Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus melangkah ke hadapan dengan meraikan inovasi digital selama lima hari pada sambutan Bulan Digital 2023, di sini, hari ini.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, UMS sedang bergerak menuju arah masa depan yang semakin digital dan inovatif.

“Pelajar dan staf adalah warga digital, justeru amat penting untuk memahami dan menguasai peralatan serta pengetahuan yang diperlukan dalam era digital.

“Bulan Digital ini menawarkan kesempatan luar biasa untuk belajar, berkomunikasi, dan merasai kemajuan digital,” ujarnya.

Kasim berkata, sepanjang Bulan Digital 2023 pada kali ini pihak urus setia telah merancang pelbagai aktiviti yang merangkumi pelbagai aspek teknologi digital, termasuk penggunaan platform digital, pemarkahan digital, pembelajaran digital, dan lain-lain lagi.

“Kita juga disajikan dengan pameran ICT dan pameran buku oleh pempamer daripada dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Perasmian Bulan Digital UMS 2023. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Digital Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi UMS, Profesor Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim.

Tambah Kasim, bagi menyemai kesedaran ICT dan digital, UMS turut mengadakan taklimat berkaitan transformasi digital di UMS serta taklimat inovasi STEM.

“Dalam era globalisasi dan digitalisasi ini, selain bergerak seiring dengan perkembangan teknologi, UMS juga harus memastikan teknologi ini digunakan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

“Sebagai sebuah universiti, kita mempunyai tanggungjawab dan peluang untuk membentuk masa depan yang lebih baik bagi para pelajar dan generasi akan datang.

Saya percaya Bulan Digital ini adalah langkah ke arah membentuk dan memperkasakan generasi muda untuk merangkul masa depan.

“Teknologi mempunyai banyak manfaat, tetapi juga mempunyai risikonya sendiri jika disalah guna. Oleh itu, gunakanlah teknologi dengan bijak,” katanya.

Pada majlis tersebut, UMS turut melancarkan UMS Metavarsity Project, pelancaran Sistem Arkib UMS, dan peluncuran logo Perpustakaan.

Turut hadir, Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Salleh dan Ketua U-Science UMS, Hj. Zawawi Tiyunin

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) dengan kerjasama CANON Malaysia dan Malaysian Nature Society (MNS) telah menanam 200 pokok pelbagai jenis di SFERA@UMS baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, aktiviti penanaman menerusi program One Canon One Tree (OCOT) itu merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sering dilakukan oleh CANON Malaysia.

“Program ini adalah inisiatif pihak CANON Malaysia untuk mengurangkan jejak karbon (carbon footprint) dan membantu dalam peningkatan SDGs (Sustainable Development Goals) yang telah ditetapkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sejak 2015 bagi memastikan semua orang menikmati keamanan dan kemakmuran menjelang 2030,” katanya.

Kasim turut memaklumkan, program OCOT merupakan yang pertama dilaksanakan di Pantai Barat Sabah dan UMS adalah lokasi yang dipilih untuk aktiviti penanaman pokok.

“Oleh itu, UMS berperanan dalam membantu merealisasikan objektif kempen ini dengan memupuk semangat cintakan alam semula jadi.

“Ini adalah melalui penanaman pelbagai jenis pokok kepada segenap lapisan masyarakat serta menyokong komitmen untuk mengekalkan litupan kawasan berhutan di Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, aktiviti sedemikian turut menyokong Pelaksanaan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021 sehingga 2025 di peringkat UMS melalui FPT.

Pada program tersebut, seramai 122 orang yang terdiri daripada kakitangan CANON Malaysia, ahli MNS, kakitangan akademik dan pentadbiran serta pelajar-pelajar FPT UMS telah menyertai aktiviti penanaman pokok buah-buahan tempatan yang terdiri daripada durian, rambutan, tarap, cempedak dan nangka.

Turut hadir, Ketua CANON Marketing Malaysia Cawangan Sabah, Calvin Liew; Pengerusi MNS Cawangan Sabah, Anna Wong @ Wong Yun Moi dan Dekan FPT UMS, Prof. Madya Dr. Normah Awang Besar @ Raffie.

