KHAMIS, 19 NOVEMBER - Penerbit UMS sekali lagi mengharumkan nama Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Anugerah Buku Negara 2015 apabila dipilih menerima Anugerah Perdana Penerbit Terbaik (Agensi Kerajaan).

Pemilihan ini dibuat oleh Panel Penilai Profesional Anugerah Buku Negara yang telah dipengerusikan oleh Profesor Datuk Wira Dr Abdul Latif Abu Bakar yang juga merupakan Ketua 1, GAPENA.

Kriteria yang telah diambil kira dalam pemilihan ini antara lainnya termasuk kualiti penerbitan dan jumlah terbitan.

Anugerah Buku Negara dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengembangkan lagi budaya membaca supaya seluruh masyarakat Malaysia sentiasa mendepani maklumat, ilmu dan pengetahuan.

Penganjuran Anugerah Buku Negara ini adalah terbuka kepada semua karyawan, penerbit dan penggiat industri buku untuk diberi pengiktirafan dan insentif sewajarnya. Bagi tahun 2015, lebih dari 30 kategori dipertandingkan.

Majlis penyampaian anugerah akan diadakan pada 26 November 2015 yang akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri,  Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Majlis diadakan bersempena dengan Expo Buku Malaysia pada 25-29 November 2015 di PWTC yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur, GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perpustakaan Negara Malaysia.

Sumber: Anicius Justin Adeh, Pegawai Penerbitan, Penerbit UMS

Oleh Faezah Mohamad Dun

Foto: Ramdan Saleh Nain

KHAMIS, 19 NOVEMBER - Seramai 42 pegawai Kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Univesiti Malaysia Sabah (UMS) ditauliahkan pangkat Leftanan Muda pada satu majlis yang berlangsung di Dewan Resital, hari ini.

Pentauliahan tersebut disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Ismail Ali yang juga merupakan Penolong Pesuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam.

Menurut beliau, majlis pentauliahan tersebut antara lain dapat menjadi medan untuk menzahirkan semangat kesukarewalan yang wujud dalam siswa-siswi serta masyarakat yang sedia tampil menyertai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Berdasarkan latihan-latihan yang diberikan, tidat dapat dinafikan bahawa ia dapat membantu pasukan SISPA dalam melatih serta menguji ketahanan mental dan fizikal kadet-kadet SISPA UMS,” ujarnya.

Dr Ismail turut berharap agar kemahiran dan ilmu pertahanan awam seperti kemahiran asas pertolongan cemas, melawan kebakaran, menyelamat teknikal dan lain-lain lagi yang diperolehi oleh siswa-siswi dapat digunakan sepenuhnya untuk membantu masyarakat pada masa hadapan.

Turut hadir, Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sabah, Yang Setia Kolonel (PA), Mulliadi Al-Hamdi Ladin dan Timbalan Komandan Kor SISPA UMS, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA), Dr. Mohamad Nizam Nazarudin.

RABU, 18 NOVEMBER – Seramai 5,081 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menerima Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-17 yang akan berlangsung pada 21 - 23 November ini.

Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah berkata graduan yang bakal dirai itu adalah tambahan kepada jumlah alumni UMS yang kini mencecah 55,787 orang.

“Populasi ini, kian membesar dan merupakan elemen yang sangat signifikan kepada UMS yang boleh berperanan sebagai duta dan juga agen kecemerlangan, yang akan menyebar dan memperkasa nama baik alma mater UMS dan juga bandar raya Kota Kinabalu.

“Graduan-graduan inilah akan membentuk barisan belia  yang menjadi tonggak harapan negara, yang akan menerajui kepimpinan masa depan untuk mencapai visi dan wawasan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perarakan Berjubah Graduan UMS di Perkarangan Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Ujar Datuk Harun, persediaan dari segi intelektual yang diperoleh sepanjang pengajian di universiti perlu digunakan sebaiknya oleh para graduan demi menjana keutuhan dan keampuhan seluruh aspek pembangunan negara, sama ada dari sudut ekonomi, politik mahupun sosial.

“Segala pengetahuan dan pengalaman harus  dijadikan sebagai landasan dan pedoman dalam merealisasikan wawasan negara seiring dengan tanggungjawab kita dalam mendukung moto universiti ‘Bertekad Cemerlang’.

“Pada zaman kompetitif dimana persaingan menjadi semakin sengit, kita harus sentiasa peka dan bersikap responsif dengan perubahan semasa agar tidak jauh ketinggalan,” tambahnya lagi.

Pada majlis itu, setiap wakil daripada 65 program akademik yang ditawarkan di UMS masing-masing menerima Kunci daripada  Mayor Bandaraya, Datuk Abidin Madingkir sebagai simbolik penerimaan mereka sebagai sebahagian daripada warga bandar raya Kota Kinabalu.

Oleh Faezah Mohamad Dun

Foto : Johaidi Ismail

SELASA, 17 NOVEMBER - Mantan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tan Sri Henry Chin Poy Wu diraikan dalam majlis apresiasi yang diadakan di Ballroom Pacific Sutera Hotel, semalam.

Dalam ucapan beliau, Tan Sri Henry Chin yang memegang jawatan tersebut selama 15 tahun melahirkan rasa sebak dan terharu atas keraian tersebut.

“Walaupun tidak lagi memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UMS, namun bagi saya ini bukanlah satu penamat atau titik noktah terhadap ikatan saya bersama universiti tercinta ini.

“Saya sedia memenuhi ruang dan masa bagi menabur bakti terhadap UMS pada bila-bila masa melalui perkongsian ilmu dan pengalaman  khususnya dalam isu pentadbiran dan governan, keselamatan dan sebagainya,” ujarnya.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun  Zaki Tun Azmi turut menyifatkan sumbangan Tan Sri Henry kepada UMS adalah suatu yang tidak ternilai.

“Terima kasih kerana telah membantu dalam memacu kecemerlangan UMS selama ini. We owe you,” katanya.

Pada majlis tersebut, sebuah buku biografi Tan Sri Henry bertajuk ‘A Gentleman and An Officer’ turut dilancarkan.

Oleh Salbinous Saribun

Foto: Johaidi Ismail

SELASA, 17 NOVEMBER – No’man Datuk Haji Ahmad diumumkan sebagai Pendaftar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu berkuatkuasa 11 November 2015.

Majlis penyampaian Sijil Pelantikan disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (LPU), Tun Zaki Tun Azmi selepas mempengerusikan mesyuarat LPU di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif hari ini.

Majlis penyampaian itu turut disaksikan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, Ahli-ahli LPU dan Pegawai-pegawai Utama UMS.   

Pelantikan tersebut sekali gus menjadikan No’man yang memangku jawatan itu sejak Januari lalu mencoret sejarah baharu buat UMS sebagai Pendaftar yang ketiga.

Berpengalaman luas dan pernah memegang pelbagai jawatan ketua di beberapa jabatan di UMS, beliau yang berpewatakan ceria dan sering menyumbang idea-idea bernas kepada pengurusan universiti dilihat calon yang tepat setelah mantan Pendaftar, Datuk Abdullah Haji Mohd Said bersara wajib pada tahun ini.

No’man dilantik sebagai Pendaftar universiti selama tiga tahun sehingga 10 November 2018.