JUMAAT, 06 OKTOBER 2017 – Ketua agama diminta memberi kefahaman kepada penganut agama masing-masing tentang ajaran asas dalam hubungan dengan kelompok berlainan agama demi memastikan Malaysia kekal aman dan harmoni.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata kajian oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan hubungan antara agama di Malaysia secara relatifnya baik.

“Namun, suhu hubungan antara agama di Malaysia boleh menjadi ‘panas’ disebabkan isu tertentu melalui manipulasi dan provokasi pihak tertentu yang berkepentingan.

“Oleh itu peranan ketua-ketua agama menjadi amat penting kerana kewibawaan dan autoriti untuk memberi pandangan berasaskan ajaran agama masing-masing dalam suatu isu adalah amat diperlukan,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Dialog Antara Agama di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS), kelmarin.

Tan Sri Joseph Kurup berkata kewibawaan ketua agama juga diperlukan untuk menjernihkan kekusutan dalam hubungan antara kelompok berlainan agama di negara ini.

Terdahulu Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin mengalu-alukan kerjasama antara UMS bersama JPNIN dan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) dalam menganjurkan program berkenaan.

Menurutnya, kerjasama tersebut amat baik dan perlu diteruskan dengan melibatkan semua lapisan masyarakat agar suasana kehidupan aman, damai dan harmoni.

Teks ucapan beliau  dibacakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Akademik) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof.

 

Foto: Suzeanywati Gasinin

 

KHAMIS, 5 OKTOBER – Sabah dilihat sebuah negeri yang mampu dijadikan contoh terbaik dalam aspek usaha konservasi hutan.

Felo Kanan Akademi Sains Malaysia (ASM), Tan Sri Dato’ Seri Dr. Salleh Mohd Nor berkata dengan kekayaan biodiversiti di negeri ini, Sabah mempunyai keunikan yang boleh dicontohi dalam aspek memelihara dan memulihara hutan.

“Sabah mengurus dan memulihara hutan dengan baik sehingga mewujudkan Kawasan Konservasi Maliau Basin, Imbak Canyon dan Lembah Danum, dengan dasar yang digubal membolehkan kerajaan negeri memelihara hutan demi kepentingan generasi akan datang.

“Ini usaha yang seharusnya dipandang tinggi dan menjadi contoh bahawa hasil sokongan dan kepimpinan kerajaan yang baik, program pemuliharaan sebegitu boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan syarahan sempena siri Syarahan Kinabalu Kali Ke-8 bertajuk “Forestry in Global Climate Change” di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ujar beliau, Sabah sememangnya masih berada di hadapan dalam aspek pengurusan hutan, malah usaha pemuliharaan hutan di negeri ini turut dilakukan dengan kerjasama pakar-pakar antarabangsa.

Lebih 500 warga UMS terdiri daripada para ahli akademik, kakitangan dan pelajar UMS, serta wakil-wakil agensi luar hadir pada majlis syarahan tersebut.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof dan Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS, Prof. Dr. Baba Musta.

 

Foto: Suzeanywati Gasinin

RABU, 4 OKTOBER – Acara Borneo Duathlon Series 2017 yang berlangsung di kampus UMS baru-baru ini meriah dengan penglibatan seramai 120 peserta bersaing merebut hadiah kemenangan dalam lima kategori yang dipertandingkan.  

Program pertandingan anjuran Pusat Rehabilitasi dan Kecergasan Fizikal, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS dengan kerjasama pelajar program Sains Sukan menggabungkan disiplin antara aktiviti berbasikal dan juga larian melalui kategori Men Open, Women Open, Men Master (45 tahun ke atas), Mix Relay dan Men Relay.

Menurut kenyataan Pusat Rehabilitasi dan Kecergasan Fizikal, FPP, pertandingan itu menyaksikan setiap peserta berlari pada pusingan pertama sejauh 6.5 km dan diikuti oleh acara berbasikal sejauh 30 km dan diakhiri dengan larian sejauh 4.3 km.

