27 JUN 2024 (KHAMIS) - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Bank Rakyat dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) melancarkan Projek Asnafpreneur Bank Rakyat 2.0, di Bilik Eureka, Bangunan Menara UMSKAL).
Penganjuran projek 2.0 ini adalah lanjutan daripada inisiatif tiga institusi ini dalam membantu usahawan asnaf berpotensi di Wilayah Persekutuan Labuan bagi memantapkan kemahiran keusahawanan, di samping mengembangkan lagi perniagaan sedia ada mereka.
Seramai 50 peserta yang telah dipilih oleh MAIWP bakal menerima suntikan dana sebanyak RM5,000 seorang menerusi dana wakalah Bank Rakyat dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM250,000.
Usahawan ini juga akan diberikan bimbingan menerusi sistem coaching dan monitoring oleh pihak UMSKAL secara berkala dalam tempoh 6 bulan bagi mengukuhkan kebolehan berniaga peserta.
Ketua Wilayah Sabah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Md. Azmi Mohd Taib berkata, projek Asnafpreneur ini mencerminkan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam membantu membina masyarakat yang progresif dan inklusif melalui inisiatif pembangunan pemerkasaan usahawan, khususnya bagi meningkatkan status komuniti asnaf demi kesejahteraan dan kemakmuran ekonomi masyarakat Madani.
Menerusi inisiatif ini, Bank Rakyat berharap agar dapat terus membantu meningkatkan keupayaan usahawan asnaf dalam membentuk kedudukan kewangan yang lebih kukuh bagi menghadapi cabaran atau rintangan kewangan di luar jangkaan pada masa hadapan, selain memberi peluang baharu buat usahawan asnaf di Labuan untuk lebih proaktif dan berdaya saing serta maju dalam sektor keusahawanan.
Turut hadir Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Timbalan Pengurus MAIWP Cawangan Labuan, Mohd Radzaleih Matusin.
Pada tahun 2023, Bank Rakyat menerusi dana wakalah perniagaannya telah menyumbangkan sebanyak RM150,000 kepada 30 orang usahawan asnaf Labuan dengan setiap peserta menerima sumbangan sebanyak RM5,000 seorang.
Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid berkata, kerjasama seumpana ini perlu diperbanyakkan lagi kerana salah satu daripada fungsi UMSKAL adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat dan projek Asnafpreneur Bank Rakyat 2.0 ini telah memberikan platform tersebut untuk komuniti Wilayah Persekutuan Labuan sempena menyambut ulangtahun UMS ke-30 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman percaya bahawa projek ini secara tidak langsung telah mengukuhkan lagi jalinan kerjasama di antara PPZ-MAIWP ini dengan Bank Rakyat dan juga UMSKAL.
Jalinan kerjasama di antara tiga insitusi untuk program ini sekali lagi membuktikan bahawa setiap pihak memainkan peranan dan bertanggungjawab dalam membangunkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang dalam masyarakat.
Diharapkan agar projek kali kedua ini akan membuka peluang dan lembaran baru kepada usahawan asnaf yang terpilih dalam menambah baik kehidupan mereka dan seterusnya menjadi pembayar zakat pada masa akan datang.
PPZ-MAIWP menyeru syarikat korporat untuk menunaikan zakat di PPZ-MAIWP agar lebih ramai asnaf di Wilayah Persekutuan, termasuk Labuan dapat dibantu.
Pada masa yang sama, pembayar juga berpeluang untuk mendapat Skim Wakalah iaitu dasar pengembalian semula wang zakat bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan termasuk kakitangan mereka.
Terima kasih kepada semua yang terbabit.
Tamat.