Ketika merasmikan karnival tersebut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili berkata menerusi kerajaan sedia ada, pelbagai bantuan telah disalurkan untuk pembangunan pendidikan termasuk di negeri Sabah.
“Kita berharap suatu hari nanti akan adanya pusat pengajian di daerah ini untuk memberi peluang kepada anak-anak kita melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” ujar beliau kepada lebih 150 hadirin yang hadir di Dewan Komuniti, Kota Marudu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen P.168 Kota Marudu berkata, para pelajar perlu memupuk minat untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi bagi menghasilkan modal insan yang lebih berjaya.
Justeru Datuk Seri Dr. Maximus berharap, melalui program transformasi pendidikan itu mampu melahirkan sekurang-kurangnya satu kampung satu graduan pada masa hadapan ke arah memenuhi permintaan pasaran kerjaya.
Program sehari itu turut diisi dengan gerai-gerai pameran pendidikan, ceramah akademik dan aktiviti kemasyarakatan daripada sukarelawan UMS. Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Pusat Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Mahmud Sudin mewakili Timbalan Naib Canselor HEP UMS, Prof. madya Datuk Dr. Hj. Kasim Md. Mansur.
Oleh: Faezah Mohamad Dun
Foto: Musaab Umair
Seksyen Penerangan dan Media Bahagian Perhubungan Korporat