JUMAAT, 27 MEI - Seramai 100 warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) memulakan perjalanan ke destinasi di Kampung  Puun Batu, Nabawan bagi menjayakan program Rentas Borneo 2016 (RB16) hari ini.

Semua peserta menaiki 26 buah kenderaan pacuan empat roda yang menggunakan khidmat Kelab Sukarelawan Pacuan 4 Roda UMS (UMS4WDVC).

Selain penyertaan daripada UMS, RB16 juga turut disertai kru produksi RTM, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Keningau FM.

RB16 yang diadakan sehingga 30 Mei akan menganjurkan pelbagai aktiviti bersama penduduk kampung seperti pemeriksaan perubatan dan kesihatan, pertandingan melukis dan mewarna untuk murid-murid sekolah dan demo kenderaan pacuan empat roda.

Turut diadakan, persembahan kebudayaan, pertandingan Unduk Ngadau, perlawanan bola sepak dan bola tampar serta serahan sumbangan pakaian.

Majlis pelepasan konvoi disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Dr. Hj. Yusof Hj. Yacob di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. D Kamarudin D Mudin dan  Pengerusi RB16 yang juga Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS, Prof. Dr Ismail Ibrahim.

KHAMIS, 26 MEI - UMS Investment Holdings Sdn. Bhd (UiNVEST) telah menandatangani satu memorandum perjanjian bersama Kolej Profesional dan Pengurusan KLIA (Kolej KLIA) bertempat di Galeri Majlis, Bangunan Canselori hari ini.

Melalui perjanjian tersebut ia dapat meningkatkan kerjasama di antara dua pihak dalam bidang keupayaan dan kemampuan pembangunan untuk menyokong sektor pendidikan yang lebih dinamik.

Bercakap ketika majlis tersebut, Pengerusi Lembaga Pengarah UiNVEST, Datuk Awang Buhtamam Awang Mahmun berkata memorandum perjanjian tersebut bertindak sebagai platform mempromosikan program Ijazah Sarjana (Secara Kerja Kursus) UMS di Kuala Lumpur dengan menjadikan Kolej KLIA sebagai Pusat Pembelajaran Pusat Luar UMS (PLUMS).

“Ini seterusnya dapat menjadikan tumpuan utama graduan-graduan serta golongan berkerjaya yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dengan penawaran Program Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Ijazah Sarjana Pengurusan Modal Manusia (MHCM) di Kuala Lumpur.

“Perjanjian ini turut menggariskan tanggungjawab kedua belah pihak dalam memastikan program pengajian yang ditawarkan adalah mengikut peraturan pengajian yang telah ditetapkan oleh universiti,” jelasnya.

Dengan termeterainya memorandum perjianjian tersebut, ia sekaligus dapat mengeratkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak dan bersedia untuk berkongsi kepakaran melalui bidang akademik dan penyelidikan serta melahirkan modal insan yang berkualiti bagi menyokong pembangunan mampan.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi.

Foto: UiNVEST

KHAMIS, 26 MEI – Majlis Anugerah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni kali ke-18 Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mengiktiraf pencapaian dan kecemerlangan pelajar-pelajar UMS sama ada dalam bidang kepimpinan, sukan mahupun kesukarelawan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah berkata, penganjuran majlis itu adalah sebagai tanda keprihatinan dan semangat universiti bagi meraikan kejayaan para pelajar yang telah banyak menyumbang dalam mengharumkan nama UMS selain terlibat membantu menjayakan aktiviti-aktiviti universiti.

“Penganjuran majlis seumpama ini diharap berupaya memberi suntikan semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha dengan lebih gigih bagi meningkatkan lagi sumbangan dan pencapaian di peringkat kebangsaan dan peringkat yang tertinggi di persada antarabangsa,” katanya dalam ucapan beliau sempena majlis tersebut.

Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Mary Yap Kain Ching di Grand Ballroom, The Klagan Regency, 1Borneo.

Pada majlis itu, sejumlah 13 buah anugerah, iaitu enam anugerah bagi kategori berkumpulan, dan tujuh anugerah bagi kategori individu masing-masing disampaikan oleh Datuk Harun dan Datuk Mary Yap.

Kolej Kediaman E cemerlang dengan merangkul tiga kategori anugerah pada majlis tersebut, iaitu Anugerah Pengurusan JAKMAS Terbaik, Anugerah Kesenian dan Kebudayaan Terbaik, dan Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman Cemerlang menerusi Yang Dipertua JAKMAS Kolej E, Nurul Syazwani Mohamad Ghaazali.

 

Senarai Pemenang Anugerah MAHEPA Ke-18:

  1. Anugerah Pasukan Wanita Terbaik -  Pasukan Karate-Do (Kata) Wanita
  2. Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik- Pasukan Taekwondo (Poomsae) Lelaki
  3. Anugerah Kesenian dan Kebudayaan Terbaik - Kelab Lantera Tari, Kolej Kediaman E
  4. Anugerah Pengurusan JAKMAS Terbaik –JAKMAS Kolej Kediaman E
  5. Anugerah Pengurusan Pertubuhan Mahasiswa Terbaik – Persatuan Mahasiswa Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan
  6. Anugerah Penganjuran Program Kemahasiswaan Terbaik – Sekretariat Pencegahan Rasuah UMS
  7. Anugerah Olahragawati – Christina Edris
  8. Anugerah Olahragawan – Ahmadi Radi
  9. Anugerah Kepimpinan Kesukarelawanan Cemerlang – Asmah Kadir
  10. Anugerah Pemimpin Persatuan Fakulti Cemerlang – Ribuan Abdul Karim
  11. Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman Cemerlang- Nurul Syazwani Mohamad Ghaazali
  12. Anugerah Pemimpin Harapan – Nur Adilah Ismail
  13. Anugerah Pemimpin Mahasiswa Cemerlang – Mohd Taufik Nordin (Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2015/2016)

RABU, 25 MEI - Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS telah menjayakan Pertandingan Intercollege di kampus induk Kota Kinabalu, Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus Sandakan.

Menurut Ketua Bahagian Kebudayaan dan Kesenian HEP, Alan James, program itu bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat mahasiswa bagi mewakili universiti ke peringkat yang lebih tinggi.

“Pertandingan ini dilaksanakan dalam empat kategori iaitu Tarian 1 Malaysia, Teater, Nasyid dan Lagu Asli, dan program ini dijangka akan menjadi acara tahunan universiti,” katanya.

Pada pertandingan akhir Intercollege yang berlangsung di Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Kampus Sandakan baru-baru ini menyaksikan seramai 10 orang peserta dari setiap kolej kediaman bertanding bagi kategori Nyanyian Lagu Asli.

Johan kategori tersebut telah dimenangi peserta dari Kolej Kediaman Tun Fuad,  Afiq Fauzi, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai, trofi dan sijil.

Manakala peserta dari Kolej Kediaman Tun Fuad, Nur Farah Ain Donian dan Kolej Kediaman Tun Mustapha, Nor Amanina Karman masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof Madya Dr Ismail Ali.

Hadir sama Dekan FPL, Prof Dr Wan Mohamad Bin Wan Othman, Ketua Jabatan HEP, Azmi Jumat dan Penolong Pendaftar Kanan FPL, Roslan Gimba.

Sumber : Norhana Nordin HEP

RABU, 25 MEI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) terus bersama-sama menjayakan sambutan Hari Perhutanan Sedunia (HPS) peringkat universiti dalam usaha menanam dan terus menerapkan budaya prihatin dalam kalangan warga kampus mengenai kepentingan mengekalkan kawasan hutan yang ada di Negeri Sabah.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, kesedaran bagi menjaga dan memelihara khazanah hutan ini turut diterjemahkan di peringkat dunia menerusi sambutan Hari Perhutanan Sedunia serta Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada setiap tahun.

“Apa yang kita harapkan adalah kedua-dua hari penting ini akan terus disambut secara besar-besaran supaya semangat sayangkan hutan dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda dari peringkat sekolah lagi, “katanya ketika berucap mewakili Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Bin Abdullah sempena sambutan HPS di Perkarangan Kompleks Perhutanan, FSSA UMS.

Menurutnya lagi, pelbagai program dan aktiviti yang berkaitan dengan usaha menyayangi, melindungi, memelihara dan memulihara hutan dan alam sekitar seperti acara penanaman pokok-pokok hutan hendaklah terus diperhebatkan dan dijadikan sebagai aktiviti utama setiap tahun.

Bersempena sambutan tersebut, beberapa acara turut diadakan antaranya acara Larian Rimbawan, penanaman pokok, pameran dan inovasi hasil penyelidikan perhutanan, dan sesi ceramah berkaitan bidang perhutanan yang turut mendapat penyertaan daripada beberapa pelajar sekolah menengah. -MA-