Cabaran berbasikal malam di UMS yang menarikKHAMIS, 21 NOVEMBER - Sempena meraikan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-15, buat pertama kalinya universiti Eko-Kampus itu akan menganjurkan aktiviti berbasikal pada waktu malam sebagai salah satu acara pengisian Tamu Gadang.

Menurut Penasihat aktiviti berkenaan, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin, penyertaan  itu adalah terbuka kepada orang ramai bermula dari Tapak Tamu Gadang UMS.

“Para peserta Cabaran Berbasikal Malam Konvo UMS ini akan dilepaskan sekitar jam 8.00 malam dan akan melakukan kayuhan sejauh 20 kilometer mengelilingi UMS menggunakan laluan yang sering dilalui oleh kumpulan-kumpulan basikal yang kerap beriadah di dalam kampus. Mereka yang berjaya menghabiskan jarak laluan pada masa yang ditetapkan akan menerima sijil,” ujarnya ketika dihubungi Media Canselori.

Tambah beliau, peserta yang yang berminat boleh menghubungi Pang Ngiap Ting di talian 0168349934, manakala mereka yang telah mendaftar dikehendaki berkumpul di Tapak Tamu Gadang seawal jam 7.00 malam pada hari acara tersebut diadakan.

Ketika ditanya mengenai manfaat dalam kegiatan aktif beriadah seperti berbasikal itu, Dr. Nizam yang juga Pensyarah Program Sains Sukan berkata, ia mampu membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, obesiti dan diabetes.

“Kadar latihan yang sederhana dapat mengurang tekanan dan stres, memperbaiki emosi dan meningkatkan keyakinan. Aktiviti berbasikal ini juga dapat meningkat kecergasan fizikal seperti ketahanan kardiovaskular, kekuatan dan koordinasi,” jelasnya lagi.

Cabaran berbasikal itu merupakan anjuran bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pelajar Sains Sukan (Pengurusan Sukan) tahun 2 dan 3.

Selain bertujuan memperkenalkan UMS sebagai destinasi berbasikal yang selamat kepada warga bandar raya Kota Kinabalu ia juga sekali gus mengukuhkan jalinan akrab antara UMS dengan masyarakat melalui sukan.

Peserta yang memakai pakaian dan basikal yang unik turut berpeluang memenangi hadiah wang tunai dan hamper.  –SS
 

Bahagian Media
Jabatan Canselori
 
 

apk9SELASA, 19 NOVEMBER - Ekspo Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) jelas mampu mendedahkan siswa-siswi kepada persekitaran perniagaan yang semakin luas dan mencabar apabila permintaan pada masa ini memaksa para usahawan menjadi lebih kreatif dan inovatif.

Menurut Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Vincent Pang, APK turut dilihat mampu membuka minda golongan pelajar bagi meningkatkan penyertaan para pelajar dalam bidang keusahawanan dan perniagaan untuk melahirkan usahawan yang berkarisma dan berdaya saing.

“Para siswa-siswi pada masa kini perlu mempelajari kemahiran insaniah agar dapat mengharungi cabaran perniagaan dan peluang pekerjaan yang bakal diperolehi kelak,” kata beliau.

Terdahulu, menurut Pengarah Penganjur, Doo Ching Howe, ekspo tersebut dapat menggalakkan para pelajar merealisasikan impian mereka dan bukan sekadar angan-angan kosong.

“Selaras dengan hasrat universiti untuk menjadikan UMS sebagai universiti dalam taman, ekspo kali ini membawa inspirasi kepada pelajar untuk menghayati dan menghargai alam sekitar dengan aktiviti-aktiviti berkaitan kitar semula termasuk penyediaan ‘mud ball’, tambahnya.

APK ke-9 yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar jurusan kejuruteraan dari Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat (SKTM) menarik lebih 1500 penyertaan daripada kalangan pelajar dengan jumlah 140 buah gerai.

Bertemakan ‘Make It Happen’, ekspo tersebut diadakan selama lima hari bermula hari ini dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, bertempat di parkir perpustakaan UMS. Antara barangan yang diniagakan termasuklah makanan, minuman serta produk-produk hasil kreativiti dan inovasi pelajar-pelajar UMS. - ZMD

Bahagian Media,
Jabatan Canselori
 

Perlepasan pesertaISNIN, 18 NOVEMBER - Kehangatan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang tinggal beberapa hari sahaja lagi kini semakin terasa. Bagi menyemarakkan acara berprestij itu, Majlis Kepimpinan Pelajar (MPP) dengan kerjasama Pelajar Pengurusan Sains Sukan Tahun 2 dan Tahun 3 telah menganjurkan Larian Konvo UMS kelmarin sempena pengisian Tamu Gadang 2013 yang bermula 21 November ini.

Larian sejauh 7 kilometer bermula dari Padang Kawad Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan berakhir di Pusat Kegiatan Luar (ODEC) UMS. Seramai 240 peserta telah mengambil bahagian bagi merebut empat kategori yang dipertandingkan iaitu kategori Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, kategori Sekolah Terbuka Lelaki dan Sekolah Terbuka Wanita.

Bagi kategori terbuka lelaki, Ruston Masri muncul johan bagi mengetepikan pesaing terdekatnya, Frederic Herman di tempat kedua. Manakala, tempat ketiga dimiliki oleh Louis Muslin.

