Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

150 Pelajar Sertai Latihan Penulisan Resume Sempena ‘National Training Week 2025’ di UMS Labuan

150 Pelajar Sertai Latihan Penulisan Resume Sempena ‘National Training Week 2025’ di UMS Labuan

LABUAN, 18 Jun 2025 – Seramai 150 pelajar tahun akhir dari pelbagai program di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menyertai satu sesi latihan bertajuk "Writing an Effective Resume for Final-Year Students" yang dijalankan di Podium 1G, UMS Labuan.

Latihan ini dikendalikan oleh Dr. Raini Anne Laipan, pelatih (accredited trainer), Penasihat Kerjaya Pelajar dan pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) yang berpengalaman.

Program latihan ini merupakan antara 18 sesi yang dijalankan oleh UMS Labuan sempena sambutan National Training Week 2025.

Ia juga merupakan antara topik yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelajar.

Turut hadir dalam program ini ialah lima orang pensyarah iaitu Dr. Rini Suryati Sulong (Penasihat Perwakilan Pelajar HE19), Dr. Siti Nur Aqilah AB Wahab (Ketua Program HE19), Dr. Aminah Shari dan Abdul Kamal Char.

Latihan yang berlangsung selama dua jam itu memberi penekanan kepada teknik menulis resume yang berkesan, bersesuaian dengan keperluan pasaran kerja masa kini.

Pelajar turut didedahkan dengan strategi untuk menonjolkan kelebihan diri dalam resume serta kaedah menyesuaikan permohonan mengikut kekosongan jawatan.

Menurut Ketua Program HE19, Dr. Siti Nur Aqilah, inisiatif menganjurkan sesi latihan ini adalah hasil kerjasama erat bersama perwakilan pelajar dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Latihan seperti ini amat penting dalam membentuk pelajar yang bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan sebenar,”jelas beliau.

Selain daripada ilmu dan kemahiran yang diperoleh, peserta juga menerima e-sijil dan pengiktirafan SDP.

Dengan sokongan padu daripada pihak fakulti, penganjuran sesi seperti ini diharapkan dapat diteruskan sebagai platform pemerkasaan pelajar ke arah kecemerlangan kerjaya.

Ilmu Pelita Hidup.

Pastikan Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan Pelajar

Pastikan Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan Pelajar

LABUAN, 11 JUN 2025 - Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Profesor Technologists (Ts). Dr. Shamsul Bahari Shamsudin mengadakan sesi perjumpaan bersama staf Sektor Hal Ehwal Pelajar (SHEP) yang diadakan di Pejabat Sektor Hal Ehwal Pelajar UMSKAL.
 
Selain untuk beramah mesra dan berkenalan, program itu diadakan untuk beliau mengetahui lebih jelas fungsi dan peranan Sektor HEPA.
 
Taklimat disampaikan oleh Ketua Sektor HEPA, Nur Iman Reedzal,
 
Turut hadir kakitangan SHEP, Noreffaizza Jali Norfaizah Wahid dan Mohd Nurulizam Tinggal.
 
Profesor Ts. Dr. Shamsul Bahari berharap HEPA akan memainkan peranan lebih aktif terutama berkaitan kebajikan dan keperluan pelajar UMSKAL.
 
Sekiranya ada program, beliau mahu alumni yang telah berjaya dijemput untuk berkongsi kejayaan dan pengalaman mereka sekaligus memberi inspirasi kepada pelajar.
 
Selain itu, aspek keselamatan dan kesihatan perlu diambil perhatian serius bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku kepada pelajar dan kakitangan.
 
Beliau juga mahu kejayaan pelajar UMSKAL dikongsi bersama dengan komuniti dan IPTA seluruh negara.
 
Profesor Ts. Dr. Shamsul Bahari mahu hubungan baik dengan agensi luar diteruskan sekaligus memberi manfaat kepada pelajar.
Jalankan tugas dengan amanah.

Pelajar FKAL Jayakan Projek Crowdfunding SULAM, Bina Perpustakaan Mini untuk Komuniti Kampung Patau-Patau 1

Pelajar FKAL Jayakan Projek Crowdfunding SULAM, Bina Perpustakaan Mini untuk Komuniti Kampung Patau-Patau 1

LABUAN, 15 JUN 2025 (AHAD) – Sepuluh pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah berjaya melaksanakan Projek Crowdfunding SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) dengan membina sebuah perpustakaan mini yang dinamakan "The Lantern Library" di Kampung Patau-Patau 1, Wilayah Persekutuan Labuan.

