Oleh Salbinous Saribun

SELASA, 29 SEPTEMBER - Kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang masih belum mengadakan rundingan mengenai pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara potongan gaji diingatkan agar berbuat demikian di kaunter PTPTN di Ruang Legar Perpustakaan UMS.

Kaunter tersebut yang beroperasi dari jam 8.30 pagi sehingga 5.00 petang akan berakhir esok selepas empat hari dibuka.

Media UMS ketika membuat tinjauan hari ini dimaklumkan, masih terdapat kakitangan yang belum membuat rundingan di kaunter tersebut.

Jurucakap kaunter PTPTN turut memberitahu, mereka yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan daripada pihak majikan.

Ia selaras dengan arahan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang disiarkan melalui akhbar utama pada 18 Jun 2015 supaya penjawat awam perlu membuat bayaran balik pembiayaan pendidikan PTPTN melalui potongan gaji.

Sehubungan itu, mereka yang terlibat diingatkan agar meluangkan masa esok untuk membuat rundingan bayaran balik pinjaman masing-masing.

Oleh Salbinous Saribun

SELASA, 29 SEPTEMBER  - Kebanyakan penghuni penjara yang melakukan jenayah asalnya berpunca dadah, kata Pengarah Penjara Negeri Sabah, Timbalan Komisioner Penjara, Suria Haji Idris.

Beliau berkata, lebih 50% penghuni penjara adalah terdiri daripada mereka yang melakukan kesalahan yang mempunyai kaitan dengan dadah.

“Ibu bapa pasti kecewa jika anaknya terjerumus dengan dadah, demikian juga ada anak yang menderita dan tidak mendapat kasih sayang apabila ibu bapanya ditempatkan di penjara akibat dadah dan jenayah,” ujarnya ketika berucap merasmikan Program Mesej dari Penjara dan Seminar Kaunseling Penyalahgunaan Dadah Peringkat Kebangsaan di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Suria berkata, beliau merasa sedih apabila melihat anak-anak kecil yang tidak tahu apa-apa datang ke penjara mahu berjumpa ibu bapanya yang sedang menjalani hukuman.

“Pesanan saya kepada masyarakat dan pelajar-pelajar, hargailah erti kehidupan dan erti kebebasan. Sekali kita terjebak dalam jenayah dan penagihan dadah, pastinya padah akan mengundang. Hidup di penjara bukanlah satu kehidupan yang istimewa,” tambahnya lagi.

Program anjuran Jabatan Penjara Negeri Sabah dan UMS itu berlangsung sehingga esok dengan pelbagai pengisian termasuk pembentangan kertas kerja dan forum.

Hadir sama pada majlis perasmian, Timbalan Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS, Prof. Madya Dr. Christina Peter Ligadu.

RABU, 23 SEPTEMBER - Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) telah menjayakan Aktiviti Kem Keluarga Kompleks Perhutanan 2015 kali ke-17 baru-baru ini.

Program yang bertempat di Pantai ODEC itu melibatkan penyertaan seramai 151 orang pelajar baharu dari empat buah program yang ditawarkan di Kompleks Perhutanan, FSSA.

Program tersebut antara lain bertujuan untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan pensyarah dan juga para pelajar sekaligus memupuk perasaan rimbawan dalam diri masing-masing.

Penasihat program, Dr. Maria L.T Lardizabal yang mewakili Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta dalam ucapan perasmian Kem Keluarga Kompleks Perhutanan 2015 berkata penganjuran kem selama 3 hari ini mampu memberi idea dan pendedahan awal kepada para pelajar mengenai program-program yang ditawarkan di Kompleks Perhutanan, FSSA.

“Ini sekaligus dapat membuka minda pelajar semua mengenai kepentingan bidang perhutanan baik masa kini mahupun akan datang.

“Pembangunan akan sentiasa berkembang maka itu peranan ahli kaji dan pakar sememangnya perlu selari dan saling melengkapi” ujarnya.

Dalam pada itu, pengarah program, Lee Yew Leung memuji pentadbiran univesiti terutamanya Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang memberi kebenaran akan penganjuran kem ini, sambil menjelaskan program sebegini penting sebagai titik mula kepada semua pelajar baharu yang akan menjalani pengajian selama empat tahun di FSSA.

“Selama 3 hari kami berkumpul di kem ini, aktiviti-aktiviti berkumpulan dan perbincangan telah dijalankan melibatkan para pensyarah dan pelajar. Ini memberikan  lebih variasi idea dan persepsi dalam kelestarian bidang perhutanan.

“Slot-slot kemahiran juga diterapkan bagi mendekatkan para pelajar dalam dunia sebenar sebagai seorang forester” , katanya.

Kemuncak program tersebut , iaitu Acara Malam Unggun Api menyaksikan para pelajar menjayakan persembahan berkumpulan dan disusuli dengan pertandingan Kumpulan Terbaik dan Pelajar Terbaik bagi sepanjang program tersebut.

Sumber: Kenny Uwai, FSSA

ISNIN, 21 SEPTEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) mengadakan Sambutan Hari Keamanan Antarabangsa hari ini sebagai satu peringatan betapa keamanan yang dikecapi perlu dihargai oleh generasi turun temurun.

Dekan FKSW, Prof. Dato’ Mohd Hamdan Adnan berkata keamanan yang dinikmati khususnya di negara Malaysia hari ini juga perlu dipelihara sebaiknya bagi mengekalkan suasana hidup aman damai dan harmoni.

“Dunia pada hari ini menyaksikan berlakunya konflik di merata tempat, menjadikan kita hidup dalam dunia yang penuh dengan keganasan. Statistik berkenaan pelarian mahupun migran cukup untuk menjelaskan tentang ancaman keselamatan yang dihadapi golongan ini di negara sendiri sehingga terpaksa keluar dari tanah air mereka.

“Keamanan bukan menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan semata-mata, tetapi masyarakat sebenarnya yang memainkan peranan lebih besar mengekalkan keamanan sejagat,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Keamanan Antarabangsa di Auditorium Utama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS.

Mngambil contoh tragedi yang menimpa komuniti Rohingya di Myanmar Dato’ Hamdan berkata, rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana mampu hidup bersama dengan mengamalkan kepercayaan agama masing-masing tanpa sebarang masalah.

“Bertindaklah dalam menjaga keamanan, aktif dalam gerakan-gerakan bersifat keamanan, jangan hanya menjadi pemerhati semata-mata,” tambahnya.

Pelbagai program diadakan sempena Sambutan Hari Keamanan Sedunia di UMS, antaranya sesi perkongsian ilmu berkenaan isu-isu keamanan sejagat melalui ucaptama dari wakil United Nations High Commisioner for Refugees (UNHCR), Richard Towle dan sesi forum terbuka bersama beliau, bacaan sajak oleh pensyarah FKSW, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail, Mohd Fuad Bebit dan Ramzah Dambul, serta persembahan nyanyian dan muzik oleh pelajar FKSW.