Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

Universiti Malaysia Sabah dan Bursa Malaysia jalin kerjasama

Universiti Malaysia Sabah dan Bursa Malaysia jalin kerjasama

LABUAN, 25 JUN 2025 - Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Profesor Technologists (Ts). Dr. Shamsul Bahari Shamsudin menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent – LOI) antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Bursa Malaysia di Bilik Eureka, Bangunan Menara, UMSKAL, kelmarin.

Menerusi LOI itu, ia menandakan permulaan kerjasama strategik dalam memperkukuh literasi kewangan dan pendidikan pelaburan praktikal dalam kalangan mahasiswa di seluruh negara.

Ia turut diadakan sempena ulang tahun ke-10 Pertandingan Perdagangan Saham (Stock Trading Competition – STC) UMS, yang dianjurkan oleh Kelab Kewangan Antarabangsa, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL).

Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, inisiatif ini telah memberikan pendedahan kepada ribuan pelajar terhadap pasaran modal dan proses membuat keputusan kewangan sebenar.

LOI ini merupakan satu legasi penting buat UMS, memperkukuh peranan university sebagai peneraju dalam pendidikan kewangan berfokuskan pelajar.

Sepanjang sedekad yang lalu, UMS telah menjadi perintis kepada aktiviti pembelajaran berasaskan pelaburan seperti simulasi perdagangan, kempen literasi kewangan, ceramah pelaburan dan pertandingan inovasi yang bertujuan menyediakan pelajar untuk menghadapi realiti kewangan semasa.

Kerjasama bersama Bursa Malaysia ini turut merangkumi dua inisiatif utama iaitu penubuhan Bursa Young Investor Club (BYIC) di UMSKAL dan penyertaan aktif UMS dalam Bursa Inter-Varsity Stock Challenge (BISC) 2025.

BYIC akan menjadi platform pelajar bagi menganjurkan seminar pelaburan, permainan simulasi, pertandingan dan aktiviti berteraskan industri kewangan, dengan sokongan penuh dari LifeChamp Sdn. Bhd., pengurus program rasmi yang dilantik oleh Bursa Malaysia.

Prof. Ts. Dr. Shamsul Bahari menegaskan bahawa majlis ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan komitmen bersama untuk membina masa depan lebih cerah bagi pelajar, industri dan masyarakat.

Katanya, sekurang-kurangnya 100 pasukan pelajar UMS akan digerakkan bagi menyertai BISC 2025, yang dibimbing mentor industri dan penasihat fakulti.

Turut hadir Presiden Kanan, Pembangunan Kapasiti & Perhubungan Broker Bursa Malaysia, AA Deepa, Dekan FKAL, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, Pengurus Kanan, Pembangunan Kapasiti & Perhubungan Broker, Saiful Azmi Johan, Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Antarabangsa Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Dr. Nooralisa Mohd Tuah dan wakil dari CGS International, Ronnie Chai dan Ananda Wong.

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan LOI ini, UMS komited untuk menyediakan kemudahan dan penasihat fakulti iaitu Pensyarah Kanan Pelaburan Program Kewangan Antarabangsa FKAL, Dr. Aminah Shari bagi menyokong program BYIC di kampus.

Sementara itu, Bursa Malaysia dan LifeChamp akan membekalkan kandungan latihan, teknologi dan rangkaian mentor industri bagi memastikan keberkesanan dan impak berterusan kepada pelajar.

Kerjasama ini menjadi contoh terbaik kepada model perkongsian strategik antara industri dan akademia yang mengutamakan pembangunan negara, ketahanan kewangan serta peningkatan keupayaan belia.

Semoga Bermanfaat.

Pelajar FKAL berjaya kumpul RM3,820 untuk projek SULAM “Paws Of Hope”

Pelajar FKAL berjaya kumpul RM3,820 untuk projek SULAM “Paws Of Hope”

LABUAN, 12 Jun 2025 – Projek komuniti bertemakan kebajikan haiwan, “Paws of Hope – Spay, Neuter and Feed”, telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM3,820 melalui kempen SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) crowdfunding menerusi aplikasi MyStar dalam tempoh hanya sebulan.

Projek ini telah dilaksanakan oleh 10 orang pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah di bawah seliaan pensyarah kursus Kewangan Korporat Antarabangsa, Dr. Suzillah Sidek.

Projek ini diterajui oleh Gayatheri A/P V. Perumal bersama Tamilarasi A/P Selvaraju, Kausalya A/P Mani, Daneeswary A/P Magindran, Santhyareni A/P Baskaran, Shannan Wei Ai Ching, Ng Heng Seng, Loshinee A/P Chandran, Sanjly A/P Rajasegaran dan Sharvinanayar A/P Aravindhan dalam usaha membantu haiwan terbiar dengan memberikan rawatan prosedur spaying/ neutering prosedur dan keperluan asas seperti makanan dan vaksinasi.

