JUMAAT, 02 NOVEMBER - Seramai 300 murid dan ibu bapa tadika Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeriahkan Sambutan Hari Kanak-Kanak dan Hari Guru 2018, baru-baru ini.

Pengarah PML UMS, Aidah Noordin berkata, penganjuran program itu antara lain bertujuan memupuk semangat ukhuwah dan kerjasama antara guru dan ibu bapa demi kecemerlangan dan kegemilangan potensi akademik dan sahsiah anak-anak.

”Dalam masa sama, selitan acara permainan tradisional yang dimainkan dengan tawa riang dan senda gurau dilihat mengukuhkan lagi kemesraan semua hadirin selain dilihat mampu memberi pengetahuan kepada kanak-kanak tentang permainan-permainan kegemaran zaman dahulu iaitu sebelum kepesatan perkembangan teknologi digital melanda negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program tersebut di Dewan Sukan, PML UMS.

Menurut Aidah, pelbagai permainan tradisional yang biasa dimainkan kanak-kanak pada zaman dahulu telah disediakan  untuk dimainkan bersama oleh murid-murid PML, para guru dan ibu bapa yang hadir.

“Antaranya ialah permainan teng-teng, congkak, baling selipar, sepak bulu tangkis, kad tapak, boling buah kelapa, permainan terompah tempurung selain pertandingan menghias wau,” jelasnya.

Acara itu turut dimeriahkan lagi apabila hampir kesemua yang hadir mengenakan pakaian mengikut tema yang ditetapkan iaitu “Nostalgia 70-an”.

Hadir sama pada sambutan itu ialah Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS, Dr. Connie Chin @ Connie Cassy Ompok; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) PML, Hassan Aris dan Penolong Pendaftar PML merangkap Pengerusi Program, Faddili  Kasin.

 

 

KHAMIS, 01 NOVEMBER – Sabah memerlukan lebih banyak Pusat Intervensi Awal Golongan Berkeperluan Khas Autisme diwujudkan bagi kanak-kanak autisme.

Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga merupakan Patron Persatuan Autisme Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, kewujudan pusat itu penting bagi membolehkan golongan tersebut menjalani terapi pendidikan.

“Ini juga adalah bagi memberi pendedahan awal kepada ibu bapa, guru dan masyarakat mengenai penyakit autisme,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Azhar Matussin sempena program UMS Sunset Autism Run 2018 yang berlangsung di Dataran Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Tambah beliau, program sebegini perlu diteruskan bagi memupuk sifat empati dalam kalangan masyarakat agar menerima kekurangan individu lain.

“Teras kasih sayang dalam kalangan komuniti khususnya dalam usia muda penting bagi membantu proses sosialisasi golongan autistik termasuk mewujudkan rasa kekitaan bagi mengelak mereka rasa terasing dengan rakan sebaya lain,” ujar beliau.

Bertemakan ‘Embrace The Amazing’, lebih 200 peserta terdiri daripada 66 kanak-kanak autistik berumur antara 3 hingga 16 tahun menyertai larian sejauh 7 kilometer dan 2.5 kilometer anjuran bersama Persatuan Autisme Sabah dan Persatuan Alumni Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS. 

Program tersebut bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dan penerimaan terhadap golongan autisme di Sabah serta menjadi landasan membina kumpulan sokongan terhadap keluarga yang mempunyai anak autistik.

 

WEDNESDAY, 31 OCTOBER – The Centre for the Promotion of Knowledge and Language (PPIB) in collaboration with the International Relations Programme of the Faculty of Humanities, Arts and Heritage (FKSW) held an International Conference on Politics and International Studies (ICPIS) 2018 at the Centre for Postgraduate Studies Auditorium, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

The two-day conference themed “Globalisation at the Crossroads? The Revival of Nationalism and Identity Politics” was  attended by foreign and local participants including students from the International Relations Programme of FKSW.

In his speech, the Vice-Chancellor hoped that with the thought-provoking topics on political issues and international studies would lead to profound contribution to the corpus of knowledge which are vital for policy-making and further research.  His speech was read by the Deputy Vice-Chancellor of Academic and International, Prof. Dr. Rasid Mail who officiated the inaugural conference.

Earlier, Director of Career Centre UMS and Conference Chair, Assoc. Prof. Dr. Lai Yew Meng reiterated that the conference promoted critical discussions and sharing of research, novel findings, including informed opinions.

