“Saya belajar untuk mendapatkan yang lebih baik buat keluarga, dan kejayaan ini adalah janji saya untuk mereka”.

Demikian ungkapan kegembiraan Muhammad Afiq Arlan, graduan cemerlang Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terpilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan dan Bakti Siswa HiUMS (B40) pada Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-26.

Anak kelahiran Kampung Jawa 2, Sandakan itu tidak menjadikan kehidupan berada dalam golongan keluarga B40 sebagai penghalang buat dirinya, malah kedua-dua ibu bapa menjadi pembakar semangat utamanya dalam mencapai kejayaan sepanjang pengajian di UMS.

”Alhamdulillah semasa pengajian saya telah mendapat biasiswa dari Pusat Zakat Sabah bermula dari tahun kedua pengajian.

“Ayah saya bekerja sebagai pemandu lori, manakala ibu saya merupakan suri rumah sepenuh masa.

“Pada masa ini saya sudah bekerja di salah sebuah syarikat kewangan Islam di Kuala Lumpur sebagai Compliance Executive, dan saya menyasarkan untuk terus bekerja dan menimba pengalaman sebanyak mungkin, serta terus berusaha mencapai tahap yang lebih tinggi dalam kerjaya,” katanya.

Afiq menambah, beliau memilih bidang kewangan Islam kerana agama serta minatnya untuk belajar mengenai kewangan dari aspek syariah.

Beliau turut berharap agar lebih ramai pelajar khususnya dalam golongan keluarga B40 diberi bantuan untuk memudahkan mereka menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi.

“Harapan saya juga agar agensi kerajaan dan universiti dapat bekerjasama dalam memberikan bantuan kewangan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan agar dapat mengurangkan kadar pengangguran,” ujar Afiq.

Afiq menerima penganugerahan ijazah pada sidang kedua Majlis Konvokesyen UMS yang disampaikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Hari pertama Majlis Konvokesyen UMS Kali ke-2 yang berlangsung di Dewan Canselor UMS, menyaksikan seramai 1,024 graduan merangkumi 359 pada sidang pertama, dan 665 pada sidang kedua menerima skrol ijazah masing-masing.

 

(artikel disediakan Norfaizah Abdullah, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)

 

Sokongan dan dorongan ibu bapa menjadi kekuatan graduan Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Celine Jimmey Lucas untuk cemerlang dalam pengajian sehingga meraih Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-26 hari ini.

Celine, 24, telah dinobatkan gelaran tersebut setelah memperoleh keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.96 bagi Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi Pemuliharaan).

Beliau menerima penganugerahan tersebut pada Sidang Pertama Konvokesyen UMS yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Juhar Datuk Haji Mahiruddin di Dewan Canselor UMS.

Menurut Celine, faktor utama bagi kejayaan yang diperoleh pada konvokesyen UMS kali ini adalah sokongan tanpa henti daripada ibu bapa.

“Sudah tentu ibu bapa saya, Jimmey Lucas dan Cecilia Garcia merupakan sumber inspirasi kerana merekalah yang telah memberi kami kekuatan sejak kecil lagi.

“Saya tahu betapa penatnya mereka berdua membesarkan kami, justeru saya amat berharap agar anugerah ini dapat membanggakan ibu bapa saya,” katanya.

Mengulas lanjut berkaitan program pengajian yang dipilih, Celine berkata beliau terdorong oleh minatnya terhadap haiwan serta pengaruh abangnya yang berada dalam bidang perhutanan.

“Saya meminati haiwan dan perkara berkaitan pemuliharaan haiwan yang merupakan satu usaha yang baik dan bermanfaat kepada manusia.

“Justeru itu, gabungan terhadap minat kepada haiwan dan pengaruh abang dalam bidang perhutanan mendorong saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam program Biologi Pemuliharaan,” katanya.

Beliau turut berkongsi cabaran serta rahsia kecemerlangan sehingga memperoleh anugerah pada konvokesyen kali ini.

“Cabaran sepanjang di UMS adalah pada tahun pertama pengajian kerana ketika itu berada dalam fasa transisi kepada pengajian secara fizikal setelah beberapa bulan berada di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.

