Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

Skuad Futsal UMSKAL Sedia Hadapi Liga Futsal Institusi Pendidikan Tinggi Borneo 2024

Skuad Futsal UMSKAL Sedia Hadapi Liga Futsal Institusi Pendidikan Tinggi Borneo 2024

PASUKAN Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sudah bersiap sedia menghadapi Liga Futsal Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2024.

12 pelajar yang terpilih menyarung jersi skuad futsal UMSKAL bersedia menggalas cabaran menghadapi lapan pasukan dari IPT Zon Borneo.

Mereka ialah Mohamad Shahril Iqmal Hippini (ketua pasukan), ⁠Mohd. Muadz Ahmad Jamizi, Muhammad Nur Irfan Afiq Hamden, ⁠Shoomaan S/O Kalaiahrasan, ⁠Mohamad Khairul Rizal dan ⁠Faiezal Anam.

Selain itu, ⁠Mohamad Ihsan Mohamad, ⁠Adzril Kamlan, ⁠Safwan Rahimie Roslan Penolong Ketua Pasukan), ⁠Hanif Qhuzairee Mohd Asri, ⁠Muhammad Afiq Dzikri Mohd Rizuan dan ⁠Nazerry Dennis.

Skuad UMSKAL diketuai Ketua Kontinjen, Dr Ahmad Fadly Abd Rahman yang juga Ketua Sektor Sukan dan Rekreasi UMSKAL bersama Pengurus Pasukan, Mohd Nazri Mohd Ibrahim dan Penolong Pengurus, Jasri Japar.

Manakala Asmawi Awang dan Yusdi Lamat masing-masing bertindak sebagai Ketua Jurulatih dan Penolong Jurulatih di samping Muhammad Raffiezy Abdul Rashad sebagai Pegawai Perubatan.

Sementara itu, Dr Ahmad Fadly meminta semua pemain dan pegawai sentiasa menjaga nama baik UMSKAL sebelum, semasa dan selepas kejohanan itu.

“Sambil kita memburu kemenangan, jangan lupakan aspek disiplin dan semangat kesukanan,”katanya.

Asmawi pula meminta anak buahnya memenangi kesemua perlawanan bagi memudahkan laluan ke peringkat separuh akhir kejohanan tiga hari itu.

“Kita menyedari skuad UMSKAL akan menghadapi persaingan sengit daripada pasukan lain yang juga mengintai peluang layak ke pusingan seterusnya.

“Skuad UMSKAL perlu lebih garang menghadapi pasukan lawan sebelum berhasrat layak ke separuh akhir,”katanya.

Karnival Borneo Liga Futsal IPT 2024 akan diadakan di UMS, Kota Kinabalu pada 9 hingga 11 Jun 2024.

Selamat Berjuang.

Tamat.

UMSKAL rai pegawai bersara dan berpindah

UMSKAL rai pegawai bersara dan berpindah

LABUAN: Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah mengadakan Majlis Persaraan dan Majlis Penghargaan Kakitangan pada 20 Mei 2024.

Majlis yang berlangsung di Bilik Seri Menanti Bangunan Menara UMSKAL itu meraikan seorang pegawai bersara, Asli Ukal yang telah menabur bakti selama 25 tahun di UMSKAL.

Asli yang dilahirkan pada 10 Julai 1964 di Beaufort, Sabah bertugas di Bahagian Keselamatan UMSKAL pada 5 Oktober 1999 sehingga 9 Julai 2024.

Beliau yang pernah mewakili UMS dalam sukan bola sepak veteran menerima Pingat Perkhidmatan Awam, Pingat Perkhidmatan Setia, Pingat Negara-Negara Bersatu dan Pingat Jasa Malaysia.

Lima orang pegawai berpindah ialah Ketua Sektor Kewangan, Mohammad Anwar Abdullah, mantan Ketua Sektor Klinik Rawatan Warga, Dr Roy Martin Daya dan mantan Ketua Sektor Perkhidmatan Akademik, Juliana Affendy,

Turut diraikan dua lagi kakitangam Klinik Rawatan Warga, Nurul Amiella Abdullah dan Valaria Ondihon Wilfred Lajanty.

Kesemua mereka berpindah ke UMS Kota Kinabalu.

Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abd Hamid menyampaikan cenderamata penghargaan kepada pegawai yang terbabit.

Dalam ucapannya, Dr. Mohamad Rizal bagi pihak semua warga UMSKAL mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pegawai yang bersara dan pegawai yang berpindah.

“Terima kasih dan sekalung penghargaan saya ucapkan kepada pegawai yang bersara dan pegawai yang berpindah atas jasa, pengorbanan dan khidmat bakti kepada UMSKAL selama ini,”katanya.

Beliau berharap sikap dedikasi mereka itu akan diteladani pegawai dan kakitangan yang masih berkhidmat di UMSKAL.

Sementara itu, pegawai yang diraikan mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua warga UMSKAL terhadap bidang tugas mereka masing-masing.

Mereka berharap semua pegawai dan kakitangan akan terus menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sehabis baik.

“Mohon maaf jika kami ada melakukan kesalahan dan kesilapan."

“Kami bangga menjadi sebahagian daripada UMSKAL,”katanya.

