RABU, 30 OGOS – Seramai 15 peserta dari enam negara akan menyertai Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) 2017 di Sabah bermula 7 September depan.

Program selama 20 hari itu dianjurkan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

Pemangku Pengarah IBTP UMS, Prof. Madya Dr. Monica Suleiman berkata peserta kali ini terdiri dari wakil Botswana, Sri Lanka, Vietnam, Kemboja, Filipina dan Thailand.

“Program ini meliputi aktiviti formal dalam bilik kuliah, persembahan video, lawatan lapangan ke pelbagai kawasan hutan yang dilindungi, interaksi dengan masyarakat tempatan di pedalaman dan pinggir kawasan yang dilindungi serta bertemu mereka yang terlibat dalam usaha pemuliharaan di peringkat akar umbi.

"Program latihan merangkumi perolehan pengetahuan dan kemahiran berkaitan dengan integrasi, pelaksanaan penyelidikan dan pendidikan, pengurusan taman dan kesedaran awam," katanya dalam satu sidang media di Bilik Seminar IBTP hari ini.

Dr. Monica berharap melalui program ini para peserta juga dapat mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan pengurusan pemuliharaan (perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian) dan merealisasikan matlamat sama dalam aspek pemuliharaan.

Turut hadir pada sidang akhbar itu Pegawai Kajibumi Kanan Pejabat Hasil Bumi Jabatan Ketua Menteri Sabah, Gerald Jetony.

 

Foto: Nasrul Rukkung

 

RABU, 29 OGOS – Seramai 34 kakitangan Perpustakaan Kampus Induk Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan lawatan kerja ke Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Kampus Sandakan baru-baru ini.

Ketua rombongan yang juga Pustakawan Kanan, Mohd. Tajudin Atin berkata, lawatan itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada staf perpustakaan melihat sendiri ladang-ladang yang diusahakan oleh FPL seperti ladang ternakan kambing, rusa, payau, burung unta dan ladang orkid.

“Lawatan itu juga bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan kerjasama yang sedia terjalin dengan staf FPL,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ujar Tajudin, ahli rombongan turut diajar cara-cara membuat telur masin.

Sementara itu, rombongan berkenaan telah disambut mesra oleh Dekan FPL, Prof. Madya Dr. Saafie Salleh yang diiringi Penolong Pendaftar Kanan FPL, Roslan Gimba.

Sesi taklimat kemudiannya diadakan dengan dikendalikan Penolong Pegawai Veterinar, Mohd. Faizal Awang Yahya bersama Mohd. Azahari Majin dari Bahagian Pentadbiran FPL.

Selain lawatan sekitar FPL, rombongan juga berkesempatan mengunjungi tempat-tempat menarik di sekitar Sandakan.

 

Sumber:  Hjh. Jamaidah Hj. Yahya

      

             

 

SELASA, 29 OGOS – Jabatan Pendaftar dan Perpustakaan UMS menjadi antara organisasi terawal di UMS mengadakan ikrar bebas rasuah.

Di Jabatan Pendaftar, ikrar bebas rasuah telah berlangsung pagi tadi sempena perhimpunan bulanan jabatan itu di Galeri Majlis, Bangunan Canselori UMS. Lafaz ikrar telah diketuai Ketua Timbalan Pendaftar Bahagian Sumber Manusia, Mohd. Raffie Haji Janau sambil disaksikan Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad.

Turut mengiringi jabatan itu ialah Perpustakaan UMS yang turut melafazkan ikrar tersebut secara serentak.

Berlangsung di lobi bangunan perpustakaan, lafaz ikrar diketuai sendiri oleh Ketua Pustakawan UMS, Dayang Rukiah Ag. Amit.

Kesemua kakitangan Perpustakaan kemudiannya berarak menuju ke Menara Jam sambil mengibarkan dan menyanyikan lagu Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Untuk rekod, bacaan ikrar diadakan sebagai tanda amalan integriti dan sumpah setia dalam menjalankan tugas seharian selaku kakitangan UMS.

Antara ikrar yang dilafazkan termasuklah melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap sebarang perlakuan jenayah rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan diri sendiri dan kakitangan di bawah seliaan masing-masing.

 

 

 

 

SELASA, 29 OGOS - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan membangunkan Projek Rumah Komuniti Parlimen Tawau melalui sistem Interlocking Brick Construction (IBC).

Ketua projek bersama, Prof. Ir. Dr. Abdul Karim Mirasa berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menganugerahkan geran Program Penyelidikan Translational sebanyak RM1 juta kepada UMS dan UTM bagi tujuan tersebut.

“Sebuah mesin pembuatan batu bata IBC juga akan ditempatkan di Kampus UMS Kota Kinabalu untuk projek pembinaan rumah komuniti ini selain sebagai usaha penyelidikan berterusan bagi mempertingkatkan kaedah pembinaan yang lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media hari ini.  

Prof. Ir. Dr. Abdul Karim berkata, projek Penyelidikan Translational dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu adalah berkonsepkan Sistem Bangunan Industri (IBS).

“Antara kebaikan menggunakan sistem ini adalah cepat dibina, senang dipasang, lebih kuat dan kosnya yang kompetitif.

“Sebanyak lapan buah rumah komuniti di kawasan terpilih daerah Tawau akan dibina menggunakan sistem IBS yang turut melibatkan bantuan teknikal industri, Politeknik Tawau dan Kolej Komuniti Tawau,” jelas Dekan Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS itu lagi.

Menyentuh mengenai IBC Prof. Ir. Dr. Abdul Karim berkata,  ia merupakan revolusi baharu dalam pembinaan yang menyaksikan batu bata dihasilkan menggunakan kaedah tekanan mesin menggantikan kaedah pembakaran sekali gus  menghasilkan batu bata yang lebih kuat dan dimensi yang lebih tepat.

“Kaedah ini telah lama digunakan di Eropah dan di negara maju yang lain.

“Selaras dengan teknologi hijau yang mendukung kelestarian alam sekitar,  kita juga akan menggunakan hasil inovasi penyelidik FKJ UMS iaitu Ultrafine Palm Oil Fuel Ash dan bahan buangan kuari sebagai sebahagian bahan campuran selain dari simen, pasir dan tanah liat,” tambahnya.

Majlis pecah tanah Projek Rumah Komuniti Parlimen Tawau telah berlangsung baru-baru ini di Balung Tawau dengan disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi KPT, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching selaku Ahli Parlimen Tawau.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof. 

 

 

Sumber: Prof. Madya Dr. Nurmin Bolong

SELASA, 29 OGOS - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengedarkan lebih 1,000 Jalur Gemilang dan bendera Sabah kepada warga kampus dalam satu Program Semarak Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Edaran tersebut disempurnakan Naib Canselor UMS, Profesor Dr. D Kamarudin D Mudin di Pintu Utama UMS bermula pukul 4.30 petang, kelmarin.

Pada tahun ini, UMS turut melibatkan 11 buah kenderaan Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS untuk membawa dan mengibarkan bendera selama sebulan di sekitar Kota Kinabalu.

Turut hadir pada program itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Shahril Yusof; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali; Pendaftar UMS, No’man Datuk Hj. Ahmad; dan Ketua Pustakawan UMS, Dayang Rukiah Ag. Amit.

Seperti tahun sebelumnya, UMS mula mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah pada 1 Ogos di semua bangunan yang terdapat dalam kampus sebagai usaha menyemai dan menyubur semangat patriotisme sekali gus menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan.