RABU, 02 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Program Teknologi Seni Visual (PTSV), Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) berjaya memenangi 5 buah anugerah filem dalam penyertaan sulung mereka di Festival Kandungan Kreatif Pelajar Malaysia kali ke-12 yang dianjurkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada 28 hb November 2015 baru-baru ini.

Penyertaan melalui dua buah filem iaitu filem pendek bertajuk Slayer dan dokumentari bertajuk Angkiluang yang kedua-duanya diarahkan oleh Mohd Syaiful Reezal Harith ketika berada di tahun akhir pengajian itu ternyata menghasilkan sesuatu yang bermakna apabila kedua-dua buah filem tersebut berjaya merangkul hadiah utama dan hadiah sampingan yang dipertandingkan.

Filem Slayer yang bergenre fiksyen sains dengan pembikinannya menggunakan teknik janaan komputer ternyata telah menarik minat para juri yang mengadili filem tersebut apabila berjaya menggondol empat buah anugerah iaitu skrip terbaik, pelakon terbaik, grafik terbaik dan anugerah Inovasi Sematik & Simbiosis.

Manakala dokumentari Angkiluang yang memaparkan pahlawan Murut dan mempunyai kelainan dari aspek struktur penceritaan yang menggabungkan dokumentari dan drama telah menggondol hadiah utama sebagai dokumentari terbaik keseluruhan.

Menurut Syaiful, beliau melahirkan kesyukuran kerana kedua-dua buah karyanya berjaya mendapat perhatian daripada juri yang menyaksikan karyanya menggondol beberapa hadiah utama.

“Kedua-dua filem ini dihasilkan dengan semangat untuk menghasilkan karya filem yang berbeza dan diterima oleh audiens dengan mennjadikan teknik penggunaan imej janaan komputer dan sumber cerita rakyat negeri Sabah sebagai keistimewaan berbanding dengan filem-filem lain.”

“Sebelum ini, filem Slayer pernah memenangi hadiah Kesan Visual Terbaik di Mini Filem Festival ke-11 anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan kemenangan di festival ini bagi kategori grafik terbaik membuktikan bahawa filem yang bercirikan janaan komputer mempunyai keistimewaan tersendiri,” katanya ketika dihubungi.

Menceritakan penghasilan kedua-dua buah filem tersebut, Syaiful memberitahu bahawa cabaran paling utama adalah bajet yang menyebabkan beliau harus berfikir lebih kreatif dan banyak melakukan proses pembikinan terutama proses pascaproduksi seperti penyuntingan dan kesan khas secara bersendirian.

Malah katanya, bantuan rakan-rakan sepengajian yang bersama-sama turut membantu menjadi krew produksi telah mengatasi cabaran kekurangan bajet yang dihadapi.

Filem pendek Slayer merupakan projek kumpulan yang dihasilkan dengan kos RM2,000.00 banyak menggunakan elemen grafik dan janaan komputer yang dihasilkan sendiri oleh Syaiful.

Manakala filem dokumentari Angkiluang pula merupakan projek tahun akhir beliau dengan kos produksi sebanyak RM4,000.00.

“Saya beruntung kerana rakan-rakan dan para pensyarah banyak membantu saya untuk memperbaiki hasil karya ini sehingga membolehkan kedua-dua buah filem ini berjaya disiapkan dan seterusnya memenangi anugerah dalam festival filem pelajar,” katanya gembira.-CD

Sumber: Prof. Madya Dr Zairul Anuar Md Dawam, FKSW

Oleh Faezah Mohamad Dun

Foto : Johaidi Ismail

SELASA, 01 DISEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mencipta sejarah apabila menerajui  Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) Kluster Pertanian yang dirasmikan  Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Yahya Hussin, semalam.

Penubuhan ICoE Kluster Pertanian merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memastikan para graduan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) selari dengan kehendak pasaran.

Berucap pada majlis tersebut, Datuk Yahya berkata, dengan adanya usahawan tani yang berpendidikan, sektor pertanian mampu bergerak pantas dengan lebih inovatif, kreatif dan mengadaptasikan teknologi pertanian terkini.

“Saya menyeru agar agensi-agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah agar memberikan sokongan dan kerjasamakepada ICoE Kluster Pertanian ini,” ujarnya.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata pelantikan UMS sebagai peneraju bagi ICoE pertanian merupakan satu pengiktirafan kepada UMS dan Fakulti Pertanian Lestari.

“Diharap dengan adanya ICoE ini, isu dan cabaran kebolehpasaran yang dihadapi graduan Malaysia pada masa kini dapat dikurangkan.

“Disamping itu, peratusan pengangguran dalam kalangan graduan lepasan universiti juga dapat diturunkan ke tahap yang minima,” tambahnya.

ICoE Pertanian menawarkan kerjasama institusi dengan syarikat-syarikat di dalam industri pertanian melalui empat struktur utama iaitu  Agro-Mentor Program, Agriculture Structured Internship Program, Training of Trainers dan Graduate Employability Program.

SELASA, 1 DISEMBER - Seramai 120 penghuni Rumah Anak Yatim Tambunan diraikan siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam satu program lawatan ke rumah kebajikan tersebut baru-baru ini.

Program lawatan anjuran Kursus Seni Khat, Pusat Kokurikulum dan Kemajuan Pelajar (PKPP) dengan kerjasama Pusat Islam UMS melibatkan 80 pelajar UMS yang diketuai pensyarah Kursus Seni Khat, Jimmis Jumaat.

Menurut Jimmis, program itu antara lain adalah bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pelajar universiti dengan penghuni rumah-rumah kebajikan seperti Rumah Anak Yatim Tambunan.

“Melalui program ini juga kita dapat menerapkan lima kemahiran insaniah kepada pelajar-pelajar UMS iaitu kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, moral dan etika profesional, serta kemahiran kepimpinan,” katanya.

Beliau menambah, beberapa aktiviti berasaskan membina kumpulan yang dijalankan bersama anak-anak yatim yang terdiri daripada kanak-kanak dan golongan remaja juga mampu meningkatkan daya kreativiti sekali gus mencungkil bakat anak-anak yatim tersebut.

Selain aktiviti bersama penghuni Rumah Anak Yatim Tambunan katanya, rombongan UMS turut menyampaikan sumbangan berupa wang, peralatan sukan, buku dan bekas pensil sebagai persediaan kepada anak-anak yatim tersebut menjalani sesi persekolahan pada tahun hadapan.

“Usaha pihak UMS membawa pelajar-pelajarnya untuk giat dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ini diharap mampu menjadi teladan kepada masyarakat luar khususnya agensi kerajaan dan swasta yang lain dalam memupuk kesedaran terhadap nasib dan masalah golongan kurang bernasib baik ini,” ujar Jimmis. 

Oleh Faezah Mohamad Dun

Foto : Johaidi Ismail

SELASA, 01 DISEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mencipta sejarah apabila menerajui  Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) Kluster Pertanian yang dirasmikan  Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Yahya Hussin, semalam.

Penubuhan ICoE Kluster Pertanian merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memastikan para graduan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) selari dengan kehendak pasaran.

Berucap pada majlis tersebut, Datuk Yahya berkata, dengan adanya usahawan tani yang berpendidikan, sektor pertanian mampu bergerak pantas dengan lebih inovatif, kreatif dan mengadaptasikan teknologi pertanian terkini.

“Saya menyeru agar agensi-agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah agar memberikan sokongan dan kerjasamakepada ICoE Kluster Pertanian ini,” ujarnya.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata pelantikan UMS sebagai peneraju bagi ICoE pertanian merupakan satu pengiktirafan kepada UMS dan Fakulti Pertanian Lestari.

“Diharap dengan adanya ICoE ini, isu dan cabaran kebolehpasaran yang dihadapi graduan Malaysia pada masa kini dapat dikurangkan.

“Disamping itu, peratusan pengangguran dalam kalangan graduan lepasan universiti juga dapat diturunkan ke tahap yang minima,” tambahnya.

ICoE Pertanian menawarkan kerjasama institusi dengan syarikat-syarikat di dalam industri pertanian melalui empat struktur utama iaitu  Agro-Mentor Program, Agriculture Structured Internship Program, Training of Trainers dan Graduate Employability Program.

ISNIN, 30 NOVEMBER - Penerbit UMS sekali lagi mengharumkan nama Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Anugerah Buku Negara (ABN) 2015 apabila merangkul 3 anugerah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penerbit UMS telah dipilih menerima salah satu daripada anugerah utama iaitu Anugerah Perdana Penerbit Terbaik (Agensi Kerajaan).

Dua anugerah lagi yang dimenangi adalah kategori Buku Umum Terbaik (Kategori Peradaban) melalui buku berjudul, “Sejarah Amalan Pengurusan Kewangan dan Perkembangan Praktik Perakaunan di Borneo Utara 1881-1963” yang ditulis oleh Prof. Dr. Rasid Mail, Prof. Madya Dr. Raman Nordin dan Md. Saffie Abdul Rahim.  

Anugerah buku terbaik kedua adalah melalui Buku Umum Terbaik (Kategori Khazanah Warisan) yang berjudul, “Kimanis: Negeri Tua, Tanah Keramat” karya suntingan Baszley Bee Ag. Basrah, Eko Prayitno Joko dan Zainuddin Baco.

Pemilihan ini telah dibuat oleh Panel Penilai Profesional ABN 2015 yang telah dipengerusikan oleh Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar, yang juga merupakan Ketua 1, GAPENA.

Kriteria yang telah diambil kira dalam pemilihan ini antara lainnya termasuk kualiti penerbitan dan jumlah terbitan.

Anugerah Utama telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan anugerah bagi kategori lain disampaikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Seri Mahdzir Khalid. Pengarah Penerbit UMS, Prof. Madya Dr Asmady telah mewakili UMS untuk menerima anugerah tersebut.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, beliau sangat teruja dan berbangga dengan pencapaian cemerlang yang diraih Penerbit UMS pada tahun ini.

“Tahun lalu menang dua anugerah dan tahun ini menang tiga anugerah. Ini membuktikan bahawa UMS menghasilkan bahan-bahan penulisan yang berkualiti tinggi untuk rujukan dan bahan bacaan masyarakat,” kata beliau menerusi laman Facebook yang dimuat naik semasa majlis berlangsung.

“3 trofi yang dimenangi sempena Anugerah Buku Negara 2015 telah menambah koleksi pencapaian UMS dalam bidang penerbitan dan penulisan,” katanya lagi.

ABN 2015 dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengembangkan lagi budaya membaca supaya seluruh masyarakat Malaysia sentiasa mendepani maklumat, ilmu dan pengetahuan.

Penganjuran ABN terbuka kepada semua karyawan, penerbit dan penggiat industri buku untuk diberi pengiktirafan dan insentif sewajarnya.

Untuk tahun 2015, lebih dari 30 kategori telah dipertandingkan.

Majlis ABN ini juga turut diadakan bersempena dengan Ekspo Buku Malaysia yang berlangsung pada 25-29 November 2015 di PWTC yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur, GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perpustakaan Negara Malaysia. -CD

Sumber: Anicius Justin Adeh, Pegawai Penerbitan, Penerbit UMS