JUMAAT, 27 JULAI - Penganjuran Seminar The 9th Asian Association Of Indigenous and Cultural Psychology Conference (AAICP) amat tepat sebagai medan perkongsian pengetahuan bagi membincangkan tentang masalah budaya dan psikologi masyarakat dunia pada masa kini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, seminar itu merupakan platform yang baik untuk berkongsi dan membincangkan idea dalam membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat tanpa mengorbankan nilai budaya sendiri.

“Evolusi teknologi dan telekomunikasi pada hari ini menjadikan hidup yang mudah menjadi lebih kompleks, tidak dinafikan memberi kesan yang baik dengan menjana pekerja produktif yang bertindak pantas dalam apa jua keadaan sebagai tuntutan kehidupan.

“Walau bagaimanapun, kehidupan yang moden ini perlu dibayar dengan harga yang tinggi, mereka yang tidak bersedia serta tidak dapat menyesuaikan diri akan ketinggalan dan mendatangkan konflik kepada diri mereka tentang pengertian kebahagiaan hidup,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang.

Justeru, Datuk Seri Mohd. Shafie berharap peserta seminar dapat membincang dan menganalisis faktor-faktor untuk mempromosi kesihatan, kebahagiaan dan kualiti hidup yang relevan dengan kehidupan masyarakat Asia.

Seminar tiga hari itu meyaksikan penyertaan seramai 341 peserta pelbagai negara termasuk Korea, Jepun, Taiwan, Itali, Kanada, United Kingdom, Amerika Syarikat, Hong Kong, India, Indonesia, Australia dan Malaysia.

Dengan tema “Promoting Health, Happiness and Quality of Life: Psychology, Social and Cultural Perspectives”, seminar itu merupakan anjuran gabungan kerjasama AAICP, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Cyberjaya University College of Medical Sciences.

Hadir sama Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS, Profesor Dr. Mohd. Dahlan A Malek; Presiden AAICP, Profesor Dr. Uichol Kim; dan Pengerusi Persidangan, Profesor Dr. Rosnah Ismail.

KHAMIS, 26 JULAI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya merangkul satu emas, tujuh perak dan satu gangsa pada Pertandingan World Championships of Performing Arts (WCOPA) 2018 yang berlangsung di Long Beach of Performing Arts, California Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Pingat emas dimenangi pelajar Program Muzik, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Quenner Mitchell yang memainkan lagu irama jaz dalam kategori Muzik Instrumental Bambu.

Beliau turut meraih tiga perak dan satu gangsa dalam kategori yang sama masing-masing melalui irama terbuka, klasik, kontemporari dan genre hasil kerja asli.

Queener turut cemerlang dalam kategori Tarian Senior Berkumpulan dengan gandingannya pelajar dari Program Seni Kreatif FKSW, Merald Omel Redick. 

Persembahan mereka menerusi tarian etnik kreatif dan kontemporari berjaya menambat hati juri sekali gus meraih dua lagi pingat perak.

Dua pingat perak selebihnya diraih melalui seorang lagi pelajar Program Muzik FKSW UMS,  Dayang Nurazreen Salbador dalam kategori Vokal.

Lagu bertajuk “Kurniaan dalam Samaran” untuk genre terbuka dan “Something's Got a Hold on Me” bagi irama R&B memberi tuah kepada beliau sekali gus turut terpilih sebagai penerima biasiswa bernilai USD5000 beserta sijil dari CSM Words and Music, sebuah syarikat produksi yang berpusat di Los Angeles.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam satu kenyataan turut merakamkan ucapan tahniah terhadap pencapaian tersebut yang disifatkannya sangat membanggakan.

“Ini merupakan satu kejayaan manis yang bukan sahaja mengharumkan universiti tetapi juga melonjakkan nama negara Malaysia khususnya negeri Sabah terus mendapat perhatian masyarakat dunia.

“Justeru, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menyumbang kepada kejayaan ini khususnya kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang sentiasa memberi sokongan padu kepada pihak UMS,” katanya.

Sementara itu,  Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali berkata, pencapaian itu bukan sesuatu yang mudah dicapai kerana mereka bersaing dengan peserta-peserta hebat yang turut mewakili negara masing-masing.

“Saya percaya ia memerlukan latihan dan komitmen yang tinggi bukan sahaja daripada pelajar itu sendiri tetapi juga daripada jurulatih dan pensyarah yang melatih mereka.

“Dan inilah yang kita akan sentiasa laksanakan di universiti ini iaitu mencungkil dan melatih bakat-bakat mahasiswa untuk diketengahkan sehingga ke satu tahap yang tertinggi,” jelasnya.

Tiga peserta universiti yang bertanding mewakili negara turut diiringi dua staf UMS iaitu Norain Abd Razak dan Sarip Zainal Sagkif selaku koreografer tari.

WCOPA 2018 menyaksikan 74 negara telah mengambil bahagian dalam pertandingan yang berlangsung selama lapan hari.

KHAMIS, 26 JULAI – Kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan MASwings Sdn Bhd yang ditandatangani pada 21 April lalu mampu memangkin aspirasi untuk menjadikan UMS sebagai jenama global melalui publisiti dan imej korporat.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, ini adalah satu strategi dan pendekatan inovatif untuk meningkatkan kedudukan UMS sebagai universiti bereputasi antarabangsa setanding dengan universiti lain yang ada di Malaysia.

“UMS dan MASwings juga telah merangka dan melaksanakan sinergi strategik dalam bidang Mobiliti Pelajar serta Program Internship; Publisiti dan Imej Korporat; Latihan dan Pengembangan; Penyelidikan; Kebudayaan dan Kesenian; Pendidikan; Pelancongan; Khidmat Masyarakat; Kebolehpasaran Graduan; Sukan dan Rekreasi; dan Perkhidmatan Penerbangan berteraskan bidang yang bersesuaian dengan syarikat penerbangan.

“Walaupun ini bukan inisiatif komersial, MASwings telah menyediakan platform untuk UMS dalam bidang reka cipta, kreativiti dan projek seni berimpak tinggi,” katanya.

Belia berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Logo dan Motto UMS di Pesawat MASwings yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hj Mohd Shafie Apdal di Perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, Aminuddin Zakaria berkata pihak MASwings amat gembira dengan usaha UMS yang bersedia bekerjasama dengan MASwings, khususnya berkaitan sepuluh bidang kerjasama yang dipersetujui dalam MoU antara kedua-dua pihak yang bertujuan untuk kebaikan dan pembangunan modal insan di negeri Sabah.

“Untuk itu, MASwings akan menawarkan tambang khas kepada semua warga UMS iaitu diskaun khas terhadap tambang bagi penerbangan MASwings, dan kami menyasarkan untuk menyediakan tawaran tersebut bermula 1 Ogos ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob, Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMS, Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS serta Para Pegawai MASwings Sdn.Bhd.

 

 

 

 

RABU, 25 JULAI - Kira-kira 400 alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) hadir menjayakan Majlis Sambutan Hari Raya Alumni UMS anjuran Alumni Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) UMS baru-baru ini.

Bertempat di Dewan Auditorium Pascasiswazah UMS, penganjurannya antara lain bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara alumni UMS bersama dengan pihak pengurusan UMS.

Selain itu, ia bagi membentuk kemesraan dan ikatan persaudaraan sesama alumni, selain sebagai medan perkongsian pengalaman antara satu sama lain terutamanya dalam bidang pekerjaan.

Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datin Hajah Nurlaila Said dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof Dr.Ismail Ali.

Turut hadir, Pengarah Pusat Alumni UMS, Darwis Awang.

 

SELASA, 24 JULAI – Generasi muda pada masa kini perlu lebih kompeten dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) agar negara mempunyai sumber modal insan yang berkemahiran tinggi dan mampu membantu kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, dengan kehadiran Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), pelbagai teknologi baru muncul yang menggabungkan dunia fizikal, digital dan biologi dan turut memberi kesan kepada aspek ekonomi, industri bahkan kehidupan manusia.

“Secara asasnya kemunculan teknologi baru ini mengubah cara kita hidup, bekerja dan saling berhubungan sesama manusia.

“Justeru, peralihan ini memerlukan pengetahuan dan kemahiran baru yang luas dengan pembangunan modal insan berasaskan pengetahuan STEM bakal menjadi pemain utama dalam mencari peluang dalam era Revolusi Industri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan sempena program Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) Peringkat Negeri Sabah 2018 di Bilik Seminar, Kompleks Perhutanan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh wakilnya, Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta.

Tambah beliau, di UMS, pelbagai disiplin ilmu berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan, dan sains sosial ditawarkan di peringkat pendidikan tinggi dengan harapan dapat menyumbang kepada modal insan yang diperlukan negara serta memangkin kepada daya inovasi dan produktiviti yang lebih baik untuk manfaat masyarakat dan negara.

Sebanyak lima pasukan bertanding dalam NSC, iaitu pasukan dari SM Sung Siew Sandakan, SM Sains Lahad Datu, SMK Arshad Kota Belud, SMK Desa Kencana Lahad Datu dan satu pasukan ‘Wild Card Team’ yang terdiri daripada pelajar dari SM Sains Sabah, SM St. Micheal dan SMK Arshad Kota Belud.

Dalam pertandingan tersebut, pasukan SM Sung Siew diangkat sebagai juara pertandingan, sekali gus melayakkan pasukan berkenaan mewakili Sabah di peringkat kebangsaan pada 9 hingga 15 Ogos di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.