Turut hadir Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohammad Tuah, Ketua-ketua Sektor dan kakitangan sektor yang terbabit.

Jasamu Dikenang.

Tamat.

Liga Sukan medan pilih pemain terbaik wakili UMSKAL

Liga Sukan medan pilih pemain terbaik wakili UMSKAL

LABUAN: Sebanyak 13 pasukan mengambil bahagian di Kejohanan Liga Sukan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Tahun 2024.

Ketua Sektor Sukan & Rekreasi UMSKAL, Dr. Ahmad Fadly Abdul Rahman berkata. acara bola sepak disertai 7 pasukan manakala enam pasukan mengambil bahagian dalam acara bola jaring.

Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) diwakili pasukan HE19 International Finance, HE20 International And Offshore Banking, HE21 International Marketing, HE22 International Financial Economics dan HE23 Islamic Finance.

Turut menyertai kedua-dua acara itu ialah pasukan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Pasukan Staff UMSKAL FC pula hanya menyertai acara bola sepak.

Dr Ahmad Fadly berkata Sektor Sukan dan Rekreasi (SSR) menganjurkan acara itu sepanjang bulan Mei ini.

Sementara itu, Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid mengalu-alukan penganjuran acara sukan seperti itu untuk memastikan pelajar sentiasa sihat, cergas dan cerdas.

Malah, katanya, menerusi kejohanan itu dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara mereka.

Beliau berharap dan berdoa semoga menerusi kejohanan itu akan melahirkan lebih ramai pemain berbakat untuk mewakili universiti dan negara satu hari nanti.

“Menerusi kejohanan itu dapatlah dieratkan hubungan baik antara pelajar dan kakitangan UMSKAL di bawah satu bumbung.

“Kita mahu pelajar mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah, membantu mereka bergiat aktif dalam bidang sukan dan seterusnya memberi ruang dan peluang mewakili UMS dan negara satu hari nanti,”katanya.

Pada masa sama, katanya, kejohanan itu dijadikan medan untuk memilih pemain terbaik dalam kalangan mahasiswa dan kakitangan untuk mewakili UMSKAL ke peringkat UMS di Kota Kinabalu.

Dr Ahmad Fadly tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua AJK Pelaksana yang komited memastikan Liga Sukan UMSKAL Tahun 2024 berjalan lancar,

Tamat.

Program Fun Sport For UMSKAL Eratkan Mahasiswa

Program Fun Sport For UMSKAL Eratkan Mahasiswa

LABUAN: Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) mengadakan Program Fun Sport For UMSKAL adalah untuk menjadikan sukan sebagai budaya dalam kalangan mahasiswa.

Pengarah Kampus UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid berkata pihaknya mahu mahasiswa sentiasa aktif dengan kegiatan sukan dan rekreasi pada setiap hari.

Pada masa sama, beliau mahu menerusi program itu, akan melahirkan pelajar yang sihat, cergas dan cerdas.

“UMSKAL mahu menjadikan sukan sebagai penyatuan dan perpaduan dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

“Kita mahu menjadikan sukan sebagai budaya, ceria dan gembira dalam kalangan mahasiswa sepanjang menjalani kehidupan di kampus,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Fun Sport For UMSKAL Tahun 2024 yang diadakan di Dewan Utama UMSKAL pada 14 Mei 2024.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengetua Kolej Kediaman, Ts Hadzariah Ismail.

Turut hadir Ketua Sektor Sukan dan Rekreasi UMSKAL, Dr. Ahmad Fadly Abdul Rahman, Ketua-ketua Sektor dan wakil.

Pada majlis itu diadakan penyampaian sumbangan Insentif Atlet UMSKAL (MASUM) Fasa 1, 2024 dan Penyerahan Bendera Kontinjen UMSKAL ke Kejohanan Olahraga UMS 2024.

Pada tahun ini, Sektor Sukan dan Rekreasi menganjurkan Kejohanan E-Games UMSKAL, Karnival Sukan Massa UMSKAL, Karnival Sukan Indoor UMSKAL, Karnival Sukan Pantai UMSKAL, Tamu Gadang UMSKAL dan Karnival Sukan Pantai Kolej Kediaman UMS (SUKOL).

Sebanyak 8 pasukan mengambil bahagian dalam Liga Sukan UMSKAL 2024.

Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) diwakili HE19 International Finance, HE20 International And Offshore Banking, HE21 International Marketing, HE22 International Financial Economics dan HE23 Islamic Finance.

Manakala pasukan HC12 Multimedia Technology dan HC13 Business Computing mewakili Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Sebuah lagi pasukan ialah Majlis Perwakilan Pelajar / JAKMAS.

Turut mengambil bahagian ialah pasukan Staff UMSKAL FC yang menyertai acara bola sepak 9 Sebelah.

Dr Mohamad Rizal mengucapkan terima kasih kepada semua pelajar dan staf yang mengharumkan nama UMSKAL dalam arena sukan dan permainan.

“Teruskan bergiat aktif dalam bidang sukan di samping tidak melupakan akademik.

“Terima kasih kepada semua pelajar dan kakitangan yang telah mengharumkan nama UMSKAL,”katanya.

Teruskan Kecemerlangan Anda.