SELASA, 08 DISEMBER - Seramai 54 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima pelantikan baharu Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Kolej Kediaman (Jakmas) pada Majlis Penghargaan dan Watikah Pelantikan Jakmas baru-baru ini.

Pelantikan tersebut disampaikan  Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azmi Jumat yang mewakili Timbalan Naib Canselor UMS Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Ismail Ali.

Berucap pada majlis tersebut, Azmi Jumat menasihat barisan Jakmas agar memikul tanggungjawab yang dimanahkan oleh pengetua untuk menjaga kebajikan penghuni kolej masing-masing.

“Pihak HEP (Hal Ehwal Pelajar) berharap agar Jakmas mampu memberikan sumbangan bermakna kepada semua dan sentiasa memberikan idea dan tenaga dalam pelbagai program-program yang dianjurkan.

Turut hadir, pengetua-pengetua, timbalan pengetua, felo kolej kediaman serta pegawai-pegawai HEP.

Sumber: Norhana Nordin, HEP

Foto: Musa Derin, HEP

SELASA, 8 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) sentiasa komited dalam memastikan kecemerlangan akademik siswa-siswi turut diimbangi dengan pembangunan daya kemahiran insaniah, kepimpinan dan ketrampilan pelajar melalui pelbagai kegiatan di luar kampus.

Terbaru, Program Anak Angkat Persatuan Interaksi Institusi dan Masyarakat (INTERIM) di Kampung Sinisian, Kundasang dilihat bukan sahaja memberi peluang interaksi pelajar UMS bersama masyarakat kampung, malah mampu membentuk jati diri pelajar melalui pengalaman kehidupan bermasyarakat serta pengamalan nilai-nilai moral dan etika yang baik.

Program selama dua hari itu menyaksikan seramai 40 orang pelajar yang kebanyakannya merupakan pelajar tahun pertama UMS diberi peluang merasai kehidupan bersama keluarga yang berlainan bangsa, agama dan budaya.

Sebagai sesi pengenalan, para pelajar UMS dibawa melawat ke kebun sayur-sayuran yang merupakan antara sumber ekonomi penduduk kampung setelah pembahagian anak angkat dilakukan. Lawatan ini sedikit sebanyak memberi pengetahuan kepada pelajar akan aktiviti seharian penduduk kampung dalam menjana pendapatan harian.

Para pelajar kemudiannya mula melaksanakan aktiviti berbentuk interaksi bersama penduduk kampung seperti sukaneka, gotong royong dan persediaan pertandingan Edu Camp, satu aktiviti yang memfokuskan bidang pendidikan menguji kebolehan daya fikir secara kreatif kepada kanak-kanak. Hari pertama pelajar UMS diakhiri dengan program Malam Kebudayaan di Dewan Walai Tokou dengan pelbagai persembahan yang dipentaskan memberi satu hiburan dan keriangan kepada penduduk kampung.

Hari kedua program menyaksikan para pelajar terpaksa bangun lebih awal bagi aktiviti cabaran Walai Tokou yang bermula seawal jam 5.40 pagi. Cabaran ini benar-benar menguji daya ketahanan mental dan fizikal setiap siswa UMS untuk berdepan keadaan suhu sejuk di kampung tersebut.

Program bakti siswa UMS tersebut berakhir dengan penyampaian hadiah dan sumbangan bagi pertandingan Edu Camp yang diadakan selepas cabaran Walai Tokou. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS,Tun Zaki Tun Azmi. Tun Zaki kemudiannya mengadakan lawatan di sekitar kampung tersebut, serta menanam pokok bunga sebagai simbolik penganjuran program anak angkat di Kampung Sinisian.

Walaupun singkat, namun pengalaman dua hari di Kampung Sinisian, Kundasang banyak memberi pengalaman kepada para pelajar UMS untuk mengenali pelbagai aspek kehidupan di kampung tersebut yang memberi manfaat dari segi membentuk daya kemahiran insaniah kepada peserta.

ISNIN, 07 Disember – Pusat Pengajian Pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Bengkel Penyelarasan Nama Ijazah Program Pascasiswazah Secara Generik di Hotel The Klagan Regency, 1Borneo baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pusat pengajian itu, penganjuran bengkel tersebut melibatkan semua fakulti,  pusat dan institut yang terlibat dalam penawaran program pascasiswazah universiti.

Objektif penganjurannya ialah bagi menyelaras semula nama ijazah program pascasiswazah sedia ada yang mempunyai pengkhususan kepada nama ijazah secara generik, sama ada yang telah diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) atau nama ijazah yang pernah ditawarkan tetapi tidak tersenarai dalam pengiktirafan.