Projek ini berjaya mengumpul dana sebanyak RM5,660 menerusi platform KitaFund.

Dana tersebut digunakan sepenuhnya untuk membina perpustakaan lengkap dengan rak buku, meja, kerusi dan pelbagai kemudahan asas, selain menyumbangkan ratusan buah buku kepada komuniti setempat.

Projek The Lantern Library merupakan sebahagian daripada pembelajaran berasaskan perkhidmatan masyarakat bagi kursus GT30203 Kewangan Korporat Antarabangsa, di bawah seliaan pensyarah kursus, Dr. Suzillah Sidek.

Inisiatif ini memberi fokus kepada pembinaan ruang pembacaan yang inklusif dan mesra pengguna, khusus untuk kanak-kanak, pelajar sekolah dan ibu bapa yang menggalakkan budaya membaca di luar waktu persekolahan.

Majlis perasmian The Lantern Library telah disempurnakan oleh Ketua Kampung Patau-Patau 1, Fatimah Ahmad.

Turut hadir serta Pengarah Projek, Iza Izzati binti Azahar, Ketua Unit Perpustakaan Awam Labuan, Haslizah Hassan, dan Penyelaras Projek, Dr. Suzillah Sidek.

Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan bersempena program ini, antaranya pertandingan mewarna dan bercerita yang melibatkan penyertaan aktif daripada kanak-kanak Kampung Patau-Patau 1.

Selain itu, pertandingan silang kata turut memeriahkan suasana dengan penglibatan daripada komuniti dewasa.

Pelajar FKAL yang terlibat dalam projek ini ialah Iza Izzati, Nurul Ashikin, Hafiz Omarhatta, Fadhil Faizal, Meenatharshini, Necodemus, Rizmi Azwar, Ain Nabila, Syahfizan dan Natasyha Ismail.

Majlis penutupan diakhiri dengan sesi gotong-royong serta penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan yang dianjurkan.

The Lantern Library diharap akan terus menjadi cahaya ilmu yang menyinari generasi muda di Kampung Patau-Patau 1.

Terima kasih warga Kampung Patau-Patau 1.

UMSKAL Sedia Bantu Jayakan Borneo Flora Festival @ Labuan 2025

UMSKAL Sedia Bantu Jayakan Borneo Flora Festival @ Labuan 2025

LABUAN, 18 JUN 2025 - Ketua Pengarah, Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim menghadiri perbincangan dengan pengurusan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Datuk Seri Noridah memaklumkan keperluan kerjasama UMSKAL dalam menjayakan Borneo Flora Festival @ Labuan 2025 di Wilayah Persekutuan Labuan bermula pada 26 hingga 30 Julai 2025.

Beliau turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada UMS yang membantu menjayakan program besar itu.

Datuk Seri Noridah juga mengalu-alukan kehadiran warga UMS ke Borneo Flora Festival @ Labuan 2025 yang bakal dikunjungi kira-kira 50,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Beliau yakin menerusi program itu akan membantu menjana ekonomi dan merancakkan industri pelancongan WP Labuan.

Beliau juga berharap UMSKAL akan turut membantu mempromosikan Labuan sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Aras 13, Bangunan Menara UMSKAL itu dihadiri Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohammad Tuah.

Zamri yang mewakili Pengarah UMSKAL, Profesor Technologists (Ts). Dr. Shamsul Bahari Shamsudin bersedia memberikan kerjasama yang diperlukan pihak JWP dan Perbadanan Labuan.

Pegawai dan kakitangan serta pelajar UMSKAL turut terbabit menjayakan Borneo Flora Festival @ Labuan 2025.

Turut hadir Pengetua Kolej Kediaman, Ts Hadzariah Ismail dan Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia (SPSM) UMSKAL, Mas Adi Alimin.

Datuk Seri Noridah turut meninjau Balai Cerapan Anak Bulan sambil menikmati pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan dari Aras 13, Bangunan Menara UMSKAL.

Jalinan Kerjasama JWP dan UMSKAL.

Hubungi Kami

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar
87000 WP Labuan

+(60) 87 - 503 000
adminkal[at]ums.edu.my