Also in attendance were Assoc. Prof. Dr Jualang Gansau, the Dean of PPIB; and Prof. Dr. Anthony Milner of the University of Melbourne who was also the Keynote Speaker in this conference.

 

RABU, 31 OKTOBER - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini telah menganjurkan wacana harmoni (retreat) pengurusan melibatkan timbalan-timbalan dekan, ketua jabatan dan Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan & Kesihatan Borneo (MEDHREC) serta pegawai pengajaran dan pembelajaran (P&P) fakulti.

Timbalan Pendaftar FPSK merangkap penyelaras retreat, Hasmi Hashim berkata, antara kandungan pengisian program itu termasuklah melihat dan menambah baik pencapaian semasa bagi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang digariskan dalam pra retreat FPSK yang diadakan pada awal tahun 2018.

“Ia merangkumi lima segmen utama iaitu Akademik dan Antarabangsa; Penyelidikan dan Pascasiswazah; Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Komuniti; Bahagian Pentadbiran; dan MEDHREC.

“Kelima-lima segmen KPI yang digariskan ini adalah berdasarkan kepada Bidang Keberhasilan Utama UMS (UMS-KRA),” jelasnya dalam satu kenyataan di UMS.

Sementara itu, Dekan FPSK Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree dalam kenyataan yang sama memaklumkan bahawa, retreat itu juga bertujuan untuk mengukur dan menambahbaik prestasi pencapaian KPI fakulti.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melihat semula dan membuat penambahbaikan secara berterusan terhadap sebarang ruang yang boleh ditambah baik.

“Besarlah harapan saya agar semua KPI yang ditetapkan FPSK akan berjaya dicapai menjelang akhir tahun demi kemajuan fakulti dan UMS secara keseluruhannya,” ujarnya.

 

Sumber: FPSK

 

SELASA, 30 OKTOBER - Semua pihak khususnya generasi muda diminta untuk bersama-sama  memainkan peranan dalam usaha memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu dengan betul.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia Datin Paduka Ir Dr Hamisah Tapsir berkata, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan perlu dituturkan dengan tepat bagi memastikan keaslian bahasa itu terus terpelihara dan diwarisi turun temurun.

“Pada masa kini banyak kali kita mendengar Bahasa Melayu dituturkan bercampur aduk dengan  Bahasa Inggeris.

“Malah ada yang mengatakan setiap Bahasa Inggeris boleh ‘dimelayukan’ apabila menambah huruf ‘I’ di belakang sesebuah perkataan. Sebenarnya bahasa Melayu tidak semudah itu,” katanya.

Datin Paduka Ir Dr Hamisah berucap demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Bulan Bahasa Kebangsaan dan Bulan Keusahawanan Siswa 2018 Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, kelmarin.

Beliau turut menyarankan agar siswa-siswi membaca Hikayat Malim Deman untuk melihat tulisan-tulisan dan pengunaan bahasa dalam buku kesusasteraan Melayu itu.

“Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan memartabatkan Bahasa Melayu?,” tegasnya lagi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali; Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad, pegawai-pegawai kanan universiti dan barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Terdahulu, Datuk Dr. D Kamarudin dalam ucapan aluannya berkata, kesedaran mengenai pentingnya menerapkan semangat cintakan Bahasa Kebangsaan perlu dipupuk dalam kalangan semua peringkat usia dan dalam kalangan semua kaum.

Katanya, walaupun Bahasa Inggeris merupakan bahasa global, Bahasa Melayu tidak wajar dipinggirkan kerana Bahasa Kebangsaan sesebuah negara menggambarkan identiti negara yang harus didaulatkan dan diperkasakan.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini. Semoga kita menanamkan semangat patriotik dan Sayangi Malaysiaku walau di mana sahaja kita berada,” katanya.

Pada Majlis itu, Datin Paduka Ir Dr Hamisah turut menyempurnakan perasmian “Speaker Corner” di Anjung Siswa UMS.

Beliau turut menyampaikan watikah pelantikan kepada barisan MPP UMS bagi sesi 2018/2019 serta menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang pertandingan yang diadakan sepanjang Bulan Bahasa Kebangsaan dan Bulan Keusahawanan Siswa 2018.   

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.