KOTA KINABALU, 3 JANUARI - Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Universiti Malaysia Sabah (PPUMS) mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-14 dalam suasana norma baharu secara dalam talian baru-baru ini.

Pada mesyuarat tersebut, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin,  dalam ucapan perasmian menekankan sikap kebertanggungjawaban terhadap tugasan yang diamanahkan.

Beliau mengingatkan para pegawai agar menggunakan masa dan sumber dengan efektif dan sebaik mungkin bagi mengelakkan pembaziran akibat ketidakcekapan.

Taufiq turut menyeru supaya semua pegawai menjalankan tugas dengan niat yang betul dan ikhlas bagi melahirkan keberkatan dalam hidup, di samping menekankan nilai integriti, jujur, bersih dan amanah.

Beliau menambah, “Kepentingan diri hendaklah diketepi kerana kepentingan universiti adalah lebih besar.”

Dalam suasana norma baharu, Taufiq turut menyarankan agar pegawai dapat memanfaatkan teknologi dan gajet ketika menjalankan tugasan tanpa menjejaskan penyampaian komunikasi.

Terdahulu, Presiden PPUMS Sesi 2019/2021, Mohamad Edrus Othman dalam ucapan aluannya memaklumkan pelbagai aktiviti telah diadakan PPUMS meliputi aspek peningkatan profesionalisme, kemahiran, kebajikan, rekreasi serta ukhuwah dan persefahaman bagi manfaat semua ahli khasnya dan UMS amnya. 

Menurut beliau, PPUMS telah bekerjasama dengan pihak universiti dalam menganjurkan bengkel bagi meningkatkan profesionalisme dan kemahiran para pegawai.

“Selari dengan objektif utama PPUMS yang berperanan menjaga kebajikan para ahli, persatuan juga telah menghulurkan sumbangan kepada ahlinya termasuk yang ditimpa musibah mahupun kehilangan ahli keluarga,” katanya.

Mohamad Edrus juga menyeru agar semua ahli dapat mengurus perubahan masa kini secara profesional dan meningkatkan produktiviti masing-masing dengan mengutamakan integriti, memaksimumkan penggunaan teknologi, kreatif dan menyesuaikan kerja dengan tanggungjawab harian.

MATPPUMS-14 yang diadakan secara dalam talian telah dihadiri oleh 149 orang ahli yang terdiri daripada pegawai pengurusan dan profesional (P&P) UMS.

Pada majlis tersebut turut dilancarkan e-Buletin PPUMS, sebagai wadah penulisan kakitangan P&P.

 

LABUAN: Ekonomi Labuan yang terjejas teruk dek penangan Covid-19 pada 2020, dijangka berdepan jalan sukar untuk pulih semula pada 2021, kata pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Romzi Ationg.

Beliau berkata penularan wabak Covid-19 di pulau bebas cukai itu yang juga sebuah Wilayah Persekutuan seperti Putrajaya dan Kuala Lumpur, ibarat “menabur garam pada luka” - memburukkan lagi keadaan sepanjang 2020. 

Bagaimanapun, masih ada harapan untuk menangani impak pandemik itu sekiranya perubahan fundamental dilakukan ke atas kedua-dua aspek iaitu dasar dan juga kaedah operasi perniagaan, katanya kepada Bernama. 

“Terdapat keperluan untuk kerajaan persekutuan melaksanakan perubahan fundamental dalam menguruskan Labuan.

“Amnya dipersetujui, perubahan itu termasuk memisahkan hubungan kerajaan dan perniagaan serta institusi kewangan,” katanya. 

Romzi berkata pandemik itu memberikan cabaran besar kepada pembuat dasar serta mempunyai kesan langsung dan tidak langsung terhadap ekonomi global yang saling berkait.

“Labuan yang merupakan pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia dan menyumbang ratusan juta (ringgit) cukai kepada kerajaan, turut menerima kesannya,” kata beliau.

Jelasnya dari segi penawaran, jangkitan Covid-19 mengurangkan bekalan tenaga kerja dan produktiviti, sementara kawalan pergerakan pula mengakibatkan penutupan perniagaan dan gangguan bekalan.

“Dari segi permintaan pula, berlaku pemberhentian pekerja serta kehilangan pendapatan (ekoran dijangkiti wabak, kuarantin dan pengangguran) dan prospek ekonomi yang malap mengurangkan penggunaan isi rumah serta pelaburan oleh syarikat,” katanya.

Beliau berpendapat ketidaktentuan tentang laluan, tempoh, magnitud serta impak pandemik itu boleh menyebabkan satu kitaran yang menjejaskan keyakinan perniagaan dan pengguna selain mengetatkan syarat-syarat pembiayaan, sekali gus mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan pelaburan.  