 

Berbekalkan kekuatan semangat untuk mencapai hasrat melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS), salah seorang pelajar baharu UMS dalam ketegori B40 berjaya merealisasikan impiannya setelah terpaksa menolak tawaran kemasukan ke universiti tiga tahun lalu kerana kedudukan kewangan yang tidak mengizinkan.

Kimson Albert, 22 tahun yang berasal dari Kampung Murut, Kalabakan akhirnya bergelar pelajar baharu UMS setelah dua tahun gigih mengumpul wang dengan bekerja di kampung halaman beliau.

Menceritakan semula tentang tawaran kemasukan ke universiti yang ditolaknya tiga tahun lalu, Kimson menjelaskan selepas menamatkan pengajian dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sesi 2019/2020, beliau telah membuat permohonan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti melalui Unit Pusat Universiti (UPU).

“Saya memang dapat tawaran melalui sistem UPU iaitu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

“Namun, memikirkan universiti tersebut agak jauh dan keadaan kewangan keluarga yang kurang stabil pada waktu itu, saya terpaksa menolak tawaran tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu UMS Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2023/2024 di Dewan Canselor, UMS.

Beliau kemudiannya memutuskan untuk bekerja dan menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menjana kewangan dan membantu bapanya yang merupakan pekerja di ladang kelapa sawit.

“Selepas dua tahun bekerja, saya dapat mengumpulkan wang yang cukup dan saya membuat permohonan baru di UPU menggunakan keputusan STPM saya yang lepas.

“Pada akhirnya saya dapat tawaran di UMS dengan jurusan yang saya minati iaitu Geografi,” katanya.

Kimson menzahirkan kesyukuran kerana pada kali ini beliau telah mempunyai kewangan yang mencukupi hasil dari pekerjaannya yang membolehkan beliau membayar yuran pendaftaran bagi semester pertama pengajian.

“Selain itu, ahli keluarga yang lain juga ada membantu dalam kewangan sepanjang proses kemasukan ke UMS.

“Saya juga akan membuat pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menambah keperluan kewangan pada semester yang seterusnya,” ujarnya.

Kimson yang merupakan anak sulung dari tiga beradik turut menyatakan harapannya agar selepas tamat pengajian, beliau bercita-cita untuk memasuki profesion perguruan dan mengajar di sekolah tempat kampung halamannya, sekali gus mahu mengubah nasib keluarganya.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Seminar Akreditasi Akademik 2023 selama sehari yang bertujuan membincangkan kepentingan pembudayaan jaminan kualiti program akademik agar terus relevan.

Ia melibatkan peserta daripada pelbagai peringkat akademik dan kakitangan pentadbiran utama institusi pengajian tinggi untuk sama-sama memberikan komitmen kepada penambahbaikan kurikulum program pengajian masing-masing.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof, seminar tersebut antara lain bertujuan memberi ruang para peserta untuk mempertimbangkan program-program pengajian akademik agar lebih berdaya saing dan relevan dengan keperluan semasa.

“Penambahbaikan berterusan di dalam jaminan kualiti dan semakan kepada kurikulum program akademik institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing dapat membantu hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Ia untuk memacu kecemerlangan pendidikan tinggi tempatan agar selari dengan visi kementerian iaitu Pendidikan Tinggi Berkualiti, Insan Cemerlang, Negara Sejahtera,” ujarnya ketika merasmikan seminar yang berlangsung di Pusat Islam UMS, baru-baru ini.

Terdahulu, Pengerusi Seminar, Profesor Ir. Ts. Dr. Zainal Zakaria telah menggariskan objektif penganjuran seminar yang julung kalinya dilaksanakan.

“Objektif ini adalah untuk memastikan institusi masing-masing dapat menawarkan program yang berkualiti dan sentiasa sehaluan dengan arus perdana di dalam memastikan kualiti pendidikan global dapat dicapai.

“Ia juga bagi memaklumkan bahawa UMS akan sentiasa komited untuk bersama-sama dengan semua institusi tempatan di Sabah agar hasrat KPT dapat dicapai dengan memastikan semua program yang ditawarkan mendapat akreditasi dan jaminan kualiti.

