SELASA, 7 JUN – Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program Eco-FPEP yang dianjurkan oleh HE06 Green Team, sebuah kelab yang bernaung di bawah program Pengurusan Kewangan dan Perbankan (HE06) baru-baru ini.

Program yang bertemakan ‘Green Soul Green Mind’ ini bertujuan untuk mempromosi budaya hijau serta meningkatkan kesedaran warga kampus akan kepentingan menjaga alam sekitar.

Bercakap tentang program ini, Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus UMS, Prof. Madya Dr. Justin Sentian berkata, program seperti ini amat penting dalam mendidik warga UMS khususnya para pelajar untuk membudayakan kehidupan hijau yang mana banyak memberi manfaat kepada alam persekitaran serta kehidupan mereka sebagai pelajar universiti.

“Melalui program seperti ini juga, secara tidak langsung membantu UMS dalam usaha untuk menjadi sebuah universiti EcoCampus yang pertama di Malaysia,” tambahnya yang turut merasmikan program ini.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang lima hari program ini berlangsung dan antaranya ialah pertandingan do it yourself (DIY) menggunakan bahan kitar semula.

Melalui aktiviti ini, para pelajar dapat menyerlahkan kreativiti dalam mereka bentuk sesuatu produk menggunakan bahan kitar semula.

Pelbagai aktiviti sampingan telah turut dijalankan antaranya kutipan kertas serta barangan terpakai, pembersihan pantai Outdoor Development Centre (ODEC) UMS serta seminar konsep hijau yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan.

Sumber: Amer Azlan Abdul Jamal, FPEP

JUMAAT, 3 JUN – Mini Karnival Kokurikulum Semester II Sesi 2015/2016 anjuran Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) yang berlangsung di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini berlangsung meriah.

Ketika merasmikan karnival tersebut, Pengarah PKPP, Profesor Madya Dr. Raman Noordin berkata penganjuran tersebut dapat memberi pengalaman dan pengajaran yang sangat bermanfaat kepada para pelajar untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

“Bakat dan potensi pelajar dinilai oleh tenaga pengajar dan pegawai-pegawai universiti bagi tujuan kecemerlangan selanjutnya ke peringkat yang lebih tinggi,” jelasnya.

Tambah beliau, dengan adanya karnival tersebut diharap dapat melahirkan pemimpin akan datang yang mempunyai ciri-ciri berketerampilan dan berkeyakinan tinggi.

Pelbagai aktiviti turut diselitkan sepanjang majlis tersebut berlangsung antaranya, pertandingan pameran dari setiap kursus kokurikulum, pertandingan persembahan terbaik dan kempen derma darah.

Menurut Pengarah Mini Karnival Kokurikulum Semester II, sesi 2015/2016, Ag. Basiran Ag. Ali, mini karnival tersebut juga diadakan bertujuan untuk mempamerkan hasil pembelajaran dan aktiviti yang telah dijalankan sepanjang 14 minggu bagi setiap kursus yang wajib diambil.

Lebih menarik, keterlibatan pelajar antarabangsa dalam mini karnival kali ini mencerminkan bahawa aktiviti sebegini mampu untuk memupuk perpaduan bukan sahaja pelajar tempatan, malah pelajar antarabangsa.

Sumber: PKPP

Oleh: Che Hasruddin Che Hasan

KHAMIS, 2 JUN - Ekspedisi Rentas Borneo 2016 (RB16) kali ketiga yang dianjurkan oleh Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Kelab Sukarelawan Pacuan 4 Roda Universiti Malaysia Sabah (UMS4WDVC) mencapai matlamat iaitu untuk mendekatkan warga UMS dengan masyarakat yang tinggal di pedalaman Sabah melalui aktiviti khidmat masyarakat.

Rentas Borneo menjadi platform memperkenalkan UMS kepada penduduk di pedalaman, merentas kesukaran dan cabaran melalui laluan sukar yang setiap hari dilalui penduduk kampung, selain penyelidik UMS dapat memperluaskan skop kajian ke kawasan yang kurang mendapat pendedahan umum.

Ekspedisi kali ini memilih Kg. Puun Batu yang terletak di daerah Nabawan, kira-kira 60 km dari pekan Sook yang dihuni kira-kira 100 penduduk.

Kampung ini mempunyai sebuah sekolah yang dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Pohon Batu dengan kapasiti murid seramai 36 orang dengan kekuatan guru seramai 8 orang.