“Ketika itu agak sukar untuk beradaptasi dengan suasana secara fizikal sebab sudah lama terperap di rumah dan kurang komunikasi dengan orang di luar, namun syukur akhirnya perkara ini dapat diatasi.

“Tips yang boleh saya kongsikan adalah doa, cari potensi diri dan luaskan pengalaman dan pengetahuan sebanyak mungkin,” katanya, selain turut menyampaikan penghargaan kepada pensyarah, dan rakan-rakan yang menyokongnya sepanjang melanjutkan pelajaran di UMS serta berkongsi petua untuk memperoleh kejayaan dalam aspek akademik.

Seramai 4,493 graduan UMS diraikan pada majlis konvokesyen kali ini yang berlangsung dari 7 hingga 10 Disember.

 

(artikel disediakan Muhammad Yatimi Saliman, Pelajar Laihan Industri, Pusat Komunikasi Korporat UMS)

 

Bekas peguam syariah, Datin Saidatul Badru Mohd Said Keruak, 74, menjadi tumpuan apabila menjadi graduan tertua menggenggam Ijazah Doktor Falsafah sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah ke-26.

Ibu kepada 3 anak dan 3 cucu itu berkata, usia bukanlah penghalang kepada sesuatu kejayaan asalkan ia diiringi dengan semangat dan keinginan yang tinggi.

“Saya inginkan kejayaan saya ini menjadi penyuntik semangat kepada warga belia di luar sana yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang yang lebih tinggi.

"Jangan terlalu fokus kepada umur, apa yang penting adalah kemahuan dan semangat kerana proses dan perjalanan menuntut ilmu ini bukan mudah,” katanya.

Tambahnya, dia juga pernah ditawarkan pengajian oleh Universiti Islam Antarabangsa, namun lebih memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sejarah di UMS kerana ingin kembali semula ke tempat asal.

“Saya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana di Universiti Malaya. Pada peringkat Sarjana Muda, ketika itu saya sudah pun mempunyai cucu dan berusia 40 tahun. Kemudian, saya menyambung semula pengajian ke peringkat Sarjana pada usia 55 tahun.

”Saya mengambil peluang melanjutkan pelajaran sewaktu anak-anak saya sudah tamat pengajian dan mempunyai kerjaya dalam bidang masing-masing.

“Dalam masa yang sama, saya juga bermula sebagai setiausaha pada tahun 1970 di Pejabat Ketua Menteri Sabah di bawah pimpinan Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun,” tambahnya lagi.

Beliau yang berasal dari Kota Belud Sabah itu mengungkapkan rasa terima kasih kepada suami, anak-anak serta cucu kerana telah menjadi semangat dan pendorong terbesar sepanjang tempoh pengajian.

Graduan warga emas berkenaan menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sejarah yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada Majlis Konvokesyen UMS ke-26.

Seramai 359 graduan telah menerima ijazah masing-masing yang terdiri daripada doktor falsafah, doktor perubatan dan sarjana penyelidikan di Dewan Canselor, UMS.

 

(artikel disediakan Norafiqa Samil, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)

 

Pasangan adik-beradik ‘terkejut’ apabila dapat berkongsi pentas konvokesyen sama pada majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-26, Sidang 1 yang berlangsung hari ini.

Siti Nasyitah Jaman, 27, graduan Ijazah Sarjana Sains (Matematik degan Grafik Berkomputer) Fakulti Sains dan Sumber Alam dan adiknya, Siti Nafi’ah Jaman, 23, graduan Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Teknologi Makanan dan Bioproses) Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan tidak menyangka yang mereka akan bergraduasi bersama.

“Alhamdullilah, tidak disangka yang kami dapat konvo bersama walaupun berbeza pengajian kerana saya sarjana dan dia sarjana muda,” kata Nasyitah, anak nombor lima dari sembilan adik beradik.

“Ketika saya mengambil ijazah pertama, saya mempunyai masalah peribadi sehinggalah semasa melanjutkan pengajian dalam sarjana ketika zaman Covid-19. Waktu itu, saya belajar sambil bekerja.

