JUMAAT, 3 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijangka akan melahirkan seramai 4,405 graduan dalam pelbagai bidang kepakaran bagi tahun 2021.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail berkata, daripada keseluruhan jumlah tersebut, 521 pelajar terdiri daripada graduan Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Bagi pelajar di peringkat prasiswazah, dijangka 3,663 graduan akan menerima skrol ijazah sarjana muda, di samping 134 graduan di peringkat diploma, dan 87 graduan peringkat Diploma Pascasiswazah.

“Ini merupakan usaha berterusan universiti bagi memenuhi keperluan negara dan tuntutan masyarakat bagi menghasilkan graduan yang berkepakaran dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu,” katanya dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun, Rasid memaklumkan, senarai muktamad para graduan itu akan diisytiharkan Yang DiPertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS, Tun (Dr.) Hj. Juhar Datuk Hj. Mahiruddin sebelum penghujung tahun 2021. 

“Untuk makluman, istiadat konvokesyen yang biasanya diadakan pada bulan November setiap tahun ditangguhkan berikutan ancaman dan isu keselamatan ekoran penularan pandemik Covid-19. 

“Dengan mengambil kira beberapa faktor seperti kelancaran dan hal-hal keselamatan yang saya nyatakan tadi, maka majlis istiadat konvokesyen bagi graduan UMS 2021 dirancang untuk dilaksanakan pada Jun 2022,” jelas Rasid.

Sementara itu, hampir kesemua 4,639 graduan prasiswazah dan pascasiswazah UMS yang diisytiharkan Canselor UMS pada 30 Disember 2020 telah pun menerima skrol dan transkrip keputusan masing-masing.

Menurut Rasid, skrol tersebut dihantar melalui pos, dan terdapat juga yang hadir mengambil sendiri di UMS. 

“Satu berita gembira untuk graduan yang tamat pengajian pada tahun berkenaan, UMS merancang untuk mengadakan majlis istiadat konvokesyen bagi kesemua anda pada bulan Mac 2022. 

“Penangguhan majlis ini, yang sepatutnya dilaksanakan pada bulan November 2020 adalah disebabkan halangan dan isu keselamatan kesihatan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.      

“Jika keadaan mengizinkan, majlis istiadat konvokesyen bagi graduan tahun 2022 pula akan dilaksanakan pada bulan November, sekali gus menjadikan tiga majlis konvokesyen diadakan UMS pada tahun hadapan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Rasid turut memaklumkan bahawa komposisi graduan UMS adalah terdiri daripada 40-45 peratus berasal dari luar Sabah, termasuk pelajar antarabangsa.

“Justeru, keadaan ini memerlukan perancangan yang lebih rapi, berbanding rakan Istitusi Pengajian Tinggi yang lain terutama keperluan perjalanan dan pergerakan rentas negeri dalam kalangan graduan dan keluarga mereka.    

“Pada masa ini, semua proses persiapan sedang giat dijalankan, dan harapan kita semoga ketiga-tiga istiadat majlis konvokesyen UMS ini dilaksanakan dengan baik mengikut perancangan yang dibuat,” katanya.

 

SELASA, 5 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) dan UMS Investment (UiNVEST) telah melancarkan satu sistem digital bagi memudahkan proses aduan pelajar residen berkaitan kerosakan perabot di bilik-bilik pelajar kolej kediaman.

Computerized Maintenance Management System (CMMS) yang dibangunkan tersebut merupakan sebahagian daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara kedua-dua pihak.

Pelancaran sistem tersebut diadakan dalam satu majlis yang berlangsung secara maya dan disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin. 

Dalam ucapan perasmiannya, beliau memaklumkan sistem CMMS  akan memudahkan proses aduan pelajar residen kolej kediaman sekiranya terdapat kerosakan perabot di bawah selenggaraan syarikat UiNVEST di bilik-bilik pelajar kolej kediaman.

“Dengan adanya sistem ini akan memudahkan seramai 828 pelajar Kolej Kediaman Tun Mustapha dan seramai 896 pelajar Kolej Kediaman Tun Fuad untuk membuat aduan berkaitan dengan pantas sekiranya berkeperluan,” katanya. 

