Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

Pelajar FKAL membantu menjayakan Festival Labuan Big Show Hot Air Ballon 2024

Pelajar FKAL membantu menjayakan Festival Labuan Big Show Hot Air Ballon 2024

9 MEI 2024 (KHAMIS) - Seramai 30 pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah membantu menjayakan Festival Labuan Big Show-Hot Air Ballon sebagai sukarelawan yang telah berlangsung selama 3 hari bermula 3 hingga 5 Mei 2024.

Penyelaras Sukarelawan, Dr Noor Hassanah Husin berkata festival yang diadakan di Dataran Labuan itu menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga Labuan dengan kehadiran lebih daripada 30,000 pengunjung termasuk dari luar Labuan.

“Terima kasih kepada penganjur, Labuan Big Show kerana memberi peluang kepada pelajar-pelajar FKAL untuk mendapatkan pengalaman dan ilmu dalam meningkatkan kemahiran insani pelajar bagi menjayakan festival yang besar ini,”katanya yang juga Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) FKAL.

Katanya, festival yang bermula daripada pukul 7 pagi sehingga 11 malam itu memberi pengalaman yang amat bermakna kepada pelajar FKAL dari sudut kawalan emosi, komunikasi, bekerja dalam pasukan dan pengurusan stress terutama ketika waktu puncak yang mana mereka berhadapan dengan ribuan pengunjung.

“Oleh itu, festival ini memberi pengalaman yang amat berharga buat mereka.

“Saya yakin dan percaya pelajar FKAL juga bangga dapat memberikan sumbangan kepada komuniti WP Labuan,”katanya.

Beliau yang mewakili Dekan FKAL, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal berkata UMSKAL dan FKAL secara khususnya akan terus menyumbang idea dan bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan di WP Labuan pada masa akan datang.

Terima kasih penganjur.

Tamat.

Majlis Aidilfitri dan Jubli Perak UMSKAL Tahun 2024 Eratkan Warganya

Majlis Aidilfitri dan Jubli Perak UMSKAL Tahun 2024 Eratkan Warganya

LABUAN: Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) meraikan Majlis Sambutan Aidilfitri dan Jubli Perak UMSKAL Tahun 2024 secara sederhana tetapi meriah.

Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid di Dewan Utama, UMSKAL pada 7 Mei 2024.

Turut hadir Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohammad Tuah dan Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia UMSKAL, Mas Adi Alimin selaku Penyelaras Program.

Majlis yang bermula pukul 10 pagi itu turut dihadiri pensyarah, kakitangan, kontraktor dan pelajar.

Dr. Mohamad Rizal berterima kasih atas kehadiran dan komitmen seluruh warga UMSKAL khususnya kakitangan dalam menjayakan majlis itu.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak urusetia dan kakitangan pelaksana yang berusaha gigih bagi memastikan majlis itu berjalan dengan lancar.

Dalam ucapannya, beliau berkata Ramadan yang lalu telah mengajar kita untuk banyak bersabar dan diharapkan nilai dan sifat ini tidak terhenti setakat itu tetapi dapat kita terus terapkan dalam kehidupan kita pada bulan-bulan yang akan datang.

Beliau berdoa semoga kita semua dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki, Insya-Allah mudah-mudahan kita dipertemukan lagi dengan Ramadan pada tahun hadapan.

“Diharapkan juga, Ramadan yang berlalu menjadikan kita semua terus istiqamah untuk memikul amanah yang telah diberikan dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan dengan penuh keikhlasan.

“Saya yakin dan percaya, majlis sambutan perayaan seperti ini akan dapat menyatukan kepelbagaian agama dan budaya, mempamerkan keharmonian berbilang latar belakang kaum dan kepercayaan, yang akhirnya mewujudkan kesatuan dan muhibbah dalam kalangan masyarakat, khususnya warga UMSKAL,”katanya.

Tambah beliau, Majlis Sambutan Aidilfitri yang disekalikan dengan sambutan Jubli Perak UMSKAL seperti ini tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk mengeratkan jalinan ukhuwah, persaudaraan dan perpaduan sesama kita dan organisasi di kampus ini.

Selain itu, majlis sebegini boleh dijadikan batu loncatan untuk kita merapatkan kembali hubungan, saling bermaafan dan bersedia membuka lembaran baru bagi mewujudkan permuafakatan yang lebih utuh lagi.

Jelasnya, perbezaan pendapat adalah lumrah dan harus dimanfaatkan dan boleh dijadikan pencetus idea dan ilmu untuk menghasilkan keputusan yang terbaik dan memberikan kemaslahatan kepada masyarakat dan negara.

“Semoga kita di UMSKAL terus bersatu dalam memastikan kampus kita sentiasa dalam suasana yang harmoni, bekerjasama dan gembira,”katanya.

Sementara itu, pelbagai juadah disajikan kepada kakitangan dan pelajar sambil dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan tarian.

Tahniah kepada gerai yang memenangi Anugerah Gerai Terbaik sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai.

Semoga Berjumpa Lagi 2025.

Tamat.

Masjid Al-Hikmah UMSKAL  Jayakan Majlis Tautan Kasih Aidilfitri Madani 2024

Masjid Al-Hikmah UMSKAL Jayakan Majlis Tautan Kasih Aidilfitri Madani 2024

5 MEI 2024 (AHAD) – Masjid Al-hikmah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL turut tidak ketinggalan menjayakan Majlis Tautan Kasih Aidilfitri Madani 2024.

Kakitangan dan pelajar yang menjadi Sahabat Masjid hadir mewakili Masjid Al-Hikmah di pekarangan Medan Selera Labuan seawal pukul 9 pagi.

Mereka bekerjasama melayan pengunjung di gerai Masjid Al-Hikmah yang menyediakan ais krim yang menjadi tumpuan kanak-kanak.

Majlis itu dimeriahkan dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokthar.

Ustaz Khairul Isham mengucapkan terima kasih kepada Sahabat Masjid yang sama-sama turun padang menjayakan majlis itu.

Syabas Buat Semua Yang Terbabit.

Tamat.

FKAL Terima Anugerah Rakan Strategik Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan

FKAL Terima Anugerah Rakan Strategik Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan

4 MEI 2024 (SABTU) - Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menerima Anugerah Rakan Strategik Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan sempena Majlis Graduasi Sesi 2022/2023 Tahun 2024.

Anugerah ini diberikan bagi menghargai pihak UMSKAL khasnya Fakulti Kewangan Aantarabangsa Labuan atas kerjasama yang terjalin khususnya dalam bidang penyelidikan, motivasi dan pendidikan.

Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal menerima anugerah itu daripada Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Ahmad Puteh.

Turut hadir Pengetua SMK Labuan Mohd Nizam Yasim dan Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan, Saminan Sabtu.

Hubungan Dua Hala.

Tamat.