“Syukurla saya dibantu oleh penyelia akademik saya, Dr. Rozaimi Zakaria yang memberi cadangan untuk saya melakukan pengajian sepenuh masa sarjana walaupun secara dalam talian sahaja. Jadi, cabaran paling besar ketika belajar ialah pengurusan masa saya,” ujarnya yang tidak menceritakan lebih lanjut apa masalah yang dihadapi.

Pasangan adik-beradik itu berhadapan dengan cabaran dalam pembelajaran kerana kedua-duanya berbeza dalam menghadapi proses mencapai segulung ijazah untuk dihadiahkan kepada ahli keluarga.

Sementara Nafi’ah berkata, cabaran yang dia hadapi berbeza dengan kakaknya.

“Cabaran yang saya hadapi pula ialah mencari rakan-rakan sekelas dalam membuat tugasan secara berkumpulan kerana jumlahnya ramai dan orangnya pelbagai jenis ragam. Jadi kita kena pilih kawan yang sesuai dengan kita.

“Saya juga membuat perancangan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah pada masa akan datang. Namun, kos yang tinggi menyebabkan hala tuju lebih ke arah untuk mencari kerja dan menambah pengalaman,” katanya yang merupakan anak ketujuh dari sembilan beradik.

Tambahnya, dia akan lebih memfokuskan kepada kemahiran kerana sijil-sijil kemahiran lebih penting dan banyak digunakan terutamanya berkaitan dalam bidang yang dipelajarinya iaitu teknologi.

Dua beradik itu antara 359 graduan yang menerima ijazah pada sesi pagi majlis konvokesyen itu.

 

(artikel disediakan Muhammad Fakhrul Hakim Nasrudin, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) telah memeterai satu kerjasama bersama Special Olympics Sabah yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan inklusif bagi golongan orang kurang upaya (OKU) intelektual di Sabah.

Kejasama kedua-dua pihak tersebut dimeterai dalam satu Majlis Menandatangani Surat Niat (LoI) antara UMS dan Special Olympics Sabah yang berlangsung di Auditorium Utama FPSK.

Dekan FPSK, Datuk Dr. Mohd Yusof Hj. Ibrahim mewakili UMS menandatangani LoI tersebut, manakala Special Olympics Sabah diwakili Pengerusinya, Dr. Jiloris Julian Frederick Dony.

Melalui pemeteraian LoI tersebut, kedua-dua pihak akan melaksanakan komitmen bersama untuk menangani jurang kesihatan yang dihadapi oleh individu dengan kurang upaya intelektual melalui kerjasama dalam perkhidmatan klinikal, program komuniti, dan aktiviti pendidikan.

Dalam pada itu, Mohd Yusof dalam ucapannya sempena majlis tersebut menekankan kepentingan kerjasama UMS dan Special Olympics Sabah sebagai usaha untuk memastikan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan amalan inklusif dalam bidang sains kesihatan.

"Kerjasama ini mencerminkan semangat Malaysia Madani dengan memastikan institusi pendidikan dan kesihatan berganding bahu bagi mewujudkan ekosistem inklusif untuk semua, terutamanya bagi golongan terpinggir.

“Ini sekali gus menggambarkan visi UMS untuk berkhidmat kepada komuniti dan memastikan individu dengan kurang upaya intelektual menerima peluang kesihatan yang saksama.

“Melalui usaha bersama dalam pendidikan, latihan, dan penyelidikan, kami berhasrat untuk membentuk masyarakat yang lebih inklusif,” katanya.

Jiloris yang turut senada menyokong inisiatif kolaborasi tersebut menambah, kerjasama itu mengukuhkan lagi misi Special Olympics Sabah khususnya dalam memperkasakan individu dengan kurang upaya intelektual bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bermakna.

“Kami amat teruja untuk bekerjasama rapat dengan UMS bagi membawa perubahan yang berimpak kepada komuniti,” ujar beliau.

Bidang utama kerjasama yang digariskan dalam LoI tersebut termasuk saringan dan perkhidmatan kesihatan, latihan dan peningkatan keupayaan, serta penyelidikan dan inovasi, dengan kerjasama itu dijangka membuka laluan kepada inisiatif berimpak tinggi yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya dalam memastikan kehidupan sihat dan mempromosikan kesejahteraan untuk semua.