ISNIN, 30 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Wuyi University, China menandatangani Surat Niat (LoI) hari ini ke arah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada masa hadapan bagi mengukuhkan lagi kerjasama dan perkongsian dalam pelbagai bidang akademik.

Majlis menandatangani LoI itu menyaksikan UMS diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, manakala Wuyi University diwakili Canselornya, Prof. Zhang Kun.

Majlis itu yang diadakan bertempat di Galeri Majlis Bangunan Canselori itu turut disaksikan Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Cai De, dan Presiden Sze Yip Bersatu Sabah, Datuk Susan Wong Siew Guen.

Melalui permeteraian LoI itu, kedua-dua universiti akan bekerjasama dalam pertukaran kakitangan akademik dan pelajar serta kerjasama dalam menjalankan projek penyelidikan.

Di samping itu, ia juga melibatkan penyelarasan projek pendidikan bersama termasuk dalam penganjuran persidangan, syarahan, seminar serta kursus-kursus jangka pendek.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Lembaga Pengarah UMS, Prof. Dr. Marcus Jopony; Ketua Pustakawan UMS, Dg. Rukiah Ag. Amit; dan Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Ho Chong Mun.

 

ISNIN, 30 OKTOBER – Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program ceramah kepimpinan ‘AKEPT Leadership Programme’ pagi tadi.

Bertempat di Bilik Kuliah 1, Pusat Persediaan Sains dan Teknologi UMS, sesi ceramah disampaikan Pengerusi Lembaga Penasihat AKEPT Tan Sri Dato’ Prof. Dzulkifli Abdul Razak pada sesi pagi, dan ahli akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Dato’ Dr. Norzaini Azman pada sesi petang.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, ‘AKEPT Leadership Programme’ telah mula dijalankan di UMS pada tahun 2014.

“Sejak dari itu, beberapa siri program dan kursus kepimpinan anjuran AKEPT telah dijalankan di UMS, dan setinggi penghargaan kepada pihak AKEPT kerana sentiasa memberikan peluang menjadikan UMS sebagai hab atau pusat latihan untuk program-program sebegini,” katanya.

Beliau menambah, UMS amat bertuah kerana tokoh kepimpinan hebat seperti Tan Sri  Prof. Dzulkifli sudi hadir dan menyampaikan beberapa isu penting dalam konteks kepimpinan masa kini.

“Saya berharap agar semua yang hadir dapat mengambil peluang ini dan berinteraksi dengan Tan Sri  Prof. Dzulkifli mengenai pelbagai isu khususnya isu kepimpinan, budaya dan profesion akademik masa kini dan pada era IR 4.0.,” ujar beliau.

Kira-kira 100 staf akademik dan pegawai pengurusan UMS hadir pada program ceramah yang berlangsung selama sehari itu.

ISNIN, 30 OKTOBER - Seramai 242 peserta menjayakan larian 'The Scenic EcoCampus Run 2017' yang berlangsung di sekitar kawasan kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) kelmarin.

Pelepasan larian seawal jam 6.00 pagi itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin bertempat di Padang Kawad UMS.

Larian anjuran bersama Pusat Pengurusan EcoCampus, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Pusat Sukan UMS mempertandingkan empat kategori, iaitu kategori 6km Lelaki, 6km Wanita, 12km Lelaki, dan 12km Wanita.

Menurut kenyataan Pusat Pengurusan EcoCampus, penganjuran larian tersebut antara lain bertujuan untuk membudayakan gaya hidup sihat dan semangat kesukanan dalam kalangan warga UMS dan orang awam yang terlibat, di samping mempromosikan UMS sebagai satu destinasi Pelancongan EcoCampus.

Kenyataan itu memaklumkan peserta berpeluang menikmati panorama kampus UMS yang hijau serta berkesempatan melihat beberapa lokasi menarik seperti jeti UMS, Tasik UMS dan Menara Jam UMS sepanjang larian.

Seramai 100 sukarelawan dalam kalangan kakitangan dan pelajar UMS terlibat dalam acara itu, menjadikan acara larian tersebut berlangsung dengan jayanya tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Lima hadiah utama dipertandingkan bagi setiap kategori, dengan juara kategori memperoleh hadiah kemenangan RM500, manakala tempat kedua mendapat RM400, tempat ketiga RM300, tempat keempat RM200 dan tempat kelima RM100.

Dalam acara tersebut, Yusuf Tungkob mengungguli kategori 6km lelaki, sementara Haniza berjaya memenangi larian 6km Wanita. Bagi acara 12km Lelaki dimenangi oleh Fabian, manakala Eyeliah mendominasi acara 12km Wanita.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan  Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, Prof. Madya Dr. How Siew Eng.