Majlis penutupan telah diadakan pada 12 Jun 2025 di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Labuan.

Turut hadir Dr Suzillah, Penolong Pegawai Veterinar Fatmawati Muhamad Puzi,
Pengerusi NGO We Love Labuan Cats and Dogs. Sukarelawan NGO termasuk Roziela M. Ruslan, Roslinah Ali dan Anna Leong Siew Fung dan Lawrence Yap, Pet Home Daycare: MaYa pengangkutan turut hadir bagi menjayakan aktiviti itu.

Daripada dana terkumpul, sebanyak RM2,065 telah disalurkan kepada Jabatan Veterinar untuk membiayai kos perkhidmatan spay, neuter dan vaksinasi terhadap 18 ekor kucing.

Prosedur ini bertujuan mengawal populasi dan mencegah pembiakan berterusan, sekali gus menyumbang kepada persekitaran yang lebih bersih dan terkawal.

Dana yang selebihnya dimanfaatkan bagi pembelian makanan kucing dan anjing untuk menyokong inisiatif “foodbank” kepada haiwan terbiar di sekitar Labuan.

Turut diadakan penyampaian mock cheque kepada Jabatan Veterinar serta penyampaian cenderamata kepada para penyumbang dan rakan kolaborasi yang telah memberi sumbangan dan sokongan.

Diharapkan dengan pelaksanaan SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) oleh FKAL yang menyasarkan pembelajaran berasaskan perkhidmatan kepada komuniti dapat memupuk nilai kemanusiaan dalam kalangan pelajar.

Pelajar FKAL Laksana Projek SULAM, Ceria & Perkasa Kelas Pemulihan SK Bebuloh

Pelajar FKAL Laksana Projek SULAM, Ceria & Perkasa Kelas Pemulihan SK Bebuloh

LABUAN, 16 JUN 2025 (ISNIN) – Seramai 10 pelajar dari kursus GT30203 Kewangan Korporat Antarabangsa, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), telah melaksanakan projek komuniti berimpak tinggi di bawah inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).

Projek bertemakan Bright Minds Corner – Empowering 3M at SK Bebuloh ini memberi fokus kepada murid-murid Kelas Pemulihan yang menghadapi kesukaran menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Antara aktiviti utama ialah penyediaan bahan pembelajaran, sesi pengajaran interaktif, serta menambah baik bilik darjah melalui kerja mengecat, melukis mural, menyusun semula ruang dan penyediaan kemudahan asas.

Dana projek diperoleh sepenuhnya melalui platform crowdfunding MyStartr, yang berjaya mengumpul sebanyak RM4,010.

Pensyarah Kanan dan Penyelaras Projek, Dr. Suzillah Sidek, berkata SULAM bukan sekadar inisiatif akademik, malah merupakan platform holistik yang membentuk jati diri mahasiswa melalui nilai empati, kepimpinan, dan tanggungjawab sosial.

Projek ini juga berperanan sebagai jambatan dinamik yang merapatkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat, sekali gus memperkasa peranan institusi pendidikan dalam pembangunan masyarakat.

Guru Besar SK Bebuloh, Haji Maidan Dali @ Sumardi Yusoff dan Yang Dipertua PIBG, Asmadi Haji Ahmad, menyambut baik usaha pelajar yang memberi impak langsung kepada murid berkeperluan khas. Ahli PIBG, guru-guru serta komuniti setempat turut membantu dalam logistik dan pelaksanaan program.

Sumbangan dana digunakan untuk pembelian peralatan seperti rak buku, langsir, mesin pencetak, mesin laminasi dan kelengkapan digital yang dapat dimanfaatkan secara langsung oleh murid-murid Kelas Pemulihan.

Majlis penutupan projek yang berlangsung di SK Bebuloh dihadiri Dr. Suzillah Sidek, Haji Maidan Dali, Asmadi dan Ketua Projek, Tharini Nair a/p Jayaraj.

Projek berkenaan dijayakan Angelica, Devyaletchumy, Ggivyasri, Glynnisa, Magdalena, Mogana, Narvinaashini, Sanggetha, dan Vaishneevi.

Majlis penutupan turut diserikan dengan kehadiran murid-murid yang gembira melihat transformasi bilik darjah mereka, mencerminkan kejayaan usaha para pelajar.

Projek ini diharap menjadi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif pendidikan dan sukarelawan di masa akan datang.

Akhir kata, anak-anak inilah masa depan negara dan pendidikan adalah kunci utama yang akan memacu mereka ke arah kejayaan.

Sekalung penghargaan ditujukan kepada seluruh warga SK Bebuloh dan PIBG atas sokongan berterusan sepanjang pelaksanaan projek ini.

