Gadang-0006JUMAAT, 22 NOVEMBER - Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin telah berkenan merasmikan Tamu Gadang sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS)  ke-15 yang berlangsung esok sehingga Isnin depan.

Beliau yang juga merupakan Canselor UMS menyempurnakan lafaz perasmian semalam di   Padang Kawad PALAPES yang menjadi lokasi Tamu Gadang sehingga 25 November 2013. Hadir sama, Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Datuk R.M. Jasni; Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Dato' Seri Zaki Tun Azmi;  Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Harun Abdullah; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Madya Datuk Dr. Hj Kasim Md Mansur dan Pegawai-Pegawai Utama UMS.

Terdahulu,  Datuk Dr. Hj Kasim dalam ucapannya berkata, Tamu Gadang pada kali ini lebih meriah apatah lagi buat julung kalinya dianjurkan di kawasan yang luas dengan sajian pelbagai aktiviti yang menarik.

Tambah beliau, penganjurannya yang menjadikan pelajar sebagai pengendali utama itu juga amat bertepatan dalam memastikan peningkatan kemahiran insaniah sekali gus  melahirkan graduan yang berdaya saing dan berminda kelas pertama.

Antara aktiviti yang diadakan termasuklah pameran kereta dan motor berhias, Family Cycling, pertandingan memancing dan banyak lagi. Tamu Gadang tahun ini turut dimeriahkan lagi dengan persembahan artis-artis popular tanah air seperti Ana Rafali, Lan The Typewritter, Felix Agus, Velvet AF, Nelly Sakura, Fiq Mentor, Fitri Harris, Heliza AF, Ray Juara Bintang RTM, Muaz dan Lotter AF.

Selain itu, sebanyak 200 gerai pameran dan jualan turut disediakan bagi para pengunjung dan graduan yang bergraduasi. –SS
 

Bahagian Media
Jabatan Canselori
 
 

tamJUMAAT, 22 NOVEMBER 2013 - Penganjuran Tamu Gadang yang menjadi salah satu komponen penting dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini kembali menemui warga masyarakat khasnya di Kota Kinabalu.

Pelbagai aktivit yang diselitkan pada setiap hari selama penganjuran Tamu Gadang bagi menarik lebih ramai pengunjung dari kalangan warga kampus dan penduduk setempat.

Seorang penggerai, Siti Zurainah Syafie ketika ditemui berkata, penganjuran Tamu Gadang membuka ruang dan peluang yang luas untuk para peniaga memperkenalkan dan menjual produk-produk mereka.

“Sebagai salah seorang peniaga, saya berasa sangat teruja setiap kali Majlis Konvokeysen UMS diadakan. Penganjurannya setiap tahun ditunggu oleh kami, para peniaga dan juga para pengunjung,” katanya.

Beliau juga turut berpendapat acara Tamu Gadang akan lebih meriah dan mendapat sambutan luar biasa sekiranya acara tersebut dimasukkan ke dalam kalendar acara pelancongan Sabah.

Seorang lagi penggerai, Azuandi Azman berkata, selain aktiviti jual beli, Tamu Gadang dilihat sebagai salah satu acara yang dapat merapatkan jurang di antara masyarakat dan institusi ilmu.

“Sebagai salah satu Institusi Pengajian Tinggi di negeri ini, saya merasakan mereka yang berkunjung ke Tamu Gadang secara tidak langsung berpeluang untuk merasai persekitaran institusi ilmu yang gah seperi UMS,” ujarnya.

Penganjuran Tamu Gadang pada tahun ini bermula pada 21 November 2013 (Khamis) sehingga 25 November 2013 (Isnin).-ZMD

Bahagian Media
Jabatan Canselori
 

mou andalasKHAMIS, 21 NOVEMBER – UMS telah menandatangani satu perjanjian kerjasama dengan Universiti Andalas (UNAND) dan Standard Chartered Siddiq Berhad (SCSB) pada satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dengan kedua-dua agensi tersebut di Galeri Majlis, UMS.
 
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah mewakili UMS menandatangani MoU tersebut, manakala UNAND diwakili oleh Rektor UNAND, Dr. H. Werry Darta Taifur dan SCSB diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, Tuan Hj. Mohd Nasiruddin Mohd Kamaruddin. Upacara tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Dato' Seri Zaki Tun Azmi dan Konsul Besar Republik Indonesia, Soepeno Sahid.
 
Melalui kerjasama tersebut, UMS akan memperbaharui semula kerjasama yang terjalin dengan UNAND yang dilakukan pada tahun 2005 merangkumi kerjasama program mobiliti pelajar, perkongsian pengetahuan, kebudayaan dan kepakaran antara kedua-dua institusi pengajian tinggi tersebut.
 
Manakala kerjasama UMS dengan SCSB bakal melibatkan penglibatan kedua-dua pihak dalam satu program ciptaan SCSB, iaitu “Mystery Shopper & Calling Exercise” yang akan menyaksikan pelajar-pelajar UMS akan diberi tugasan sebagai pelanggan berpotensi SCSB dan akan menjalankan lawatan atau membuat panggilan telefon ke cawangan SCSB.
 
Terdahulu, Datuk Harun dalam ucapannya berkata, kejayaan kerjasama yang terjalin pada MoU kali pertama antara UMS dan UNAND pada 2005 mendorong UMS memperbaharui kerjasama tersebut untuk manfaat kedua-dua pihak. Jelasnya, UMS juga komited untuk menjalin kerjasama dan mengeratkan rangkaian dengan pemain industri seperti SCSB.
 
“Antara pencapaian yang terhasil dalam kerjasama UMS-UNAND sebelum ini ialah penganjuran siri persidangan antarabangsa Asian Academy of Applied Business, selain 2 orang pensyarah dari UNAND telah berjaya menamatkan pengajian mereka di peringkat Doktor Falsafah di UMS.”
 
“Melalui kerjasama dengan SCSB pula, penglibatan pelajar UMS dalam program SCSB akan memberi mereka pendedahan terhadap pengetahuan dalam bidang perbankan dan kewangan Islam, serta memberi peluang kepada mereka mengasah kemahiran komunikasi dan pemasaran,” katanya. -MA-


Bahagian Media
Jabatan Canselori

Cabaran berbasikal malam di UMS yang menarikKHAMIS, 21 NOVEMBER - Sempena meraikan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-15, buat pertama kalinya universiti Eko-Kampus itu akan menganjurkan aktiviti berbasikal pada waktu malam sebagai salah satu acara pengisian Tamu Gadang.

Menurut Penasihat aktiviti berkenaan, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin, penyertaan  itu adalah terbuka kepada orang ramai bermula dari Tapak Tamu Gadang UMS.

“Para peserta Cabaran Berbasikal Malam Konvo UMS ini akan dilepaskan sekitar jam 8.00 malam dan akan melakukan kayuhan sejauh 20 kilometer mengelilingi UMS menggunakan laluan yang sering dilalui oleh kumpulan-kumpulan basikal yang kerap beriadah di dalam kampus. Mereka yang berjaya menghabiskan jarak laluan pada masa yang ditetapkan akan menerima sijil,” ujarnya ketika dihubungi Media Canselori.

Tambah beliau, peserta yang yang berminat boleh menghubungi Pang Ngiap Ting di talian 0168349934, manakala mereka yang telah mendaftar dikehendaki berkumpul di Tapak Tamu Gadang seawal jam 7.00 malam pada hari acara tersebut diadakan.

Ketika ditanya mengenai manfaat dalam kegiatan aktif beriadah seperti berbasikal itu, Dr. Nizam yang juga Pensyarah Program Sains Sukan berkata, ia mampu membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, obesiti dan diabetes.

“Kadar latihan yang sederhana dapat mengurang tekanan dan stres, memperbaiki emosi dan meningkatkan keyakinan. Aktiviti berbasikal ini juga dapat meningkat kecergasan fizikal seperti ketahanan kardiovaskular, kekuatan dan koordinasi,” jelasnya lagi.

Cabaran berbasikal itu merupakan anjuran bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pelajar Sains Sukan (Pengurusan Sukan) tahun 2 dan 3.

Selain bertujuan memperkenalkan UMS sebagai destinasi berbasikal yang selamat kepada warga bandar raya Kota Kinabalu ia juga sekali gus mengukuhkan jalinan akrab antara UMS dengan masyarakat melalui sukan.

Peserta yang memakai pakaian dan basikal yang unik turut berpeluang memenangi hadiah wang tunai dan hamper.  –SS
 

Bahagian Media
Jabatan Canselori
 
 

apk9SELASA, 19 NOVEMBER - Ekspo Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) jelas mampu mendedahkan siswa-siswi kepada persekitaran perniagaan yang semakin luas dan mencabar apabila permintaan pada masa ini memaksa para usahawan menjadi lebih kreatif dan inovatif.

Menurut Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Vincent Pang, APK turut dilihat mampu membuka minda golongan pelajar bagi meningkatkan penyertaan para pelajar dalam bidang keusahawanan dan perniagaan untuk melahirkan usahawan yang berkarisma dan berdaya saing.

“Para siswa-siswi pada masa kini perlu mempelajari kemahiran insaniah agar dapat mengharungi cabaran perniagaan dan peluang pekerjaan yang bakal diperolehi kelak,” kata beliau.

Terdahulu, menurut Pengarah Penganjur, Doo Ching Howe, ekspo tersebut dapat menggalakkan para pelajar merealisasikan impian mereka dan bukan sekadar angan-angan kosong.

“Selaras dengan hasrat universiti untuk menjadikan UMS sebagai universiti dalam taman, ekspo kali ini membawa inspirasi kepada pelajar untuk menghayati dan menghargai alam sekitar dengan aktiviti-aktiviti berkaitan kitar semula termasuk penyediaan ‘mud ball’, tambahnya.

APK ke-9 yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar jurusan kejuruteraan dari Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat (SKTM) menarik lebih 1500 penyertaan daripada kalangan pelajar dengan jumlah 140 buah gerai.

Bertemakan ‘Make It Happen’, ekspo tersebut diadakan selama lima hari bermula hari ini dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, bertempat di parkir perpustakaan UMS. Antara barangan yang diniagakan termasuklah makanan, minuman serta produk-produk hasil kreativiti dan inovasi pelajar-pelajar UMS. - ZMD

Bahagian Media,
Jabatan Canselori