Larian “The Scenic EcoCampus Run” bakal menjadi acara tahunan UMS selari dengan agenda EcoCampus UMS dalam membudayakan kelestarian alam sekitar kepada warga UMS khususnya serta kepada masyarakat setempat.

JUMAAT, 27 OKTOBER – Proses pembuangan undi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dijalankan serentak di Kota Kinabalu, Labuan dan Sandakan berlangsung dengan aman tanpa sebarang kekecohan, kelmarin.

Proses pengundian yang bermula seawal 8.30 pagi sehingga 5.00 petang menyaksikan seramai 17 calon bertanding merebut tujuh Kerusi Umum yang dipertandingkan di Kampus Induk dan tiga calon bagi dua Kerusi Umum di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL).

Pelajar Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Jusman Nali mendahului senarai calon apabila berjaya meraih undian terbanyak dengan jumlah 3,512 undi.

Tiga lagi calon mengekori jejak beliau apabila turut  memenangi Kerusi Umum di Kampus Induk.

Mereka ialah Mohd Afiq Kandi (3,483), Ang Kai Woon (3,387) dan Muhammad Johari Muhammad Dave (3,054).

Tiga Kerusi Umum selebihnya dimenangi Suhailah Sudirman (2,870), Darryl Jude Donis (2,779) dan Muhammad Ridzuan Muhammad (2,760).

Dua Kerusi Umum UMSKAL disandang oleh Mohd. Fadzil Mohd Arfah dan Nurfarahin Atiqah Jais masing-masing meraih 977 dan 905 jumlah undi.

Sementara itu, satu Kerusi Umum di UMS kampus cawangan Sandakan menjadi milik Mohd Syafie Asyraf Sarifudin yang telah mencatatkan kemenangan tanpa bertanding.

Bagi Kerusi Fakulti, sebanyak 22 kerusi dipertandingkan dengan setiap fakulti termasuk Pusat Pengajian Pascasiswazah memperuntukkan dua kerusi. 

Pengumuman keputusan telah disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali di Auditorium Perpustakaan UMS.

Turut hadir, Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana PMPP, Prof Madya Dr. Jualang @Azlan Abdullah Gansau, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Ahmadi Nurdin dan pegawai-pegawai kanan universiti.

JUMAAT, 27 OKTOBER – Sambutan hari kanak-kanak Sedunia peringkat Pusat Minda Lestari (PML), Universiti Malaysia Sabah (UMS) meriah dengan pelbagai aktiviti berbentuk hiburan dan sukaneka disertai seramai 180 kanak-kanak dari program Taska dan Tadika, PML.

Pengerusi program sambutan, Faddili Kasin berkata, penganjuran program buat julung kalinya itu adalah bagi memberi peluang kepada kanak-kanak meraikan sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia yang disambut setiap bulan Oktober di seluruh dunia.

“Matlamat penganjuran sambutan ini adalah bagi menghargai sumbangan dan peranan kanak-kanak khususnya di PML serta mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang isu memelihara hak dan masa depan kanak-kanak.

“Melalui pengisian program yang dijalankan  pula,  ia secara tidak langsung dapat meningkatkan perkembangan kanak-kanak secara holistik dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosio emosi, sahsiah dan rohani ke arah melahirkan generasi yang dinamik, progresif, aktif, berdisplin dan berinovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena sambutan program tersebut di Dewan Badminton, UMS.

Menurut beliau, penglibatan daripada agensi luar seperti Kidzooona and Molly Fantasy yang merupakan jenama bagi taman hiburan yang tidak asing lagi bagi kanak-kanak, selain penglibatan daripada agensi Maestro Swiss Trading Sdn. Bhd dan Regal Marketing and Trading Sdn. Bhd yang membekalkan minuman secara percuma kepada kanak-kanak merupakan satu sokongan yang amat bermakna terhadap penganjuran sambutan tersebut.

“Kehadiran ibu bapa juga sangat bererti dalam memberikan kegembiraan buat kanak-kanak tersebut yang begitu riang menyertai aktiviti bersama guru-guru mereka,” ujar beliau.

Antara aktiviti yang berlangsung pada sambutan hari kanak-kanak itu adalah persembahan  kanak-kanak tadika, persembahan guru, aktiviti bola masuk terowong, selain aktiviti kendalian Kidzoona iaitu baby shark dance, gummy bear dance dan music game sebagai kemuncak kepada sambutan program tersebut.

Hadir sama pada acara tersebut Pengarah PML, Aidah Noordin dan Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr. Connie Chin @ Connie Cassy Ompok.