Katanya antara cabaran utama kajian bagi sebarang analisis ekonomi empirikal tentang Covid-19 ialah bagaimana hendak mengenal pasti kesan tidak linear pandemik dan limpahannya yang merentasi negara serta mengukur ketidaktentuan unjuran yang dibuat memandangkan pandemik itu tidak pernah terjadi sebelum ini. 

Beliau berkata yang pasti ekonomi Labuan telah mendepani laluan sukar sebelum kedatangan virus maut itu pada awal 2020. 

Pada 29 April 2019, beberapa dewan perniagaan Labuan menyerahkan memorandum kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dengan senarai 15 isu ekonomi yang dikatakan ‘sine qua non’, iaitu elemen atau syarat penting untuk pemulihan ekonomi. 

Pandemik itu hanya memburukkan lagi keadaan.

Bernama sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 29 pusat hiburan dan pusat sukan, termasuk pusat karaoke di pulau ini, berisiko ditutup setelah pemiliknya mengalami kerugian kira-kira RM6 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lepas. 

Kerugian tersebut menimbulkan kebimbangan mengenai masa depan industri hiburan tempatan.

Prof Madya Dr Geoffrey H. Tanakinjal daripada UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Labuan berjumlah RM7.6 bilion pada 2019.

Peneraju utama ekonomi ialah industri perkhidmatan dengan sumbangan RM5.9 bilion (2018: RM5.5 bilion), diikuti perkilangan (RM1.4 bilion), pembinaan (RM177.2 juta) dan pertanian ( RM133.3 juta), kesemuanya melaporkan peningkatan nilai.

Situasi itu berubah pada 2020 ekoran wabak yang menghentikan aktiviti ekonomi global, kata Geoffrey, seorang pensyarah kanan di Fakulti Kewangan Antarabangsa.

“Disebabkan keperluan untuk kekal berada di dalam rumah, kehilangan pekerjaan tidak dapat dielakkan. Walaupun dilaksanakan kaedah bekerja dari rumah, hakikat bahawa syarikat tidak dapat membiasakan amalan menutup ‘pintu’ premis perniagaan mereka pada waktu perniagaan tidak berubah.

“Labuan juga bergantung pada orang luar untuk memacu kedudukannya sebagai pulau bebas cukai. 

“Pendidikan adalah segmen yang signifikan,” katanya.

Memberi contoh UMSKAL, beliau berkata institusi itu berkapasiti 1,900 pelajar selain 2,100 penuntut matrikulasi dan 500 pelajar masing-masing di Kolej Vokasional Labuan serta Institut Latihan Perindustrian, keseluruhannya ada sekitar 5,000 pelajar dari luar Labuan berbelanja di pulau itu. 

Kesan perbelanjaan pelajar terbabit terhadap persekitaran ekonomi Labuan adalah besar kerana melibatkan perbelanjaan langsung kepada premis perniagaan kecil.

“Bayangkan jika seorang pelajar berbelanja RM100 sebulan, keseluruhan perbelanjaan secara berkumpulan ialah RM500,000 sebulan atau RM6 juta setahun,” kata Geoffrey.

Sumber: https://www.dailyexpress.com.my/news/164013/perubahan-fundamental-perlu-pulih-ekonomi-labuan-pakar/ 

 

 

KOTA KINABALU, 4 JANUARI - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabab (UMS), Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin menyeru warga UMS khususnya agar mempersiapkan minda, sikap dan diri untuk lebih bersedia menghadapi situasi ekonomi dan sosial yang masih dibelenggu ketidak pastian kerana ancaman COVID-19.

Katanya, persepsi “business as usual” bukan lagi menjadi pilihan, sebaliknya kakitangan UMS perlu lebih kreatif dan inovatif dalam melakukan kerja seharian agar kualiti penyampaian perkhidmatan akan tetap terjamin dan dipertingkatkan walaupun dihimpit berbagai kekangan.

“Untuk itu, UMS akan sentiasa berusaha menambah baik dan mempertingkatkan infrastruktur teknologi maklumat yang menjadi pemacu strategik kepada kecemerlangan penyampaian perkhidmatan universiti.

“Ini sebagai menyokong transformasi perkhidmatan dan penyampaian maklumat yang lebih segera beradaptasi dengan norma baharu yang kita amalkan.

“Di samping itu, pengurusan UMS juga akan melaksanakan beberapa perancangan dan inisiatif berkaitan dengan pelan kelestarian sumber manusia bertujuan untuk memperkasa dan meningkatkan produktiviti kakitangan UMS, sejajar dengan Pelan Strategik UMS untuk mencapai visi dan misi Universiti serta menjadikan UMS kekal relevan dan terus memberikan sumbangan signifikan sebagai “universiti untuk masyarakat”,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2021 yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi UMS.official dan saluran YouTube UMS Net.

