
Pendaftar UMS, Datuk Abdullah Mohd Said berkata PPK UMS yang sebelum ini beroperasi d Kingfisher telah bermula operasi di dalam kampus pada awal tahun ini dengan mengguna pakai dua bangunan dewan kuliah bagi memudahkan para ibu bapa menghantar, melawat dan mengambil anak masing-masing.
“Bilangan kakitangan PPK UMS turut ditambah kepada lebih 80 orang berbanding hanya 40 orang sebelum ini selaras dengan penambahan kemasukan kanak-kanak ke pusat perkembangan itu.
“Pihak pengurusan universiti sentiasa mengharapkan maklum balas dan idea daripada ibu bapa agar PPK UMS terus berkembang seiring dengan perkembangan semasa bagi menggapai kanak-kanak minda kelas pertama,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Program dan Persembahan Bakat PPK UMS 2014 di Dewan Resital, UMS.
Perasmian majlis tersebut disempurnakan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah.
Datuk Abdullah menambah, sejumlah 110 kakitangan UMS menghantar anak-anak mereka ke PPK UMS, dan penubuhan PPK ini adalah seiring dengan saranan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang menggalakkan organisasi besar menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak di premis pejabat.
Pada majlis tersebut, Datuk Harun menyampaikan sijil tamat program kepada 39 kanak-kanak, terdiri daripada 17 kanak-kanak berumur 6 tahun dan 22 kanak-kanak berumur 3 tahun. -MA-
Foto: Ernest Berinus
Foto: Ernest Berinus
Bahagian Media dan Citra
Jabatan Canselori