Turut berlangsung pada acara tersebut perasmian Food Bank PNRF, yang merupakan satu inisiatif bagi membantu semua pelajar UMS terutama pelajar non residen dalam kategori B40, zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sebagainya untuk mendapatkan bantuan makanan kering sebagai meringankan beban pelajar yang berkeperluan.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin berkata, pelancaran program Food Bank tersebut adalah sejajar dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung penekanan kebajikan pelajar yang tinggal di luar kampus seperti terkandung dalam fokus strategik keenam KPT.

“Diharapkan agar usaha murni ini akan diteruskan bagi membantu pelajar UMS sama ada residen atau non residen yang berkeperluan sebagai mendukung slogan UMS sebagai Kampus Rahmah,” kata Raman.

Untuk rekod, sejumlah 708 bakul makanan kering telah diagihkan kepada pelajar non residen yang berkeperluan menerusi 53 sesi serahan ringkas bermula bulan Februari sehingga bulan September tahun ini. 

Turut hadir dalam sesi pelancaran tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Penolong Naib Canselor (Strategik), Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abd. Karim; Pemangku Ketua Syarikat UMSiNVEST Holdings Sdn. Bhd., Francis Vincent Ariffin Jr; dan Pengarah PNRF, Hasmi Hashim.  

RABU, 6 OKTOBER -  U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kolaborasi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mempelawa pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh Sabah untuk menyertai program STEM4ALL: D.I.Y. STEM Exploration bertemakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pertandingan yang dijalankan sepenuhnya secara dalam talian itu telah bermula pada 13 September dan akan berakhir pada 29 Oktober 2021. 

Menurut kenyataan U-Science UMS, pertandingan tersebut bertujuan memberi peluang kepada pelajar sekolah untuk menggunakan kebolehan kognitif dan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif melalui aktiviti-aktiviti berasaskan STEM. 

Jelas U-Science UMS, dengan menggunakan bahan atau material yang mudah dan senang didapati di rumah masing-masing, tugas peserta adalah untuk mereka cipta projek STEM yang ingin mereka jalankan sepanjang tempoh pertandingan. 

“Ianya boleh dikategorikan daripada masalah yang dihadapi oleh mereka atau cara-cara untuk mempermudahkan tugas-tugas harian dengan menggunakan konsep-konsep sains, teknologi, kejuruteraan atau matematik. 

“Bagi pertandingan ini, tidak terdapat tema yang spesifik dan para peserta adalah bebas untuk meneroka projek masing-masing dan mengemukakan hasil inovasi melalui video ringkas yang dihasilkan pada akhir pertandingan berkenaan,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menambah, video kreatif dengan durasi maksimum selama 5 minit daripada para peserta adalah berdasarkan aktiviti mereka menjalankan eksplorasi berkenaan dan hendaklah merangkumi perkara seperti pernyataan masalah, metodologi penyelesaian, konsep STEM yang digunakan, hasil daripada metodologi penyelesaian dan konsep STEM yang digunakan, rumusan projek dan faedah kepada masyarakat. 

“Peserta hanya perlu memuat naik video kreatif di mana-mana media sosial seperti Facebook atau Youtube dan memberikan tanda pagar #STEM4ALL atau #DIYSTEMExploration2021.

“Pelajar yang telah lengkap menghantar butiran penyertaan layak untuk menerima sijil dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK),” katanya.

Setiap peserta berpeluang memenangi hadiah bernilai RM300 bagi hadiah utama dan terdapat lima pemenang bertuah bagi setiap kategori sekolah rendah dan sekolah menengah. 

Maklumat lanjut serta video penerangan mengenai program tersebut boleh didapati melalui pautan https://youtu.be/BiwnqtvYlts, laman Facebook UScience UMS atau berhubung dengan pegawai bertugas, Deidre Faye di talian 016-7733889. 

JUMAAT, 8 OKTOBER – Seiring dengan perkembangan teknologi digital pada masa kini, U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) telah menjayakan Program STEM4ALL: Cabaran Learning Science Through Minecraft.

Program berbentuk pertandingan pembinaan projek melalui aplikasi Minecraft itu disertai seramai 88 peserta dari 18 buah sekolah di seluruh Sabah yang telah menghantar video-video kreatif berkenaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). 

Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah bagi pertandingan tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin dalam satu acara secara dalam talian baru-baru ini. 

Dalam ucapannya, beliau menyatakan sokongan bagi penyertaan pelajar-pelajar sekolah ke arah pembudayaan STEM sebagai pendukung bagi tenaga kerja generasi akan datang.

“Harapan saya agar program sebegini dapat memupuk minat pelajar dalam bidang Sains Komputer melalui pembinaan projek di dalam aplikasi Minecraft. 

“Dalam masa yang sama usaha ini turut mendidik komuniti, khususnya kanak-kanak dan remaja berkaitan teknologi baharu yang menjurus ke arah teknologi digital,” katanya. 

Taufiq turut berharap agar pertandingan sebegini mampu memberi pendedahan kepada generasi celik teknologi maklumat dan mengoptimumkan daya saing mereka dalam membangunkan bidang ekonomi digital pada masa akan datang.  

Terdahulu, Pengarah JPNS, Datuk Dr. Mistirine Radin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pertandingan tersebut. 

“Pertandingan ini merupakan satu galakan terbaik kepada semua pelajar untuk turut terlibat dalam bidang sains dan teknologi bagi melahirkan masyarakat yang berdaya saing dan berdaya maju terutamanya dalam bidang STEM,” katanya. 

Pertandingan tersebut menyaksikan kumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Swasta Tshung Tsin yang dianggotai oleh Rachel Wong Siau Ying, Andrea Caitlin Yu Xin Jie dan Wesley Kong Yu Sen muncul johan bagi kategori sekolah menengah. 

Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan pelajar daripada SMK Tinggi Kota Kinabalu dianggotai oleh Jordan Voo Yee Fung, Hansen Lee Ming Haw, Chong Jia Ying Dylan, dan Ivan Liew Chun Fui, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nur Viana Onnin Osthen dari SMK Taman Ria.

Bagi kategori sekolah rendah, Nur Vanida Onnin Osthen @ Mohd Raffie dari SK Rugading dinobat sebagai pemenang utama, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga dimenangi pelajar dari SK Inanam Laut iaitu Izz Muzaffar Ros Izhrin dan Amirul Aziz Hardi.

 

KHAMIS, 7 OKTOBER - Prihatin terhadap pelbagai cabaran dan kekangan yang dilalui oleh segelintir keluarga untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam era pandemik COVID-19, dua pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menggerakkan bantuan bagi mangsa banjir kilat di Kg. Sugud, Penampang. 

Menerusi Persatuan Psikososial Sabah (PPS), dua pensyarah tersebut, Dr. Getrude Cosmas dan Dr. Carmella E. Ading yang merupakan ahli jawatankuasa Komiti Khidmat Komuniti PPS telah menghulurkan bantuan dan sokongan kepada sepuluh buah keluarga yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda baru-baru ini. 

Menurut Getrude, mereka telah mengadakan lawatan ke salah sebuah kampung yang terjejas dengan ditemani salah seorang penduduk kampung, iaitu  Joannes Moduying.

“Jelas kelihatan banyak harta benda yang musnah seperti peti sejuk, kereta, televisyen dan harta benda yang lain. 

“Kawasan dalam dan luar rumah yang dipenuhi lumpur, rumput dan kayu kering juga pastinya memerlukan masa dan tenaga daripada ahli keluarga untuk melakukan kerja-kerja pembersihan,” katanya. 

Justeru, bagi meringankan beban kepada keluarga yang terjejas, PPS telah menyerahkan sumbangan berupa keperluan harian dan makanan kepada wakil keluarga.

Pihak PPS juga katanya amat menghargai sumbangan dari individu perseorangan yang turut bersama merealisasikan sumbangan ini kepada mereka yang memerlukan. 

“Sememangnya dalam berhadapan dengan bencana seperti pandemik COVID-19 dan banjir, keprihatinan daripada semua pihak amat diperlukan tanpa mengira latar belakang bagi meringankan beban dan memberikan semangat kepada mereka yang memerlukan sokongan dan bantuan,” ujar Getrude. 

Selain bantuan kepada keluarga di Kg. Sugud, PPS juga telah menghulurkan bantuan makanan kepada sembilan buah keluarga di Kg Rugading, Tuaran.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.