Taufiq turut optimis bahawa UMS akan terus melakar kejayaan bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah antarabangsa, dan akan terus memberikan manfaat kepada negara, negeri dan masyarakat.  

“Adalah menjadi harapan saya agar warga UMS akan terus mengukuhkan hubungan kerjasama dan ukhuwah demi kecemerlangan universiti.

“Kita juga perlu terus menerap dan mempertingkatkan amalan nilai teras UMS iaitu Dinamik, Lestari, Integriti, Keadilan dan Kebahagiaan dalam diri kita,” katanya.

Taufiq dalam pada itu turut menyingkap kembali tahun 2020 yang penuh getir dengan cabaran dan kekangan akibat COVID-19 berkata, cabaran-cabaran tersebut telah menunjukkan bagaimana relevannya UMS sebagai sebuah institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan untuk membantu kerajaan dan masyarakat dalam menghadapi wabak tersebut.

“Sumbangan UMS dapat dilihat melalui pelbagai inovasi dan kreativiti warganya seperti penghasilan peralatan pelindung peribadi atau PPE termasuk cecair pensanitasi tangan – COVINIZER, dan alat pelindung muka – COVI-Pro; serta kemudahan seperti COVID Sampling Chamber dan COVID Sanitation Tunnel, yang dihasilkan oleh para saintis dan jurutera UMS.  

“Kesemua PPE itu telah disumbangkan kepada para petugas barisan hadapan seperti hospital, klinik kesihatan daerah dan pasukan keselamatan, serta kepada pelajar dan kakitangan UMS.  

“Para pensyarah dan penyelidik UMS juga telah membantu masyarakat yang terkesan oleh COVID-19 seperti kejayaan membantu para petani tomato di daerah Ranau memproses hasil pertanian mereka dan mengelakkan kerugian,” katanya.

Fasiliti makmal penyelidikan UMS juga kata Taufiq telah dimanfaatkan untuk membantu kerajaan negeri dalam menghadapi penularan COVID-19.  

“Makmal Biokeselamatan Tahap 3 (BSL3) yang terletak di Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS (IPB) merupakan salah sebuah makmal universiti awam yang telah dimanfaatkan untuk tujuan melakukan ujian saringan sampel bagi mengesan COVID-19.

“Bersama kemudahan makmal di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Hospital UMS, UMS telah melaksanakan lebih 4000 ujian saringan COVID-19 yang membantu kerajaan negeri mempercepatkan tempoh keputusan ujian saringan COVID-19 khususnya di Sabah,” kata Taufiq.

Mengakhiri perutusannya, Taufiq berharap tahun baharu 2021 ini akan disambut dengan satu semangat baru dan niat yang positif serta iltizam untuk mencipta lebih banyak kejayaan di sebalik mengharungi cabaran yang bakal mendatang.

SELASA, 19 JANUARI - Pandemik COVID-19 yang melanda negara pada ketika ini tidak menghalang Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menjayakan Konvensyen My STEM Ambassador Early Childhood Education 2021 secara dalam talian menerusi Facebook @UMS Official baru-baru ini. 

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, situasi pandemik tidak menghalang penganjuran majlis ilmu dilaksanakan tetapi sebagai peluang untuk meneroka kepakaran bagi kepentingan semua pihak.

“Penganjuran konvensyen bersama dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya ini dapat mensinergikan kepakaran ahli akademik UMS dan IPG yang diharap dapat memberi dan menambah kesedaran kepada pendidik, ibu bapa dan masyarakat tentang keperluan dan perkembangan terkini bidang pendidikan, khususnya dalam bidang STEM peringkat awal kanak-kanak.

“Semoga konvensyen ini dapat memberi dimensi baharu kepada pemikiran masyarakat berhubung bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), yang secara khusus memberi penekanan ke atas kepentingan bidang STEM dalam kehidupan manusia, pembangunan dan kemajuan sesebuah negara.

“Kita bukan hanya menanamkan minat kanak-kanak dalam bidang STEM tetapi juga berkaitan bagaimana kanak-kanak dapat meneroka dan bersiap sedia dengan idea baru untuk mencipta teknologi baru apabila dewasa kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan konvensyen tersebut yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook rasmi UMS.official yang mendapat lebik 7 ribu tontotan dari seluruh Malaysia. Pelbagai ulasan positif turut dikongsi oleh rakan maya atas penganjuran konvensyen tersebut.  

Menurut Taufiq, konvensyen tersebut menyediakan platform kepada masyarakat untuk mengetahui kepentingan serta faedah STEM, bukan sahaja untuk masa depan kanak-kanak tetapi juga dalam mengharungi kehidupan seharian yang amat bergantung dengan kemahiran teknologi.

