RABU, 11 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga bagi kategori Best Entrepreneurship Project Awards pada Majlis Makan Malam Penganugerahan Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (MEA) 2015 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Membawa projek ‘The Portable Melamine Detection Device for Milk Products’, inovasi Rovina Kobun, pelajar pascasiswazah di bawah penyeliaan Penyelidik Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS, Dr. Shafiquzzaman Siddiquee, berjaya memukau para juri sekali gus menerima hadiah wang tunai RM10,000.

Projek inovasi tersebut berdasarkan kepada elektrod emas skrin pengubahsuaian dicetak untuk menentukan melamin dalam susu dan lain-lain produk termasuk yogurt beku, makanan haiwan peliharaan, biskut, gula-gula dan minuman kopi.

Menurut Rovina, peranti yang telah dicipta boleh mengesan kepekatan yang rendah melamin dalam masa 30 saat, dengan ketepatan 99 peratus.

“Sehingga kini, peranti ini adalah teknik pengesanan yang terpantas di dunia berbanding dengan kaedah yang sedia ada,” jelasnya.

Beliau berkata, peranti mudah alih itu adalah lebih mudah berdasarkan praktikal dan dapat menggantikan kaedah tradisional dan fabrikasi kos efektif.

“Peranti ini juga dapat mengekalkan tahap keselamatan makanan untuk mengelakkan sebarang wabak penyakit buah pinggang,” tambah Rovina lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan (ERDEC) UMS, Dr. Ramraini Ali Hassan berkata, keberkesanan yang ada pada peranti ini memberi satu potensi yang besar dalam aktiviti pengkomersialan dan keusahawanan di peringkat serantau.

Justeru, beliau menyifatkan langkah Kementerian Pendidikan Tinggi memperkenalkan MEA sebagai suatu usaha yang tepat dan terpuji ke arah mewujudkan keusahawanan yang kondusif dan pembangunan holistik di setiap Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia.

“Di samping mengiktiraf kecemerlangan IPT yang telah ditunjukkan dalam pendidikan dan pembangunan keusahawanan, MEA juga berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan pembelajaran dan pendidikan keusahawanan yang lebih tersusun dan menyeluruh di IPT,” ujar beliau yang juga bertanggungjawab menghantar kakitangan akademik dan pelajar mewakili UMS dalam pertandingan tersebut.

Terdahulu sesi pembentangan telah diadakan pada 15 September 2015 sebelum acara kemuncak pada majlis Makan Malam Penganugerahan. –SS

Sumber: Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan

 

 

RABU, 11 NOVEMBER – Kumpulan Tahammas daripada  Jabatan Bendahari, Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas ketika mewakili Zon Wilayah Sabah dan Sarawak dalam pertandingan Konvensyen Team Excellence Kebangsaan 2015 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid (SPCC) baru-baru ini.

Kumpulan Tahammas yang bertanding dalam kategori Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) telah mempersembahkan projek bertajuk ‘Ketidaktepatan Kadar Tuntutan Perjalanan Dalam dan Luar Negara yang Tinggi’.

Pada konvensyen tersebut sebanyak 218 kumpulan menyertai pertandingan Team Excellence untuk beberapa kategori seperti sektor awam, sektor perkhidmatan, sektor QE/5S, sektor perkilangan serta sektor elektrikal dan elektronik.

Menurut Ketua Kumpulan, Suzie Mohamed, sebelum terpilih mewakili peringkat kebangsaan, kumpulan tersebut turut memenangi Anugerah Emas di pertandingan Konvensyen Team Excellence Sabah serta Wilayah Sabah dan Sarawak pada April dan Ogos lalu. 

Sementara itu, Pemangku Bendahari UMS, Zallifah Shadan yang turut hadir ke konvensyen tersebut berkata pihak pengurusan UMS amat berbangga dengan pencapaian kumpulan Tahammas selama ini sehingga berjaya mewakili Zon Sabah dan Sarawak dan seterusnya mengharumkan nama UMS di arena kebangsaan.

“Saya berharap dengan kejayaan kumpulan Tahammas ini dapat menyuntik semangat agar lebih banyak kumpulan Team Excellence yang lain diwujudkan terutamanya di Jabatan Bendahari untuk tampil dengan idea baharu dan inovasi masing-masing,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah dan sijil disampaikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Dato’ Lee Chee Leong.

