JUMAAT, 29 JANUARI - Fakulti Sains dan Sumber Alam (Kompleks Perhutanan) telah menjayakan program “Selangkah Ke Menara Gading Siri 1 ” sebagai persediaan kepada kumpulan pelajar lepasan sekolah menengah baru-baru ini.

Program tersebut yang menyasarkan pelajar-pelajar tingkatan 6 aliran sains sekolah menengah di sekitar Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang, melibatkan sekolah-sekolah seperti Sekolah Menengah All Saints Kota Kinabalu, SMK Bandaraya 2, Maktab Sabah, SMK Limbanak dan SMK Tamparuli.

Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) merangkap Penasihat Program, Prof. Madya Dr. Abdullah Bade menjelaskan program ini sebenarnya adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada bakal calon pelajar mengenali lebih dekat program-program yang ditawarkan di FSSA.

“Kita mengharapkan agar pendekatan ini dapat membuka minat para pelajar agar meneruskan pengajian mereka di bawah program yang ditawarkan oleh fakulti,” ujarnya.

Sementara itu, Guru Akademik dan Guru Kurikulum SMK Tamparuli, Charmine Adriane Johny  turut menyambut baik kehadiran wakil-wakil fakulti ke sekolah dan berharap usaha tersebut akan diteruskan pada masa akan datang.

“Taklimat yang diberikan sangat bermakna kerana meliputi perbincangan mengenai kepentingan mata pelajaran sains, kriteria permohonan program prasiswazah, aktiviti pelajar, prospek kerjaya dan kemudahan yang ditawarkan oleh UMS.

“Ini secara keseluruhan dapat memberi gambaran jelas dan memberi panduan pilihan pengajian yang boleh dipilih oleh para pelajar di peringkat seterusnya,” katanya.

Program siri 1 ini dijayakan oleh pensyarah-penysarah Program Taman Alam Semulajadi dan Rekreasi, Perladangan Hutan dan Perhutani, dan Teknologi dan Industri Kayu, iaitu Prof. Madya Dr. Andy Russel Mojiol, Dr. Jephte Sompud, En. Janshah Moktar, Pn. Maznah Mahali, Cik Fazilah Musa dan Pn. Roziela Hanim Alamjuri.

Sumber: Kenny Uwai, FSSA

 

JUMAAT, 29 JANUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi universiti pertama di ASEAN menganjurkan Seminar Aikido Antarabangsa yang disampaikan Pengerusi  Persatuan Aikido Antarabangsa (IAF) Tokyo, Profesor Emeritus Dr. Peter Anthony Goldsbury.

Seminar dua hari itu akan memberi peluang kepada warga universiti untuk mengenali dengan lebih dekat mengenai seni bela diri Aikido.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Hiroshima Jepun turut menyampaikan ceramah umum berkenaan budaya kerja dan cara kehidupan yang diamalkan oleh rakyat Jepun berdasarkan pengalaman beliau selama 30 tahun di negara tersebut.

Menurut beliau, budaya kerja rajin, menepati masa dan prihatin yang diamalkan oleh masyarakat di negara itu merupakan nilai sejagat yang seharusnya dipraktikkan di negara lain.

“Budaya Jepun mempunyai kekuatan yang mana seluruh rakyatnya menerima dan mengamalkan nilai yang sama. Itu merupakan satu kekuatan dan saya percaya nilai tersebut akan terus diamalkan oleh generasi akan datang,” tambahnya.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah turut mengucapkan tahniah atas penubuhan Pusat Latihan Aikido UMS yang diketuai oleh Ketua Jabatan Canselori, Darwis Awang.

“Saya juga ingin mencadangkan kepada pihak pengurusan kelab (Aikido) untuk mempertimbangkan cadangan pembelajaran Aikido sebagai salah satu aktiviti ko-kurikulum universiti,” ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Profesor Dr. D Kamarudin D Mudin.

Turut hadir pada program tersebut, Timbalan Konsul, Pejabat Konsul Jepun di Kota Kinabalu, Kenro Takahashi; Pengerusi Teknikal Aikikai Malaysia, Tuan Haji Haneef serta Pegawai Utama dan Kanan universiti.

Foto: Johaidi Ismail

KHAMIS, 28 JANUARI - Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tampil memberi pendidikan percuma kepada 65 warga tanpa negara di sekitar Kota Kinabalu,  baru-baru ini.

Menurut pengarah program, Hasmadi Olah, aktiviti yang dikenali Program Hak Asasi V: Di Bawah Bayu adalah khidmat sosial bagi mendidik golongan ini  membaca, menulis dan mengira (3M) selain mendalami jiwa mereka dalam meneruskan kehidupan di negara ini.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kita telah memberi pendedahan tentang asas-asas pendidikan kepada mereka yang terdiri daripada kanak-kanak lingkungan umur tujuh hingga 12 tahun,”  ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, program itu juga mendapati golongan tersebut sebenarnya mempunyai kencenderungan yang tinggi dalam bidang pendidikan namun kekangan kewangan memaksa kanak-kanak tanpa dokumen ini terperangkap dalam kemiskinan.