Persekitaran kampus UMS yang luas dan keadaan geografi yang berbukit-bukau dilihat amat bertepatan sebagai lokasi pertandingan khususnya kepada para peserta yang gemar dengan cabaran dalam acara itu, apatah lagi pertandingan sebegini semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan tanah air.

Dalam acara tersebut, Ahmadul Tahir mengungguli kategori Men Master, manakala Samsu Rudi dan Chiew Shil Ting masing-masing gah dalam kategori Men Open dan Women Open.

Bagi acara kategori Men Relay, ia dimenangi pasukan Ms Bandau, manakala Mix Relay diungguli oleh pasukan Rata 2017.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof menyempurnakan perasmian serta menyampaikan hadiah pertandingan kepada para pemenang.

Hadir sama Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FPP, Prof. Madya Dr. D Maryama Ag. Daud.

SELASA, 3 OKTOBER – Penganjuran Karnival Kebudayaan Murid Prasekolah dilihat mampu memastikan murid-murid untuk terus maju dalam pendidikan serta mengekalkan jati diri sebagai anak Sabah dengan latar belakang kaum yang pelbagai.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, ia juga sekali gus mampu menyemai rasa bangga dengan kebudayaan etnik masing-masing sejak di peringkat awal kanak-kanak lagi.

“Ada yang mengatakan kita harus berusaha untuk memastikan kita bersatu padu dan kurang memikirkan tentang suku kaum masing-masing.

“Bagi saya, integrasi dan perpaduan sebenar hanya tercapai apabila setiap diri kita merasa selesa bergabung dalam kepelbagaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Karnival Kebudayaan Murid Prasekolah 2017 di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, penganjuran karnival anjuran Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS dengan kerjasama Pusat Minda Lestari UMS itu penting bagi melentur sifat-sifat positif kanak-kanak mencintai negara dengan cara mendedahkan mereka dengan rakan-rakan lain.

“Menerusi karnival ini, ia dapat memanfaatkan peluang yang ada bagi mencungkil bakat kanak-kanak supaya dapat diterampilkan bukan sahaja dapat bersaing di peringkat universiti malah mampu ditampilkan di peringkat kebangsaan kelak.

“Pada kesempatan ini juga, saya mengesyorkan agar guru-guru prasekolah mewujudkan kolaborasi bersama dalam usaha membangunkan potensi kanak-kanak agar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah,” katanya.

Pada majlis itu, Sekolah Kebangsaan Kaingaran, Ranau dinobat sebagai juara keseluruhan Pertandingan Karnival Kebudayaan Murid Prasekolah, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala beserta sijil.

Naib Johan dimenangi Tadika Ria Yayasan Sabah, yang membawa pulang hadiah Wang Tunai RM1,500, piala beserta sijil, manakala Tadika Cinta Sayang Kota Marudu mendapat tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala beserta sijil.

ISNIN, 02 OKTOBER – Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pengurusan UMS telah mengadakan perbincangan dan lawatan kerja terhadap Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Rozman Isli yang juga Ahli Parlimen Labuan di Menara Perbadanan Labuan, hari ini.

Delegasi UMS itu diketuai Ahli LPU, Datuk Dr. Haji Yusof Haji Yacob bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Shahril Yusof.

Turut hadir Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Murnizam Haji Halik dan Timbalan Pendaftar Kanan UMS Labuan, Zamri Haji Mohamad Tuah.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perancangan dan Kawalan Bangunan Perbadanan Labuan, Ibrahim Tambi.

Perbincangan tersebut berkaitan pembangunan di UMS Labuan selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai hab pendidikan yang unggul di rantau ini.

Pada masa sama, UMS melihat UMS Labuan berupaya membantu merancakkan ekonomi dan industri pelancongan tempatan dengan kehadiran pelajar antarabangsa di samping pelajar tempatan.

 

Sumber: Azri Onn