Kolaborasi antara Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan Nantong College of Science and Technology China (NCST) dalam program Summer Educational Tour baru-baru ini mampu membantu peserta untuk mendalami budaya masyarakat Sabah.

Program yang melibatkan 21 orang pelajar termasuk seorang pensyarah daripada wakil NCST bersama-sama 20 orang pelajar FPEP itu diberi peluang untuk mengenali pelbagai kawasan pelancongan menarik yang terdapat di Sabah.

Menurut Pensyarah Kanan Program Pengurusan Pelancongan FPEP yang juga merupakan pengiring program tersebut, Dr Tai Kay Xin, program kali ini dapat mewujudkan talian silaturahim yang baik antara warga universiti tempatan dengan universiti bertaraf antarabangsa.

“Diharap program Summer Educational Tour ini dapat memberikan pengalaman melancong sambil belajar kepada peserta yang terlibat khususnya kepada pelajar NCST.

“Di samping itu, usaha ini dapat mempromosikan budaya tempatan kepada pelajar luar negara termasuklah pendedahan dalam penghasilan video promosi tempat menarik di Sabah dan EcoCampus UMS,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan program tersebut.

Dr. Tai turut memaklumkan pertandingan “Vlogging the Summer Educational Tour in UMS EcoCampus and Sabah” turut diadakan pada hari terakhir program tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Program, Aisyah Nurilyana dalam perkongsian pengalamannya memberitahu, program tersebut telah berjalan lancar dengan interaksi antara peserta bersama-sama menikmati kebudayaan dan keindahan Sabah di mata dunia.

Katanya, ini juga adalah cabaran buat beliau serta rakan-rakan kerana buat pertama kali menggalas tanggungjawab dalam mengadakan program yang melibatkan kolaborasi peringkat antarabangsa.

Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim.

Hadir sama Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, Dr. Robert Francis Peters; Pengarah YTH Borneo Tours and Travel Sdn Bhd, John Tan; dan Pensyarah Kanan Program Pengurusan Hospitaliti UMS, Dr. Andi Tamsang Andi Kele.

 

Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) terus mempergiatkan program Cancer Empowerment, Outreach and Awareness (CERAH) dengan menyantuni masyarakat di Felda Sahabat, Lahad Datu dan Kg Gum-Gum, Sandakan baru-baru ini.

Menurut penyelaras program CERAH, Dr. Nurfarahin Musa, pelaksanaan program tersebut adalah bagi mengadakan saringan Kanser Pangkal Rahim melalui ujian pap smear dan ujian HPV secara percuma kepada golongan wanita yang berisiko tinggi.

“CERAH merupakan inisiatif yang dimulakan oleh HUMS untuk memartabatkan liputan saringan kanser di negeri Sabah.

“Oleh itu, pelaksanaan program CERAH akan lebih kerap dilaksanakan terutama di beberapa tempat yang berada di Sabah,” katanya.

Nurfarahin memaklumkan, program yang merupakan kolaborasi bersama Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Madani itu diketuai oleh Pegawai Perubatan HUMS, Dr Hiew Wuan Teng.

“Penghargaan juga diberikan kepada pengerusi CERAH, Dr Nik Amin Nik Lah yang telah menubuhkan program yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat,” ujar beliau.

Menerusi program tersebut, HUMS telah menyaring seramai 25 orang wanita dan menjalankan ujian lanjutan untuk 13 orang wanita.

Turut terlibat dalam program tersebut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Governan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Ahmad Muzaffar Ahmad Bakri; Ketua program KPT Prihatin Madani, Dr Rishaini Elengovan, dan tiga orang jururawat daripada HUMS yang membantu menjayakan program tersebut.

 

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah meluncurkan siri jerayawara melalui Program Sejahtera Masyarakat Melalui Pendidikan Profesional (PROSPEK) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinggan-Pinggan, Pitas, baru-baru ini.

Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree yang menjalankan fungsi Dekan FPSK ketika mewakili Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Hj. Mansor berkata, PROSPEK bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar dari kawasan luar bandar untuk melanjutkan pengajian.

“Program yang bersifat Community Social Responsibility (CSR) ini dapat memberikan akses kepada anak-anak Sabah untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan sains kesihatan di UMS.

“Pelaksanaan PROSPEK FPSK UMS melibatkan empat fasa utama, iaitu fasa jerayawara yang melibatkan aktiviti perkongsian maklumat mengenai PROSPEK sebelum masuk ke fasa pemilihan pelajar melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

“Fasa ketiga ialah fasa bimbingan melibatkan aktiviti pemantauan prestasi pelajar seperti program mentor mentee, kem kecemerlangan dan motivasi,” katanya.

Menurutnya, fasa terakhir ialah fasa pendaftaran yang melibatkan bantuan untuk mendaftarkan pelajar terpilih melanjutkan pengajian di peringkat asasi sains di Pusat Persediaan Sains dan Teknologi UMS.

“Diharapkan program ini bakal memberi manfaat kepada masyarakat Sabah sejajar dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) tahun 2021-2025 melalui agenda Pemerkasaaan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.

“Fasa jerayawara PROSPEK seterusnya akan diadakan di daerah Kota Marudu, Kudat dan Kota Belud.

“Semua daerah di Zon Utara Sabah tersebut merupakan pilot project dan ambilan kohort pertama PROSPEK FPSK UMS,” ujar beliau.

