ISNIN, 19 OKTOBER – Seramai 39 pelajar tingkatan enam atas dari Sekolah Menengah La Salle, Sekolah Tinggi Kota Kinabalu dan Sekolah Menengah Limbanak telah mengikuti program BRI Young Ambassador anjuran Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Program dwitahunan itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat luar tertutamanya para pelajar sekolah mengenai kewujudan IPB serta memupuk minat pelajar aliran sains dalam bidang bioteknologi.

Pada program tersebut, para pelajar juga didedahkan kepada penyelidikan Biosensors, Stem Cells dan Protein and Diseases melalui taklimat yang disampaikan kakitangan akademik insititut berkenaan.

Selain pengenalan kepada teori bidang bioteknologi, para pelajar turut berkesempatan mempelajari dan memahami tentang pengendalian alat-alat berteknologi tinggi yang biasanya diguna pakai dalam aktiviti makmal.

Program yang berlangsung selama sehari itu dirasmikan pengarah IPB, Prof. Dr. Clemente Michael Wong Vui Ling.

Sumber: Institut Penyelidikan Bioteknologi

Oleh Salbinous Saribun

JUMAAT, 16 OKTOBER – Mohd Taufik Nordin dilantik sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sesi 2015/2016 setelah tersenarai sebagai salah seorang pemenang Kerusi Umum pada Pemilihan MPP yang diumumkan malam tadi.

Pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) itu dilantik sebagai peneraju kerusi pimpinan mahasiswa UMS ketika pembentukan kabinet diadakan sebaik proses pengiraan undi selesai.

Taufik yang berasal dari Kunak, Sabah ketika ditemui kemudiannya berkata, sebagai peneraju MPP yang baharu, beliau bukan sahaja akan berfokuskan kepada  tanggungjawab menjaga kebajikan mahasiswa semata-mata.

“Seperti yang saya perjuangkan dalam manifesto, saya juga akan memfokuskan kepada beberapa perkara termasuk aspek meningkatkan kemahiran insaniah melalui pelbagai program selaras dengan motto UMS, Bertekad Cemerlang,” katanya.

Beliau yang meraih sebanyak 2,508 undi, menerima watikah lantikan daripada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dalam satu majlis pagi tadi.

Barisan kepimpinan MPP baharu yang turut menerima watikah ialah Timbalan Presiden, Asmah Kadir; Setiausaha Agung, Sitti Rahina Ibrahim; Setiausaha Kehormat, Mas Adibah Abdul Raffar dan Bendahari MPP, Jessica Chin Yen Yen.

Penyampaian watikah itu juga menyaksikan Amos Peter dan Muhammad Fahmi Ahmad masing-masing dilantik sebagai Naib Presiden MPP untuk UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) dan UMS Kampus Cawangan Sandakan.

Foto: Musaab Umair

Oleh Salbinous Saribun

JUMAAT, 16 OKTOBER – Proses pembuangan undi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dijalankan serentak di Kota Kinabalu, Labuan dan Sandakan berlangsung dengan aman tanpa sebarang kekecohan, kelmarin.

Proses pengundian yang bermula seawal 8.00 pagi sehingga 5.00 petang menyaksikan seramai 16 calon bertanding merebut tujuh Kerusi Umum yang dipertandingkan di Kampus Induk, selepas dua Kerusi Umum di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) dan satu kerusi di Sandakan telah awal mencatatkan calon menang tanpa bertanding.

Pelajar Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Asmah Kadir mendahului senarai calon apabila berjaya meraih undian terbanyak dengan jumlah 3,250 undi.

Dua lagi calon wanita mengekori jejak beliau apabila turut  memenangi Kerusi Umum di Kampus Induk. Mereka ialah Sitti Rahina Ibrahim (2,587) dan Jessica Chin Yen Yen (2,423).

Empat Kerusi Umum selebihnya dimenangi pelajar lelaki iaitu Zaid Hanafi Zulkifli (2,717), Mohd. Taufik Nordin (2,508), Chung Wei Lok (2,424) dan Mohamad Syahrudin Mohd Sandi (2,410).

Dua Kerusi umum KAL pula disandang Amos Peter dan Mas Adibah Abdul Rafar, manakala kerusi Kampus Cawangan Sandakan menjadi milik Muhammad Fahmi Ahmad.

Bagi Kerusi Fakulti, sebanyak 22 kerusi dipertandingkan dengan setiap fakulti termasuk Pusat Pengajian Pascasiswazah memperuntukkan dua kerusi.

Pengumuman keputusan telah disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah di Dewan Kuliah Pusat 2.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Ismail Ali, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Shahril Yusof dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin.

 

Foto: Johaidi Ismail

KHAMIS, 15 OKTOBER - Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tun Zaki Tun Azmi mengadakan lawatan kerja baru-baru ini ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL).

Beliau mengadakan perjumpaan dengan pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) yang diketuai Dekannya, Prof. Madya Dr. Syed Nasirin Syed Zainol Abidin di Aras 8, Bangunan Menara.

Selepas itu, Tun Zaki meluangkan masa beramah mesra dengan kira-kira 60 pelajar FKAL yang juga penerima Anugerah Dekan Semester Dua Sesi 2014/2015 sambil menjawab beberapa persoalan mengenai bidang keusahawanan dan peluang-peluang kerjaya.

Beliau kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Pengarah UMS Labuan, Prof. Madya Dr. Murnizam Haji Halik di Aras 13.

Turut hadir dalam perjumpaan itu ialah Dekan FKAL, Prof Madya Dr Syed Nasirin dan Timbalan Pendaftar Kanan, Zamri Mohamad Tuah. –SS

Sumber: Azri Onn

KHAMIS, 13 OKTOBER - Seramai 130 peserta menyertai Engineering Run for Light anjuran Persatuan IEEE Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Pelepasan larian disempurnakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS, Dr. Razak Mohd Ali Lee pada pukul 7.30 pagi.

Peserta kemudiannya berlari sejauh tujuh kilometer membabitkan beberapa laluan di sekitar universiti sebelum kembali semula ke fakulti tersebut sebagai penamat larian.

Menurut kenyataan IEEE, tujuan utama program tersebut adalah mengumpul dana untuk disumbangkan kepada Light Up Borneo.

Light Up Borneo ialah sebuah organisasi bukan kerajaan yang melakukan usaha untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat di pedalaman yang masih terasing daripada pembangunan.

Kenyataan itu memaklumkan, para sukarelawan akan masuk ke kawasan pedalaman membantu penduduk membina penjana agar mereka mempunyai bekalan elektrik.

Majlis penutupan larian dan penyerahan sumbangan kepada wakil Light Up Borneo, Ong B.K, disempurnakan Dekan FKJ UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.

Sebanyak RM2,000 berjaya dikumpulkan melalui pelaksanaan larian amal tersebut di samping penganjuran Majlis Makan Malam Program Elektrik dan Elektronik pada bulan Mei lalu.

Dr. Rosalam turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori pelajar lelaki, pelajar perempuan dan kategori terbuka. –SS

Sumber: Norhana Nordin, HEP