Kenyataan itu turut memakumkan, penyelarasan nama ijazah secara generik itu akan memudahkan pihak universiti menawarkan program-program pascasiswazah tanpa perlu membuat permohonan baharu setiap kali ingin menawarkan bidang pengkhususan yang baharu.

Pada bengkel tersebut, semua fakulti, pusat dan institut bersetuju terhadap pelaksanaan penjenamaan nama ijazah program pascasiswazah secara generik.

Majlis perasmiannya disempurnakan Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Akademik (PPSA), Prof. Dr. Marcus Jopony mewakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa). –SS

 

Sumber: Jumawati Catacutan, Pusat Pengajian Pascasiswazah

ISNIN, 7 DISEMBER – Program Extravaganza anjuran Exco Kesenian dan Kebudayaan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu mencungkil bakat kesenian siswa-siswi.

Dianjurkan dengan kerjasama Majlis Ketua-ketua Kelab Kolej Kediaman E, program selama tiga hari itu menyaksikan beberapa acara dipertandingkan seperti Pertandingan Akustik, Tarian Moden, Deklamasi Puisi dan Pertandingan  Video Pendek bertemakan UMS Dihatiku, selain pameran dari setiap kolej kediaman dan program derma darah.

Perasmian penutupan disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar  dan Alumni, Prof. Madya Dr. Ismail Ali di Anjung Siswa, Bangunan Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

Dalam ucapannya, beliau memuji penganjuran program seumpama itu yang bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara siswa-siswi yang terlibat, malah mampu membina semangat jati diri para pelajar UMS.

“Kita amat menggalakkan kolej-kolej kediaman untuk melaksanakan kegiatan-kegiatan seperti ini dengan lebih kerap.

“Pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar sendiri bersedia untuk menyokong program-program pelajar yang bermanfaat,” katanya.

Pada majlis tersebut, Dr. Ismail turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Akustik dan Tarian Moden.

Kumpulan Feel Honey muncul johan bagi pertandingan akustik, manakala pertandingan tarian moden dimenangi oleh kumpulan Weetari Keningau.

Pertandingan Deklamasi Puisi pula menyaksikan Muhamad Ezyree menjuarai pertandingan tersebut, dan pertandingan video pendek dimenangi oleh Ibtisam. Hadiah bagi kedua-dua pertandingan tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengetua Kolej Kediaman E, Hilmey Saili.

JUMAAT, 4 DISEMBER – Setiap kakitangan Universiti Malaysia Sabah, khususnya kumpulan Pengurusan dan Profesional harus menjuruskan sekurang-kurangnya satu bidang kepakaran dalam skim perkhidmatan masing-masing.

Demikian menurut Pendaftar UMS, No’man Ahmad dalam Ucapan Sulung beliau kepada kakitangan di Galeri Majlis baru-baru ini.

Menurutnya, kakitangan harus memahami dan mendalami setiap aspek berkaitan bidang tugas masing-masing agar mereka boleh menjadi individu yang berkebolehan untuk dirujuk.

“Mengambil contoh bidang tugas seorang Pegawai Kewangan misalnya, mereka boleh menjadi pakar rujuk dalam bidang seperti penjanaan, pelaburan, perolehan dan sebagainya.

“Sekiranya setiap kakitangan mempunyai subjek kepakaran tersendiri, Insya Allah UMS mampu terus melonjak ke hadapan dengan pantas selari dengan sepuluh lonjakan yang ditekankan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi),” katanya.

Tambah beliau, setiap warga kerja UMS harus melihat fungsi dan tanggung jawab masing-masing di universiti ini, selain sentiasa memasang niat untuk menghasilkan kerja yang baik, serta meningkatkan kredibiliti diri dengan menambah ilmu pengetahuan berkaitan pekerjaan dan pengetahuan am.

Dalam pada itu, No’man menjelaskan bagi memudahkan setiap kakitangan memahami hala tuju dan bergerak seiring bagi memacu kejayaan universiti, beliau memilih perkataan INSAN, iaitu Integriti, Sense (Rasa/Perasaan) dan Needs (Kehendak) sebagai model asas jati diri dan kekuatan dalam memperkukuhkan sumber manusia penggerak universiti.

“Dan setiap INSAN yakni warga kerja universiti perlu memiliki KSA, Iaitu Knowledge (Pengetahuan), Skill (Kemahiran) dan Attitude (Sikap),” ujarnya.