JUMAAT, 10 JUN - Kelab 1Malaysia Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menganjurkan program Rimbunan Kasih bertempat di Rumah Anak Yatim dan Asnaf, Kampung Langsat, Ranau.

Menurut Presiden kelab itu, Muhammad Firdaus Syarifuddin, seramai 20 ahli kelab menjayakan program berkenaan yang dimulakan seawal pukul 10.00 pagi.

“Program Rimbunan kasih ini diadakan sebagai medan untuk  beramah mesra bersama anak yatim selain memberi sumbangan kepada pihak rumah kebajikan tersebut yang baharu siap dan beroperasi tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, program sehari itu mendapat sambutan yang amat baik dan kesemua penghuni rumah anak yatim seramai 26 orang begitu teruja menyertai aktiviti yang telah dirancang.

“Antara aktiviti yang diadakan termasuklah sesi senaman pagi dan acara sukaneka yang dilihat sedikit sebanyak memberi kegembiraan kepada golongan anak-anak yang kurang bernasib baik ini,” ujar Firdaus.

Dalam masa yang sama katanya, program berkenaan turut menjadi platform ahli kelab yang juga mahasiswa UMS mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan masyarakat luar.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sumbangan dan cenderahati kepada wakil Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Langsat Ranau, Ustaz Hainin. –SS

Sumber:  Norhana Nordin, Jabatan Hal Ehwal Pelajar

JUMAAT, 10 JUN - Bahagian Pergigian Pusat Rawatan Warga (PRW)  buat julung kalinya telah menjayakan Program Pencegahan Kerosakan Gigi khusus untuk kanak-kanak Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Bertemakan ‘Gigi Sihat Hati Riang’, program tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Kesihatan UMS, Dr.Fredie Robinson.

Menurut ketua ptogram tersebut, Dr. Mary Sieman, , matlamat utama program ini adalah untuk memberi tunjuk ajar mengenai cara-cara penjagaan kesihatan gigi dan mulut di peringkat awal kanak-kanak dan juga kepentingan untuk membiasakan diri dengan tabiat yang baik dan membuang tabiat buruk yang boleh merosakkan gigi.

“Gigi yang sihat dan kuat memberi banyak kepentingan kepada kita. Ia berfungsi menghancurkan makanan sebelum diproses untuk membekalkan tenaga kepada badan

Ini sekali gus memberi implikasi dalam meningkatkan keyakinan kanak-kanak untuk bergaul dengan rakan mereka apabila mereka mempunyai gigi yang cantik, sihat dan senyuman yang ceria,” katanya.

Ujarnya lagi, pihak PRW juga berharap mampu meneruskan kerjasama dengan PML berkaitan penjagaan gigi pada masa akan datang.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memeriahkan suasana program tersebut, antaranya penyerahan berus gigi kepada kanak-kanak, pameran, demo dan memberus gigi bersama, pemilihan gigi sihat, pertandingan kuiz dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Hadir sama dalam program tersebut Pengarah PML, Aidah Noordin dan Ketua PRW, Dr.Shazia Qaiser.

Sumber: Zaleha Abdul Ghani, PML

KHAMIS, 9 JUN - Penyelidik Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah, Dr. Takashi Kamada meraih anugerah Pingat Emas pada BioMalaysia 2016 dalam kategori Bioteknologi Perubatan.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau memenangi anugerah itu melalui penyelidikannya yang bertajuk ‘Novel anti-inflammatory drug from Bornean Red Alga Laurencia nangii’’ sekali gus mengetepikan penyelidik dari 12 universiti lain yang bertanding pada kategori berkenaan.

Bercakap kepada pemberita beliau berkata, alam semula jadi sememangnya telah lama menjadi sumber yang sangat baik serta inspirasi untuk pembangunan ubat-ubatan, dan Pulau Borneo sangat bertuah kerana mempunyai sumber biodiversiti yang luas dan sangat diperkaya dengan khazanah alam semula jadi.

“Penyelidikan yang giat dijalankan ini akan membawa kepada penemuan agen anti-radang yang baru,” katanya berhubung kajian tersebut yang dilaksanakan bersama Pengarah IBTP, Professor Dr. Charles S. Vairappan dan Chin-Soon Phan.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

UMS turut mencatatkan pencapaian membanggakan apabila berjaya memenangi Anugerah BioPitch di BioMalaysia 2016 melalui dua penyelidik Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Prof. Madya Dr. Kenneth Rodrigues dan Dr. Daisy Vanitha John.

Kejayaan itu terhasil melalui produk ‘Lepto-AD’ Kit Pengesanan Antigen Leptospira yang dihasilkan dengan kerjasama pembangunan komersial dan pemasaran oleh syarikat Platcomm Ventures Sdn. Bhd.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Inovasi), Pusat Penyelidikan dan Inovasi UMS, Dr. Azaze @ Azizi Abdul Adis melahirkan rasa bangga atas pencapaian berkenaan.

