RABU, 26 APRIL – Kolej Kediaman E Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi berjaya menganjurkan Program “Open Day @ E” yang berlangsung baru-baru ini di kolej kediaman berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kolej itu, ia dikendalikan oleh Exco Akademik, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) kolej berkenaan sebagai salah satu usaha memperkenalkan kolej tersebut kepada warga UMS  khususnya para pelajar Kolej Kediaman E sendiri.

Di samping itu, ia juga bagi memberi peluang kepada para pelajar kolej itu untuk bekerjasama dengan agensi luar khususnya agensi-agensi kerajaan.

Program selama dua hari itu disusun dengan matlamat untuk memperkenalkan keunikan Kolej Kediaman E yang juga dikenali sebagai “Kolej Berbudaya”.

“Open Day @ E” turut menyaksikan pelbagai acara diadakan, antaranya “Chillex Karaoke”, Festival Nasyid serta beberapa acara lain seperti sukan rakyat, bola jaring, bola kampung dan aktiviti-aktiviti yang dikendalikan oleh Kelab Nur Eman.

Turut menjadi pengisian adalah pameran dari Maybank, pembukaan kaunter daftar mengundi oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) serta Kempen Derma Darah, Hospital Queen Elizabeth 1.

Majlis Perasmian Penutupan disempurnakan Pengerusi Majlis Pengetua-pengetua Kolej Kediaman UMS, Dr. Mohd Nizam Nazarudin.

Turut hadir pada program itu, Pengetua Kolej Kediaman E, Dr. Syahruddin Hj. Awang Ahmad, felo-felo Kolej Kediaman E, Majlis Ketua-ketua Sekretariat (MKKS), Majlis Ketua-ketua Blok (MKKB), dan Majlis Ketua-ketua Kelab (MKKK).

 

Sumber: Kolej Kediaman E

RABU, 26 APRIL – Seramai 20 ahli Persatuan Mahasiswa Psikologi dan Pendidikan (PERMAPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjayakan sebuah program sosial di Taman Seri Puteri, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Program yang melibatkan beberapa pelajar wanita Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) itu diadakan dengan bertemakan motivasi dan kreativiti.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PERMAPS, acara tersebut mendapat penyertaan 23 pelatih Taman Seri Puteri yang begitu teruja dengan aktiviti yang telah dijalankan.

Antara aktiviti yang diadakan termasuklah ‘Pulau Impian’ iaitu aktiviti yang memotivasikan peserta untuk menetapkan matlamat hidup, disusuli dengan aktiviti menghias kek bagi mengasah kemahiran dan kreativiti para peserta.

Kenyataan itu menambah, program “Semaian Kasih” itu dijalankan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pelajar UMS yang terlibat tentang tanggungjawab sosial terhadap masyarakat luar sekali gus memupuk sifat penyayang kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Penganjuran program itu juga disambut baik oleh Pengetua Taman Seri Puteri yang menyifatkan program itu sangat bermanfaat dan memberi rasa kekeluargaan dalam kalangan pelatih yang aktif melibatkan diri dalam setiap aktiviti.

 

Sumber: Mardena Jiwan

SELASA, 25 APRIL - Lebih 2,000 warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjayakan  Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit yang dianjurkan Perpustakaan UMS, hari ini.

Ketua Pustakawan UMS, Dg. Rukiah Ag. Amit berkata,  program tersebut bagi menyahut program tahunan anjuran Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) yang dijalankan serentak di seluruh negara.

“Objektif penganjuran ini adalah sebagai satu usaha ke arah membudayakan inisiatif membaca dengan tujuan menjadikan perpustakaan sebuah organisasi yang relevan dalam pendidikan.

“Di samping itu, ia bagi mewujudkan sinergi yang cekap antara perpustakaan seluruh Malaysia dengan pihak Jabatan Pelajaran serta jabatan dan agensi lain di peringkat negeri dan nasional dalam merangka proses pembelajaran sepanjang hayat yang holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada program tersebut di Ruang Bacaan, Aras 1, Perpustakaan UMS.

Menurut Dg. Rukiah, penganjuran program itu juga sekali gus mampu melahirkan generasi yang mencintai ilmu, berakhlak mulia, mentaati agama dan berkemahiran tinggi.

“Kemantapan ilmu, melalui amalan membaca merupakan nadi dan pemangkin kepada kecemerlangan sesebuah universiti.

“Justeru, program ini merupakan salah satu mekanisme untuk mencapai misi universiti ke arah kecemerlangan ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu dan mencapai pengiktirafan antarabangsa,” tambahnya sambil memaklumkan program itu juga dijalankan serentak di UMS Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus Cawangan Sandakan.

Lafaz perasmian Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit itu disempurnakan Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS, Prof. Dr. Baba Musta mewakil Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Turut mengambil bahagian pada program itu ialah anak-anak kakitangan UMS dari Pusat Minda Lestari.

SELASA, 25 APRIL - Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Bahagian Kebudayaan dan Kesenian menganjurkan Pertandingan Seni Inter Kolej Siri 1 Sesi 2017/2018 bertempat di Anjung Circle, UMS.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali berkata, pertandingan tersebut telah dijadikan acara tahunan untuk mencari bakat-bakat baharu untuk diketengahkan ke pertandingan peringkat yang lebih tinggi

“Pertandingan Seni Inter Kolej Siri 1 Sesi 2017/2018 kali ini dimulakan dengan pertandingan nyanyian Irama Malaysia yang menyaksikan sembilan peserta tampil dengan lagu pilihan masing-masing, disusuli pertandingan kategori tarian moden yang menampilkan persembahan-persembahan hebat dari para peserta.

“Kategori seterusnya iaitu pertandingan nasyid akan berlangsung pada  29 April 2017 sebelum upacara majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut baru-baru ini.

Dr. Ismail turut menyuarakan harapan agar pertandingan kesenian itu akan diteruskan pada masa akan datang serta sentiasa mendapat penyertaan yang memberangsangkan daripada kalangan para pelajar.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Program, Mohd. Nor Suhaizam Suhaili berkata, Pertandingan Seni Inter Kolej Siri 1 Sesi 2017/2018 dilihat mampu memberi impak yang positif serta mengasah bakat para pelajar bukan sahaja dalam bidang akademik malah dalam aspek kemandirian.

Turut hadir pada majlis perasmian pertandingan itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Ahmadi Nurdin.

 

SELASA, 25 APRIL – Sejumlah 27 kenderaan pacuan empat roda melibatkan lebih 100 peserta dalam kalangan warga UMS serta kakitangan agensi kerajaan dan swasta memulakan perjalanan bagi konvoi Rentas Borneo ke-4: Ekspedisi Permata Rimba Magandai kelmarin.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, Ekspedisi Rentas Borneo yang merupakan acara tahunan UMS telah memasuki siri penganjuran kali keempat pada tahun ini.

“Matlamat Rentas Borneo untuk mendekati masyarakat yang tinggal jauh di pedalaman dengan akses jalan yang sangat terhad adalah satu usaha murni dan pihak pengurusan sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

“Justeru, warga universiti, sama ada ahli akademik, pentadbiran atau pelajar haruslah serba boleh dan dapat berfungsi di mana-mana sahaja dan tidak menghabiskan masa hanya di bilik kuliah atau pejabat semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya sempena majlis pelepasan konvoi tersebut yang disempurnakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid di Anjung Siswa, UMS.

Tambah Datuk Harun, beliau menaruh keyakinan tinggi bahawa setiap program anjuran UMS akan membawa impak kepada masyarakat setempat, serta warganya sentiasa mempunyai tekad yang tinggi dalam usaha menabur bakti kepada masyarakat.

Sementara itu, Datuk Hajah Jainab ketika berucap pada majlis tersebut berkata, semangat yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat dalam program ini membuktikan kepekaan mereka terhadap keperluan masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Saya juga difahamkan rombongan Rentas Borneo akan mengadakan banyak aktiviti bersama masyarakat Kg. Magandai,  Kota Marudu.

“Menyedari hakikat bahawa program ini memberi impak yang besar terhadap masyarakat terutamanya di kawasan pedalaman, saya mengharapkan program seumpama ini terus diadakan dan pihak kementerian akan turut sama membantu,” ujar beliau.

Pada majlis itu, Datuk Hajah Jainab turut menyampaikan sumbangan RM3,000 sebagai bantuan keperluan Konvoi Rentas Borneo yang akan berkampung di Sekolah Kebangsaan Magandai sehingga 28 April ini.