Sumber: Jabatan Bendahari

ISNIN, 09 NOVEMBER - Kelab Surirumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) muncul juara dalam kejohanan Bola Jaring Piala Toh Puan 2015 yang berlangsung di Kompleks Sukan Likas, kelmarin.

Kejohanan anjuran Persatuan Bola Jaring  Negeri Sabah (SABANA) menyaksikan pasukan KESUMBA yang dilatih oleh Sidar Mohd Salleh menewaskan Persatuan Alumni Maktab Sabah (OSCA) dengan jaringan 16-10 pada perlawanan akhir sekali gus menerima wang tunai RM1,000, piala iringan, medal dan sijil penyertaan berserta minuman isotonik tajaan F&N.

Bagi Ketua Biro Sukan, Sosial dan Rekreasi KESUMBA, Erna Jefren yang juga pengurus pasukan berkata, pihaknya akan terus komited untuk mengekalkan kejuaraan pada tahun-tahun hadapan.

Sementara itu, pemain KESUMBA, Dayang Anak Manggie turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik kejohanan manakala Redzanizah Duman (OSCA) dipilih sebagai penjaring terbanyak dengan 93 jaringan. 

OSCA yang akur dikedudukan naib juara  turut menerima wang tunai RM700, piala, medal, sijil penyertaan dan minuman tajaan F&N.

Tempat ketiga dimenangi pasukan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah selepas menewaskan Jabatan Imigresen 24-21 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Oleh Salbinous Saribun

ISNIN, 09 NOVEMBER - Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (LPU), Tun Zaki Tun Azmi menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Syariah dan Kehakiman dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sempena Majlis Konvokesyen kali ke-13 universiti tersebut yang berakhir semalam.

Penyampaian ijazah disempurnakan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud selaku Tuanku Canselor USIM.

Bertempat di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai, turut menerima Ijazah Kehormat bersama Tun Zaki ialah Tan Sri Dr. Mohd Jusoh Md Nor yang dianugerahkan Doktor Falsafah Pendidikan.

Kedua-dua mereka diraikan bersama 333 graduan USIM yang menerima ijazah masing-masing pada hari pertama majlis konvokesyen itu berlangsung.

Turut hadir sama, Tengku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz yang juga Pro Canselor USIM.  

ISNIN, 09 NOVEMBER - Kelab Surirumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) muncul juara dalam kejohanan Bola Jaring Piala Toh Puan 2015 yang berlangsung di Kompleks Sukan Likas, kelmarin.

Kejohanan anjuran Persatuan Bola Jaring  Negeri Sabah (SABANA) menyaksikan KESUMBA menewaskan Persatuan Alumni Maktab Sabah (OSCA) dengan jaringan 16-9 pada perlawanan akhir sekali gus menerima wang tunai RM1,000, piala iringan, medal dan sijil penyertaan berserta minuman isotonik tajaan F&N.

Menurut Pengurus Pasukan, Titien Irdianawaty Dabal, meskipun KESUMBA terpaksa bermain dengan jumlah pemain yang terhad, namun kesungguhan yang dipamerkan setiap ahli telah membawa kemenangan buat mereka.

“KESUMBA memilih untuk bermain dengan santai memandangkan jumlah pemain adalah terhad, iaitu dengan hanya seorang pemain gantian. Tetapi pujian harus diberikan kepada para pemain atas kebijaksaan mereka mengawal penguasaan dalam setiap perlawanan sekali gus mengekalkan momentum kemenangan sehingga muncul juara kejohanan,” ujarnya ketika dihubungi.

Sementara itu, pemain KESUMBA, Dayang Anak Manggie turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik kejohanan manakala Redzanizah Duman (OSCA) dipilih sebagai penjaring terbanyak dengan 93 jaringan.

OSCA yang akur dikedudukan naib juara  turut menerima wang tunai RM700, piala, medal, sijil penyertaan dan minuman tajaan F&N.

Tempat ketiga dimenangi pasukan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah selepas menewaskan Jabatan Imigresen 24-21 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.