JUMAAT,  08 JANUARI – Pengunjung Muzium Perubatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencatatkan peningkatan pada tahun 2015, kata kuratornya, Faranizah Taufick.

Beliau berkata, seramai 2,251 pelawat dicatatkan pada tahun tersebut iaitu meningkat sebanyak 146 orang  berbanding 2,105 pada 2014.

“Kita menerima pelawat daripada pelbagai agensi termasuklah pelajar-pelajar sekolah, antaranya dari Maktab Duli Pengiran Muda Al Muhtadee Billah Brunei Darussalam, Sekolah Menegah Agama Limbang, Sekolah Menangah Sains Sabah, Sekolah Kebangsaan Sri Gaya dan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi media universiti.

Tambahnya, peningkatan kehadiran pelawat itu didorong oleh pertambahan koleksi spesimen anatomi manusia yang telah diawet dalam teknik plastinasi.

“Jumlah kehadiran itu membolehkan Muzium Perubatan pada tahun lalu juga berjaya menjana pendapatan sebanyak RM2, 857 melalui bayaran masuk yang dikenakan kepada para pelawat,” katanya lagi.

Beroperasi dibawah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, muzium tersebut dibuka setiap hari kecuali Isnin dan cuti umum seawal jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang.

Bayaran sebanyak RM3.20 dikenakan untuk pelawat berusia atas 18 tahun dan RM2.20 untuk pelawat bawah 17 tahun.

JUMAAT, 08 JANUARI - Penggemar Royal Dean’s Cookies kini boleh menarik nafas lega apabila biskut keluaran Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu kini dibuka untuk jualan sekali lagi.

Biskut yang dihasilkan oleh Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) itu  kini dijual pada harga hanya RM10 sebekas.

Penjualannya terbuka kepada pelajar, staf dan orang ramai.

Sebekas Royal Dean’s Cookies mempunyai 18 keping biskut rangup yang mengandungi 20% lebih serat, bebas trans lemak dan tanpa bahan pengawet.  

Sebarang tempahan boleh menghubungi Jayanti di talian 088-320000 sambungan 8582 atau Nurshada (nombor sambungan 8704). -SS

Oleh Salbinous Saribun

RABU, 06 JANUARI - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun di pejabatnya di Bangunan Canselori Hari ini.

Kunjungan itu antara lain membincangkan perkongsian pintar dan kerjasama yang boleh diperkasakan antara UMS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Datuk Abdul Rashid turut memohon keizinan agar satu lokasi di UMS dapat dijadikan Pusat Operasi Gerakan PDRM sempena penganjuran satu majlis bertaraf antarabangsa pada tahun ini.

Datuk Harun menyambut baik cadangan tersebut dan memberi beberapa cadangan tempat yang bersesuaian.

Turut bersama Datuk Harun, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof Dr. Shahril Yusof dan Timbalan Naib Canselor Hal EHwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Ismail Ali.

RABU, 6 JANUARI – Seramai 6 orang ahli Persatuan Pelajar Pascasiswazah UMS (PSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama dua orang pelajar pascasiswazah dan dua orang pegawai pengiring telah mendekati penghuni Rumah Warga Emas Sri Harapan Sandakan, baru-baru ini.

Program Ziarah Kasih Warga Emas itu dilaksanakan bertujuan melatih peserta dengan kemahiran berkomunikasi, menerapkan rasa empati, kasih sayang serta keprihatinan terhadap warga emas.

Menurut pengarah program, Laisreyn Laisok, program tersebut diharap akan dapat menarik minat lebih ramai pelajar pascasiswazah untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan seumpamanya pada masa akan datang di samping menarik perhatian masyarakat luar untuk mendekatkan diri dengan golongan yang memerlukan keprihatinan dan sokongan yang berada di sekitar mereka.

Program anjuran PSA dengan kerjasama Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS (PPPS) itu antara lain turut menjadi platform kepada para pelajar untuk memberi bantuan dari aspek sokongan emosi dan psikologi kepada para penghuni melalui aktiviti-aktiviti yang menceriakan.

Pada program tersebut, UMS turut mengadakan majlis sambutan hari lahir, sesi ramah mesra serta pengagihan sumbangan kepada 45 orang penghuni rumah tersebut.

Sumber: Norcikeyonn Samuni (PSA)

Oleh Salbinous Saribun

SELASA, 05 JANUARI – Akuarium dan Muzium Marin Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencatatkan 39, 029 kehadiran pengunjung  sepanjang tahun 2015.

Menurut kurator muzium, Flora Anne Asalin, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan seramai 4,625 pelawat berbanding 34,404 orang pada tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut,  33,171 adalah pelawat warganegara,  5,232 pelawat antarabangsa  dan selebihnya adalah tetamu rasmi universiti, golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) serta warga UMS sendiri,” katanya ketika dihubungi media universiti.

Katanya, peningkatan kehadiran pelawat itu juga menunjukkan Akuarium dan Muzium Marin UMS terus menjadi pilihan sebagai salah satu destinasi pelancongan apabila berada di Kota Kinabalu.

“Pihak muzium juga berjaya menjana kewangan sebanyak RM177,772.49  berbanding RM149,416.00  pada tahun lalu melalui bayaran masuk yang dikenakan kepada setiap pelawat,” tambah Flora lagi.

Muzium yang dikendalikan di bawah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) itu dibuka kepada orang ramai pada setiap hari kecuali Ahad dan cuti umum bermula pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang.