Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

UMSKAL Deepavali Night 2024 tonjol budaya kaum India

UMSKAL Deepavali Night 2024 tonjol budaya kaum India

18 OKTOBER 2024 (JUMAAT) - Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid merasmikan Program Deepavali Night 2024 di Dewan Utama UMSKAL .

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran mantan Pengerusi Kongres India Malaysia Labuan, Datuk Ramasamy Rengasamy, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, Penyelaras Program Deepavali Night 2024, Dr. Anath Rau Krishnan dan Pengarah Program, Har Sarazir A/L Har Mahadzir.

Syabas Sekretariat Majlis Perwakilan Pelajar (SMPP) dan Kelab Sekretariat Kesenian, Kerohanian Dan Warisan India Malaysia (SEKWIM) yang berterusan memelihara dan mempromosikan warisan budaya masyarakat India.

Mahasiswa UMSKAL berpeluang mengetahui dan memahami adat dan budaya masyarakat India.

Program itu menonjolkan seni tradisional, amalan kerohanian dan nilai budaya selain makanan dan pakaian yang unik serta menarik.

Pelajar membuktikan kemampuan dan bakat mereka.

Tamat.

Empat Pensyarah FKAL Memperkasa Komuniti Kampung Sungai Bedaun Melalui Komuniti@UniMADANI

Empat Pensyarah FKAL Memperkasa Komuniti Kampung Sungai Bedaun Melalui Komuniti@UniMADANI

Komuniti Kampung Sungai Bedaun telah menyertai program gotong-royong dan menerima peralatan dan bungkah cendawan di bawah Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI pada 12  Oktober 2024 (SABTU).

Program ini bertujuan untuk memindahkan ilmu dan teknologi untuk memperkasakan sosio-ekonomi komuniti menerusi penanaman cendawan di Perkebunan Rumah Cendawan Dewan Komuniti JPKK Kampung Sungai Bedaun.

Para peserta yang terlibat dalam gotong-royong merangkumi penduduk dan AJK Kg Sungai Bedaun.

Program ini bertujuan membantu menjana pendapatan tambahan untuk komuniti Kg Sungai Bedaun.

Sementara itu, misi utama pelaksanaan Program Pendayaan Komuniti Kementerian Kewangan - Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI) adalah untuk meningkatkan peranan universiti awam dalam mendaya upaya komuniti seiring falsafah pembangunan MADANI oleh kerajaan.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2024 telah menyatakan komitmen kerajaan untuk menyediakan peruntukan kepada universiti awam bagi pelaksanaan program komuniti.

Melalui program penanaman cendawan ini, proses perbincangan dan penyerahan peralatan telah mula dilaksanakan bermula awal September kepada AJK Kg Sungai Bedaun bagi tempoh 4 bulan dan akan berakhir Disember depan.

Program ini dijalankan atas usaha sama penyelidik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diketuai Dr. Emily Yapp Hon Tshin bersama Dr. Nazarina Jamil, Dr. Sharinah Puasa dan Prof. Madya Dr. Lee Hock Ann yang mempunyai kemahiran serta kepakaran yang diperlukan.

Dr. Emily berkata matlamat projek ini adalah bagi meningkatkan kemahiran peserta komuniti dengan kaedah dan amalan baik penanaman untuk kebolehlaksanaan projek penanaman cendawan melalui pengurusan, penjagaan, pemasaran dan pengurusan kewangan yang betul kepada peserta komuniti untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil tanaman, meningkatkan penghasilan cendawan untuk penggunaan tempatan dan potensi pendapatan serta mempromosikan amalan pertanian mampan.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Bedaun, Rosmani Puteh, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan serta Universiti Malaysia Sabah atas bantuan yang diberikan.

Beliau yakin bahawa program ini mampu meningkatkan semangat kerjasama serta keupayaan ekonomi komuniti.

Turut hadir dalam gotong-royong itu adalah Pengarah Jabatan Pertanian Wilayah Persekutuan Labuan, Marysia Modingin yang merupakan rakan strategik dalam program berkenaan.

Marysia berkata beliau menyambut baik usaha kerajaan melalui universiti untuk melaksanakan program pendayaan komuniti ini.

Beliau menyeru komuniti untuk memberikan kerjasama penuh serta sokongan terhadap program ini agar ia dapat berjaya dan mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Tamat.

50 Pensyarah Fakulti Komputeran dan Informatik Jayakan Seminar Akreditasi MBOT

50 Pensyarah Fakulti Komputeran dan Informatik Jayakan Seminar Akreditasi MBOT

SERAMAI 50 peserta yang terdiri daripada pensyarah Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) telah menghadiri Seminar Akreditasi Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) di Smart Classroom FKAL, Tingkat 1, Podium Menara Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 10 September 2024.

Seminar yang dianjurkan Pusat Jaminan Kualiti (CQA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMS itu dihadiri 30 pensyarah secara fizikal dan 20 lagi secara dalam talian.

Pengarah Pusat Jaminan Kualiti (CQA) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Ir Dr Zainal Zakaria berkata seminar itu diadakan bertujuan untuk memberi pengenalan dan pendedahan berkenaan proses permohonan pengiktirafan Akreditasi daripada Badan Profesional MBOT.

“Seminar itu diadakan untuk memberikan penerangan tentang proses mendapatkan akreditasi daripada Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) untuk program sedia ada serta program baru yang bakal ditubuhkan di Fakulti Komputeran dan Informatik,”katanya.