Beliau berkata, keupayaan penyelidik dari UMS untuk mendapatkan sokongan daripada industri menunjukkan evolusi sinergi baru antara industri dan penyelidik saintifik.

“Pendekatan strategik ini adalah penting bukan sahaja dalam menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi tetapi dalam masa yang sama untuk memastikan institusi pendidikan dan penyelidikan menggunakan dana awam membangunkan penyelesaian saintifik untuk masalah tempatan dengan berkesan,” katanya. –SS

Sumber: Pusat Penyelidikan dan Inovasi

KHAMIS, 9 JUN - Dua penyelidik Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Kenneth Rodrigues dan Dr. Daisy Vanitha John telah mencatatkan pencapaian membanggakan apabila berjaya memenangi Anugerah BioPitch di BioMalaysia 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Produk "Lepto-AD" Kit Pengesanan Antigen Leptospira memenangi anugerah tersebut atas faktor penyelesaian inovatif yang cemerlang terhadap cabaran-cabaran teknikal, sosial dan alam sekitar dalam analisis perubatan dan diagnostik.

Produk inovasi yang telah dihasilkan kedua-dua penyelidik tersebut bersama-sama dengan pelajar mereka, Mohd Iskander Ramzanah dan Yuszniahyati Yaakob dari Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu adalah berdasarkan kepada pendekatan menyeluruh dalam menangani kos yang tinggi untuk antigen yang boleh didapati secara komersial untuk aplikasi Enzyme Linked Immuno Sorbent Assay (ELISA) terhadap leptospirosis.

Leptospirosis adalah penyakit bakteria berjangkit yang menjangkiti manusia dan haiwan disebabkan oleh spiroket Leptospira, yakni mikroorganisma patogenik, yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, meningitis (radang membran di sekeliling otak dan saraf tunjang), kegagalan hati, masalah pernafasan dan kematian dalam kes-kes tertentu.

Pasukan penyelidikan menggunakan bioinformatik untuk mengenal pasti kawasan penting yang mempamerkan keantigenan yang tinggi terhadap spiroket tersebut.

Kit Lepto-AD terdiri daripada panel tiga antigen yang diuji bersama untuk mencapai tahap ketepatan yang lebih tinggi dalam diagnostik, dan ketepatan kit ini telah disahkan oleh pengesanan antigen menggunakan sampel serum yang positif leptospira yang diperolehi daripada pesakit tempatan.

Kos pengeluaran kit ini juga adalah jauh lebih rendah; yakni satu per sepuluh daripada harga produk yang boleh didapati secara komersial.

Produk ini telah pun di guna pakai oleh Platcomm Ventures Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang membiayai pembangunan produk inovatif untuk dibawa ke pasaran.

Produk Lepto-AD kini boleh didapati untuk penggunaan makmal diagnostik yang terlibat dalam pengesanan Leptospirosis.

Sumber: Institut Penyelidikan Bioteknologi

RABU, 08 JUN - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah melahirkan kekecewaan terhadap sebuah akhbar tempatan yang memuatkan tajuk berita yang tidak tepat berhubung insiden bas terbabas yang berlaku di kampus itu di sini semalam.

Katanya, akhbar tersebut dalam tajuk besarnya pada muka surat hadapan hari ini “UMS bus lands on side: 34 hurt” tidak mencerminkan keadaan sebenar dan boleh mengelirukan pembaca khususnya ibu bapa pelajar yang terlibat.

“Sebagai makluman, bas yang terlibat dalam insiden itu bukan milik UMS mahupun bas yang disewa khas daripada syarikat pengangkutan luar. Ia adalah bas ekspress daripada syarikat swasta yang membawa penumpang terdiri daripada 34 pelajar UMS dari pusat beli-belah 1Borneo menuju ke kolej kediaman pelajar di dalam kampus,” katanya dalam satu kenyataan.  

Menurut Datuk Harun, isi berita yang disiarkan akhbar berkenaan adalah tepat namun tajuk yang digunakan pula menggambarkan makna yang berlawanan sekali gus mampu mengundang persepsi negatif masyarakat terhadap UMS.

“Sesebuah laporan akhbar itu seharusnya mempunyai fakta yang tepat dan sahih bukan sahaja pada isi berita tetapi yang lebih utama pada tajuknya sebagai menggambarkan inti utama berita yang disampaikan,” tambahnya lagi.

Dalam insiden bas ekspres terbabas di Jalan Simpang Masjid/Canselori itu, 23 pelajar telah dihantar di Pusat Rawatan Warga UMS, manakala 11 orang lagi menerima rawatan di Hospital Likas, sebelum lima yang lain dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth bagi tujuan pemeriksaan X-Ray untuk melihat sekiranya terdapat kecederaan dalaman.

Kesemua 34 pelajar yang terlibat kemudiannya dibenarkan pulang pada hari yang sama ke kolej kediaman masing-masing.