Kampung yang jauh terpencil ini terletak di lembah, di kelilingnya bukit-bukau dan hutan semula jadi yang masih terpelihara serta sebuah sungai yang mengalir di tengah-tengah kampung.

Ketika rombongan sebanyak 29 buah kenderaan memulakan perjalanan dari bandar Keningau jam 5.00 petang, hujan turun dengan lebat dan cabaran melalui perjalanan yang jauh dengan jalan yang berlumpur mengundang kesukaran.

Banyak kereta yang tersangkut dan perlu ditarik, termasuk juga kenderaan penduduk kampung yang kebetulan ingin balik ke Kg. Puun Batu.

Cabaran-cabaran yang ditempuh berjaya diatasi dengan kecekapan pemandu dan ahli kelab UMS4WDVC walaupun salah sebuah kenderaan mengalami kerosakan kotak enjin.

Rombongan RB16 tiba ke Kg. Puun Batu secara berperingkat bermula jam 3.00 pagi dan kenderaan terakhir yang tiba ialah pada jam 4.30 pagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup berkata, biarpun jalan untuk masuk ke kampung ini agak sukar, namun pihak kerajaan telahpun meluluskan peruntukan untuk membaiki dan membina jalan serta jambatan bagi kemudahan penduduk kampung.

“Sebanyak RM10 juta telah diluluskan dan pembinaan serta pembaikan jalan sedang rancak dilaksanakan secara berperingkat sehinggalah ke Kg. Puun Batu,” jelas beliau kepada penduduk kampung ketika merasmikan RB16 di SK Pohon Batu.

“Di samping itu juga, permohonan penduduk kampung untuk mendapatkan atap zink bagi membaiki kerosakan atap rumah juga diluluskan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.

Menurut Tan Sri Joseph, sebanyak 30 permohonan daripada 30 keluarga telah diterima untuk membaiki kerosakan tersebut dan semua atap zink dibawa dari luar pada hari itu dan diserahkan kepada penduduk kampung.

Tan Sri Joseph turut memuji UMS yang sentiasa prihatin dengan penduduk di luar bandar seperti di Kg. Puun Batu ini yang sedikit terpinggir dari dunia luar.

“Kedatangan peserta Rentas Borneo kali ini memberikan pendedahan yang cukup tentang Kg. Puun Batu yang mungkin tidak pernah didengar. Peserta ekspedisi juga boleh melawat ke beberapa buah tempat menarik di kampung ini,” katanya.

Kunjungan kali ini untuk merasmikan RB16 adalah yang kedua bagi Tan Sri Joseph sejak menjadi Ahli Parlimen Pensiangan.

Sementara itu, bercakap bagi mewakili penduduk kampung, Guru Besar SK Pohon Batu, Dennis Gapilit berkata, beliau terharu dengan kunjungan Tan Sri Joseph kali ini dengan membawa khabar gembira kepada seluruh penduduk kampung.

“Bukan mudah untuk sampai ke kampung ini dan kedatangan rombongan Tan Sri Joseph menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi mengalami sendiri kesukaran yang dihadapi penduduk kampung sangat dipuji,” kata beliau yang disambut tepukan gemuruh daripada penduduk kampung dan peserta RB16.

Dennis yang baru 5 bulan bertugas di SK Pohon Batu berjanji untuk membantu murid dan penduduk kampung membangunkan kampung mereka terutamanya dari segi pendidikan anak-anak serta membuka minda pihak berwajib untuk menyalurkan pembangunan.

Pada program RB16 juga, banyak aktiviti kemasyarakatan dijalankan di antara dua pihak seperti pemeriksaan kesihatan dan perubatan yang dijalankan oleh doktor dari UMS, pemeriksaan gigi oleh doktor dari Nabawan, pendidikan kesihatan kepada kanak-kanak dan pelajar sekolah, penyerahan sumbangan pakaian baru dan terpakai yang disumbangkan oleh ahli kelab UMS4WDVC serta peserta RB16, perlawanan persahabatan bola sepak, demonstrasi menyumpit, gasing, pertandingan karaoke dan Unduk Ngadau.

Para peserta RB16 juga turut dibawa melawat ke gua batu kapur yang terletak di sebelah kampung dan air terjun di sebelah hulu sungai yang boleh diakses dengan berjalan kaki kira-kira 45 minit dari kampung.