“Saya percaya pendidikan awal kanak-kanak ialah masa yang terbaik untuk mencungkil potensi yang maksimum supaya kanak-kanak cenderung ke arah bidang STEM.

“Justeru itu, konvensyen maya seumpama ini mampu membuka minda guru dan ibu bapa tentang peranan mereka dalam pendidikan kanak-kanak abad ke-21,” ujar Taufiq.

Selain konvensyen dua hari itu, turut diadakan pertandingan STEM Experiment for the Little Scientists, COVID-19 STEM Invention serta pameran poster yang bertemakan kesedaran STEM pendidikan awal kanak-kanak yang telah bermula November 2020 dan berakhir pada 5 Januari lalu.

Pertandingan julung kali itu disertai 180 orang peserta dari seluruh Malaysia yang terlibat secara langsung dalam pendidikan awal kanak-kanak, terdiri daripada tenaga pengajar, pengasuh serta individu yang terlibat secara langsung dalam kerjaya STEM.

Hadir sama secara maya pada majlis tersebut Penasihat My STEM Ambassador UMS merangkap Pengerusi National STEM Association, Profesor Datuk Dr Noraini Idris yang juga Penceramah jemputan dalam konvensyen ini.

 

KOTA KINABALU - Selepas muncul naib johan dalam pertandingan North Borneo International Intervarsity Open: The Alcohol Debate (TAD) yang berlangsung secara atas talian baru-baru ini, kumpulan pelajar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus gah dalam pertandingan peringkat antarabangsa.

Kali ini, kumpulan ABBA yang terdiri daripada pelajar tahun dua program perubatan, Nurul Firzanah Mohd Darwis, Kuhaneshvaren A/L Elanggovan, Sim Si Ming dan Jivanarajahn Rajendra Kumar, mengungguli pertandingan Asia-Pasific Quiz Champioship (AQC) 2020 apabila berjaya muncul johan bagi kategori Novice.

Mereka menewaskan pencabar dari Singapura, Aakhir Q dalam pertandingan akhir, manakala satu lagi pasukan dari Malaysia, The Goal Diggers mendapat tempat ketiga.

Kumpulan ABBA turut cemerlang dalam pertandingan tersebut apabila mengekalkan rekod tanpa kalah, menewaskan tiga pasukan dari India dan Malaysia dalam pusingan kelayakan, sebelum menewaskan satu lagi pasukan dari Malaysia dalam perlawanan separuh akhir bagi mengesahkan tempat di perlawanan akhir.

Suasana pertandingan akhir yang penuh tegang dramatik menyaksikan kumpulan pelajar FPSK telah menewaskan pencabar Singapura yang lebih berpengalaman dan mempunyai purata usia hampir dua kali ganda dari mereka untuk muncul johan pertandingan AQC buat julung kalinya.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) FPSK, Prof. Madya Dr. Azizan Omar dalam pada itu memuji pencapaian pelajar-pelajar FPSK tersebut yang begitu produktif dalam mencapai pencapaian cemerlang dalam pertandingan yang disertai.

“Barisan pelajar ini juga yang muncul naib johan dalam pertandingan TAD baru-baru ini, dan yang lebih membanggakan, mereka menewaskan peserta dewasa yang lebih berusia daripada mereka,” katanya.

Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree turut menyatakan rasa bangga atas pencapaian cemerlang pelajar FPSK yang muncul pemenang bagi pertandingan peringkat Asia.

“Ini menunjukkan pelajar perubatan UMS mempunyai daya pengetahuan pada tahap tinggi dan mampu menterjemahkan segala pengetahuan dengan pencapaian yang baik apabila menyertai pertandingan kuiz bertaraf dunia,” ujar Prof. Mohammad Saffree.

AQC merupakan pertandingan tahunan yang dimulakan sejak 2012 dan melibatkan peserta-peserta dari Asia Pasifik seperti Singapura, Filipina, India, Australia dan New Zealand.

Pertandingan tersebut sepatutnya berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah yang terpilih sebagai tuan rumah pada tahun ini, namun atas faktor kekangan akibat Pandemik Covid-19, pertandingan tersebut diadakan secara atas talian dengan pasukan penganjur pertandingan berpusat di Kota Kinabalu.

Pada tahun ini juga pertandingan tersebut dipecahkan kepada dua kategori, iaitu kategori Pro dan kategori Novice bagi meluaskan penyertaan dalam pertandingan kuiz yang kompetetif.

Peringkat akhir pertandingan AQC kategori Pro berlangsung pada 2 Januari dan berakhir pada 3 Januari.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.