“Diharapkan penganjuran seminar ini dapat mempertingkatkan ilmu dalam kualiti akademik IPT sebagai entiti penting yang terlibat dalam menyediakan pelan pendidikan, menyampaikan ilmu serta memikul tanggungjawab untuk merealisasikan transformasi pendidikan yang dicita-citakan oleh negara,” jelasnya.

Beliau menambah, pembinaan tamadun ilmu bakal terhasil apabila ilmu diberikan status sebagai ‘the highest good' dalam pembentukan peradaban insan sejagat melalui aktiviti seperti seminar yang dilaksanakan.

Seramai 130 peserta daripada pelbagai IPT tempatan di Sabah hadir dalam seminar tersebut.

 

KENINGAU: Pusat Pengurusan EcoFarm (EcoFarm), Universiti Malaysia Sabah (UMS) bangunkan bidang penyelidikan dan pembelajaran berkaitan perladangan kelapa sawit bersepadu di Keningau.

Majlis pelancaran kerjasama antara UMS dan Yun Fook Resources (YFR) berlangsung di Pusat Penyelidikan Makanan ternakan (PPMT) Kampung Apin-Apin Keningau, yang juga dikenali sebagai AFEEDRI.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Kasim Hj. Mansor, pelancaran tersebut merupakan kesinambungan daripada kerjasama yang telah dimeterai oleh kedua-dua pihak sewaktu lawatan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke UMS pada bulan Jun yang lalu.

“Pelancaran ini merupakan titik permulaan kepada kerja-kerja di lapangan bagi projek berkenaan, yang mana kawasan perladangan kelapa sawit bersepadu telah dibersihkan dan akan ditanam dengan pokok kelapa sawit, sesuai dengan penyelidikan yang dipersetujui dalam memorandum perjanjian.

“Tanaman lain yang akan disepadukan dengan tanaman kelapa sawit adalah seperti durian, nangka, avokado dan tanaman jangka pendek seperti tembikai untuk menambah nilai ekonomi ladang berkenaan,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly menjelaskan pelbagai perkara termasuk kesesuaian tanaman dengan keadaan cerun dan nutrien tanah, sumber air dan saliran telah dipertimbangkan oleh penyelidik UMS.

Katanya, bekalan air disalurkan menggunakan teknik fertigasi pintar ke kawasan yang agak kering untuk membolehkan tanaman berkenaan tumbuh dan mengeluarkan hasil menepati keperluan industri.

“Ini sesuai dengan hasrat kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang menekankan penggunaan teknologi dalam memantapkan industri pertanian,” ujarnya.

Pengarah EcoFarm, Ts. Dr. Januarius Gobilik turut menjelaskan bahawa projek penanaman kelapa sawit bersepadu seluas 33 ekar itu dijangka akan selesai pada Oktober tahun ini.

“Penyelidikan dan pembelajaran yang berkaitan akan dijalankan selari dengan kemajuan projek tersebut.

“Selain projek perladangan kelapa sawit bersepadu, projek lain di tanah UMS, Kg. Apin-Apin adalah perladangan kelapa (pandan dan tacunan) bersepadu yang dijalankan oleh UMS bersama Malaysian Kuwaiti Investment Corp. Sdn. Bhd. (MKIC). Kerja pembukaan tanah bagi projek MKIC sudah bermula dan pelancaran dijangka akan dilaksanakan pada penghujung Oktober,” tambahnya.

Selain daripada projek pembangunan tanah di Kg. Apin-Apin, Ecofarm UMS juga sedang dalam usaha memajukan kawasan tanah UMS di Mesilou, Kundasang sebagai Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran Pertanian Tanah Tinggi.

Turut hadir pada pelancaran tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya. Dr. Raman Noordin; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, Pengarah Pusat Penyelidikan UMS, Prof. Dr. Jumat Sulaiman serta Dekan Fakulti Pertanian Lestari, Profesor Madya Dr. Azwan Awang.