Semua peserta RB16 berpuas hati dengan layanan dan penerimaan penduduk kampung yang mesra dan turut serta mengambil bahagian dalam aktiviti yang telah dianjurkan.

KHAMIS, 02 JUN - Kelab 1Malaysia Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Program Rimbunan Kasih bertempat di Rumah Anak Yatim, dan Asnaf Kampung Langsat, Ranau baru-baru ini.  

Program Rimbunan Kasih itu melibatkan seramai 20 pelajar UMS yang juga merupakan ahli Kelab 1Malaysia di bawah pimpinan Presiden kelab, Muhammad Firdaus Syarifuddin dan Isnira binti Naning selaku Pengarah Program Rimbunan Kasih 2016.

Program Rimbunan kasih ini diadakan bertujuan memberi sumbangan kepada pihak rumah kebajikan tersebut yang baharu sahaja beroperasi awal tahun ini sambil turut beramah mesra bersama penghuni-penghuninya.

Menurut Muhammad Firdaus, seramai 26 orang penghuni rumah itu yang berumur dalam lingkungan enam hingga 16 tahun mendapat manfaat daripada program tersebut dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang oleh pihak penganjur.

“Antara aktiviti yang diadakan adalah seperti  senaman pagi, “Gummy Bears” dan juga sukaneka yang sedikit sebanyak memberi kegembiraan kepada anak-anak yatim tersebut disamping mengeratkan lagi silaturrahim antara mahasiswa dan mahasiswi dengan masyarakat luar,” jelasnya.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sumbangan dan cenderahati kepada wakil di Rumah Anak Yatim, Asnaf Kampung Langsat, Mohd Hainin.

Sumber: Norhana Nordin, HEP

RABU, 1 JUN - Seramai lapan orang pensyarah dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melakukan lawatan kerja ke Kota Tarakan bermula dari 30 Mei lalu yang dijangka akan berakhir sehingga 2 Jun.

Lawatan tersebut antara lain bertumpu kepada perbincangan lanjut mengenai penyelidikan bersama dengan para penyelidik dan pensyarah dari Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi (STIE) Bulungan Tarakan, Indonesia. 

Hasil perbincangan antara dua pihak, sejumlah lebih dari sepuluh projek penyelidikan dicadangkan oleh FPEP dan enam dari pihak STIE yang melibatkan bidang perniagaan, ekonomi, pelancongan dan pengurusan yang berhubung kait dengan negeri Sabah dan Kota Tarakan di Indonesia.

Menurut ketua STIE, Drs R. Philipus, koloborasi bersama FPEP UMS ini merupakan koloborasi penyelidikan yang julung kali diadakan oleh STIE bersama universiti dari luar negara.

Ujarnya, beliau percaya dengan kedudukan UMS sebagai antara universiti tersohor di Malaysia, maka beberapa dapatan-dapatan berimpak tinggi dapat dihasilkan hasil gabungan penyelidikan pensyarah UMS dan STIE.

“Ini sekali gus menjadikan kolaborasi seumpama ini akan merintis suatu budaya penyelidikan merentas sempadan yang mengharmonikan lagi persahabatan dua negara Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Sementara itu, pensyarah FPEP, Prof Dr Arsiah Hj Bahrom selaku ketua rombongan UMS berkata banyak idea-idea baharu boleh ditonjolkan menerusi penyelidikan yang dilakukan bersama dalam konteks dua wilayah bersempadan dalam Kepulauan Borneo dan Kalimantan.

“Selain forum perbincangan, beberapa siri tinjauan, temu bual, dan kutipan data dibuat oleh para penyelidik dari UMS selama empat hari berada di Kota Tarakan.

“FPEP, UMS juga akan meterai Memorandum Persefahaman dalam masa terdekat dengan STIE bagi memperkukuh dan mempergiatkan lagi kerjasama dengan institusi pendidikan luar negara, yakni STIE,” katanya.

Lawatan kali kedua FPEP, UMS ke STIE, Indonesia ini diharapkan dapat mempergiatkan lagi kerjasama dalam penyelidikan rentas sempadan, di samping aktiviti akademik lain yang berkaitan.

Para pensyarah dari STIE juga dijangka akan berkunjung ke negeri Sabah sebagai melengkapkan hasil kajian antara dua pihak.

Sumber: Jakaria Dasan, FPEP