Seminar yang diadakan dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang itu dikendalikan oleh Director Of TITAS MBOT, TS Dr Nor Aznan Mohd Nor.

Sementara itu, Dekan, Fakulti Komputeran dan Informatik, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi berharap pensyarah yang menghadiri seminar sehari itu akan menggunakan ruang dan peluang untuk meningkatkan ilmu dan kepakaran dalam bidang masing-masing.

“Kita akan terus mengadakan pelbagai program agar ia memberi manfaat kepada pensyarah dan kakitangan Fakulti Komputeran dan Informatik,”katanya.

Selain pembentangan oleh penceramah jemputan, seminar itu turut dijayakan dengan sesi soal jawab.

Dr. Mohd Hanafi tidak lupa mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada AJK Pelaksana yang menjayakan seminar berkenaan.

Tamat.

Program Keusahawanan Inovatif Peneraju Pembasmian Kemiskinan Tegar di WP Labuan

Program Keusahawanan Inovatif Peneraju Pembasmian Kemiskinan Tegar di WP Labuan

WILAYAH Persekutuan Labuan yang dikenali sebagai pusat kewangan antarabangsa, turut memberi perhatian serius terhadap kesejahteraan sosial penduduknya.

Dengan peningkatan kos sara hidup dan kadar kemiskinan dalam kalangan golongan B40, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

Salah satu usaha utama ialah program keusahawanan inovatif yang direka khas untuk membantu golongan miskin tegar meningkatkan pendapatan melalui pelbagai bentuk perniagaan dan pertanian.

Pensyarah Kanan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Jaludin Janteng (gambar) berkata, program Inisiatif Pendapatan Rakyat - Basmi Miskin Tegar (IPR-BMT) yang dikelolakan oleh Kementerian Ekonomi kini sedang memainkan peranan penting dalam usaha membasmi kemiskinan tegar di Labuan.

“Melalui strategi serampang dua mata, IPR-BMT berfokus untuk membantu golongan miskin tegar menambah pendapatan sambil menyelesaikan masalah ekonomi harian mereka. Inisiatif ini merangkumi sektor perniagaan makanan, pertanian, dan operator perkhidmatan,”katanya.

Beliau yang juga Penyelidik Inisiatif Pendapatan Rakyat di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) berkata program ini diharap dapat mengurangkan jurang pendapatan antara golongan miskin tegar dan golongan berpendapatan sederhana di Labuan.

Katanya, menerusi projek-projek seperti Basmi Miskin Tegar anjuran Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) dan kerjasama dengan Bank Rakyat dan UMSKAL, projek Asnafpreneur Bank Rakyat 2.0 adalah salah satu contoh inisiatif yang telah membantu ramai golongan asnaf untuk memulakan perniagaan sendiri.

Program ini bukan sahaja menyediakan modal, tetapi turut membekalkan latihan keusahawanan, pemasaran digital, membimbing peserta dalam aspek pengurusan perniagaan.

"Inisiatif ini telah berjaya melahirkan usahawan asnaf yang kini berdaya saing dan mampu berdikari melalui pelbagai jenis perniagaan," jelasnya.

Di Labuan, inisiatif seperti Program Usaha Jaya Insan (Upaya@PUJI) juga telah diperkenalkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama Perbadannan Labuan dengan kerjasama IGROW dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

Program ini berperanan sebagai platform untuk membantu golongan miskin tegar melalui latihan keusahawanan dan sokongan perniagaan.

Salah satu kejayaan besar program ini ialah peningkatan bilangan usahawan kecil yang mampu berdikari selepas menjalani latihan intensif serta mendapat sokongan dari segi pemasaran digital dan pengurusan kewangan.

Mengulas lanjut, Dr. Jaludin menekankan bahawa inisiatif Lestari Niaga yang memperkenalkan gerai-gerai kecil di Labuan turut memainkan peranan penting dalam membantu peniaga kecil yang sebelum ini terjejas akibat pandemik.

Setakat ini, 13 unit gerai telah dibina dan 9 daripadanya telah diduduki oleh peniaga sedia ada.

Menurut beliau, baki 4 unit akan dibuka kepada peniaga-peniaga baru, terutamanya mereka yang telah menyertai program inisiatif pendapatan rakyat basmi miskin tegar (IPR-BMT).

"Gerai-gerai ini yang terletak di Taman Mutiara Sungai Bedaun dilengkapi dengan kemudahan moden dan papan tanda yang seragam bagi menarik perhatian pengunjung, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan peniaga-peniaga kecil,"katanya.

Inisiatif-inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu dalam mengurangkan kadar kemiskinan di Labuan, tetapi juga merangsang pertumbuhan ekonomi di kalangan usahawan kecil.

Dengan fokus kepada keusahawanan dan inovasi sosial, Labuan terus memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar.

Kepakaran dan kerjasama pelbagai agensi juga dijangka akan memperkukuh lagi usaha-usaha ini di masa hadapan.

Dr. Jaludin menekankan bahawa usaha membasmi kemiskinan melalui keusahawanan inovatif perlu dilakukan secara berterusan dan menyeluruh.

“Kami berharap program-program ini akan memberi impak positif dalam jangka panjang, dan memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan,”katanya.

Labuan kini bukan sahaja dikenali sebagai pusat kewangan antarabangsa, tetapi juga sebagai contoh kejayaan dalam usaha membasmi kemiskinan melalui keusahawanan inovatif yang mampan.

Tamat.