Kategori Terbuka Wanita pula menyaksikan Emily Singan terus gagah melangkah hingga ke garisan penamat untuk dinobatkan sebagai juara sekali gus menafikan harapan Chong Vun Lung yang terpaksa berpuas hati ditempat kedua, disusuli Dora Suan di tempat ketiga.

Johan, naib johan dan pemenang tempat ketiga bagi kedua-dua kategori masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM250, RM150 dan RM80 beserta medal dan hamper.

Bagi kategori Sekolah Terbuka Lelaki pula memperlihatkan Jusli Jaiban dari Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial (SPPS) muncul johan disusuli Kenson Rubanjan dari Sekolah Psikologi dan Kerja Sosial (SPKS) di tempat kedua. Manakala tempat ketiga juga dimiliki pelajar SPKS, Samzah Lawis.

Bagi kategori Sekolah Terbuka Wanita pula menyaksikan pelajar SPKS sekali lagi mendominasi acara tersebut apabila pelajarnya, Hau Sui Chee dinobatkan sebagai juara bagi kategori berkenaan. Naib johan disandang pelajar Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa (SPTA), Au Hwi Ji dan tempat ketiga dimenangi oleh Wann Huzida Roza Husin dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE).

Johan bagi kedua-dua kategori itu menerima hadiah wang tunai sebanyak RM150, medal dan hamper. Naib johan dan tempat ketiga pula masing-masing menerima RM100 dan RM50 berserta medal dan hamper. Atas kejuaraan yang diperoleh dalam kategori Sekolah Terbuka Lelaki sekali gus memboleh SPPS turut membawa pulang Piala Pusingan Larian Konvo 2013.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengetua Kolej Kediaman CD, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Datuk Dr. Kasim Md. Mansur. - SS 
 

Bahagian Media
Jabatan Canselori

Sumber gambar: SPPS

berjubah labuanISNIN, 18 NOVEMBER – Sejumlah 300 pelajar dan warga Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) terlibat pada Majlis Perarakan Berjubah di Labuan hujung minggu lalu.
 
Perarakan yang dimulakan di Menara Perbadanan Labuan pada jam 8.30 pagi mengambil masa selama 30 minit dengan jarak sejauh kira-kira 1 kilometer menuju ke Dataran Labuan yang diketuai oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah, dekan-dekan sekolah serta warga kampus UMSKAL.
 
Menurut Datuk Dr. Harun, perarakan ini adalah simbolik suatu perjalanan seorang mahasiswa yang berhempas-pulas dan berkorban masa serta tenaga selama tiga hingga lima tahun bagi mendapatkan segulung ijazah.
 
“Ketika masih dalam pengajian, UMS membekalkan ilmu untuk mengukuhkan jati diri, modal insan dan kemahiran untuk dikongsi dengan masyarakat. Pelajar diajar meningkatkan keazaman dan memurnikan cita-cita untuk memajukan diri dan masyarakat umumnya,” tambah beliau lagi.
 
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Mohd Nadzri Osman, kerjasama pintar antara Perbadanan Labuan dengan UMSKAL telah lama wujud yang sudah tentunya banyak memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
 
“Penubuhan UMSKAL telah banyak membantu mempromosikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai hab pendidikan yang terkenal di rantau ini melalui kehadiran pelajar dari seluruh negara dan antarabangsa terutama dari negara China, Tanzania dan Turki.
 
Sesungguhnya, sumbangan warga UMSKAL dan pihak UMS yang sering kali mengadakan program di pulau ini seperti mesyuarat pengurusan dan aktiviti pelajar sangat besar maknanya kepada Perbadanan Labuan, jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) selain peniaga tempatan.”
 
Pada majlis tersebut, graduan turut dianugerahkan replika kunci daripada Perbadanan Labuan sebagai simbolik keizinan graduan UMSKAL menjadi warga Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Majlis yang meriah ini turut diberikan kerjasama oleh Perbadanan Labuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cawangan Trafik (PDRM), Jabatan Penerangan, PALAPES, SUKSIS dan PALAPES Udara.
 
Turut hadir pada majlis tersebut, YB Senator Datuk Yunus Kurus, Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr Ismail Ali dan pegawai-pegawai utama UMS. -CD-


Bahagian Media
Jabatan Canselori
 
 

marin pelawatSATURDAY, 16 NOVEMBERUniversiti Malaysia Sabah (UMS) Marine Museum recorded 17,258 visitors since January to August this year.

Of the total, 13,230 were local visitors, 3,095 foreigners and the rest were the unversity’s official guests, the Special Needs (OKU) and UMS staff.

According to the Curator of the Museum, Flora Anne Asalin, visitors were expected to rise until end of the year 2013.

“For the record, visitors to the museum increases every year. In 2009, a total of 12,228 visitors were recorded, 22,990 in 2010; 23,808 in 2011 and a big jump in 2012 with a total of 28,663 visitors.

“Thus the total visitors since 2009 until August 2013 is 104,947,” she added.

The marine museum which is managed by the Borneo Marine Research Institute (IPMB) is open to public every day except on Wednesdays and public holidays, starting from 9.30 am until 4.30 pm.

She was quoted as saying when contacted by UMS Chancellery Media today. – SS

 
Media Division
Chancellery Department