RABU, 29 JUN – ‘Ketuk-ketuk Ramadan Bendahari’ kembali lagi pada tahun ini dengan menyajikan menu yang menarik untuk diagihkan kepada kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dianjurkan oleh Kelab Kakitangan Rekreasi Jabatan Bendahari, aktiviti yang memasuki tahun keempat itu akan menyajikan Nasi Hujan Panas, Ayam Madu Insaf, Kacang Ataturk dan Laici-kang.

“Aktiviti ini merupakan acara tahunan bagi jabatan Bendahari bagi mengimarahkan bulan Ramadan yang mulia ini sekali gus mengukuhkan lagi ikatan silaturahim sesama kakitangan,” kata Timbalan Bendahari di Jabatan Bendahari, Mohamad Edrus Othman.

Ketika ditemui pemberita, Penolong Bendahari, Johnson Yong Thau Sze yang telah berkhidmat lebih daripada tujuh tahun berasa teruja dengan acara berkenaan sambil memberitahu seluruh kakitangan jabatan itu bersama-sama mengambil bahagian tanpa mengira kaum dan agama.

Pembantu Tadbir, Hazlinah Nasruddin menyatakan acara tersebut memupuk semangat muhibbah dan kerjasama dalam kalangan kakitangan jabatan di samping menyumbang juadah berbuka puasa kepada kakitangan yang lain.

Untuk rekod, Jabatan Bendahari juga telah menyumbang makanan kepada majlis berbuka puasa dan moreh semalam di Masjid UMS. – FL

SELASA, 28 JUN - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah bersama-sama pegawai utama dan kanan universiti telah menghadiri majlis berbuka puasa bersama kakitangan dan pelajar UMS di Masjid UMS semalam.

Pada majlis tersebut, Datuk Harun mewakili UMS menerima sumbangan zakat berjumlah RM15 ribu yang disampaikan oleh wakil Pusat Zakat Sabah.

Beliau kemudiannya mengagihkan sumbangan zakat kepada 14 kakitangan UMS yang terdiri daripada golongan kurang kemampuan, mualaf, dan ayah tunggal, serta 43 orang pelajar UMS.

Berkonsepkan makan duduk bersila, Datuk Harun bersama-sama warga UMS berbuka puasa setelah berkumandangnya azan Maghrib tepat jam 6.33 petang.

Beliau kemudiannya menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama para jemaah yang hadir.

Selesai Solat Sunat Tarawih, Datuk Harun kemudiannya bersama-sama Menteri Pembangunan  Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid mengagihkan jamuan moreh sumbangan McDonald 1Borneo, dan hamper sumbangan peribadi Datuk Hajah Jainab kepada para pelajar UMS.

ISNIN, 27 JUN – Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-19 (MAT19) di Galeri, Bangunan Canselori, UMS baru-baru ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Profesor Dr Arsiah Bahron meyaksikan hampir 100 ahli telah hadir dan beberapa kakitangan wanita UMS turut mendaftar sebagai ahli baharu.

Sebagai menyahut seruan kempen EcoCampus universiti, MAT19 dikendalikan tanpa kertas dan semua laporan telah dimuat naik ke laman web KESUMBA, termasuk buletin tahunan.

Majlis perasmiannya disempurnakan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Dalam ucapannya beliau menggesa ahli-ahli kelab untuk terus meningkatkan imej universiti melalui kerjasama dan aktiviti yang dapat memberi manfaat.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Yang Dipertua kelab, Datin Baidah Ibrahim dan Ketua Pustakawan UMS yang juga ahli KESUMBA, Dg Rukiah Ag Amit. – FL

Gambar: Adrian Amatus

JUMAAT, 24 JUN - Seramai 11 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Mercu Buana (UMB), Jakarta berjaya menamatkan Program Mobiliti selama satu semester di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS, Prof. Madya Dr. Mohd Dahlan Hj. A. Malek berkata, daripada kesemua pelajar itu tujuh orang dari UUM dan selebihnya dari UMB.

“Tahniah kepada Fakulti Psikologi dan Pendidikan atas kejayaan mengendalikan program mobiliti dengan baik. Diharap pada masa akan datang, program ini dapat diperluaskan ke universiti-universiti tempatan dan juga luar negara.

“Ini penting dalam usaha fakulti menaikkan KPI program dan fakulti serta KPI universiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Tamat Program Mobiliti, kelmarin.

Program itu diadakan bagi meraikan pelajar Program Mobiliti daripada UUM dan UMB, Jakarta Indonesia.

Dr. Mohd Dahlan berkata, program mobiliti itu akan diteruskan pada masa akan datang dengan melibatkan lebih ramai pelajar daripada program lain.

“Mobiliti merupakan salah satu platform bagi pelajar mendapatkan pengalaman dan pengetahuan daripada universiti lain.

“Pengalaman dan pengetahuan yang baru sudah pasti akan dapat memberikan kebaikan dan impak positif kepada pelajar, fakulti dan universiti,” tambahnya.

KHAMIS, 23 JUN - Keterlihatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di peringkat antarabangsa terus diperkasa apabila tersenarai dalam kelompok 220 universiti terbaik Asia dalam QS Asian University Rankings 2016 baru-baru ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, pencapaian itu merupakan satu peningkatan yang memberangsangkan berbanding pencapaian kelompok 250 universiti terbaik Asia pada tahun lalu.

“Ia juga menunjukkan satu lonjakan sebanyak 140 tangga berbanding ranking universiti ini pada tahun 2012,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pencapaian itu merupakan hasil komitmen semua warga UMS yang sentiasa berganding bahu dengan semangat dan tekad untuk mengekalkan kecemerlangan ke arah keunggulan di arena antarabangsa.

“Jika dahulunya kita kurang dikenali di peringkat global, namun kini UMS berada pada landasan yang tepat dan telah mencapai pengiktirafan demi pengiktarafan bertaraf dunia.

“Pelbagai usaha juga sedang giat dijalankan untuk memastikan universiti ini maju ke tahap yang lebih tinggi dan terus cemerlang,” tambah Datuk Harun sambil memaklumkan sasaran UMS untuk berada pada kelompok 100 universiti terbaik Asia dalam lima tahun akan datang.