RABU, 18 NOVEMBER – Seramai 5,081 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menerima Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-17 yang akan berlangsung pada 21 - 23 November ini.

Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah berkata graduan yang bakal dirai itu adalah tambahan kepada jumlah alumni UMS yang kini mencecah 55,787 orang.

“Populasi ini, kian membesar dan merupakan elemen yang sangat signifikan kepada UMS yang boleh berperanan sebagai duta dan juga agen kecemerlangan, yang akan menyebar dan memperkasa nama baik alma mater UMS dan juga bandar raya Kota Kinabalu.

“Graduan-graduan inilah akan membentuk barisan belia  yang menjadi tonggak harapan negara, yang akan menerajui kepimpinan masa depan untuk mencapai visi dan wawasan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perarakan Berjubah Graduan UMS di Perkarangan Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Ujar Datuk Harun, persediaan dari segi intelektual yang diperoleh sepanjang pengajian di universiti perlu digunakan sebaiknya oleh para graduan demi menjana keutuhan dan keampuhan seluruh aspek pembangunan negara, sama ada dari sudut ekonomi, politik mahupun sosial.

“Segala pengetahuan dan pengalaman harus  dijadikan sebagai landasan dan pedoman dalam merealisasikan wawasan negara seiring dengan tanggungjawab kita dalam mendukung moto universiti ‘Bertekad Cemerlang’.

“Pada zaman kompetitif dimana persaingan menjadi semakin sengit, kita harus sentiasa peka dan bersikap responsif dengan perubahan semasa agar tidak jauh ketinggalan,” tambahnya lagi.

Pada majlis itu, setiap wakil daripada 65 program akademik yang ditawarkan di UMS masing-masing menerima Kunci daripada  Mayor Bandaraya, Datuk Abidin Madingkir sebagai simbolik penerimaan mereka sebagai sebahagian daripada warga bandar raya Kota Kinabalu.

Oleh Faezah Mohamad Dun

Foto : Johaidi Ismail

SELASA, 17 NOVEMBER - Mantan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tan Sri Henry Chin Poy Wu diraikan dalam majlis apresiasi yang diadakan di Ballroom Pacific Sutera Hotel, semalam.

Dalam ucapan beliau, Tan Sri Henry Chin yang memegang jawatan tersebut selama 15 tahun melahirkan rasa sebak dan terharu atas keraian tersebut.

“Walaupun tidak lagi memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UMS, namun bagi saya ini bukanlah satu penamat atau titik noktah terhadap ikatan saya bersama universiti tercinta ini.

“Saya sedia memenuhi ruang dan masa bagi menabur bakti terhadap UMS pada bila-bila masa melalui perkongsian ilmu dan pengalaman  khususnya dalam isu pentadbiran dan governan, keselamatan dan sebagainya,” ujarnya.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun  Zaki Tun Azmi turut menyifatkan sumbangan Tan Sri Henry kepada UMS adalah suatu yang tidak ternilai.

“Terima kasih kerana telah membantu dalam memacu kecemerlangan UMS selama ini. We owe you,” katanya.

Pada majlis tersebut, sebuah buku biografi Tan Sri Henry bertajuk ‘A Gentleman and An Officer’ turut dilancarkan.

Oleh Salbinous Saribun

Foto: Johaidi Ismail

SELASA, 17 NOVEMBER – No’man Datuk Haji Ahmad diumumkan sebagai Pendaftar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu berkuatkuasa 11 November 2015.

Majlis penyampaian Sijil Pelantikan disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (LPU), Tun Zaki Tun Azmi selepas mempengerusikan mesyuarat LPU di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif hari ini.

Majlis penyampaian itu turut disaksikan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, Ahli-ahli LPU dan Pegawai-pegawai Utama UMS.   

Pelantikan tersebut sekali gus menjadikan No’man yang memangku jawatan itu sejak Januari lalu mencoret sejarah baharu buat UMS sebagai Pendaftar yang ketiga.

Berpengalaman luas dan pernah memegang pelbagai jawatan ketua di beberapa jabatan di UMS, beliau yang berpewatakan ceria dan sering menyumbang idea-idea bernas kepada pengurusan universiti dilihat calon yang tepat setelah mantan Pendaftar, Datuk Abdullah Haji Mohd Said bersara wajib pada tahun ini.

No’man dilantik sebagai Pendaftar universiti selama tiga tahun sehingga 10 November 2018.

 

 

ISNIN, 16 NOVEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedang meniti kecemerlangan menerusi pencapaian membanggakan sejak akhir-akhir ini dengan memenangi beberapa anugerah yang membanggakan di pameran dan majlis anugerah sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Terbaru, UMS memenangi anugerah Best Career Development Centre Universiti Awam pada majlis Malaysia’s 100 Leading Graduate Employer Awards 2015 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Center.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun berkata, beliau sangat berbangga dengan kejayaan yang dikecapi UMS memenangi anugerah tersebut.

“Kita telah berusaha untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan UMS dengan menganjurkan pelbagai pameran kerjaya serta hubungan baik dengan industri dalam menyediakan keperluan graduan kita menjalani latihan industri,” jelas Datuk Harun menerusi laman rasmi Facebooknya.

Menurut Pengarah Pusat Hubungan Industri (PHI) UMS, Prof. Madya Dr. How Siew Eng, kejayaan ini memberikan keyakinan kepada fakulti bahawa graduan UMS dapat memenuhi keperluan sumber manusia yang diperlukan pihak industri.

“Fokus yang dijalankan oleh PHI sekarang ini ialah membina hubungan yang lestari bersama pihak industri. Ini termasuk juga aktiviti yang dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak,” kata Dr. How selepas menerima anugerah tersebut.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Malaysian Talent Development-Graduate Employability Unit, Talent Corporation, Puan Siti Norliza Mohd Sahar.

“Kemenangan yang diraih pada hari ini juga merupakan hasil tinjauan dari GTI Media dan penglibatan dalam program bersama Talent Corporation Berhad,” jelas Dr. How lagi.

Kejayaan yang disandang UMS turut mendapat perhatian dan ucapan tahniah daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh menerusi laman Facebook dan Twitternya.- CD

ISNIN, 16 NOVEMBER - Selepas menjuarai Kejohanan  Bola Jaring Piala Toh Puan 2015, kali ini Kelab Surirumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) sekali lagi menjulang kejuaraan menerusi Kejohanan Futsal Wanita anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Sabah yang berlangsung di Kompleks Sukan Tun Adnan Yayasan Sabah, kelmarin.

Menurut pengurus pasukan, Alna Tugon, sikap hormat – menghormati dan kerjasama padu daripada semua pemain menjadi kunci kejayaan buat mereka.

“Secara keseluruhan perlawanan agak tenang dan corak permainan diatur dengan sistematik. 

“Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa perlawanan agak sengit di antara pihak lawan kerana wakil pasukan lain juga menurunkan pemain futsal kebangsaan,” ujarnya.

KESUMBA menewaskan pasukan Sabah Women Awesome Teacher (SWAT) dengan jaringan 2-0 pada perlawanan akhir kejohanan tersebut.

KESUMBA menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1000 berserta sijil penyertaan yang disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman.

Turut hadir, Timbalan Yang DiPertua KESUMBA UMS, Roha Asmara, Hayati Salleh Baihaki, Norazah Hamzah, Erna Jefren dan Nurul Izza Nordin. -ZMD

Sumber: Alna Tugon