Jelasnya, penganjuran program berkenaan turut membuka mata mahasiswa mengenai penderitaan kehidupan masyarakat seumpama ini selain kepentingan pendidikan yang harus disemai sejak di peringkat kanak-kanak lagi.

Dalam pada itu, Hasmadi juga memaklumkan program itu sebagai satu medium membentuk kemahiran insaniah mahasiswa dalam pengurusan sesuatu program, selain mewujudkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta dari UMS dan UKM.

“Antara pengisian lain program ini termasuklah mendaki Gunung Alab, aktiviti ukhwah di Pulau Manukan, Memutik dan Sapi. Rombongan peserta UKM yang terdiri dari mahasiswa Kolej Ibu Zain turut dibawa melawat sekitar kampus UMS,” tambahnya.

Program selama enam hari itu melibatkan 49 pelajar program Sosiologi dan Antropologi Sosial UMS serta 40 peserta termasuk pegawai pengiring dari Kolej Ibu Zain UKM. SS

 

Sumber: Program Sosiologi dan Antropologi Sosial UMS

 

 

RABU, 27 JANUARI – Taekwondo terus menjadi sandaran pungutan pingat buat kontinjen Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi dua lagi pingat perak yang diraih pada hari kedua kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2016.

Dua pingat tersebut disumbang menerusi acara Poomsae Individu Lelaki dan Wanita yang diwakili oleh Ahmady Radi dan Cheang Pui Song.

Ahmady gagal meneruskan rentak emasnya semalam apabila tewas tipis dengan memperoleh 7 mata berbanding pencabarnya, Yong Jin Kun  dari Monash University yang memperoleh 7.12 mata.

Ini sekali gus menjadi pingat ketiga peribadinya apabila berjaya meraih dua emas dalam acara Poomsae berpasukan lelaki dan Poomsae campuran.

Cheang Pui Song yang  turut menambah koleksi pingat ketiga dirinya menerusi pingat perak yang diperoleh pada hari ini, juga tewas tipis kepada Yap Khim Wen  dari Help University, dengan mata 7.08 berbanding pencabarnya yang memperoleh 7.22 mata.

Sementara itu, sukan Lawan Pedang turut membutirkan satu pingat buat UMS, melalui pingat gangsa yang disumbangkan oleh Teo Zhe Bin dalam acara Foil (Individu) Lelaki.

Sehingga petang tadi, kontinjen UMS masih mendahului senarai pungutan pingat dengan 2 emas, 3 perak dan 1 gangsa. -MA-

Kredit Foto: Eddy Jamilih, Pusat Sukan

RABU, 27 JANUARI - Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama UMS Investment Holdings Sdn. Bhd (UiNVEST) hari ini menganjurkan Seminar Antarabangsa Kejuruteraan Bioproses (BPE) bertempat di Klagan Hotel 1 Borneo Kota kinabalu.

Dalam ucapan perasmian seminar itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau memberitahu bahawa pengiktirafan kerajaan terhadap sektor bioteknologi yang sangat berpotensi telah membawa kepada penggubalan dasar baharu yang menggariskan langkah menyeluruh dalam pertumbuhan sektor yang konsisten.

“Fasa ketiga Dasar Bioteknologi Negara (NBP) memfokuskan kepada penyatuan kekuatan dan keupayaan dalam pembangunan teknologi, pembangunan kepakaran dan kekuatan dalam penemuan dan pembangunan ubat-ubatan, mewujudkan sekurang-kurangnya 20 syarikat bioteknologi Malaysia global untuk menerajui proses penciptaan nilai dan pertumbuhan industri; dan mempromosikan jenama 'BioNexus Malaysia’ untuk menjadikan Malaysia sebagai hab global, dengan memanfaatkan kekuatan, keupayaan dan kepakaran,” ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik MOSTI, Joisin Romut.

Justeru Datuk Seri Madius berkata, ahli akademik di negara ini berperanan dalam membantu kerajaan untuk mencapai matlamat NBP menerusi penganjuran seminar untuk mempamerkan sinergi antara industri dan dunia akademik melalui pengetahuan, idea dan peluang komersial yang menguntungkan kedua-dua pihak.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, dalam bidang pengkomersialan dan pemasaran produk, kerjasama dengan industri akan dipertingkatkan melalui pelbagai kaedah seperti usaha sama, perkongsian pakar dan kemudahan teknologi tinggi serta penyertaan ekuiti.

“Ahli sains dan jurutera penyelidik dari universiti dan institusi penyelidikan akan diberi peluang untuk turut serta dalam pengurusan dan pemasaran harta intelek,” katanya.

Beliau diwakili Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Profesor Dr. D Kamarudin D Mudin.

Sebanyak 15 modul dibentangkan pihak industri dan ahli penyelidik dari universiti-universiti tempatan dan antarabangsa sepanjang empat hari seminar itu berlangsung.

Foto: Kassim Utudiki