Gabungan Festival Mahasiswa 2025 UMSKAL berakhir meriah

Gabungan Festival Mahasiswa 2025 UMSKAL berakhir meriah

LABUAN, 22 Jun 2025 – Majlis Penutupan Collaboration FF X STC X MFF X FE 2025 yang menghimpunkan empat program besar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) berlangsung dengan penuh meriah dan semangat perpaduan di Dewan Utama UMSKAL.

Majlis berprestij ini telah disempurnakan oleh Pengarah UMSKAL, Profesor Technologists (Ts). Dr. Shamsul Bahari Shamsudin.

Beliau amat bangga dengan dedikasi dan komitmen pelajar dalam menjayakan empat festival besar secara bersama.

Ia mencerminkan semangat kolaborasi, kepimpinan dan profesionalisme mahasiswa UMSKAL.

Program itu melibatkan 7th Stock Trading Competition (STC), Food Festival (FF), Mega Fit Festival (MFF) dan Festival E-Sport (FE).

Turut hadir Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Dr. Noor Hassanah Husin, Penyelaras Food Festival merangkap Penyelaras Kelab Pemasaran Antarabangsa, Caroline Rosie anak Jeffrey Nasah, Ketua Penyelaras STC, Dr. Aminah Shari dan Penyelaras Bersama, Dr. Siti Nur Aqilah Ab Wahab.

Hadir sama Penyelaras Festival E-Sport, Mohd. Nurulizam Tinggal, Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2024/2025 UMSKAL, Mohd Raffiezy Mohd Rashad dan Presiden Majlis Belia Labuan, Nazera Roslan.

Pengarah Program Food Festival 2025, Mohamad Syukri Nur Hajar, Pengarah Program 7th Stock Tading Competition, Shamita A/P Parameswaran, Pengarah Program Festival Mega Fit, Allynesa Shirlyana Inja Anak Tedong dan Pengarah Program Festival E-Sport 2025. Mohamad Asyraaf Amirullah.

Pasukan L’SEA muncul juara 7th Stock Trading Competition (STC) 2025 dengan pencapaian pulangan pelaburan (ROI) luar biasa sebanyak 144.05%, menjadikan mereka pasukan paling berjaya dalam sejarah penganjuran STC.

Pasukan ini diwakili Arthur Surang Angi, Nurazween Jamain dan Dayang Diana Fasilah Awang Afindi, yang merupakan gabungan pelajar daripada Program Kewangan Antarabangsa dan Perbankan Antarabangsa dan Luar Pesisir.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM300, sijil penyertaan serta tawaran latihan industri eksklusif selama enam bulan bersama AXE Holdings Sdn Bhd.

Axe Holdings Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat induk pelaburan yang sedang berkembang pesat di Malaysia dengan fokus utama dalam industri kewangan dan teknologi.

Naib juara disandang oleh Pasukan SRS Sisters dengan ROI 12.96%, dianggotai oleh Samini A/P Sivam, Siti Raihana Sharif dan Shalini A/P R Ganasan, yang menerima RM200, sijil penyertaan dan tawaran internship selama tiga bulan di AAE International Trust Ltd.

AAE International Trust Ltd, sebuah syarikat amanah berlesen yang berpusat di WP Labuan, menawarkan kepakaran dalam penubuhan perniagaan, pelesenan kewangan dan perancangan kekayaan.

Tempat ketiga dimenangi pasukan Heng Ong Huat (ROI 10.04%), diikuti pasukan The Value Investors (ROI 7.64%) dan pasukan V Donchu Car (ROI 6.41%).

Ketiga-tiga pasukan ini menerima wang tunai RM100 dan sijil penyertaan.

Dalam pertandingan Innovation Competition, empat kumpulan pelajar dinobatkan sebagai penerima Gold Award atas inovasi cemerlang yang dipersembahkan.

Projek-projek itu ialah Option: Unboxed yang diketuai oleh Brooklyn Anak Bensin, Money Smart Kids: Financial Literacy for Malaysian Primary School oleh Nurul Fathin Syuhaifah Mohammad Yusup, CapExp Mastery: Learning Capital Budgeting Through Interactive Website oleh pelajar tahun tiga Program Kewangan Antarabangsa, Olven Azel Samuel serta Financial Globalization and Risks yang diketuai oleh pelajar tahun dua Program Kewangan Antarabangsa Diyana Orienza Rahman.

Projek-projek ini telah menonjol berdasarkan keaslian idea, potensi impak serta kebolehlaksanaan dalam konteks dunia sebenar.

Program ini merupakan penutup kepada siri kolaborasi rentas fakulti dan kelab mahasiswa di UMSKAL yang bertujuan memupuk kepimpinan, inovasi, dan kecemerlangan pelajar melalui penganjuran aktiviti berskala besar.

Tahniah buat semua.

Hubungi Kami

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar
87000 WP Labuan

+(60) 87 - 503 000
adminkal[at]ums.edu.my