Antara pengisian sepanjang program tersebut berlangsung adalah taklimat program asasi sains, pameran pendidikan dari U-Science dan juga FPSK, serta lawatan ke bilik Sains Teknologi Maklumat (STEM), SMK Pinggan-Pinggan.

Lebih 300 pelajar termasuk ibu bapa dan guru-guru telah hadir ke program tersebut yang melibatkan empat buah sekolah menengah aliran sains di daerah Pitas.

Hadir sama wakil Pengetua SMK Pinggan-Pinggan, Adziah Zaman dan wakil pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Pitas, Nurmaziah Maikal Abdulllah.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kolej Universiti AMC telah memeterai satu hasrat kerjasama bagi memperkukuhkan kemajuan akademik antara kedua-dua institusi tersebut.

Hasrat kerjasama tersebut dimeterai dalam satu acara menandatangani Surat Hasrat (LoI) antara kedua-dua institusi baru-baru ini.

UMS diwakili oleh Dekan antara Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof. Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal menandatangani dokumen LoI tersebut, manakala AMC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Bryan Lo Ching Wing.

Menurut Geoffrey, menerusi hasrat kerjasama tersebut, kedua-dua institusi bersedia mencapai matlamat dalam memudahkan pertukaran pelajar, pensyarah, kakitangan, dan kepakaran, memupuk kerjasama dalam projek penyelidikan dan pendidikan, dan mengadakan sesi latihan, seminar, bengkel, dan aktiviti akademik dan pendidikan lain yang berkaitan.

“Selain itu, pihak UMS dan AMC juga akan bersama-sama membangunkan program akademik bersama untuk meningkatkan penawaran akademik, dan meneroka serta melibatkan diri dalam aktiviti kerjasama berpotensi lain yang saling menguntungkan kedua-dua institusi.

“Kedua-dua institusi itu juga kini terlibat dalam membangunkan program ijazah sarjana muda melalui mod pengajian 2U2I (2 tahun di Universiti, 2 tahun di Industri) yang memfokuskan pengurusan hospitaliti.

“Ini kerana Sabah masih perlu untuk memperkukuh industri perkhidmatan untuk membuka jalan ke hadapan dan merealisasikan hala tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, perjanjian kerjasama itu berpotensi untuk dilanjutkan dengan menggariskan rundingan Memorandum Persefahaman (MoU) yang berterusan dan penglibatan dalam kerjasama penyelidikan, latihan dan perkongsian akademik.

“Kerjasama penting ini menandakan lembaran baharu bagi kedua-dua institusi ke arah kecemerlangan akademik, pertukaran silang budaya dan pembangunan holistik,” ujar beliau.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memeterai Perjanjian Hasrat Kerjasama (LoI) bersama tiga buah universiti di Mindanao, Filipina bagi memperkukuh jalinan kolaborasi pendidikan tinggi di rantau ini.

Kolaborasi bersama tiga universiti tersebut iaitu Mindanao State University, University of Southern Mindanao dan Notre Dame University, Filipina dalam mobiliti pelajar, akademik dan penyelidikan akan memacu dalam menghasilkan modal insan yang berkualiti sekali gus mampu memberi manfaat kepada Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, peranan institusi pengajian tinggi merupakan antara nadi yang mampu memangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi di rantau ini.

“Justeru itu, UMS sebagai salah sebuah menara gading di negeri ini bertekad untuk menerajui pendidikan tinggi di rantau BIMP-EAGA.

“Ini kerana melalui pendidikan akan dapat memahami sosio-kebudayaan untuk kemapanan ekonomi serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memeterai hasrat kerjasama (LoI) dengan ketiga-tiga universiti tersebut sempena lawatan kerja delegasi Perutusan Khas (Special Envoy) BIMP-EAGA Sabah yang diketuai oleh Tan Sri Pandikar Amin Hj. Mulia di Cotabato, Mindanao, Filipina.

Kasim menambah, kerjasama tersebut adalah amat penting dalam membantu meningkatkan kesedaran generasi muda berkenaan kepentingan pendidikan tinggi.

“Pendidikan adalah senjata paling kuat yang boleh digunakan untuk mengubah dunia.

“Kelestarian wilayah juga bergantung pada jenis pendidikan yang tepat,” kata Kasim.

Dalam pada itu, Pandikar Amin ketika ditemui media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian tersebut berkata, pendidikan merupakan kunci dalam membuka peluang serta mengatasi halangan-halangan yang dihadapi di sekitar BIMP-EAGA.

“Saya difahamkan kolaborasi ini akan melibatkan mobiliti pelajar, pertukaran akademik, perkongsian bersama geran dan penyelidikan.

“Oleh itu, saya barharap forum sehari bertajuk BIMP-EAGA: Empowering Minority Communities in the Bangsamoro Region dapat menjadi platform terbaik untuk negara anggota BIMP-EAGA membincangkan kerjasama dalam usaha menghasilkan modal insan yang berkualiti dan mampu memberi manfaat kepada rantau ini,” ujar beliau.

Untuk rekod, penubuhan BIMP-EAGA bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dan pertumbuhan dalam bidang pelancongan, perniagaan, pertanian, perhubungan, persekitaran, sosio-budaya serta pendidikan.

Turut menyertai Kasim dalam lawatan kerja tersebut Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim.