RABU, 12 APRIL - Sukan Staf Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-16 yang berlangsung baru-baru ini mampu menjadi medan dalam mewujudkan jalinan akrab serta memupuk semangat bekerja dalam satu pasukan yang amat penting dalam sesebuah organisasi.

Pendaftar UMS, No’man Ahmad berkata, selain merupakan acara tahunan universiti, Sukan Staf UMS juga dilihat sebagai kaedah meningkatkan interaksi antara kakitangan melalui sukan selain menerapkan amalan gaya hidup sihat.

“Universiti sememangnya menitikberatkan pembudayaan sukan yang mampu menyumbang terhadap peningkatan produktiviti kakitangan, di samping membentuk semangat berpasukan dan semangat juang tinggi yang kemudiannya diaplikasikan di jabatan masing-masing dalam tugas seharian.

“Diharapkan ikatan yang terjalin dalam kejohanan sukan ini tidak terhad dalam pertandingan sahaja tetapi kemesraan tersebut perlu diteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Sukan Staf UMS Ke-16, yang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof di Dewan Taekwondo, UMS.

Dalam pada itu, Prof. Shahril dalam ucapannya mencadangkan agar beberapa sukan baharu disenaraikan pada edisi akan datang, yang akan mengetengahkan kelebihan landskap EcoCampus UMS.

“Sukan Triathlon misalnya boleh dipertimbangkan kerana melalui acara ini peserta boleh berenang di laut sebelum tiba di Pantai ODEC, dan kemudiannya berbasikal di sekitar kawasan kampus UMS yang berbukit.

“Ini sekali gus dapat mengetengahkan setiap elemen keindahan yang dimiliki oleh EcoCampus UMS,” ujar beliau.

Pada kejohanan tersebut, kontinjen Super 7 cemerlang apabila menduduki tangga teratas dalam pungutan pingat keseluruhan, dengan kutipan empat emas, lima perak dan satu gangsa. Pingat emas kontinjen tersebut disumbang melalui sukan 8 Baton Road Run, Bola Sepak 7 Sebelah (Veteran), Bola Sepak 9 Sebelah dan Bola Tampar Wanita.

Lapan pasukan bersaing pada kejohanan dua hari itu, iaitu kontinjen Super 7, The Legend, 1Kal, FPL Warrior, Twin Tower, Science United, D’Arts dan Royal Esteem.

 

 

SELASA, 11 APRIL - Kolokium Pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) mampu menyemarakkan budaya penyelidikan yang berterusan dalam kalangan komuniti penyelidik, khususnya dalam kalangan pelajar pascasiswazah, sekali gus akan memupuk kreativiti dan inovasi yang sangat berguna untuk pembangunan mapan negara.

Hal ini dinyatakan Dekan FPEP, Prof. Madya Dr Raman Noordin dalam satu majlis perasmian kolokium tersebut baru-baru ini.

Menurut beliau, selain bertindak sebagai ruang untuk membentangkan idea dan dapatan penyelidikan, para pelajar pascasiswazah juga berpeluang untuk membentuk rangkaian penyelidik bersama rakan-rakan pelajar yang mempunyai bidang kajian yang sama.

“Ini akan memberi nilai tambah kepada kajian penyelidikan sedia ada, selain menjadi platform untuk mendapatkan pelbagai input berguna terhadap tahap dan teknik kajian para pelajar yang membuat pembentangan,” katanya.

Pada kolokium tersebut, Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS, Prof. Dr. Rasid Mail menekankan kepentingan menghasilkan penyelidikan yang relevan dengan realiti cabaran dunia, semasa ucaptama beliau.

Katanya, fokus penyelidikan perlu memenuhi kehendak dan trend pada masa kini.

“Dengan kata lain, hasil penyelidikan para penyelidik kelak hendaklah berupa sesuatu kaedah atau alat yang boleh terus diaplikasi dan menyelesaikan pelbagai isu yang menjadi punca kepada penyelidikan itu dijalankan,” kata Dr. Rasid.

Kolokium ini turut mengetengahkan beberapa ahli akademik tempatan yang pakar dalam bidang masing-masing, antaranya pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sabah, Prof. Madya Dr Imbarine Bujang.

Beliau berkongsi dengan para peserta kolokium mengenai kepentingan hala tuju dan objektif utama seseorang itu dalam menyambung pengajian ke peringkat sarjana atau doktor falsafah. Dengan demikian, katanya para pelajar tidak mudah hilang fokus sepanjang tempoh pengajian mereka.

Pensyarah FPEP, Dr Janice Nga semasa sesinya pula berkongsi idea menghasilkan suatu penyelidikan yang mungkin kecil pada pandangan sesetengah orang tetapi mempunyai impak yang besar kepada masyarakat. Inilah sikap positif yang perlu dimiliki oleh setiap pelajar pascasiswazah.

Sementara itu, pengerusi penganjur kolokium tersebut, Dr Kamisan Pusiran yang juga merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah, FPEP berkata, kolokium ini adalah satu manifestasi FPEP dalam membantu para pelajar pascasiswazah memperbaiki kaedah penyelidikan.

“Rata-rata kalangan pelajar khususnya dari UMS dan UiTM Kampus Sabah yang membentang perkembangan penyelidikan mereka berpuas hati dengan ilmu dan pengalaman yang ditimba selama dua hari kolokium ini diadakan.

“Kita berharap ini akan memberi motivasi kepada pengajian mereka agar dapat menyelesaikan hasil penyelidikan mereka dan bergraduat pada masa yang ditetapkan,” ujar beliau.

Sumber:  Jakaria Dasan & Dr. Kamisan Pusiran, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS

 

 

SELASA, 11 APRIL – Siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempamerkan keputusan membanggakan apabila berjaya menggondol hadiah utama dalam Borneo Cyber Security Challenge 2017 anjuran bersama UMS dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kumpulan TMS Lab dari UMS cemerlang apabila dinobatkan sebagai johan bagi pertandingan Forensic Challenge, sekali gus menggondol hadiah wang tunai RM3,000 mengetepikan pesaing terdekat Kumpulan Christopher dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Kumpulan itu yang terpaksa berpuas hati untuk berada pada kedudukan tempat kedua membawa pulang wang tunai RM2,000.

Tempat ketiga pula dengan hadiah RM1,000 menyaksikan Kumpulan AAAI500 juga dari UMS muncul sebagai pemenang.

Bagi pertandingan Hack and Defense Competition, Kumpulan AYAM dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam muncul johan sekali gus menerima hadiah wang tunai RM3,000.

Naib johan dimenangi Kumpulan Mr. Robot 3.0 dari Swinburne University of Technology Sarawak, dan tempat ketiga dimenangi Kumpulan Mr. Robot dari UMS. Kedua-dua pasukan juga masing-masing menerima wang tunai RM2,000 dan RM1,000.

Penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah Bahagian Pengawasan Digital SKMM, Harme Mohamed dalam satu majlis penutupan program tersebut di Dewan Kuliah Pusat 2, UMS.

Terdahulu, turut berlangsung sesi Security Forum bertajuk "Challenges Facing The Future of Cyberspace" yang menampilkan empat panel, iaitu Harme Mohamed; Ketua Penolong Pengarah Jabatan Penyiasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, ACP Ahmad Nordin; wakil SKMM, K Juslly Elis; dan wakil NetbyteSEC Malaysia, Mahmud Abdul Rahman.

Sesi forum dikendalikan Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik UMS, Prof. Madya Dr. Ag Asri Ag. Ibrahim.

 

ISNIN, 10 APRIL -  Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus berusaha membantu masyarakat dalam meningkatkan taraf hidup.

Terbaharu, UMS telah membantu penduduk Kampung Tudan, Tuaran menghasilkan produk Mulberry Tea.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, produk itu masih belum pernah dibangunkan oleh mana-mana pihak di Sabah.

“Saya percaya Mulberry Tea ini mampu menjadi produk yang terkenal di negeri ini pada masa hadapan memandangkan kualitinya yang setanding dengan teh-teh lain yang ada di pasaran.

"Kita kini masih dalam proses mencari rakan industri untuk membantu memasarkan produk ini secara meluas,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran produk berkenaan.

Prof. Dr. Shahril berkata, UMS telah memperoleh Geran KTP (Knowledge Transfer Program) berjumlah RM167,690 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menyempurnakan projek komuniti itu.

“Setakat ini, tanaman ini telah menyumbang sebanyak 20-30 peratus pendapatan penduduk kampung terbabit,” katanya lagi.

Hadir sama pada pelancaran itu, Ketua Projek Tanaman Mulberry Tea, Dr. Fiffy Hanisdah Saikim dan Ketua Kampung Tudan, Golonius Gibin.

ISNIN, 10 APRIL – Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Unit Penyelidikan Warisan Borneo berjaya menganjurkan Kolokium Warisan Perubatan Pelbagai Budaya di Malaysia bertempat di Theattrette Ahmad Nisfu, FKSW baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Penganjur yang juga Ketua Unit Warisan Penyelidikan Borneo, Prof. Madya Dr. Low Kok On, kolokium itu bertujuan untuk mengumpul pakar-pakar yang mengkaji tentang perubatan tradisional di negara ini.

“Sebanyak lima topik dibentangkan para penyelidik, antaranya ialah ‘Perubatan Tradisional dalam Kurun ke-21’ oleh Pensyarah FKSW, Profesor Dr. Hashim Awang AR.; ‘Integrating Islamic Complementary Healing into Modern Medicine oleh Prof. Dr. Supyan Hussin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ‘Future Trend of Traditional Chinese Medicine oleh Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Yam Mun Fei.

“Dua lagi topik yang disampaikan bertajuk Thaipusam: The Power to Evoke Sprituality and Faith Healing through a Series of Ritualistic Practices’ juga dari USM iaitu Dr. Mumtaz Aboo Backer sebelum diakhiri oleh Pensyarah Kanan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan UMS, Julius Kulip dengan topik bertajuk ‘Ethnomedicines in Sabah: A present Status,” ujarnya ketika ditemui media.

Dr. Low berkata, selain UMS, UKM dan USM, program yang mendapat tajaan geran bernilai RM7 juta dari Kementerian Pendidikan Tinggi itu turut melibatkan para penyelidik dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Para penyelidik mengambil masa hampir empat tahun menghabiskan projek penyelidikan mereka.

“Melalui geran tersebut, mereka juga berjaya menyumbang penerbitan sebanyak 25 buah buku tidak termasuk beberapa buah jurnal antarabangsa serta penganjuran pelbagai seminar antarabangsa termasuklah penganjuran kolokium ini,” tambah beliau.

Kolokium sehari itu disertai 60 peserta daripada kalangan penyelidik, kakitangan akademik dan pelajar UMS.

Program berakhir dengan penyampaian sijil yang disempurnakan Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim kepada semua peserta.

Foto:  AK AB Hashim Pg. AB. Ghani