berkata, tahun ini merupakan tahun yang paling bersejarah kerana menampilkan begitu ramai calon yang bertanding merebut jawatan dalam Exco Kekaumas Sesi 2016-2017.

Katanya, kecemerlangan pengurusan kesatuan yang telah dilaksanakan telah menampakkan keikhlasan para ahli untuk mencuba untuk berganding bahu bagi mempertingkatkan lagi gerak kerja kesatuan pada masa hadapan.

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, No’man menyeru kepada semua exco yang terpilih termasuk semua ahli Kekaumas agar dapat memikirkan perkara-perkara yang terbaik untuk dicadangkan kepada pihak pengurusan universiti.

Katanya, sudah semestinya exco yang dipilih oleh ahli dapat memainkan peranan dalam memikirkan atau memberikan cadangan yang terbaik bagaimana membuat penjanaan agar peruntukan yang dikeluarkan Universiti dapat dikembalikan semula kepada pihak Kesatuan.

Tambahnya, semua pegawai Kesatuan yang dipilih oleh ahli diharap membantu Presiden dalam memberikan pendapat dan cadangan yang terbaik yang boleh dikemukakan kepada pihak atasan UMS.

“Pemilihan pegawai Kesatuan jika hanya berdasarkan kawan, terkenal, atau saja-saja bertanding atau orang lama jika tidak berdasarkan ciri-ciri perjuangan dan komitmen kepada Kesatuan akan melemahkan perjuangan walaupun kepemimpinan Kesatuan berkenaan sudah bertungkus-lumus melaksanakannya,” katanya.

No’man berkata kekuatan Kesatuan adalah bergantung kepada komitmen dan kerjasama semua exco dalam apa sahaja permuafakatan yang baik yang boleh dilaksanakan.

Sumber: Azri Onn Othman

SELASA, 22 DISEMBER - Program Bakti Siswa universiti bersama masyarakat setempat mampu mendorong pembentukan siswa-siswi yang holistik dalam pelbagai bidang.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Mary Yap Kain Ching, program-program yang melibatkan interaksi pelajar universiti  bersama masyarakat khususnya penduduk luar bandar bukan sahaja menggalakkan semangat kesukarelaan dalam kalangan pelajar, malah turut membentuk pembangunan sahsiah melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan.

“Program sebegini menyediakan para pelajar untuk turun padang menyelami kehidupan bersama masyarakat setempat, sekali gus mampu mencungkil satu kesedaran kepada pelajar terhadap impak semangat kesukarelawan terhadap pembangunan masyarakat dan negara.

“Ini selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dalam melahirkan graduan holistik melalui penaksiran terhadap elemen bukan berbentuk akademik semata-mata, tetapi turut menerapkan nilai seperti kepimpinan, komunikasi dan daya penyelesaian masalah pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Bakti Siswa Perdana Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2015 di Kampung Bukit Quoin, Balung, Tawau baru-baru ini.

Beliau turut berharap agar siswa-siswi UMS yang menyertai program tersebut dapat menimba ilmu dan pengalaman berkaitan kebudayaan dan kehidupan bermasyarakat di kampung berkenaan bagi manfaat pada masa hadapan.

Program dua hari itu telah disertai oleh 100 orang pelajar dan kakitangan UMS dengan pelbagai aktiviti dijalankan antaranya membersihkan dan mengecat surau dan sekolah agama rakyat (SAR), membaiki pagar SAR, pemeriksaan kesihatan dan derma darah, senam robik dan pertandingan bola sepak serta Sepak Takraw antara penduduk kampung.

Hadir sama pada program itu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali, Pengarah Pusat Alumni UMS, Mohd Raffie Janau, Pengarah Pusat Sukan UMS, Mohd Asyraaf Fong, dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS Azmi Jumat. -MA-